Semakin Ramai Rakyat Membunuh Diri Dalam Kaptalisme

Ketika dunia pada hari ini dimomokkan dengan kenyataan bahawa kapitalisme boleh memberikan kekayaan dan  mensejahterakan kehidupan manusia sejagat, tiba-tiba muncul kisah tragis di mana seorang manusia yang sengsara  kehidupannya dalam dunia kapitalisme ini telah membakar dirinya kerana hidupnya dihimpit oleh kemiskinan. Kejadian ini berlaku di Bulgaria, sebuah negara yang dahulunya sengsara dengan kehidupan yang dibawa oleh ideologi komunisme tetapi kini sudah tunduk mengikut tulunjuk kapitalisme. Diberitakan bahawa lelaki berkenaan, Todor Yovtchev seorang penggangur telah membakar dirinya sendiri akibat kecewa dengan kehidupannya yang papa kedana sehingga dia tidak mampu untuk membeli makanan untuk keluarganya. Ini bukanlah kejadian pertama yang berlaku di Bulgaria kerana sebelum itu dilaporkan bahawa sebulan yang lalu, seramai enam orang telah membakar diri mereka kerana kecewa dengan kemiskinan yang kian menghimpit negara tersebut.

Faktanya, kedua-dua ideologi ini (sosialisme/komunisme dan kapitalisme) telah lama menipu jutaan manusia. Dalam dunia kapitalisme,  kekayaan sesebuah negara itu dibolot dan berlegar-legar hanya kepada segelintir golongan tertentu sahaja. Majoriti golongan miskin pula terpaksa bertarung hidup untuk memenuhi kehidupan mereka. Di manakah peranan dan tanggungjawab para pemimpin negara tersebut? Walhal adalah menjadi kewajiban bagi seseorang pemimpin dalam sesebuah negara untuk menyelesaikan isu rakyatnya sendiri. Dalam kes ini, nampaknya kerajaan Bulgaria seolah-olah sudah hilang kawalan terhadap rakyatnya. Inilah keburukan dan kerosakan yang dibawa oleh kapitalisme. Keadaan ini berbeza dengan Islam, di mana Islam sebagai suatu ideologi yang benar telah memberikan solusi yang cukup tuntas dalam menangani isu kemiskinan. Islam memandang bahawa kemiskinan adalah suatu perkara yang wajib diselesaikan segera tanpa sebarang penundaan. Dalam Islam, negara berkewajiban untuk meyediakan peluang pekerjaan bagi warganegaranya. Ini bagi membolehkan individu tersebut mendapatkan wang bagi menafkahkan dirinya dan keluarganya. Jika keadaan  kemiskinan masih lagi tidak dapat diatasi, maka Islam telah mewajibkan kaum kerabat atau ahli keluarga individu tersebut untuk membantunya. Sekiranya bantuan ahli keluarga juga tidak menyelesaikan masalah, maka negara akan mengambil alih peranan tersebut. Dalam negara Islam, Baitul Mal sebagai pusat perbendaharaan negara juga berfungsi sebagai penyelesai masalah kemiskinan warganegara. Sejarah tinta emas Khilafah Islam pernah mencatatkan bagaimana di zaman Umar Al-Khattab, beliau sendiri yang memikul tepung daripada simpanan Baitul Mal untuk diberikan kepada keluarga miskin.

Khalifah Umar bin Abdul Aziz pula telah menunjukkan bagaimana kemampuan sistem ekonomi Islam berjaya membawa kesejahteraan kepada seluruh umat manusia sehingga diberitakan bahawa tidak ada seorang pun rakyatnya termasuk di tanah Afrika yang layak menerima zakat. Dapatkah kita bayangkan betapa jauh bezanya keadaan di Afrika pada waktu itu dibandingkan sekarang? Sudah sampai masanya Khilafah memimpin dunia bagi membawa rahmat Islam kembali ke seluruh alam sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Firman Allah SWT, “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam”. [TMQ Al-Anbiyaa’ (21):107].

Sumber: kosmo.com.my