Sampai bila pejuang Melayu ingin menanggung dosa?
Cari formula kembalikan Melayu kepada UMNO
MUAR 27 April – Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap perhimpunan besar-besaran badan bukan kerajaan (NGO) Melayu kebangsaan di Johor Bahru pada 2 Mei ini, turut mencadangkan formula untuk menarik kembali orang Melayu
kepada parti itu.
Ini kerana, katanya, UMNO adalah sebuah parti yang masih relevan kepada orang Melayu kerana tidak ada badan lain yang dapat memperjuang dan mempertahankan hak bangsa Melayu, agama dan mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu seperti UMNO.
Beliau menyifatkan inisiatif Gabungan Penulis Nasional (Gapena) menganjurkan perhimpunan itu sebagai amat murni.
“Kalau mereka kata UMNO tidak boleh kerana mereka tidak yakin dengan kepimpinannya atau dalam situasi sekarang tidak begitu ghairah memperjuangkan nasib orang Melayu, saya fikir mereka boleh jadikan perhimpunan itu sebagai langkah memperbaiki kelemahan UMNO.
“Kalau mereka dapati terdapat kelemahan dalam perjuangan UMNO atau parti itu sudah menyimpang daripada perjuangan asalnya, mereka boleh tegur dan kita (pemimpin) harus menerima teguran itu dengan hati terbuka,” kata Muhyiddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Pagoh selepas merasmikan satu majlis di kawasan Parlimen itu semalam.
Muhyiddin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, perhimpunan itu juga boleh mengemukakan cadangan kepada UMNO terhadap perkara yang mereka tidak berpuas hati berkenaan dasar parti tentang bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, pendidikan atau perjuangan UMNO tentang ekonomi orang Melayu.
“Kalau semua pertubuhan Melayu berjuang atas landasan yang sama dengan UMNO, eloklah cari satu titik pertemuan untuk menggabungkan usaha mereka dengan apa yang dilakukan oleh UMNO,” katanya.
Muhyiddin menarik perhatian bagaimana Perhimpunan Melayu Johor berjaya mengembalikan orang Melayu bersatu dalam parti ekoran perpecahan UMNO pada tahun 1988 kerana resolusi badan bukan kerajaan yang mewakili orang Melayu Johor sepakat bahawa orang Melayu tiada pilihan kecuali kembali bernaung di bawah payung UMNO.
– Bernama
Sumber: Utusan Malaysia 28/04/08
Ulasan:
Dari dulu, kini dan entah sampai bila lagi UMNO akan hidup atas dasar perjuangan kemelayuannya. Entah sampai bila lagi UMNO akan sedar yang perjuangan assabiyyah ini bertentangan dengan Islam dan tidak akan membawa pejuangnya ke mana, kecuali ke jalan yang dimurkai Allah. Perjuangan melayu tidak akan membangkitkan Islam, malah akan membuatkan Melayu terus Melayu dan menjunam. Walaupun pejuang Melayu selalu melagukan dongengnya bahawa Melayu sinonim dengan Islam, hakikatnya Melayu dan Islam tetap berbeza sampai kiamat. Tambahan lagi, formula yang dicari oleh Melayu terutama UMNO tidak pula berpaksikan kepada formula Islam, melainkan formula ‘bangsa Melayu’ semata-mata. Mereka sebenarnya semakin jauh dari Islam.
Memperjuangkan Melayu ternyata memperjuangkan pemisahan Islam dari kehidupan. Kita bukan hidup untuk mempertahan atau memperjuangkan bangsa, tapi kita hidup untuk memperjuangkan Islam. Bumi Malaysia bukan hak Melayu, bumi Arab Saudi bukan hak orang Arab, bumi Turki dan Iraq bukan hak orang Turki dan Iraq dan begitulah seterusnya. Semua bumi ini adalah bumi yang Allah wariskan kepada orang Islam tanpa mengira bangsa. Ia adalah hak kita. Bumi Mekah adalah hak umat Islam, begitu juga dengan bumi Madinah, bumi Palestin, bumi Irak, bumi Mesir, bumi Indonesia mahupun bumi Malaysia. Ia semuanya hak kaum Muslimin, tanpa mengira bangsa, ras mahupun warna kulit.
Agama Islam telah diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW sebagai sebuah cara hidup (ideologi) yang telah berjaya membawa kegemilangan umat manusia (tanpa mengira bangsa) berbelas abad lamanya. Islam meletakkan formula penyatuan umat dengan menyatukan fikrah (pemikiran), perasaan (masya’ir) serta peraturan (nizham) yang kesemuanya datang dari ‘Islam’, bukan dari ‘bangsa’. Formula inilah yang telah berjaya menyatukan umat manusia di 2/3 daratan bumi.
Di sini jelas kepada kita satu kesimpulan bahawa UMNO dan agenda kemelayuannya hanya merupakan pemikiran kuno yang masih ada dalam benak pejuang bangsa ini, yang bertentangan dengan Islam dan kehendak kebangkitan hakiki. Melayu semakin terhimpit, mundur dan tidak bermaya kerana tidak berpegang kepada Islam. Apa bangsa pun, jika mereka berpegang kepada formula penyatuan berdasarkan akidah Islam, akan bangkit, maju dan mulia dan akan tetap terus berdiri megah, digeruni dan dihormati oleh orang-orang kafir dan akan menguasai dunia seluruhnya.