Sekular – berpolitik tanpa agama!
BUKIT MERTAJAM 19 Ogos – Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan pemimpin pembangkang supaya tidak menggadaikan agama semata-mata mahu menang pilihan raya.
Timbalan Perdana Menteri berkata, tindakan mencampuradukkan politik dan agama bagi mencapai tujuan itu merupakan satu perbuatan yang berbahaya.
“Ini soal politik. Bila politik dicampur aduk dengan agama… bahaya,” katanya ketika berucap semasa melawat Pusat Peti Undi Kampung Samagagah di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa mereka yang menyokong UMNO tidak akan ke syurga
Semalam, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mempertahankan kenyataannya itu dengan alasa UMNO memisahkan Islam dengan iman.
Katanya, sesiapa sahaja yang mengasingkan iman daripada Islam seperti yang diamalkan parti yang menjadi tunjang kepada pemerintahan negara itu tidak akan diterima Allah.
Kenyataan Menteri Besar Kelantan itu dipercayai ada kaitan dengan kempen pilihan raya kecil Permatang Pasir ketika ini yang menyaksikan persaingan sengit antara Pas dan Barisan Nasional (BN).
Sumber: Utusan Malaysia 20/08/09
Ulasan:
Bagi golongan sekularis, agama perlu diasingkan dari kehidupan. Kehidupan, bagi golongan ini diatur melalui suara majoriti (demokrasi) dan bukan diatur berdasarkan agama (wahyu Ilahi). Ini menjadikan kehidupan terpisah menjadi kehidupan duniawi dan ukhrawi. Kemudian muncullah golongan agamawan, yang ‘mengurus urusan akhirat’ dan golongan duniawi, khususnya para politikus sekular yang ‘mengurus urusan dunia’. Politik bagi golongan ini dituntun sesuai dengan akal dan nafsu, bukan nas-nas syara’.
Ada juga golongan politikus yang menganggap diri mereka bukan dari kumpulan sekular namun mengamalkan sikap yang pragmatis dan oportunis. Agama, bagi mereka merupakan modal untuk dipolitikkan. Menggunakan agama untuk mencapai apa saja ‘political milage’ merupakan perkara biasa bagi mereka. Metod pragmatis dan oportunis ini sebenarnya telah menghancurkan imej agama serta kesuciannya. Mereka ini sebenarnya golongan yang jahil dan seangkatan dengan golongan sekularis. Cuma bezanya, mungkin mereka memiliki ijazah dari institusi keagamaan dan mereka masih boleh dianggap berusaha untuk meng’Islam’kan arena politik negara.
Rasulullah SAW dan para sahabat mengangkat Islam sebagai ‘way-of-life’ secara total termasuk dalam dunia politik. Politik Islam bermaksud mengatur urusan umat dengan syariah atau dengan maksud lain, menyelesaikan seluruh permasalahan hidup umat manusia dengan hukum syara’. Tidak wujud pemisahan antara urusan politik dan urusan agama dalam Islam. Itulah hakikat sebenar politik Islam di mana syariah Islam dijadikan asas berpolitik, bukan untuk ‘berpolitiking’ seperti apa yang kita lihat sekarang – apa sahaja boleh dicapai, tidak kira samada ia dihalalkan atau tidak, sesuai dengan falsafah politik masa kini, matlamat menghalalkan cara.