Saudi bina tembok raksasa, apa yang ditakutkan?

Gambar UG 300115Arab Saudi dilaporkan sedang membina tembok raksasa sepanjang 600 batu, yang merupakan gabungan antara pagar dan parit, untuk memisahkan negara itu dari Iraq utara. Sebahagian besar wilayah Iraq kini dikendalikan oleh ISIS, yang menganggap penaklukan Arab Saudi, yang merupakan tempat bagi “Dua Masjid Suci” Mekah dan Madinah, sebagai tujuan utama mereka.

Kerja-kerja pembinaannya dimulakan pada bulan September tahun lalu setelah ISIS banyak menaklukkan wilayah barat dan utara negara itu sehingga memberikannya perbatasan darat yang luas dengan Arab Saudi di wilayah selatan.

Walau pun tujuan pembinaan dikatakan untuk pertahanan dan keselamatan, namun realitinya ia akan menambahkan lagi jurang perpecahan dan permusuhan sesama Muslim. Sempadan antara negara umat Islam, termasuk antara Arab Saudi dan Iraq, semuanya merupakan ciptaan penjajah kuffar. Saudi, Iraq dan lain-lain negara kaum Muslimin semuanya dulu bersatu di bawah Daulah Khilafah sehinggalah dipecah-pecahkan oleh penjajah.

Kemunculan ISIS dengan pengisytiharan Khilafahnya yang tidak bertepatan dengan syarak pula telah menambahkan lagi kemelut dan ketakutan dalam dunia Islam. Kerana itu, masing-masing negara umat Islam cuba mempertahankan diri dari dimasuki oleh ISIS, malah di Malaysia sendiri sudah berapa ramai penyokong ISIS yang ditangkap. Sepatutnya Amerika, Israel dan musuh-musuh Islam yang takutkan ISIS, tetapi ternyata sebaliknya. Ternyata ISIS lebih mengancam negeri kaum Muslimin sendiri berbanding negara kuffar.

Hizbut Tahrir berusaha siang dan malam sejak tahun 1953 untuk mempersatukan semula umat Islam dan semua negeri kaum Muslimin di bawah Daulah Khilafah al-Rasyidah ala minhaj nubuwwah yang Insya Allah tatkala ia berdiri sedikit masa lagi, semua tembok sempadan di antara negeri-negeri umat Islam akan dihapuskan.

Khilafah Rasyidah ala minhaj nubuwwah yang bakal berdiri ini akan memberikan kesejahteraan, keadilan dan segala kebaikan kepada umat Islam. Segala ketakutan yang ada sekarang akan diganti oleh Allah SWT dengan keamanan. Inilah janji Allah. Cumanya kita mesti beriman dan melakukan amal soleh sepertimana yang dituntut oleh Allah dan RasulNya. Ia bukan amal soleh yang biasa, tetapi amal soleh yang akan mengantarkan kepada berdirinya Khilafah Rasyidah untuk kali yang kedua.

“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredhaiNya untuk mereka dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembahkuKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu apa pun denganKu dan barangsiapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasik” [TMQ al-Nur (24):55].