Serangan Ulu Tiram: Pembunuhan tanpa hak adalah bercanggah dengan Islam

Seluruh negara dikejutkan dengan “serangan” dan pembunuhan yang berlaku di Balai Polis Ulu Tiram, Johor, yang melibatkan kematian dua orang anggota polis dan juga si “penyerang” itu sendiri pada 17/05/2024.

Pada awalnya, Ketua Polis Negara (KPN) menyatakan yang si “penyerang” ialah anggota Jemaah Islamiah (JI), namun setelah Menteri Dalam Negeri di dalam Sidang Medianya di IPK Johor mengesahkan sebaliknya, KPN kemudian menukar kenyataan dengan mengesahkan bahawa si “penyerang” bukanlah anggota JI, tetapi ayahnya adalah anggota JI.

Dalam pada itu, sudah ada beberapa laporan berita, termasuklah berita dari luar Malaysia yang mengaitkan insiden “serangan” tersebut sebagai serangan pengganas. Dalam masa yang sama pelbagai komentar mengenai keaktifan semula JI serta perbincangan-perbincangan mengenai ancaman keganasan berlegar di media sosial, samada oleh “pakar-pakar” yang diundang, mahu pun oleh para netizen yang senantiasa memberikan komen tanpa memerlukan undangan.

Ada juga suara-suara liar yang terus mengaitkan insiden tersebut dengan fahaman Khawarij, dan tanpa rasa bersalah terus mengambil kesempatan untuk melabel gerakan lain yang tidak ada kena mengena langsung dengan insiden tersebut, sebagai Khawarij yang membahayakan negara.

Begitulah lajunya segala tuduhan dan label yang dikaitkan dengan insiden tersebut, yang sudah menjadi tabiat biasa bagi sesetengah orang tanpa memikirkan dosa atau kesan kepada perbuatan mereka.

Namun demikian, ramai juga netizen yang mempersoalkan kejadian tersebut secara rasional dan intelektual, yang seharusnya dijadikan iktibar oleh pihak berkuasa khususnya, agar tidak melulu dalam mengeluarkan sesuatu kenyataan.

Sesungguhnya Islam mengajar kita untuk melakukan tabayyun apabila mendengar sesuatu berita bagi memastikan kesahihannya, apatah lagi berita penting yang jika kita mempercayai atau menyebarkannya, boleh menjadi fitnah dan kebohongan yang membahayakan masyarakat dan negara.

Dalam kejadian yang berlaku di Balai Polis Ulu Tiram itu, kita kena ingat bahawa tidak ada seorang pun yang benar-benar mengetahui apakah yang berlaku, kecuali mereka yang berada di tempat kejadian dan menyaksikannya dengan mata mereka sendiri. Justeru, tidak wajar untuk kita membuat tuduhan, apatah lagi dalam keadaan maklumat yang sampai kepada kita hanyalah maklumat sebelah pihak sahaja, iaitu daripada pihak berkuasa.

Justeru, adalah tidak adil, dan boleh menjerumuskan kita ke dalam kesalahan sekiranya tuduhan terus dilontarkan tanpa usul-periksa, dan tanpa ada kesaksian. Apa yang seharusnya dilakukan pada peringkat awal ini ialah menjelaskan fakta kejadian tanpa membuat apa-apa tuduhan melulu.

Pendirian Kita

Sebagai Muslim, kita seharusnya mengikat diri kita dengan hukum syarak, termasuklah dalam mengeluarkan sesuatu kenyataan atau komen. Berdasarkan fakta, tiga orang telah terbunuh yang mana kita tidak tahu apakah motif pembunuhan tersebut. Apa yang boleh kita katakan ialah kita menolak sekeras-kerasnya dan tidak boleh menerima apa jua bentuk pembunuhan ke atas siapa sahaja tanpa hak. Ini kerana, Islam melarang keras pembunuhan kecuali dengan hak (alasan yang benar). Firman Allah (swt):

وَلَا تَقْتُلُوا النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ

“Dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah (untuk membunuhnya) melainkan dengan hak” [Al-Isra’ (17): 33].

