Salah satu contoh politik UMNO…




IPOH: Seorang Ahli Jawatankuasa (AJK) Umno Cawangan Pernas Charter Management (PCM) Bahagian Gopeng cedera di kedua-dua belah kaki akibat dipukul dengan kayu golf selepas seorang rakannya tidak berpuas hati berhubung pencalonan jawatan Timbalan Ketua Umno Bahagian itu, semalam.


Mangsa, Abdullah Abdul Hamid, 44, yang menyertai Umno sejak 1985, menerima rawatan sebagai pesakit luar Hospital Permaisuri Bainun.

Abdullah berkata selepas selesai mesyuarat jam 4.30 petang, beliau yang singgah di Batu Gajah didatangi seorang lelaki yang tidak berpuas hati apabila abangnya yang juga Setiausaha Umno Bahagian Gopeng tidak dicalonkan cawangan PCM untuk bertanding timbalan ketua Umno bahagian itu.

 

“Lelaki itu yang juga AJK Umno cawangan Kampung Pisang itu naik berang lalu mengeluarkan sebatang kayu golf dari keretanya lalu memukul Abdullah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.


Sidang akhbar itu turut dihadiri Ketua Umno Cawangan PCM, Hishamuddin Abdul Rahman.

Abdullah yang bekerja sebagai Eksekutif Tekun Nasional di sini kemudian berlari untuk menyelamatkan diri dan dibantu oleh orang ramai untuk mendapatkan rawatan di hospital Bainun sebelum membuat laporan di Balai Polis Batu Gajah.

 

Jurucakap Balai Polis Batu Gajah ketika dihubungi mengesahkan laporan yang dibuat oleh Abdullah.


Empat calon dijangka bertanding bagi merebut jawatan Ketua Umno bahagian itu selepas bekas ketuanya Datuk Seri Abdul Shamsuddin mengumumkan untuk melepaskan jawatan itu, baru-baru ini. — Bernama

Sumber: Berita Harian 04/08/08