Selagi ada bola sepak selagi itu ada masalah

Gambar UL200515Ketika umat Islam Rohingya di halau dari tanah air dan bertarung nyawa di tengah lautan untuk mencari penghidupan, pasukan bola sepak tanah air pula bertarung kekuatan di tengah padang untuk mencari piala. ‘Pertarungan’ tidak hanya terjadi di dalam stadium, malah turut merebak ke luar stadium. Itulah apa yang dapat disaksikan ketika perlawanan Terengganu menentang pasukan Singapura, Lions XII yang menyaksikan skuad Penyu gagal layak ke akhir Piala FA setelah terikat 4-4 secara agregat.

Dalam kejadian ini, penyokong Terengganu yang tidak berpuas hati dengan pengadil dilaporkan telah memecahkan pintu kaca di laluan masuk dan membakar sebuah ambulans yang berada di perkarangan stadium. Inilah akibatnya apabila seluruh jiwa raga diserahkan kepada bola sepak sehingga gagal mengawal emosi dan terlalu kecewa untuk menerima kekalahan. Perbuatan melakukan kerosakan dan kemusnahan, walau apa pun justifikasinya, bukanlah suatu yang dibenarkan syarak.

Sekiranya ingin melampiaskan nafsu amarah, lebih baik ia disalurkan untuk memuhasabah pemerintah kerana membiarkan saudara-saudara seagama dari Myanmar terdampar di lautan tanpa peri kemanusiaan atau memuhasabah pemerintah yang menzalimi rakyat dengan GST dan lain-lain.

Walaupun rusuhan dan pergaduhan sering terjadi dalam perlawanan bola sepak, sehingga melibatkan pertumpahan darah dan kematian, namun sukan ini tetap sahaja diminati dan dipadati penonton setiap kali ia berlangsung khususnya perlawanan suku akhir, separuh akhir dan apatah lagi perlawanan akhir.

Sesungguhnya permainan bolasepak telah banyak menimbulkan huru-hara kepada manusia di seluruh dunia, baik dunia Barat mahupun dunia Islam. Selain berakhir dengan rusuhan, pergaduhan dan vandalisme, bola sepak sering membangkitkan semangat assabiyyah (nasionalisme ) dan wathaniyyah (patriotisme) yang diharamkan oleh Islam. Semangat inilah yang membawa kepada rusuhan dan pergaduhan kerana tidak mahu melihat negeri/negara masing-masing kecundang di tangan pihak lawan.

Walaupun tidak semua perlawanan bola sepak diiringi dengan tragedi, namun setiap Muslim tidak seharusnya terus leka dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah sehingga melupakan apa yang menimpa saudara-saudara seagama di seluruh dunia, apatah lagi jika langsung tidak bergerak untuk membantu mereka. Sebaiknya setiap Muslim meninggalkan perkara-perkara lagha (yang melalaikan) yang tidak mendatangkan manfaat (pahala) dalam agama dan hendaklah mengisi masa yang terluang dengan perkara-perkara yang berfaedah khususnya memperjuangkan Islam.

Kejadian rusuhan, perbalahan dan vandalisme akibat bola sepak ini pasti akan terus berlaku selagi ada perlawanan bola sepak. Apa yang penting bagi setiap Muslim adalah agar tidak terjebak ke dalam segala perkara yang haram yang banyak terhasil bukan sahaja melalui bola sepak, malah melalui pelbagai jenis sukan yang hakikatnya direka oleh musuh-musuh Islam untuk melalaikan umat Islam. Wallahu a’lam.

http://m.www.astroawani.com/berita-sukan/piala-fa-rusuhan-selepas-gagal-ke-final-59841