Selamatkan Keluarga Dari Bahaya Liberalisme

Apakah anda merasakan bahawa semakin hari, kian bertambah bahaya yang mengancam keluarga? Keluarga kehilangan sebuah kebahagiaan dan kasih sayang, sistem dan aturan keluarga rosak, hubungan suami isteri menjadi tidak harmoni diracuni kecurangan yang kebanyakkannya berakhir dengan sebuah penceraian.  Anak-anak yang semakin tidak merasakan kebahagiaan di rumah lebih rela melarikan diri ke kancah pergaulan bebas, berkelakuan nakal, malah terjerumus dengan najis dadah.

Sememangnya, adalah menjadi tugas kita semua untuk menyelamatkan keluarga. Malah, tanpa kita sedari, bahaya liberalisme (idea kebebasan) ini telah mengancam seluruh keluarga kita dari segenap sudut dan dalam pelbagai bentuk.

Apa itu Liberalisme ?
Liberalisme merupakan idea-idea kebebasan yang berusaha dipromosikan ke seluruh dunia pada ketika ini. Pendidik utama fahaman ini adalah Negara Barat yang diungguli oleh Amerika Syarikat dan didukung sepenuhnya oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).  Idea-idea kebebasan ini mencakupi kebebasan bertingkahlaku, kebebasan pemilikan, kebebasan beragama dan kebebasan bersuara.

Sekilas pandang, nilai-nilai ini nampak murni, mulia dan bakal menjanjikan kesejahteraan dan keharmonian kepada para pendokongnya. Namun begitu, marilah sama-sama kita kaji dan lihat natijahnya kepada masyarakat yang mengamalkan nilai-nilai kebebasan ini.

Kebebasan pemilikan telah memaksa pemerintah atau penguasa membiarkan sumber-sumber alam penjana ekonomi dikelolakan oleh pihak swasta (termasuk Negara asing). Akibatnya, Negara kehilangan kemampuan dan keupayaan untuk memenuhi keperluan-keperluan asas rakyat seperti makanan, pakaian, kesihatan serta pendidikan. Negara juga terpaksa menanggung hutang yang tidak pernah surut, kos sara hidup menjadi sangat tinggi sehingga membebankan rakyat. Bebanan dan kesempitan hidup ini telah memaksa sesebuah keluarga menggadai maruah dan institusi kekeluargaannya demi mendapatkan sesuap nasi dan bagi memenuhi keperluan hidup yang lain. Kaum wanita terpaksa bekerja malah para ibu terpaksa mengharungi keperitan dan kepayahan mengimbangi antara tanggungjawab sebagai seorang ibu (ummun), menguruskan keluarga (rabbatul bait) dan membantu suami mencari nafkah. Natijahnya, anak-anak diabaikan dan kurang mendapat perhatian serta didikan ibubapa dan seterusnya menyalurkan anak-anak yang berharga ini ke kancah kemaksiatan dan terjebak dalam gejala sosial.

Kebebasan bertingkahlaku pula amat hangat dipromosikan di media-media dan telah berjaya melahirkan amalan hedonisme, individualistik dan sikap mementingkan diri sendiri pada masyarakat kita termasuk golongan remaja. Budaya gotong royong, bantu-membantu, bertegur sapa serta mengambil berat antara satu sama lain di dalam sesebuah masyarakat telah semakin sirna. Keadaan seperti ini telah melahirkan masyarakat yang mengagungkan hawa nafsu mengatasi hukum dan Syariat Allah.  Kebebasan bertingkahlaku ini juga telah mengancam institusi kekeluargaan dengan fenomena kecurangan, penzinaan, gejala sosial remaja, pergaulan bebas lelaki dan perempuan, peningkatan penglibatan dengan najis dadah dan bertambahnya kes-kes HIV dan AIDS. Idea kebebasan yang satu ini juga telah berjaya mengorbankan wanita dan kanak-kanak sebagai mangsa perlakuan seks, pengedaran dadah, penderaan rumahtangga mahupun penderaan di luar rumah serta sebagai model-model yang mempromosikan gaya hidup liberal Barat.