Firman-Nya yang lain:

وَمَنْ يَقْتُلْ مُؤْمِنًا مُتَعَمِّدًا فَجَزَاؤُهُ جَهَنَّمُ خَالِدًا فِيهَا وَغَضِبَ اللَّهُ عَلَيْهِ وَلَعَنَهُ وَأَعَدَّ لَهُ عَذَابًا عَظِيمًا

“Dan barangsiapa yang membunuh seorang Mukmin dengan sengaja maka balasannya ialah Jahanam, ia kekal di dalamnya dan Allah murka kepadanya, dan melaknatnya serta menyediakan azab yang besar baginya” [An-Nisa’ (4): 93]

Sabda Rasulullah (saw):

اجْتَنِبُوا السَّبْعَ المُوبِقَاتِ، قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا هُنَّ؟ قَالَوَقَتْلُ النَّفْسِ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالحَقِّ

“Jauhilah oleh kamu tujuh perkara yang membinasakan (dosa besar). Para Sahabat bertanya: Apakah ia wahai Rasulullah? Rasulullah bersabda…membunuh jiwa yang telah diharamkan oleh Allah kecuali dengan hak… [HR al-Bukhari dan Muslim].

Maka, adalah tidak wajar bagi sesiapa pun untuk mengaitkan insiden pembunuhan dengan mana-mana gerakan Islam selagi tidak terbukti pembunuhan tersebut dilakukan atas arahan dan/atau kefahaman yang datangnya daripada gerakan tersebut.

Begitu juga dengan kenyataan bahawa di rumah si “penyerang” terdapat banyak ayat al-Quran yang tergantung di dinding-dinding, yang tidak wajar dikeluarkan dalam bentuk yang negatif seakan-akan menjadi satu kesalahan bagi mana-mana orang Islam untuk menggantung al-Quran di rumah masing-masing. Apakah motifnya kenyataan seumpama ini dikeluarkan?

Kita tidak menafikan bahawa jika ada mana-mana gerakan Islam yang mengajar kefahaman mengenai kebolehan melakukan pembunuhan atau kekerasan dalam menegakkan Islam, ini jelas merupakan suatu kesalahan kerana bercanggah dengan ajaran Islam dan thariqah (jalan) perjuangan yang ditunjukkan oleh Rasulullah (saw).

Namun demikian, untuk mengaitkan seseorang ahli pertubuhan Islam dengan tindakan pembunuhan atau apa jua bentuk kekerasan, ia adalah suatu yang jelas tidak adil kerana seseorang ahli pertubuhan itu boleh sahaja melakukan pembunuhan atas sebab peribadi seperti ada dendam kesumat yang bersifat peribadi, tekanan perasaan, pertengkaran atau pergaduhan, kehilangan kewarasan atau pertimbangan atas faktor kesihatan dan lain-lain lagi.

Pokoknya, kita tidak boleh terus “jump to the conclusion” yang pembunuhan yang dilakukan oleh seseorang ahli gerakan Islam ialah kerana gerakannya. Meletakkan kesalahan kepada sesebuah gerakan atas kesalahan yang dilakukan oleh seseorang individu dalam gerakan tersebut jelas merupakan suatu kenaifan dan ada motif di sebaliknya.

Di Malaysia ini sebagai contoh, sudah banyak kes yang mana anggota polis didapati bersalah melakukan pembunuhan, namun kita tidak meletakkan kesalahan kepada institusi kepolisian. Begitu juga jika kita memeriksa setiap kes pembunuhan, kemungkinan sahaja si pembunuh merupakan ahli UMNO, PKR dan lain-lain, namun kita tidak boleh mengaitkan pembunuhan tersebut dengan partinya. Jadi, sebagai Muslim, kita hendaklah adil dalam membuat penilaian atau kenyataan, dan hendaklah meletakkan sesuatu pada tempatnya.

Dalam skala yang lebih besar, kita hendaklah berhati-hati dan tidak terpengaruh dengan agenda Barat yang senantiasa mengaitkan apa jua pembunuhan, khususnya yang berlaku di tempat-tempat awam, dengan gerakan Islam, dengan melabelnya sebagai sebuah “keganasan”. Kita semua tahu bahawa hakikatnya label tersebut ditujukan kepada orang Islam atau gerakan Islam dalam rangka memburuk-burukkan Islam atau gerakan Islam itu sendiri. Ini kerana bagi Barat, keganasan itu ialah Islam, dan pengganas itu ialah Muslim.

Akhir sekali, di dalam insiden seumpama ini, kita berharap agar tidak ada pihak yang “dikambing hitamkan” dan kita berharap agar pihak berwajib menjalankan siasatan yang telus tanpa terpengaruh atau tunduk kepada mana-mana kepentingan.

Memang terdapat banyak kepelikan dan perkara yang meragukan dalam insiden pembunuhan di Balai Polis Ulu Tiram ini, yang jika tidak ditangani dengan telus dan benar hanya akan menyebabkan kepercayaan rakyat kepada pihak berkuasa semakin terhakis.

Wallahu a’lam.