RUU KK 2012 Perkukuh Sekularisme

altKUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah khas) 2012 ( RUU KK 2012) telah diluluskan baru-baru ini dengan sebulat suara oleh Dewan Rakyat tanpa pindaan. Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, Rang Undang-Undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 yang baru itu memberi jaminan bahawa seseorang itu tidak akan ditangkap kerana fahaman politiknya.

Tujuan RUU KK 2012 ini digubal adalah untuk mempertahankan Demokrasi Berparlimen daripada sebarang ancaman termasuklah samada ia berbentuk keganasan atau tidak. Tambahannya lagi istilah Demokrasi Berparlimen itu juga digunapakai oleh United Kingdom (UK) iaitu di dalam Security Service Act 1989.

Ketika ramai yang mempertikaikan jaminan RUU itu tidak disalahgunakan, persoalan yang muncul disebalik itu adalah; apakah bentuk ancaman yang dimaksudkan itu? Jika ancaman itu termasuk aktiviti selain keganasan, apakah ia termasuk aktiviti dakwah Islam?  Apa yang pasti, RUU KK 2012 itu adalah untuk mempertahankan amalan Demokrasi Berparlimen di Malaysia tanpa mengira bentuk ancaman tersebut. Amalan Demokrasi Berparlimen ini adalah manifestasi daripada fahaman sekularisme di mana manusia memiliki kuasa sepenuhnya di dalam memilih/menentukan peraturannya sendiri di dunia dan agama(Islam) itu hanya untuk urusan-urusan di masjid sahaja.

Perlaksanaan sistem Demokrasi sebenarnya bertentangan dengan prinsip Islam. Ini adalah kerana, umat Islam hanya diperintahkan untuk melaksanakan Sistem Islam dan bukan sistem daripada barat. Jadi, sebenarnya, ancaman kepada Demokrasi berparlimen itu adalah ancaman kepada hagemoni barat yang sedang menguasai sistem yang mengatur masyarakat di Malaysia pada ketika ini. Jika dinilai dengan akal yang jernih sambil membandingkan dengan apa yang ada diajarkan di dalam Islam, kita akan dapat membuat kesimpulan bahawa sistem inilah yang menjadi punca kepada penularan budaya barat seperti pergaulan bebas, minum arak, berjudi dan penyalahgunaan dadah. Jika ada yang mengatakan Demokrasi di Malaysia ini berbeza dengan United Kingdom sambil mendakwa Malaysia mengamalkan ‘Demokrasi terpimpin’ atau ‘Demokrasi Ikut acuan sendiri’, ia sebenarnya menjadikannya lebih zalim kerana slogan-slogan inilah yang memudahkan sistem itu dimanipulasi untuk kepentingan golongan yang memerintah.

Secara umumnya, Perlaksanaan RUU KK 2012 ini akan memudahkan lagi kerajaan membanteras bukan sahaja aktiviti keganasan, tetapi juga dakwah Islam yang menyeru kepada perlaksanaan syariat Islam secara menyeluruh. Di kala seluruh dunia menyaksikan kebangkitan umat Islam untuk mengembalikan Islam ke dalam kehidupan dan RUU ini pula digubal bertujuan untuk menghalangnya, amatlah malangnya bagi umat Islam di Malaysia!, dan jika menyeru kepada kebaikan untuk menegakkan agama Allah itu dikatakan mengancam Demokrasi Berparlimen dan disabitkan kesalahan, maka perhitungan sebenar nanti adalah di akhirat ketika bertemu untuk pengadilan di hadapan Allah SWT.

Rujukan : Utusan Malaysia 18/4/2012