Kebebasan bersuara yang pada saat ini juga dikenali sebagai kebebasan individu telah merosakkan institusi kekeluargaan dengan fitnah-fitnah, maklumat yang tidak benar dan sahih sumbernya tentang sesuatu perkara, pencemaran nama baik sesetengah individu dan sebagainya. Sebuah keluarga itu dididik dengan sikap mementingkan diri sendiri dan saling menuding jari mencari kesalahan satu sama lain. Sikap keji benci-membenci dan dengki mendengki antara satu sama lain juga berjaya dipupuk oleh idea kebebasan bersuara ini. Idea ini juga telah berjaya mengangkat martabat seorang perempuan sebagai objek simbol seksual semata dan kemuliaan seorang perempuan tidak pernah wujud ataupun diperjuangkan di dalam idea ini.

Kebebasan beragama telah menciptakan akidah yang celaru dalam sesebuah keluarga. Penyelewengan akidah dengan tayangan-tayangan filem mistik di kaca televisyen, pluralisma agama dan sinkretisme, yang merupakan usaha bagi menyelaraskan kepercayaan-kepercayaan berbeza atau bertentangan telah melenyapkan kesungguhan dan keseriusan masyarakat untuk sentiasa terikat dengan hukum syarak di atas setiap perbuatan mereka dan melandaskan segala pemecahan serta penyelesaian permasalahan hidup mereka berdasarkan ajaran Islam yang sebenar. Hasilnya, Islam yang sepatutnya mampu menyelesaikan seluruh permasalahan hidup mereka sekaligus melahirkan ketakwaan diri, sifat-sifat mulia seperti jujur, amanah, mengajak kepada kebaikan dan berusaha menghapuskan kemungkaran tidak wujud di dalam masyarakat. Rapuhnya keimanan dan ketiadaan perlaksanaan hukum Allah ini telah diganti dengan jatidiri kapitalis dan sikap ego dan tidak berperasaan terhadap orang lain yang seterusnya membawa ke lembah kemaksiatan, budaya rasuah dan amalan-amalan yang melanggar hukum-hukum Allah.

Akhirnya, idea-idea kebebasan yang semakin berkembang ini telah mengakibatkan keruntuhan serta mengorbankan martabat wanita, kaum ibu, muda-mudi remaja dan kanak-kanak. Maka timbul pula golongan para pejuang hak-hak wanita yang melaungkan Keadilan dan Kesetaraan Gender kononnya sebagai sinar penyelesaian.

Andaian masalah Gender
Menurut para pejuang feminism (gender), segala masalah yang menimpa wanita pada masa kini seperti penderaan terhadap wanita, penindasan kaum wanita, diskriminasi dan beban yang lahir dari sikap diskriminasi terhadap wanita ini semuanya adalah disebabkan ketiadaan kesetaraan gender. Ketidaksetaraan gender menurut pandangan mereka, bukanlah terjadi secara semulajadi (nature) namun merupakan satu bentuk budaya (nurture) yang terhasil dimana salah satu faktor yang menghasilkannya adalah faktor agama.

Demikian pula dengan hukum berkhitan bagi bayi perempuan, yang disebut-sebut sebagai perbuatan kekerasan dalam bentuk mutilasi pada anak perempuan.

Pendapat pejuang-pejuang idea ini yang menolak hukum poligami telah disuarakan secara lantang dan besar-besaran sebagai satu isu utama perjuangan mereka supaya umat menyokong Keadilan dan Kesetaraan Gender. Terdapat banyak hukum-hukum Islam lain yang juga dikatakan penyebab kepada ketidakadilan gender seperti ketaatan isteri kepada suami, perlakuan dan hukuman terhadap nusyuznya isteri, poligami, pembahagian pewarisan dan harta pusaka, hak talak dan lain-lain.

