SERUAN HIZBUT TAHRIR MEMBANTAH PENGHINAAN KE ATAS RASULULLAH SAW

Pada hari Jumaat, bertarikh 14hb September 2012 yang lalu, bertempat di Masjid Negara, Hizbut Tahrir Malaysia cawangan Kuala Lumpur telah mengadakan seruan membantah penerbitan filem berjudul “Innocence of Muslims”. Filem tersebut memaparkan kehidupan peribadi Rasulullah SAW di dalam keadaan mengaibkan.  Ratusan jemaah yang hadir di Masjid Negara sanggup berhenti dan berdiri seketika di perkarangan masjid untuk mendengar seruan yang disampaikan. Setiap yang hadir mendengar dengan khusyuk seruan yang disampaikan sambil turut melaungkan takbir bersama-sama dengan syabab Hizbut Tahrir yang ada. Ia seolah-olah menggambarkan perasaan marah yang terpendam disebabkan penghinaan yang diterima oleh Rasul tercinta. Ternyata, kebencian Barat kepada Islam semakin menjadi-jadi.

Justeru, di dalam seruan yang dibacakan oleh Ustaz Abu Imtiyaz, Hizbut Tahrir menyeru kepada umat Islam agar segera bangkit dari kelekaan yang panjang dan mengingatkan mereka bahawa kelemahan umat Islam adalah disebabkan keadaan mereka yang berpecah-belah kerana ketiadaan khilafah untuk membela maruah mereka dan Islam. Sambil dipayungi kibaran bendera-bendera al-raya dan al-liwa, Ustaz Abu Imtiyaz terus menyeru sambil meminta agar umat Islam tidak hanya berpeluk tubuh, tetapi  segera bertindak atas apa yang barat telah lakukan ke atas peribadi mulia Nabi Muhammad SAW.  Di dalam seruannya lagi, Ustaz Abu Imtiyaz telah meminta seluruh umat Islam untuk bersatu di bawah naungan khilafah. Ini adalah kerana, hanya Khilafah adalah satu-satunya jalan penyelesaian kepada segala penderitaan umat Islam ketika ini. Bahkan menurutnya lagi, menegakkan Khilafah itu adalah suatu kewajiban bagi setiap individu berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Barangsiapa yang mati sambil dibahunya tiada bai’at, maka matinya adalah mati jahiliyyah [HR Muslim]

Oleh kerana itu, selagi Khilafah belum ditegakkan, maka selama itulah kita akan mendengar segala kejahatan yang dilakukan oleh kuffar Barat ke atas Islam dan umatnya terus berulang. Jika sebelum ini umat Islam telah menyaksikan kejahatan yang dilakukan oleh Salman Ar-rushdi, Geert Wilders dan ramai lagi yang terlibat di dalam menyiarkan gambar-gambar dan kisah-kisah yang mengaibkan Rasulullah SAW maka kali ini kita masih lagi menghadapi masalah yang sama iaitu dengan tersiarnya filem “Innocence of Muslim”. Hanya Khilafah sahaja yang dapat membela umat Islam dan menghentikan segala penghinaan yang dilakukan oleh Barat seperti itu. Seruan tamat lebih kurang pada pukul 2.10 pm. Pihak Hizbut Tahrir mengucapkan ribuan terima kasih kepada ratusan jemaah yang sanggup berhenti dan berdiri bersama-sama dengan syabab Hizbut Tahrir di dalam seruan tersebut. Jazakallah khair.