Seruan Yang Mengundang Murka Allah SWT

Melayu perlu sertai NGO perjuangkan hak mereka

PARIT 19 Dis. – Sikap orang Melayu yang takut dan enggan menyertai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu diperbetulkan jika mereka ingin menjadi bangsa yang kuat dan kukuh di negara ini.  Veteran UMNO, Tan Sri Sanusi Junid berkata, orang Melayu mesti aktif dalam NGO kerana ia merupakan saluran komunikasi yang baik bagi memperjuangkan nasib bangsa itu dalam pelbagai aspek.  “Sebagai contoh, bangsa Yahudi yang jumlahnya sekitar 36,000 orang menjadi amat berkuasa di Manchester, England hanya kerana mereka menguasai 150 NGO di sana.  “Malah idealisme zionisme sehingga tertubuhnya negara Israel juga berasal dari sana. Jadi kalau Melayu hendak jadi kuat kita mesti terlibat dengan banyak NGO, kita tidak boleh bekerjasama dengan bangsa lain kalau kita lemah,” katanya.  Beliau berkata demikian selepas melancarkan Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa) cawangan Perak di Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Seri Iskandar di sini hari ini.  Sanusi berkata, kehadiran Perkasa yang merupakan NGO juga amat penting dalam keadaan ramai orang Melayu sekarang kecewa dan bermasalah.

Jelasnya, selain bangkit mempertahankan hak kaum Melayu, Perkasa boleh berperanan menyampaikan pandangan dan pendapat kepada semua pihak.  Menurut beliau, pada masa sama, Perkasa yang mengutamakan agama, bangsa, dan negara boleh menjadi suara rakyat kebanyakan malah boleh memberi teguran kepada sesiapa sahaja tanpa rasa takut.  “Inilah yang dinamakan sebagai kebebasan bersuara dan kebebasan berorganisasi supaya kaum Melayu dan negara boleh menjadi kuat dan kukuh,” ujarnya.  Mengenai lapan resolusi yang dikeluarkan dalam Konvensyen Pakatan Pembangkang di Shah Alam hari ini, Sanusi yang juga bekas Menteri Besar Kedah berkata, ia jelas sekali merupakan agenda utama Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri.  “Dia (Anwar) sanggup buat macam-macam untuk ambil hati orang Cina dan India. Tak kiralah lapan, 12, atau satu resolusi yang mereka keluarkan, yang penting dia dapat jadi Perdana Menteri.  “Sekarang kita nak cakap ketuanan Melayu pun tak boleh sebab takut dengan kaum lain sedangkan kaum Melayu memang tuan di negara ini. Buktinya kita ada raja-raja Melayu, itulah tuan kita,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia 20/12/09

Seruan Yang Mengundang Murka Allah SWT

Beginilah bercelaru dan berserabutnya pemikiran umat Islam hari ini. Setelah wujudnya parti sekular UMNO yang berjuang atas asas seruan yang diharamkan oleh Islam (ashobiyyah) dengan prestasi yang kini mula dipersoalkan oleh rakyat, kini pemimpin-pemimpin sekular mereka terus menyeru agar mereka menyertai NGO ashobiyyah pula. Perasaan ashobiyyah itu terus dimainkan oleh para pemimpin sekular ini untuk memastikan sokongan umat Islam terus berpihak kepada mereka. Ya, bagi umat Islam yang tidak jelas akan keharaman ashobiyyah ini maka ada dari kalangan mereka yang terpancing dengan isu ketuanan Melayu dan hak mereka yang semakin terhakis. Mungkin sekiranya bau busuk ashobiyyah boleh dihidu oleh manusia adalah mudah untuk menerangkan dan mencegah golongan sekular Melayu muslim ini dari memperjuangkannya. Malangnya keharaman ashobiyyah itu tidak mengeluarkan bau. Oleh kerana  inilah para penyeru ashobiyyah ini tidak pernah memerhatikan persoalan bahawa punca banyak permasalahan ini adalah kerana Islam tidak diterapkan oleh para pemimpin yang berkuasa hari ini. Apa yang mereka perjuangkan itu hanyalah berpunca dari hawa nafsu semata-mata. Apakah mereka tidak sedar bahawa desakan kaum kafir yang semakin berani pada hari ini adalah sebenarnya berpunca dari asas sekular dan sistem demokrasi yang dipertahankan, diterapkan, diperjuangkan dan ditanamkan oleh para pemimpin sekular negara selama ini ke atas individu,masyarakat dan negara?

Inilah barah yang semakin lama semakin membesar dan sudah pasti akan mengundang 1001 macam masalah yang menunggu masa untuk meletup. Yakinlah hanya dengan penerapan Islam dalam kehidupan individu, masyarakat dan bernegara sahajalah yang akan mampu merungkai persoalan yang timbul ini.

Wahai para pemimpin yang masih terbenam dengan lumpur busuk ashobiyyah! Tinggalkanlah kebusukkan dan kerosakan ashobiyyah yang selama ini membalut dan melingkari kehidupan kamu kerana suatu kepastian yang akan berlaku kepada seluruh manusia kelak adalah hari kebangkitan dan pertemuan dengan Rabbnya yang akan melihat KPI takwa sebagai asas penilaian.  Firman Allah SWT: ” Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu Dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu)”. [TMQ Al Hujuraat (49) : 13].