Rusuhan kuil: Peringatan Daripada Hizbut Tahrir Malaysia

Kenyataan Rasmi

Rusuhan kuil: Peringatan Daripada Hizbut Tahrir Malaysia

Insiden rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya telah menggegarkan negara, selain mengundang pelbagai spekulasi. Banyak kenyataan yang dibuat, baik oleh pihak kuil, pihak polis mahupun pihak kerajaan di mana wujud percanggahan fakta antara satu sama lain. Daripada banyak laporan, apa yang jelas ialah wujud perbalahan dalaman antara jawatankuasa kuil sehingga mengheret kepada rusuhan, sebagaimana diakui sendiri oleh Presiden Malaysia Hindu Sangam, Datuk RS Mohan Shan. Malangnya ada pihak yang mengambil kesempatan untuk menangguk di air keruh. Kami tidak berniat dan tidak berminat untuk melakukan sebarang spekulasi dalam kes ini, tetapi apa yang kami mahu ialah memberi peringatan agar kes seumpama ini tidak berulang. Justeru, kami ingin mengingatkan:

  1. Jika ada umat Islam yang terlibat dalam kes rusuhan ini, ketahuilah bahawa Islam mengharamkan umatnya menumpahkan darah dan merosakkan rumah ibadat penganut agama lain tanpa hak. Islam juga mengharamkan sebarang bentuk seruan atas dasar perkauman. Kami juga mengingatkan umat Islam agar berhati-hati dalam menerima dan menyebarkan berita tanpa pemeriksaan dan tidak melakukan sebarang provokasi, yang semuanya tidak akan membawa sebarang kebaikan, bahkan mengundang dosa.
  2. Kerana banyaknya percanggahan fakta, pihak polis bukan sahaja seharusnya melakukan tindakan dan siasatan secara profesional, malah mesti telus dalam bertindak dan dalam memberikan laporan. Di zaman media sosial yang begitu pantas tersebarnya pelbagai berita, pihak polis seharusnya lebih berhati-hati dan efisien dalam menyalurkan sebarang maklumat agar keprofesionalan dan ketelusan mereka tidak dipersoalkan.
  3. Jika benar kewujudan rumah ibadat tersebut menyalahi undang-undang sebagaimana dilaporkan, maka pihak berwajib sewajarnya mengambil tindakan tegas untuk menanganinya lebih awal. Kerajaan sendiri mengakui bahawa banyak kuil yang didirikan secara haram di tanah orang lain, tetapi malangnya tindakan tidak pernah diambil. Sejak sekian lama ketegasan dan integriti pihak berwajib dipersoalkan dalam mengendalikan kes-kes kuil haram dan tidak terkecuali dalam kes ini. Justeru, kes ini wajar dijadikan pengajaran oleh pihak berwajib agar lebih peka dan bertindak tegas serta bertindak lebih awal sebelum nasi menjadi bubur.
  4. Dengan apa yang berlaku, apatah lagi apabila melibatkan kerosakan harta benda, pergaduhan dan kecederaan parah serta sentimen perkauman yang boleh menjadi bom jangka, pihak polis mesti bertindak tegas ke atas pelaku jenayah bagi memastikan keadilan dan keamanan kekal terpelihara.

Dalam negara berbilang kaum dan agama seperti Malaysia, kita telah melihat bagaimana pergaduhan dan rusuhan boleh tercetus dengan mudah apabila api perkauman dibakar oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Justeru, kami tekankan sekali lagi kepada semua pihak yang berwajib agar mengambil pengajaran dalam kes ini bagi memastikan perkara yang sama tidak berulang. Apatah lagi kepada pihak yang menjaga keselamatan dan keamanan negara, mereka mesti bertindak tegas, profesional, berani dan telus dalam isu ini agar penjenayah dan pihak yang menangguk di air keruh diambil tindakan sewajarnya.

Kepada umat Islam yang kami kasihi, kami juga ingin mengingatkan bahawa banyaknya kesyirikan dan penyembahan berhala yang wujud dalam negara pada hari ini seharusnya menyedarkan kita betapa pentingnya usaha untuk mendakwahkan Islam kepada non-Muslim dan betapa kita mesti lebih bersungguh-sungguh untuk menegakkan agama Allah (swt). Kita semua maklum bahawa kita tidak boleh memaksa orang kafir untuk memeluk Islam, tetapi kita wajib mendakwahkan mereka kepada Islam. Rasulullah (saw) diutus tatkala kesyirikan dan penyembahan berhala merajalela dan baginda mengajak manusia kepada mengEsakan Allah (swt). Baginda menyeru manusia untuk menjadikan Allah (swt) sebagai Satu-satunya Tuhan yang wajib disembah. Justeru, kewajipan yang sama terbeban di atas bahu kita sekarang untuk membersihkan bumi ini daripada segala kesyirikan dan menjadikan keseluruhan Deen hanya milik Allah (swt). Wallahu a’lam.

Abdul Hakim Othman

Jurucakap Hizbut Tahrir Malaysia

Sabtu, 23 Rabiul Awal 1440 H
01/12/2018 M
Ruj: HTM/KR/01/1440