Tidak Mampu Pertahan Ummah Kerana Tiadanya Khilafah Yang Memayungi Mereka

Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad menjelaskan bahawa ketidakmampuan ‘negara Islam’ mempertahankan ummah merupakan salah satu faktor semakin ramai umat Islam menjadi pejuang jihad. Beliau mengeluarkan kenyataan sedemikian sewaktu sesi soal jawab di Forum Islam Antarabangsa yang diadakan di Putrajaya pada 31 Oktober lalu.[1]

Menurutnya lagi, jika orang Islam kecewa, dan bagi orang kebanyakan yang tidak mempunyai kuasa, mereka mungkin memikirkan hanya satu jalan yang boleh mereka sumbang iaitu dengan menjadi pejuang jihad. Dalam pada itu, beliau turut membidas tindakan segelintir pejuang yang menyertai kumpulan bersenjata di rantau yang bergolak.

Demikianlah realiti yang berlaku pada hari ini, di saat para penguasa negeri-negeri kaum Muslimin gagal untuk membela umat Islam yang tertindas, sebilangan umat Islam telah mengambil keputusan untuk bertindak mengangkat senjata bagi melakukan pembelaan terhadap saudara-saudara seakidah mereka. Malangnya, tindakan ini langsung tidak membuka mata para penguasa Muslim untuk sedar dan berusaha bersungguh-sungguh mencari penyelesaian terhadap kemelut yang melanda umat di seluruh dunia. Sebaliknya, mereka menyalahkan pula para pejuang yang ikhlas yang ingin membela umat Islam serta menghukum mana-mana individu yang ingin berjuang membela saudara seakidah mereka yang dizalimi oleh rejim penguasa yang bersekongkol dengan kuasa kuffar Barat.

Malah lebih menyedihkan lagi apabila para penguasa Muslim yang khianat ini berusaha untuk memesongkan pula pengertian jihad dan mengetengahkan idea Islam moderat yang memenuhi selera Barat yang sememangnya takut dengan kebangkitan semula Islam yang hakiki. Maka kini timbullah bermacam-macam istilah Arab dan kaedah syarak yang telah dimanipulasi dan kemudiannya diberikan justifikasi oleh para ulama suu’ atas arahan para penguasa agar menepati kriteria yang digariskan oleh kuasa kuffar. Sementara itu, para ulama dan pemikul dakwah yang ikhlas membawa mesej kebenaran pula dikenakan dengan pelbagai halangan dan tindakan oleh para penguasa semata-mata untuk mengekalkan status quo yang rosak pada hari ini.

Tatkala ratusan ribu nyawa umat Islam terkorban sepanjang pergolakan di Syria lantaran serangan darat dan pengeboman udara oleh rejim Basyar al-Kalb, tiada seorang pun tentera kaum Muslimin yang dihantar oleh mana-mana negara umat Islam bagi menghentikan kekejaman tersebut. Bahkan para penguasa Muslim telah menyekat dan menghukum rakyat mereka sendiri yang ingin melakukan pembelaan dengan alasan enggan mencampuri urusan dalaman ‘negara lain’ yang wujud hasil daripada sempadan palsu nasionalisme ciptaan Barat.

Para penguasa Muslim sentiasa mengkritik tindakan kumpulan-kumpulan bersenjata yang berusaha untuk menamatkan kezaliman Basyar, tetapi pada masa yang sama hampir tiada usaha secara langsung yang tuntas yang dilakukan oleh negara-negara kaum Muslimin lain bagi menghentikan kezaliman Basyar tersebut. Namun, sebaik sahaja mereka menerima arahan daripada Amerika Syarikat (AS) untuk menyekat kemaraan kumpulan bersenjata Islamic State (IS), mereka dengan segera tanpa berlengah walau sesaat memenuhi perintah tuan mereka itu. Ini menunjukkan bahawa mereka merelakan diri mereka untuk menjadi bidak-bidak catur dan tali barut kuffar demi menjaga kepentingan geopolitik AS di rantau tersebut. Tidakkah mereka sedar bahawasanya kewujudan kumpulan bersenjata seperti IS sebenarnya berpunca daripada reaksi umat Islam terhadap polisi penjajahan AS dan ketundukan rejim penguasa Muslim yang berkepentingan? Alangkah hipokritnya para penguasa Muslim yang sebelum ini berdegar-degar dengan retorik kononnya membantah kezaliman Basyar, sebaliknya mereka akur pula kepada arahan AS yang sememangnya ingin melanjutkan lagi hayat rejim Basyar kerana AS masih gagal meletakkan ejennya sebagai pengganti.[2]

Ya, memang benar bahawa umat Islam dilarang sama sekali daripada saling berbunuhan sesama sendiri. Namun, seorang Muslim itu berhak untuk mempertahankan diri apabila nyawa, harta dan tanahnya terancam daripada sebarang pencerobohan. Kegagalan penguasa kaum Muslimin daripada menghentikan kezaliman Basyar telah menyebabkan para pejuang bingkas melakukan pembelaan. Inilah akar kepada permasalahan yang melanda umat Islam, di saat mereka berpecah-belah dan lemah lantaran tiadanya Khalifah yang menjadi pelindung dan pembela mereka sejak runtuhnya Khilafah Uthmaniyyah pada tahun 1924M. Sabda Rasulullah SAW,

“Sesungguhnya Imam (Khalifah) itu bagaikan perisai, daripada belakangnya umat berperang dan dengannya umat berlindung”[HR Muslim].

Sesungguhnya tindak-tanduk para penguasa kaum Muslimin dalam menangani sebarang isu yang melanda di Asia Barat juga merupakan salah satu bukti ketundukan mereka terhadap kuasa-kuasa Barat yang penuh berkepentingan di rantau tersebut. AS sudah semestinya enggan meletakkan negaranya dalam kancah peperangan yang berlarutan sehingga menggugat ekonominya. Justeru, AS telah memperalatkan negara-negara kaum Muslimin untuk melaksanakan agendanya di samping meminimumkan penglibatan ketenteraan AS dalam negara terbabit secara langsung.

Sedarlah wahai umat Islam! Berhentilah daripada terus dilaga-lagakan oleh musuh Allah. Sesungguhnya musuh Allah dan musuh kalian adalah kuasa kuffar yang sentiasa berusaha untuk menyekat kebangkitan Islam. Halakanlah muncung-muncung senjata kalian kepada musuh yang sebenar dan juga kepada rejim-rejim yang menjadi tali barut kaum kuffar. Campakkanlah segala sentimen nasionalisme palsu yang memecah-belahkan kita semua dan bergeraklah menuju penyatuan yang hakiki. Hanya dengan penegakan Khilafah di atas manhaj kenabian sahajalah yang boleh menyatukan kita semua, sekaligus membela umat Islam yang telah sekian lama tertindas.

“…Kemudian akan kembali Khilafah di atas jalan kenabian” [HR Ahmad].

Wallahua’lam.

Sumber:
[1] Tak mampu pertahan ummah punca ramai sertai jihad

[2] Serangan Udara AS Di Syria – Rencana Jahat AS Dan Pengkhianatan Para Penguasa Muslim Terhadap Umat