Sejarah Kemunculan Dan Intipati Demokrasi Serta Pertentangannya Dengan Islam (Siri 1)

Demokrasi yang telah dijajakan oleh kuffar Barat ke negeri-negeri umat Islam, sesungguhnya adalah sistem kufur. Ia tidak ada hubungan sama sekali dengan Islam, baik secara langsung mahupun tidak langsung. Demokrasi sangat bertentangan dengan hukum-hukum Islam dari segi garis kasar mahupun rinciannya, dari segi sumber kemunculannya, dari segi akidah yang melahirkannya atau asas yang mendasarinya, serta pelbagai idea dan peraturan yang dibawanya. Oleh kerana itu, kaum Muslimin diharamkan secara mutlak mengambil, menerapkan dan menyebarluaskan demokrasi.

Sejarah menunjukkan dengan jelas bahawa demokrasi adalah satu sistem pemerintahan yang berasal daripada Barat, yang lahir daripada akal manusia atau direka oleh manusia, dengan tujuan untuk membebaskan diri daripada kezaliman dan penindasan para penguasa terhadap rakyatnya, atas nama agama. Demokrasi adalah satu sistem yang bersumber daripada manusia dan tidak ada hubungannya sama sekali dengan wahyu atau agama.

Kelahiran demokrasi bermula daripada kewujudan para penguasa di Eropah yang beranggapan bahawa mereka (penguasa) adalah wakil Tuhan di muka bumi dan berhak memerintah rakyat berdasarkan kekuasaan Tuhan. Mereka beranggapan bahawa Tuhan telah memberi mereka autoriti untuk membuat hukum (undang-undang) dan menerapkannya. Dengan kata lain, penguasa dianggap memiliki autoriti untuk memerintah rakyat dengan peraturan yang dibuat oleh penguasa itu sendiri, kerana mereka telah memperolehi kekuasaannya daripada Tuhan, bukan daripada rakyat. Lantaran itu, mereka menzalimi dan menguasai rakyat – sebagaimana tuan memiliki dan menguasai hambanya – berdasarkan anggapan tersebut.

Lalu timbullah pergolakan antara para penguasa Eropah dengan rakyatnya. Para ahli falsafah dan cendekiawan mulai membahas masalah pemerintahan dan menyusun konsep sistem pemerintahan rakyat – iaitu sistem demokrasi – di mana rakyat menjadi sumber kekuasaan dalam sistem tersebut. Penguasa mengambil sumber kekuasaannya daripada rakyat yang menjadi pemilik kedaulatan. Rakyat dikatakan memiliki kehendaknya, melaksanakan sendiri kehendaknya itu, dan menjalankannya sesuai dengan keinginannya. Tidak ada satu kekuasaan pun yang boleh menguasai rakyat, kerana rakyat ibarat tuan, yang berhak membuat peraturan sendiri yang akan mereka terapkan, serta menjalankannya sesuai dengan keinginannya. Rakyat berhak pula mengangkat penguasa untuk memerintah rakyat – kerana kedudukan penguasa tersebut sebagai wakil rakyat – dengan peraturan yang dibuat oleh rakyat.

Atas dasar itu, amat jelas bahawa sumber kemunculan sistem demokrasi seluruhnya adalah daripada (akal) manusia, dan tidak ada hubungannya sama sekali dengan wahyu atau agama.

Demokrasi lahir daripada akidah faslu deen anil hayah (pemisahan agama daripada kehidupan) yang menjadi asas kepada mabda’ (ideologi) kapitalisme. Akidah ini merupakan jalan tengah (kompromi) yang tidak tegas, yang lahir daripada pergolakan antara para raja dan kaisar di Eropah dan Rusia dengan para ahli falsafah dan cendekiawan. Pada waktu itu, para raja dan kaisar telah memanfaatkan agama sebagai alat untuk mengeksploitasi dan menzalimi rakyat, serta alat untuk menghisap darah rakyat. Ini disebabkan adanya suatu anggapan bahawa raja dan kaisar adalah wakil Tuhan di muka bumi. Para raja dan kaisar itu lalu memanfaatkan gereja dan para agamawan sebagai tunggangan untuk menzalimi rakyat, sehingga berkobarlah pergolakan sengit antara mereka dengan rakyatnya.

Pada waktu itulah para ahli falsafah dan pemikir bangkit. Sebahagian mereka ada yang mengingkari keberadaan agama secara mutlak, dan sebahagian yang lain mengakui keberadaan agama, tetapi menyerukan pemisahan agama daripada kehidupan (faslu deen anil hayah), yang kemudian melahirkan pemisahan agama daripada negara dan pemerintahan.