Sebagai contoh, Musawah yang membawa maksud ‘kesaksamaan’ atau ‘equality’ adalah gerakan yang dirintis oleh Sisters In Islam (SIS) untuk menegakkan apa yang didakwa sebagai ‘keadilan’ dan ‘kesaksamaan’ dibentuk hasil usaha berterusan oleh kumpulan wanita dan aktivis selama beberapa dekad di negara-negara dan masyarakat Islam. Menerusi Musawah Global Meeting yang diadakan pada 13-17hb Februari 2009 yang lalu, mereka menganjurkan kempen bagi mereformasikan Undang-Undang Keluarga Islam yang mendiskriminasi wanita serta menentang sebarang pindaan mundur yang dituntut oleh golongan konservatif dalam masyarakat.
Secara umumnya, prinsip Musawah adalah seperti berikut:
•    Kesaksamaan (equality), tiada diskriminasi, keadilan dan maruah sebagai asas semua hubungan manusia (Equality, non-discrimination, justice and dignity as the basis of all human relations);
•    Kewarganegaraan penuh dan setara untuk setiap individu (Full and equal; citizenship for every individual)
•    Perkahwinan dan hubungan kekeluargaan adalah berasaskan prinsip kesaksamaan dan keadilan (Marriage and family relations based on principles of equality and justice).
[Sumber: www.musawah.org capaian pada 15hb Mac 2009]

Apabila hukum syarak dipinggirkan dan prinsip Hak Asasi Manusia (HAM) yang merupakan antara intipati ideologi Sekuler-Kapitalis-Demokrasi menjadi kitab rujukan, dapat kita gambarkan akibat yang akan terhasil apabila program Keadilan dan Kesetaraan Gender ini direalisasikan. Sudah pastinya api liberalisasi tidak akan dapat dikawal lagi dan malapetaka bagi seluruh masyarakat dan keluarga akan menjadi semakin marak dan parah.

Tahukah anda bahawa program Keadilan dan Kesetaraan Gender itu adalah sebahagian dari agenda Barat dalam usaha menerapkan liberalisasi?

Secara logiknya, sudah tentulah tidak berasas sekiranya penindasan ke atas wanita yang terjadi di dalam masyarakat Barat akibat dari pengaruh liberalisasi, sedaya upaya cuba diterapkan ke seluruh dunia yang memiliki latarbelakang dan landasan iaitu Islam, yang amat berbeza dengan penyelesaian liberalisasi.
Kemanakah akan di bawa keluarga Muslim di seluruh dunia? Mengubah sebuah keluarga menjadi Keluarga liberal? Sebuah keluarga yang penuh sarat dengan konflik dan masalah?

AMAT JELAS SISTEM GLOBAL PADA MASA KINI DIKUASAI OLEH LIBERALISME YANG MENYENGSARAKAN. SANGGUPKAH SEBUAH KELUARGA MUSLIM MENJADI ROSAK DAN HANCUR KERANA DIPAKSA MENGIKUT ARUS LIBERALISASI GLOBAL?

Oleh itu, apakah yang perlu kita lakukan untuk menyelamatkan keluarga dari ancaman liberalisasi?

Kita semua mesti….
1. Lebih mengambil berat tentang keluarga, peranan  sebagai ibu dan generasi.
2. Sentiasa berhati-hati dengan ancaman kehancuran generasi oleh isu-isu liberalisme.
3. Menjelaskan tentang bahaya liberalisme kepada keluarga, sanak saudara, jiran tetangga dan teman-teman sekerja.
4. Mengembalikan fungsi ibu dan pengurus rumah tangga kepada para wanita.
5. Mengajak keluarga, sanak-saudara dan jiran tetangga, teman sekerja untuk terus mempelajari Islam dan kepentingan melaksanakan Islam secara menyeluruh kerana Islam adalah penyelesaian yang sebenar.
6. Peka terhadap muslihat penguasa dan pemerintah.
7. Terlibat secara aktif dengan usaha mengukuhkan Keperibadian Wanita mengikut Perspektif Islam.

