Sautun Nahdhah Palsu di Negeri Sembilan
Tajuk SN yang dipalsukan kali ini adalah “Haram Menjatuhkan Pemerintah Muslim, Pemimpin Fasik Bagaimana?” Nasyrah tersebut yang tidak bernombor siri dan tiada tarikh, telah ditulis dalam bentuk menghentam pakatan pembangkang, yang secara jelas dan nyata cuba menimbulkan kemarahan rakyat terhadap pembangkang dan sekali gus terhadap HTM.
Kami (HTM) menafikan bahawa nasyrah tersebut (sebagaimana gambar) adalah terbitan kami. Pihak mana sekalipun yang bertanggungjawab melakukan kekejian ini, hanya kepada Allah kami memohon agar diberi hidayah kepada mereka sekiranya mereka bertaubat dan kepada Allah jua kami memohon agar mengazab mereka dengan sekeras-keras azab sekiranya mereka tidak bertaubat dan tetap mengulangi kejahatan mereka.
Ingatlah bahawa setiap apa yang kita tulis akan dihisab oleh Allah dan kita pasti tidak akan terlepas darinya. Ingatlah wahai si penulis fitnah, bahawa apa sahaja perancangan jahat yang kamu lakukan, kami tetap yakin akan pertolongan dan keadilan Allah SWT dan bahawasanya Allah SWT juga sedang merancang sesuatu ke atas kamu dan Allah adalah sebaik-baik Pembalas rancangan jahat. Firman Allah,
“Mereka membuat makar (perancangan jahat) dan Allah membuat (membalas) makar (mereka) dan Allah adalah sebaik-baik Pembalas makar” [Al-Anfal (8):30].