Pergolakan ini berakhir dengan suatu jalan tengah (kompromi), iaitu pemisahan agama daripada kehidupan yang dengan sendirinya menatijahkan pemisahan agama daripada negara. Idea ini merupakan akidah yang menjadi asas ideologi Kapitalisme dan menjadi landasan pemikiran (qa’idah fikriyah) bagi ideologi tersebut, yang mendasari seluruh bangunan pemikirannya, menentukan orientasi pemikiran dan pandangan hidupnya, sekali gus menjadi sumber penyelesaian bagi seluruh masalah kehidupan. Oleh itu akidah ini menjadi kepimpinan berfikir (qiyadah fikriyah) yang dikembangkan oleh Barat dan senantiasa diserukannya ke seluruh penjuru dunia.

Berlandaskan qa’idah fikriyah ini, mereka (Barat) berpendapat bahawa manusia berhak membuat peraturan hidupnya sendiri. Mereka mempertahankan kebebasan (freedom) manusia yang terdiri daripada kebebasan berakidah/beragama, berpendapat, hak milik, dan kebebasan peribadi (tingkah laku). Daripada kebebasan hak milik ini lahirlah sistem ekonomi kapitalis, yang merupakan perkara yang paling menonjol dalam ideologi (mabda’’) ini atau yang dihasilkan oleh akidah mabda’’ ini. Atas dasar itulah mabda’ ini dinamakan sebagai mabda’ kapitalisme, sebuah nama yang diambil dari aspek yang paling menonjol dalam mabda’ ini.

Adapun demokrasi yang dianut oleh mabda’ ini, berasal daripada pandangannya bahawa manusia berhak membuat peraturan (undang-undang) hidupnya sendiri. Menurut mereka, rakyat adalah sumber kekuasaan. Rakyatlah yang membuat undang-undang. Rakyat pula yang menggaji kepala negara untuk menjalankan undang-undang yang telah dibuatnya. Rakyat berhak mencabut kembali kekuasaan itu daripada ketua negara, sekali gus menggantinya, termasuk merubah undang-undang sesuai dengan kehendaknya. Hal ini kerana kekuasaan dalam sistem demokrasi merupakan kontrak kerja antara rakyat dengan ketua negara, yang digaji untuk menjalankan pemerintahan sesuai dengan undang-undang yang telah dibuat oleh rakyat.

Sekalipun demokrasi berasal dari mabda’ kapitalisme ini, akan tetapi kurang menonjol dibandingkan dengan sistem ekonominya. Buktinya, sistem kapitalisme di Barat ternyata sangat mempengaruhi elit kekuasaan (pemerintahan) sehingga mereka tunduk kepada para kapitalis (pemilik modal). Bahkan hampir-hampir dapat dikatakan bahawa para kapitalislah yang menjadi penguasa sebenarnya di negara-negara yang menganut mabda’ ini. Di samping itu demokrasi bukanlah ciri khas dari mabda’ ini, sebab komunisme juga menyuarakannya dan menyatakan bahawa kekuasaan berada di tangan rakyat. Jadi, lebih tepat bila mabda’ ini dinamakan mabda’ kapitalisme.

Berdasarkan hal ini, maka akidah yang dianut oleh Barat secara keseluruhannya adalah sekularisme yakni sebuah akidah yang memisahkan agama daripada kehidupan. Sebagaimana telah disebutkan, akidah ini merupakan qa’idah fikriyah yang menjadi landasan bagi setiap pemikiran mereka (Barat). Di atas dasar inilah ditentukan setiap arah pemikiran dan arah pandangan hidup mereka. Berdasarkan hal ini jugalah mereka menyelesaikan pelbagai masalah hidup. Lalu mabda’ ini dijadikan sebagai qiyadah fikriyah yang dikembang serta disebarluaskan oleh Barat ke seluruh dunia, termasuk ke dunia Islam yang menjadi sasaran jajahan mereka.

Akidah sekular yang memisahkan agama daripada kehidupan ini, pada hakikatnya merupakan pengakuan secara tidak langsung akan adanya agama. Mereka mengakui adanya Pencipta alam semesta, manusia dan kehidupan, serta mengakui adanya hari kebangkitan. Ini kerana, semua itu adalah dasar pokok agama, ditinjau daripada keberadaan suatu agama. Dengan pengakuan ini bererti terdapat idea tentang alam semesta, manusia dan kehidupan serta apa yang ada sebelum dan sesudah kehidupan dunia, sebab mereka tidak menolak kewujudan agama. Namun tatkala ditetapkan bahawa agama harus dipisahkan daripada kehidupan, maka pengakuan itu akhirnya hanyalah menjadi sekadar formaliti belaka.