Pengukuhan Keperibadian Wanita Perspektif Islam adalah merupakan satu usaha pendidikan dalam rangka menyemai dan memupuk kesedaran kepada kaum wanita tentang peranan penting mereka dalam mewujudkan masyarakat yang cerdas, mulia dan diredhai oleh Allah Subhanahu wa Taala. Syariat Islam telah menetapkan peranan penting seorang wanita sebagai berikut:

Peranan wanita sebagai anggota keluarga
Wanita adalah ibu (ummun) dan pengurus rumah tangga (rabbatul bait)
Perlaksanaan tugas ini akan dapat menjamin kelangsungan generasi manusia serta ketenangan setiap individu manusia di dalam keluarganya. Allah Subhanahu wa Taala telah menetapkan beberapa hukum yang khusus untuk wanita tentang kehamilan, penyusuan, pengasuhan anak-anak dan tempoh iddah bagi wanita hamil yang ditinggal suami samada kerana diceraikan atau meninggal. Allah Subhanahu wa Taala juga telah memberikan keringanan kepada wanita agar dia mampu menjalankan tugas ummun wa rabbatul bait itu dengan baik seperti wanita tidak wajib (tetapi dibolehkan) bekerja untuk mencari nafkah, dibenarkan berbuka puasa dibulan Ramadhan bagi wanita hamil dan menyusui (dan diganti puasanya di masa lain).

Peranan wanita sebagai anggota masyarakat
Islam membolehkan wanita bekerja di luar rumah untuk menyumbang kepada pembangunan masyarakat, misalnya sebagai guru, pensyarah, dekan, rektor (ketua universiti) pengarah atau pengurus syarikat, pemilik pasaraya dan sebagainya. Namun begitu, seorang wanita mesti memastikan bahawa aktivitinya di luar rumah tidak melalaikan tugas primer (asasnya) dan sentiasa terikat dengan hukum-hukum syarak yang telah di khususkan semasa mereka melakukan pekerjaan itu. Hukum-hukum tersebut di antaranya ialah seperti keizinan dari wali atau suami ketika hendak keluar rumah, memakai jilbab dan tidak melakukan khalwat.
Perempuan juga perlu melakukan usaha untuk memantapkan ilmu pengetahuan dan melakukan muhasabah melalui dakwah.

Peranan wanita dalam dakwah dan politik
Allah Subhanahu wa Taala berfirman:” Dan hendaklah ada diantara kalian segolongan umat yang menyeru kepada Islam, mengajak kepada kebenaran dan mencegah kemungkaran. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung.” [TMQ Ali Imran (3):104]. Perkataan ‘ummat’ di dalam ayat ini adalah bersifat umum iaitu merangkumi lelaki dan wanita.

Wanita juga mempunyai hak yang sama untuk memilih pemimpin, atau memilih wakil yang akan menyampaikan hak pilihannya atau dia menjadi wakil orang lain.

Dengan wujudnya generasi wanita yang semakin cerdas dan bertakwa serta taat kepada Allah Subhanahu wa Taala maka demikian itu sebuah insitusi keluarga yang bahagia dan harmoni, terpelihara dari bahaya liberalisme (kebebasan) pasti akan lebih mudah diwujudkan. Semua usaha ini sudah pastinya perlu di landasi dengan proses membangunkan kesedaran yang terus menerus di tengah-tengah masyarakat.

Perjuangkan wanita, Perjuangkan Generasi, Perjuangkan Bangsa, Syariah adalah Jawapannya !
SUNGGUH SEMPURNA ISLAM MENGATUR KEHIDUPAN. 
TIDAK ADA ATURAN LAIN YANG MENJAMIN KESEJAHTERAAN HIDUP MANUSIA, SELAIN ISLAM
MARI TERAPKAN ISLAM DALAM NAUNGAN DAULAH KHILAFAH