Selamatkan Malaysia: Dari siapa dan dengan apa?
Banyak pihak kini mula membicarakan tentang persoalan “selamatkan Malaysia” dan masing-masing cuba menjadi jaguh bahawa merekalah yang layak untuk menyelamatkan Malaysia. Ya tidak salah untuk berbincang tentang bagaimana nak menyelamatkan negara dan tidak salah juga jika ada pihak yang ingin menonjol sebagai jaguh. Cuma persoalannya, dari siapa dan dengan apakah Malaysia ingin diselamatkan? Jawapan kepada persoalan inilah yang akan membezakan di antara yang hak dan yang batil.
Tun Dr Mahathir dan beberapa orang pemimpin pembangkang telah pun menandatangani Deklarasi Rakyat dalam usaha menekan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatan. Moto yang dibawa oleh mereka ialah “Selamatkan Malaysia” di mana mereka percaya sekiranya Najib berundur, maka Malaysia akan dapat diselamatkan, kerana bagi mereka, Najiblah yang menjadi punca kepada kerosakan yang melanda negara. Tidak dinafikan bahawa deklarasi yang diketuai oleh Tun Dr Mahathir itu memberi impak yang besar kepada UMNO dan juga negara yang menunjukkan kesungguhan dan kesatuan usaha musuh-musuh Najib untuk menjatuhkannya sebagai Perdana Menteri.
Najib juga sudah tidak dapat menyembunyikan tekanan yang dihadapinya sehingga habis kekuatan pengikut dan media yang setia kepadanya dipergunakan bagi membela dan mempertahankan reputasinya yang sudah tidak dapat diselamatkan lagi itu. Kini negara sedang menyaksikan dan mendengar loceng kecemasan yang sedang nyaring berbunyi menuntut pelepasan jawatan Najib dan setiap warganegara sedang menunggu selama manakah Najib mampu bertahan.
Antara ‘kesalahan’ besar deklarasi rakyat adalah apabila kesemua pihak yang menandatanganinya bersetuju untuk mengenepikan terlebih dahulu siapakah pengganti Najib jika Perdana Menteri keenam itu berjaya disingkirkan, kerana apa yang penting bagi mereka sekarang ialah pengunduran Najib. Ya hal ini boleh difahami dengan mudah kerana banyak pihak yang terlibat dalam deklarasi tersebut merupakan musuh ketat yang hanya bersatu buat sementara waktu atas dasar manfaat. Jika persoalan calon pengganti Najib dibangkitkan, sudah pasti mereka akan bercakaran satu sama lain pada waktu itu juga.
Itu dari satu sudut. Dari sudut yang lain, kesemua penandatangan deklarasi, khususnya dari pihak pembangkang dan gerakan sivil, yang selama ini begitu celik politik, menjadi buta dengan tiba-tiba! Mereka bersungguh-sungguh menentang kerajaan UMNO-BN selama ini dan cuba menjatuhkan kerajaan dengan pelbagai cara melalui proses demokrasi, tiba-tiba mereka menutup mata terhadap kerajaan yang korup ini dan hanya menumpukan perhatian pada seorang manusia bernama Najib! Walhal jika seorang manusia ini berjaya mereka singkirkan tanpa menyingkirkan kerajaan dan sistem sedia ada, maka kaum pemerintah tetaplah kaum yang sama dengan sistem yang sama dan kezaliman yang sama serta kerosakan yang sama, yang hakikatnya tidak akan merubah apa-apa!
Atas dasar itulah, setiap rakyat, khususnya Muslim perlu faham jika ingin menyelamatkan Malaysia, persoalan yang mesti dijawab dengan benar ialah dari siapa dan dengan apa? Seandainya persoalan tersebut tidak terjawab dengan benar dan tuntas, maka slogan yang dilaungkan iaitu “Selamatkan Malaysia” hanya akan tinggal slogan semata-mata.
Sesungguhnya musibah yang berterusan melanda negara dan umat Islam, termasuklah di Malaysia hari ini berpunca daripada sistem sekular/kufur yang diterapkan oleh pemerintah yang tidak amanah dan tunduk kepada Barat. Jadi, Malaysia perlu diselamatkan daripada sistem sekular/kufur yang diasaskan kepada Perlembagaan ciptaan si kafir Lord Reid ini dan digantikan dengan sistem Islam yang diasaskan kepada al-Quran dan al-Sunnah dan seterusnya menggantikan pemerintah yang tidak amanah dan tidak layak ini kepada seorang Khalifah yang beriman lagi bertakwa.
Sesungguhnya sistem Islam itu ialah sistem Khilafah dan pemimpinnya ialah Khalifah. Inilah satu-satunya sistem dan pemimpin yang diperintah untuk diwujudkan oleh Islam. Oleh itu, jika Najib berjaya disingkirkan sekali pun dan digantikan dengan mana-mana individu atau pembangkang yang menandatangani deklarasi tersebut, yakin dan percayalah bahawa Malaysia tetap tidak akan dapat diselamatkan!