‘Seni’ yang mencerminkan keruntuhan sebuah masyarakat
Sebuah patung ukiran yang jijik lagi menyakitkan hati, yang dilabel sebagai hasil seni dan dipamerkan di Galeri Gateshead (Britain) adalah satu indikasi kepada keruntuhan moral masyarakat Sekular Britain serta ketidakupayaan mereka mencipta sebuah masyarakat majmuk yang mampu menyesuaikan diri dengan kelompok dari berbilang Kepercayaan agama.
Kerja “seni” itu merendahkan dan menghina kemuliaan Rasul Allah, Saidina Isa Alaihi Salam (Semoga Allah meRahmati Baginda) dengan cara yang amat menjijikkan sehingga tidak sanggup untuk disebut di dalam penulisan ini. Cukuplah sekadar dinyatakan bahawa sesiapa pun Muslim yang secara kebetulan terserempak dengan gambar atau imej sebenarnya semestinya akan merasa terkejut, sakit hati, tersinggung dan sangat marah.
Sebahagian penganut Kristian berasa amat terkejut dan marah. Sebahagiannya pula merasakan bahawa penghinaan ke atas kepercayaan agama mereka adalah satu lumrah kehidupan dan hanya membiarkannya. Sesetengahnya lagi meraikannya sebagai satu kebebasan dalam masyarakat yang membenarkan serangan sebegini berlaku. Seorang wanita Kristian pada saat ini cuba menyaman galeri itu kerana mempamerkan imej yang amat menghinakan itu, mungkin mempunyai niat yang baik. Adapun sebenarnya, di dalam sistem di Britain – mahupun di mana-mana masyarakat sekular – sudah tentunya mereka tidak akan mencegah dari perkara seperti ini berlaku. Kebebasan untuk menghina secara terang-terangan sesuatu yang dianggap suci oleh orang lain, merendah-rendahkan yang mulia dan baik, adalah suatu hak individu di dalam masyarakat yang sekular. Seandainya masyarakat di dalam negeri-negeri Umat Islam mengambil ukuran dan nilai-nilai ini, sudah tentu hasil seperti ini jugalah yang harus dijangkakan.
Ia tidak sepatutnya memeranjatkan kita bahawa masyarakat Barat sudah runtuh dan tidak bermoral, penuh dengan sikap anti sosial dan kurang ajar. Britain adalah sebuah negara yang majoritinya Kristian. Terdapat sebilangan besar kaum Muslim yang memuliakan Pesuruh Allah Isa Alaihi Salam sebagai seorang manusia yang teristimewa yang pernah hidup di muka bumi ini. Bahkan golongan ateis yang tidak mempercayai kewujudan tuhan pun apabila melihat ajaran di dalam Kitab Injil orang-orang Kristian yang telah berubah dan bertukar beberapa kurun, masih memandangnya dengan penuh hormat. Jadi satu persoalan timbul: mengapakah manusia mengambil sesuatu yang pada amnya dianggap mulia dan suci sanggup menghina dan mencelanya? Ini adalah tindakan manusia perosak dan samseng. Meskipun begitu, masyarakat ini tetap meraikan kerja tangan manusia-manusia ini sebagai “seni”. Jika begitu, adakah sesuatu yang memeranjatkan sekiranya manusia perosak, aksi-aksi samseng, antisosial dan sikap kurang ajar pada masa kini merupakan satu wabak di Britain.
Tambahan pula, berjuta wang telah dibelanjakan dan berjuta muka surat juga telah di tulis tentang Masyarakat Bersepadu, dan juga tentang ikatan yang sepatutnya mengikat sebuah masyarakat yang majmuk. Bagaimanakah seseorang mengharapkan sebuah masyarakat yang bersatu padu jika kebebasan sekular terus-terusan menginginkan hak di bawah undang-undang kebebasan mereka untuk menghina dan merendahkan orang lain? Seandainya perasaan kaum Kristian sendiri pun dipandang remeh dan tidak bernilai, apakah yang patut kita jangkakan tentang pandangan mereka terhadap perasaan Umat Islam di Britain dan Eropah?
Seringkali timbul persoalan adakah seni sepatutnya mencerminkan kehidupan ataupun kehidupan itu mencerminkan seni. Dunia patut memandang ke Britain pada minggu ini, dan ketahuilah bahawa hasil “seni” yang satu ini memperkatakan seribu satu kisah tentang keruntuhan nilai masyarakat dan penyakit pemikiran “seniman-seniman” ini. Kita berdoa semoga Allah SWT melindungi negeri-negeri Kaum Muslimin dari terjerumus ke jalan yang berbahaya ini dan semoga Kaun Muslimin terus menyokong seruan untuk menegakkan Khilafah, yang akan memelihara dengan Hukum Allah untuk mencegah kerja-kerja “seni” seperti ini yang merendahkan seluruh masyarakat serta Khilafah yang akan menerapkan sebuah aturan yang melarang penghinaan ke atas mana-mana agama pun yang di anuti oleh warganegaranya.
Sumber: Hizbut Tahrir Britain