Sempadan Malaysia – Brunei Adalah Sempadan Ashobiyyah Peninggalan Penjajah

 
Malaysia-Brunei selesaikan isu dua hala secara baik

KUALA LUMPUR 3 Mei – Pertukaran Surat antara Malaysia dan Brunei pada Mac tahun lepas telah menyelesaikan isu-isu dua hala tertangguh antara kedua-dua negara melalui penyelesaian secara baik, menurut Wisma Putra hari ini.  Perjanjian itu, yang telah membawa lembaran baru dalam hubungan dua hala antara kedua-dua negara, adalah hasil daripada rundingan sukar selama 20 tahun antara Malaysia dan Brunei mengenai pelbagai isu termasuk maritim dan sempadan, menurut Wisma Putra dalam kenyataan di sini.  Kementerian Luar menyatakan, satu daripada elemen penting dalam perjanjian yang ditandatangani bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah pada 16 Mac, 2009 adalah memuktamadkan penyempadanan kawasan maritim antara Malaysia dan Brunei.  Perkara-perkara lain ialah pewujudan Kawasan Aturan Komersial (CAA) bagi minyak dan gas, memuktamadkan modaliti bagi pembatasan sempadan darat antara Malaysia dan Brunei, dan hak laluan maritim yang tidak boleh dicabuli bagi warganegara dan penduduk Malaysia menyeberangi zon maritim Brunei. 

“Penamatan kontrak perkongsian pengeluaran membabitkan Blok L dan M, yang diberikan oleh Petronas kepada Petronas Carigali Sdn. Bhd. dan Murphy Oil pada 2003, adalah selaras dengan pewujudan CAA seperti yang ditetapkan dalam Pertukaran Surat,” menurutnya.  Wisma Putra berkata, Pertukaran Surat itu akan memperkukuhkan lagi hubungan yang sedia terjalin dan meningkatkan semangat kejiranan antara kedua-dua negara.  Selain mendapatkan kelulusan Kabinet Malaysia mengenai isi kandungan Pertukaran Surat antara kedua-dua negara, kerajaan negeri Sabah dan Sarawak juga dirundingi dan diberikan taklimat penuh mengenai perkara itu, menurut kenyataan itu. – Bernama

Sumber: Utusan Malaysia 03/05/10

Sempadan Malaysia – Brunei Adalah Sempadan Ashobiyyah Peninggalan Penjajah

Lihatlah bagaimana ikatan ashobiyyah membelenggu pemikiran dan perasaan para pemimpin sekular umat Islam di Malaysia dan Brunei dalam menanggani kemelut sempadan di antara kedua-dua buah negara. Isu yang berlaku ini telah menunjukkan kepada kita betapa rosaknya cara berfikir para pemimpin umat Islam saat ini. Ternyata para pemimpin umat Islam hari ini telah mencampakkan pemikiran dan perasaan Islam dari diri-diri mereka. Lebih buruk lagi, para pemimpin sekular umat Islam ini terus berbangga dengan seruan dan fahaman kufur ashobiyyah yang telah ditanam dan ditinggalkan oleh penjajah British yang telah menjajah negeri-negeri umat Islam selama ini termasuklah Malaysia dan Brunei. Faktanya, saat ini, para pemimpin sekular Malaysia melihat Brunei sebagai sebuah negara asing yang terpisah dan begitulah sebaliknya sedangkan hakikatnya, Nabi SAW telah mengharamkan fahaman ashobiyyah. Jika kita bertanya kepada para pemimpin sekular di Malaysia mahupun Brunei yang ada hari ini siapakah tuhan mereka? Siapakah nabi mereka? Apakah kitab panduan mereka? Apakah kiblat mereka? Kita yakin mereka akan memberikan jawaban yang sama. Namun malangnya hari ini para pemimpin sekular ini telah menyanggahi perintah Allah dan Rasul mereka yang satu. Mereka telah memisahkan kesatuan umat Islam dan ukhuwah Islamiyyah yang telah diwajibkan oleh Islam dengan  tetap terus mengekalkan sempadan-sempadan ashobiyyah ciptaan kufur penjajah.

Wahai umat Islam! Isu Limbang, isu telaga minyak di Blok L dan Blok M yang ketika ini menjadi panas hasil usikan Mahathir, sebenarnya adalah berpunca dari perasaan ashobiyyah yang cukup menebal di kalangan umat Islam terutamanya di kalangan para pemimpin sekular mereka. Maka dengan itu sudah sampai saatnya umat Islam hari ini mencampakkan perasaan kufur ini jauh-jauh dari diri mereka. Keadaan ini tidak akan terealisasi jika sekiranya umat Islam masih lagi mempertahankan para pemimpin sekular ini yang faktanya merupakan boneka kepada Barat. Merekalah yang menjadi mata rantai dan penyubur perasaan ashobiyyah di kalangan umat Islam. Sudah sampai saatnya umat Islam hari ini kembali kepada sistem pemerintahan Islam, Khilafah, dengan menggantikan para pemimpin sekular yang sedang enak bertahkta di atas keperitan dan penderitaan rakyatnya sendiri dengan melantik seorang pemimpin yang bersedia untuk dibaiah dan menerapkan ajaran al-Quran dan as-Sunnah.