Masyarakat India Dihantui dengan Kes Rogol Yang Tidak Berkesudahan

Pada akhir tahun lalu, masyarakat dunia telah dikejutkan dengan peristiwa sedih yang menimpa seorang pelajar perubatan berusia 23 tahun yang telah dirogol secara bergilir-gilir dalam sebuah bas di India. Ibarat suatu penyakit yang tiada ubatnya, kejadian kes rogol ini terus menerus menghantui penduduk India di mana kes-kes baru yang dilaporkan saban hari terus berlaku tanpa ada sebarang jalan penyelesaian. Walaupun demonstrasi dan desakan yang kuat telah dilakukan oleh rakyat agar pihak pemerintah melaksanakan undang-undang yang tegas terhadap para perogol, namun sehingga hari ini belum kelihatan sebarang tanda-tanda perubahan yang bakal berlaku dalam masalah ini.

Pada bulan Mac yang lalu, pihak polis India telah menahan lima lelaki yang telah mengaku merogol seorang wanita Switzerland secara beramai-ramai ketika mangsa sedang dalam perjalanan berbasikal bersama suaminya. Kemudian dalam kes lain, dua anggota polis wanita berpangkat konstabel di India digantung tugas selepas memenjarakan seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun yang datang ke sebuah balai polis di sini untuk membuat laporan bahawa dia telah dirogol. Mangsa tersebut terpaksa menghabiskan masa beberapa jam di dalam lokap selepas ia datang kembali ke balai itu bersama ibunya bagi membuat laporan bahawa dia telah dirogol oleh seorang lelaki. Dia kemudiannya diselamatkan selepas penduduk tempatan membuat tunjuk perasaan ekoran penahan kanak-kanak itu.

Pihak berkuasa India terutamanya pihak polis bukanlah satu institusi yang menjaga dan membela nasib rakyat. Statistik yang berlaku antara tahun 2002 hingga 2010 menunjukkan bahawa seramai 45 orang wanita telah dirogol oleh pihak polis ketika dalam perlindungan pihak polis. Manakala, sekurang-kurangnya 53 orang wanita berketurunan Kashmir (Muslim) dirogol oleh pasukan tentera pemisah India.  Rogol merupakan salah satu jenayah utama yang sedang liar berlaku di kalangan wanita di India.  Jenayah rogol dilaporkan berlaku setiap 18 jam di India. Antara tahun 2007 hingga 2011, telah berlaku peningkatan jenayah rogol sehingga 17%. Lebih 93,000 kes yang melibatkan jenayah rogol di India masih lagi “tertangguh” perbicaraanya. (Asian Center for Human Rights).

Masalah rogol yang menimpa masyarakat India hanyalah salah satu daripada sekian banyaknya masalah yang menimpa mereka. Ini termasuklah masalah kemiskinan, pendidikan, rasuah, penindasan dan 1001 masalah-masalah lain yang mana kesemuanya timbul akibat daripada penerapan sistem yang rosak iaitu sistem demokrasi kapitalisme. Justeru, tidak ada cara dan alternatif lain yang dapat menyelamatkan keadaan yang parah ini melainkan dengan menukar sistem yang sedia ada dengan sistem yang lebih baik serta dapat memberi kesejahteraan kepada umat manusia sejagat. Sistem yang terbaik ini tentulah sistem yang datangnya daripada yang Maha Baik lagi Maha Bijaksana iaitu Allah SWT, Tuhan semesta alam. Islam sebagai sebuah ad-Deen, sekaligus sebagai sebuah sistem kehidupan telah terbukti sepanjang penerapannya selama lebih daripada 1300 tahun memerintah dunia telah membina sebuah tamadun yang tinggi dan agung serta dapat memberi kesejahteraan kepada seluruh rakyatnya baik Muslim atau bukan Muslim melalui sistem yang lahir daripada al-Quran dan as-Sunnah. Akibat ditinggalkan Islam secara kaffah khususnya dalam aspek pemerintahan, akhirnya telah menjerumuskan umat yang sebelum ini pernah berada sebagai pemimpin peradaban dunia kepada keadaan yang paling buruk dan mundur serta dijajah oleh peradaban kufur yang menindas manusia.

Sumber: Utusan Malaysia, 10/04/13