Meskipun mereka mengakui kewujudan agama, tetapi pada dasarnya mereka menganggap bahawa kehidupan dunia ini tidak ada hubungannya dengan apa yang ada sebelum dan sesudah kehidupan dunia. Anggapan ini muncul ketika dinyatakan adanya pemisahan agama daripada kehidupan, dan bahawa agama hanya sekadar hubungan antara individu dengan Penciptanya sahaja. Oleh yang demikian, di dalam akidah sekular, secara tersirat, terkandung pemikiran menyeluruh tentang alam semesta, manusia dan kehidupan.

Apa yang jelas ialah, akidah tersebut telah menjauhkan agama dan gereja daripada kehidupan bernegara, yang seterusnya menjauhkan agama daripada penentuan peraturan dan undang-undang, pengangkatan penguasa dan pemberian kekuasaan kepada penguasa. Oleh kerana itu, rakyat harus memilih peraturan hidupnya sendiri,  membuat peraturan dan undang-undang, dan mengangkat penguasa yang akan memerintah rakyat dengan peraturan dan undang-undang tersebut, serta mengambil kekuasaannya berdasarkan kehendak umum majoriti rakyat. Di sinilah demokrasi memainkan peranannya, sebagai sebuah sistem pemerintahan yang memberikan hak dan kuasa kepada manusia untuk membuat undang-undang atas nama rakyat dan atas kelulusan majoriti rakyat.

Dengan demikian, amat jelas bahawa “demokrasi” merupakan lafaz dan istilah Barat yang digunakan untuk menunjukkan pemerintahan dari, oleh dan untuk rakyat. Rakyat dianggap penguasa mutlak dan pemilik kedaulatan, yang berhak mengatur urusannya sendiri, serta melaksanakan dan menjalankan kehendaknya sendiri. Rakyat tidak bertanggung jawab kepada kekuasaan siapa pun, selain kekuasaan rakyat. Rakyat berhak membuat peraturan dan undang-undang sendiri – kerana mereka adalah pemilik kedaulatan – melalui para wakil mereka (wakil rakyat) yang dipilih daripada kalangan mereka. Rakyat berhak pula menerapkan peraturan dan undang-undang yang telah mereka buat, melalui para penguasa dan hakim yang mereka pilih dan keduanya mengambil alih kekuasaan daripada rakyat, kerana rakyat adalah sumber kekuasaan. Setiap individu rakyat – sebagaimana individu lainnya – berhak mengendalikan negara, mengangkat penguasa, serta membuat peraturan dan undang-undang.

Menurut konsep dasar demokrasi – iaitu pemerintahan yang diatur sendiri oleh rakyat – seluruh rakyat harus berkumpul di suatu tempat umum, lalu membuat peraturan dan undang-undang yang akan mereka terapkan, mengatur pelbagai urusan serta memberi keputusan terhadap masalah yang perlu diselesaikan.

Namun, oleh kerana tidak akan mungkin mengumpulkan seluruh rakyat di satu tempat agar seluruhnya menjadi sebuah lembaga legislatif, maka rakyat kemudian memilih para wakilnya untuk menjadi lembaga legislatif. Lembaga inilah yang disebut dengan Dewan Perwakilan, yang dalam sistem demokrasi dikatakan mewakili kehendak umum rakyat dan merupakan jelmaan politik daripada kehendak umum rakyat. Dewan ini kemudian memilih pemerintah dan ketua negara – yang akan menjadi penguasa dan wakil rakyat – dalam pelaksanaan kehendak umum rakyat. Ketua negara tersebut mengambil kekuasaan daripada rakyat yang telah memilihnya, untuk  memerintah rakyat dengan peraturan dan undang-undang yang dibuat oleh rakyat. Dengan demikian, rakyatlah yang memiliki kekuasaan secara mutlak, yang berhak menetapkan undang-undang dan memilih penguasa yang akan melaksanakan undang-undang tersebut. Inilah konsep dan ajaran demokrasi, walaupun dalam pelaksanaannya secara praktis penuh dengan penipuan dan pembohongan.

Kemudian, agar rakyat dapat menjadi penguasa bagi dirinya sendiri serta dapat melaksanakan kedaulatan dan menjalankan kehendaknya sendiri  secara sempurna – baik dalam pembuatan undang-undang dan peraturan mahupun dalam pemilihan penguasa – tanpa disertai tekanan atau paksaan, maka kebebasan individu menjadi prinsip yang ‘wajib’ diwujudkan oleh demokrasi bagi setiap individu rakyat. Dengan demikian rakyat akan dapat mewujudkan kedaulatannya dan melaksanakan kehendaknya sendiri sebebas-bebasnya tanpa tekanan atau paksaan.

Bersambung…