Sejarah Panjang Perancangan dan Usaha Kaum Kuffar untuk Melawan Islam

 

Oleh: Syamsiyah Jamil

Keruntuhan Daulah Khilafah pada 1924M bukanlah peristiwa yang berlaku secara tiba-tiba tetapi ia telah dirancang secara sistematik oleh kaum kuffar sejak beratus tahun lamanya. Kebencian, permusuhan dan dendam kaum kuffar terhadap Islam dan umatnya hakikatnya telah dikhabarkan oleh Allah SWT dalam firmanNya,

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu ambil menjadi teman kepercayaanmu orang-orang yang di luar kalanganmu (kerana) mereka tidak henti-hentinya (menimbulkan) kemudharatan bagimu. Mereka menyukai apa yang menyusahkan kamu. Telah nyata kebencian dari mulut mereka, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka adalah lebih besar lagi. Sungguh telah Kami terangkan kepadamu ayat-ayat (Kami), jika kamu memahaminya.” [TMQ Ali Imran (3): 118].

Strategi Perang Fizikal

Perancangan kaum kuffar Barat untuk menghapuskan Islam tercetus sejak Perang Salib (1095M). Ketamakan puak Kristian Eropah untuk merebut tanah suci Palestin telah menyebabkan Perang Salib berlangsung selama dua abad. Walaupun akhirnya kaum Muslimin memperoleh kemenangan tetapi mereka gagal meneruskan misi pembebasan (futuhat) atau misi memerangi orang kafir.

Kesan buruknya, berlaku pembantaian terhadap umat Islam di Baghdad oleh tentera Mongol (1258M) yang kemudian berjaya dikalahkan oleh tentera kaum Muslimin. Sejak itu, semangat jihad kaum Muslimin berkobar-kobar sehingga berjaya memenangi banyak siri peperangan sehingga abad ke-18M.

Walaubagaimanapun, kuffar Barat tidak berhenti berfikir untuk menghapuskan umat Islam. Setelah mereka menyedari bahawa umat Islam tidak mampu dikalahkan melalui perang fizikal kerana adanya semangat jihad yang kental, maka mereka memulai perang cara baru iaitu perang pemikiran. Perang ini diyakini mampu mengalahkan umat Islam yang telah mula mengalami kemunduran pemikiran sejak tercetusnya revolusi Eropah sehingga aqidah umat dan penerapan Islam menjadi lemah.

Strategi Perang Pemikiran

Kaum kuffar mempunyai strategi yang berbeza namun mereka bersatu pada misi yang sama iaitu menghancurkan Islam dan Khilafah. Antara strategi mereka adalah:

1. Pengkhianatan dan Pemberontakan Dalaman.

British menyerang Khilafah dari dalam melalui ejennya Abdul Aziz bin Muhammad bin Saud dengan memberi bantuan dana dan senjata kepada Gerakan Wahabi yang ditubuhkan untuk merampas wilayah kaum Muslim. Gerakan ini melakukan pemberontakan bersenjata terhadap Khalifah dan tentera Islam supaya mereka dapat mengatur wilayah tersebut sesuai dengan mazhab mereka dan menghapuskan mazhab lain dengan kekerasan.

Kesannya, mereka berjaya merampas Kuwait, Baghdad, Mekah, Madinah dan lain-lain. British berjaya memperalatkan mazhab Wahabi untuk melawan Khilafah dan menyebabkan perang antara mazhab-mazhab kaum Muslimin.

2. Nasionalisme dan Sentimen pemisahan

Menyedari bahawa Daulah Khilafah adalah berpusat pada kesatuan aqidah Islam dalam diri umatnya, kaum kuffar berusaha memecah-belahkan kesatuan itu dengan memasukkan fahaman nasionalisme dan sentimen pemisahan ke dalam wilayah Khilafah. Mereka memfokuskan strategi mereka kepada bangsa Arab dan Turki.

Parti-parti politik telah didirikan untuk memenuhi cita-cita mereka. The Secret Association (1875M) ialah parti politik pertama yang tegak atas dasar nasionalisme Arab di wilayah Islam yang menyeru bangsa Arab dengan propaganda Arabisme. Parti ini menyuntik sentimen permusahan bangsa Arab terhadap Khilafah dengan menyebutnya sebagai ‘Negara Turki’. Mereka menyebarkan tuduhan bahawa Turki telah merampas Khilafah daripada bangsa Arab, Turki telah melanggar kemuliaan syariah Islam dan bertindak sesuka hati dalam agama. Kesannya, kesetiaan umat Islam terhadap aqidah Islam telah berubah menjadi kesetiaan kepada nasionalisme Arab.

Di Turki, penubuhan Parti Turki Muda dan Komite Persatuan berserta kemajuan yang ada telah mempercepatkan lagi langkah kuffar Barat. Mereka menyebarkan fahaman bahawa Turki lebih baik daripada wilayah Khilafah yang lain dan bangsa Turki adalah lebih baik dari seluruh kaum Muslimin yang lain. Mereka meletakkan kesetiaan terhadap nasionalisme Turki melebihi dari aqidah Islam.

Fahaman nasionalisme ini terus meracuni pemikiran bangsa Albania, Sirkasia, Kurdi, Romawi, Armenia dan bangsa-bangsa lain dalam wilayah Khilafah.

Strategi kaum kuffar menghampiri kejayaan besar apabila Khilafah Uthmaniyyah terlibat dalam Perang Dunia Pertama dan kemudian kalah. British, Perancis dan Rusia menerusi penjanjian Sykes-Picot (1916) telah membahagi-bahagikan wilayah Khilafah sehingga tiada lagi yang tinggal kecuali Turki. Akhirnya Khilafah dijatuhkan melalui Perjanjian Lausanne (1923) dan Turki diisytiharkan merdeka.

Khatimah

Runtuhnya Khilafah adalah suatu mimpi buruk bagi umat Islam seluruh dunia. Seperti seorang anak yang kehilangan ibunya, umat Islam telah hilang perisai yang menjaga dan melindunginya. Namun, kaum kuffar tidak mampu menepis realiti bahawa Islam masih berkembang dan ramai orang terus masuk Islam. Islam semakin dikenali oleh umat manusia segenap dunia. Ini bermakna mimpi buruk umat Islam bakal berakhir dan tinggallah kaum kuffar seperti Mat Jenin dengan angan-angannya.

Rujukan:

1.Ad-Daulah Al-Islamiyyah, Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani.

2.Malapetaka Runtuhnya Khilafah, Abdul Qadim Zallum.