Seramai 10 Ribu Orang Menghadiri Konferens Perdana Rejab 1432 H di Kalimantan Selatan
Konferens ini adalah merupakan pembuka tirai kepada konferens-konferens yang lain yang akan diadakan di seluruh Indonesia di sepanjang bulan Rejab ini.
Masyarakat yang hadir untuk memeriahkan konferens ini kebanyakannya berasal dari daerah dan kota di Kalimantan Selatan. Konferens yang diadakan ini adalah bersempena untuk memperingati runtuhnya Khilafah Islamiyah yang terjadi pada 3 Mac 1924, yakni berlaku dalam bulan Rejab, lapor Banjarmasin Post. Sambil mendengar ceramah, para aktivis HTI mengibarkan bendera berwarna hitam yang bertuliskan kalimat tauhid La ilaha illaallah.
Dalam ucapannya, Baihaqi Al-Munawar, Ketua DPP I HTI Kalimantan Selatan (Kalsel) meluahkan rasa keprihatinannya ke atas keadaan umat Islam yang sangat menghina ketika ini. Kemiskinan, kejahilan, keganasan, rasuah dan bermacam-macam masalah lain yang membelit umat Islam. Baihaqi menganggap bahawa sistem kapitalis yang diterapkan pada saat inilah yang menyebabkan semua itu terjadi. Menurutnya, usaha perlu dilakukan untuk memperbaiki keadaan umat Islam iaitu dengan menerapkan syariah Islam melalui Khilafah.
Baihaqi juga menyatakan bahawa tuntutan menegakkan Khilafah ini bukan hanya disebabkan oleh realiti atas kegagalan sistem kapitalis untuk mensejahterakan manusia semata-mata, akan tetapi menegakkan Khilafah itu merupakan pancaran atau manifestasi daripada keimanan dan aqidah Islam itu sendiri, di mana Allah SWT dan RasulNya telah menjanjikan bahawa akan datangnya Khilafah ‘ala Minhaj Nubuwwah (Khilafah Di Atas Jalan Kenabian). Khabar ini sepatutnya disambut dengan penuh gembira oleh seluruh umat Islam.
Selain itu, Baihaqi al-Munawwar juga menerangkan potensi-potensi yang begitu besar yang dimiliki oleh umat Islam, dari segi jumlah penduduknya, wilayah negeri-negeri umat Islam yang luas dan melimpah ruahnya sumber kekayaan alam yang ada. Potensi-potensi ini merupakan modal yang cukup besar untuk menegakkan Khilafah Islam.
Konferens ini dihadiri oleh DPP HTI, para ulama’, pimimpin majlis ta’lim, mahasiswa, pelajar dan masyarakat umum yang mempunyai latarbelakang yang berbeza-beza. Selain daripada ribuan umat Islam yang datang dari pelbagai penjuru Kalimantan Selatan (Kalsel), Konferens Rejab ini juga dapat disaksikan oleh umat Islam dari seluruh pelosok dunia melalui live streaming (http://www.hizbut-tahrir.or.id/hti-channel) dan juga disiarkan secara langsung oleh syabab.com.
Konferens Rejab 1432 H ini telah dihadiri oleh beberapa penceramah, antaranya adalah Mispansyah, SH, MH (DPD I HTI Kalsel) Ali Imron, S.Pd, Abdul Haris, S.Pd (Humas DPD II ) Hidayattullah Muttaqin, SE,ME (Ketua Lajnah Siyasiah DPD I HTI Kalsel), Fathiy Syamsuddin Ramadhan An-Nawiy (Anggota DPP HTI) dan Harist Abu Ulya (Ketua Lajnah Siyasiah DPP HTI).
Konferens ini juga dimeriahkan lagi dengan persembahan pancaragam yang dipersembahkan oleh remaja-remaja Islam dan pukulan gendang daripada kumpulan Islahul Ummah, Juara Festival Pancaragam Daerah Banjar. Acara konferens ini diakhiri dengan penyerahan bendera Ar-Rayah dan Al-Liwa’ oleh para pemuda kepada para tokoh sebagai simbolik. Melalui aktiviti tersebut, diharap dapat membantu membangkitkan kembali rasa kesatuan untuk kembali sistem Islam di bawah naungan Khilafah Islamiyah.
Konferens Rejab 1432 H yang diadakan di Banjarmasin ini merupakan pembuka tirai kepada seluruh konferens-konferens lain yang akan dilaksanakan secara bergilir-gilir di seluruh Nusantara. Kemuncak kepada aktiviti-aktiviti bulan Rejab ini akan diadakan pada hari Rabu, 29 Jun 2011 yang bertempat di Stadium Lebak Bulus, Jakarta.