Malaysia, Brunei perbaharui iltizam

MALAYSIA dan Brunei memperbaharui iltizam ke arah pengukuhan kerjasama dua hala seperti dipersetujui menerusi Pertukaran Surat (LoE) yang ditandatangani pada 16 Mac lalu, selain memberi tumpuan khusus kepada aspek ekonomi, perdagangan dan pelaburan.   Pemimpin kedua-dua negara juga memberi penekanan kepada keperluan menggalakkan sektor awam dan swasta meneroka bidang baru, termasuk kemungkinan membentuk pelaburan bersama negara ketiga.   Persetujuan itu dinyatakan menerusi kenyataan bersama dikeluarkan selepas pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, sempena Rundingan Tahunan Malaysia-Brunei ke-13 di Istana Nurul Iman di sini, semalam.   Terdahulu, Perdana Menteri dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, menghadap Sultan Brunei yang diiringi Raja Isteri Pengiran Anak Saleha dan Pengiran Isteri Azrinaz Mazhar.  Ia disusuli pertemuan empat mata Najib dan Sultan Hassanal Bolkiah kira-kira sejam sebelum kedua-dua pihak menandatangani perjanjian Pengecualian Cukai Berganda (DTA).
Malaysia diwakili Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed, manakala Brunei oleh Menteri Kewangan Kedua, Pehin Datuk Seri Setia Awg Abdul Rahman Ibrahim. Antara menyertai delegasi Malaysia ialah lapan menteri Kabinet dan Ketua Menteri Sabah serta Sarawak.   LoE yang ditandatangani di sini pada 16 Mac lalu sempena lawatan rasmi dua hari Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi, antara lain mengandungi beberapa prinsip kerjasama untuk dilaksanakan bagi menentukan persempadanan darat dan maritim Malaysia-Brunei.  Kenyataan itu menzahirkan kesedaran Malaysia dan Brunei terhadap potensi mempertingkatkan kerjasama dua hala dalam bidang pertanian, produk halal dan produk sawit terutama di Sabah serta Sarawak, selain menggalakkan usaha sama kegiatan berkaitan tenaga merangkumi kuasa elektrik hidro dan pembangunan industri hiliran hidrokarbon. 

“Minat yang dinyatakan Brunei terhadap koridor pembangunan di Malaysia turut mendapat perhatian kedua-dua pemimpin dan Malaysia memuji cadangan Brunei mewujudkan Jawatankuasa Bersama ke arah menyediakan persekitaran lebih kondusif,” katanya.   Kedua-dua pihak juga akan meningkatkan kerjasama sektor pengangkutan bagi memperkemaskan rangkaian perdagangan dan pelaburan serta pelancongan, termasuk Kawasan Pertumbuhan Asean Timur-Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA).   Malaysia dan Brunei juga membincangkan pelbagai isu wilayah dan antarabangsa membabitkan kepentingan bersama, termasuk persetujuan menangani krisis ekonomi global dan wabak pandemik, termasuk H1N1.   “Kedua-dua negara berpuas hati dengan hasil rundingan kali ini dan yakin mekanisme berkenaan akan mengukuhkan hubungan dan kerjasama bilateral.   “Mereka juga menyanjung tinggi keakraban usaha Malaysia dan Brunei dalam mengekalkan keamanan, keselamatan, kestabilan dan kemakmuran serantau serta antarabangsa.   “Kedua-dua pemimpin turut mengucapkan selamat berpuasa kepada umat Islam kedua-dua negara menjelang Ramadan kali ini,” kata kenyataan itu.

Sumber : Berita Harian: 06/08/09

Perbaharui Iltizam Ashobiyyah?

Ashobiyyah masih tegar membelenggu pemikiran dunia umat Islam termasuklah para pemimpinnya. Apa yang jelas, umat Islam itu Tuhannya satu. Nabinya satu. Kitabnya satu. Kiblatnya satu.Namun malangnya Najib berslogan dengan 1Malaysia bukannya 1Khilafah. Mengapa 1Khilafah? Kerana ia merupakan sistem pemerintahanyang diwajibkan oleh Allah bagi seluruh dunia Islam termasuklah Malaysia dan juga Brunei.

Beginilah kejayaan dan keberhasilan musuh-musuh Islam yang telah menjajah dunia umat Islam sejak dahulu sehinggakan perasaan ashobiyyah yang hina ini tidak dilihat dan dirasakan sebagai suatu keharaman. Malah umat Islam, termasuklah para pemimpinnya kini tidak merasa berdosa melakukan keharaman berpegang kepada fahaman ashobiyyah ini sedangkan Islam telahpun diturunkan oleh Allah SWT kepada nabi Muhammad SAW untuk mengatur hubungan manusia dengan Tuhannya. Islam datang menghapuskan ikatan-ikatan yang bersifat “haiwani” (seperti ashobiyyah) dan menggantikannya dengan ikatan mabda Islam. Wahai para pemimpin umat Islam! Sampai bilakah kamu akan terus bergelumang dengan keharaman ashobiyyah ini? Mengapakah kamu terus kekal dengan fahaman ashobiyyah ini? Janganlah kamu terus berani menyanggah al- Quran dan as- Sunnah! Kembalilah kepada Islam dengan sebenar-benarnya sebelum Allah menjemput kamu bertemuNya!!