Si Tirani Trump dan Anak Didiknya, Entiti Yahudi, Melancarkan Serangan Ganas ke atas Iran

بسم الله الرحمن الرحيم
Si Tirani Trump dan Anak Didiknya, Entiti Yahudi, Melancarkan Serangan Ganas ke atas Iran
[Terjemahan]
Amerika dan entiti Yahudi melancarkan serangan bersama pada skala besar ke atas Iran pada hari Sabtu, di mana letupan kedengaran di ibu kota Tehran dan beberapa bandar termasuk Qom, Isfahan, Kermanshah, dan Karaj…[Presiden Amerika Donald Trump mengumumkan permulaan serangan ke atas Iran dan berkata: “Kami baru sahaja memulakan operasi tempur berskala besar di Iran…” Saluran 12 Israel melaporkan bahawa “Israel” telah menyerang puluhan sasaran milik kerajaan Iran…Al-Jazeera, 28/2/2026]. Trump melanjutkan kenyataan angkuhnya bahawa Amerika dan tenteranya adalah yang paling hebat dan kuat di dunia, dan dia tidak akan membenarkan Iran memiliki senjata nuklear dan peluru berpandu. Anak didiknya, Netanyahu, turut mengeluarkan kenyataan mengikuti jejak langkah tuannya, si Trump.
Manakala respons Iran, [Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, menyatakan bahawa negaranya akan menggunakan keupayaan ketenteraannya untuk mempertahankan diri secara sah dalam kerangka hak asasi…Al Jazeera, 28/2/2026]. Iran telah melancarkan peluru berpandu ke arah entiti Yahudi serta pangkalan-pangkalan Amerika di Teluk.
Demikianlah, pesawat-pesawat entiti Yahudi dan Amerika dari darat, laut, dan udara melakukan serangan hari ini ke atas pangkalan tentera dan pusat pemerintahan di Iran, kebanyakannya tertumpu di ibu negara, pejabat kerajaan serta pejabat pemimpin agung dan presiden.
Kenyataan awal mereka menunjukkan bahawa serangan ini akan berterusan selama empat hingga sepuluh hari, malah mungkin menjadi serangan terbuka sehingga matlamat perlucutan senjata nuklear dan peluru berpandu Iran tercapai…[Sumber Israel menunjukkan bahawa fasa pertama serangan mungkin berlangsung selama empat hari, menganggapnya sebagai pelengkap kepada perang 12 hari yang dilancarkan pada musim panas lalu, Julai 2025…Sementara itu, sumber Amerika menyatakan bahawa kempen ketenteraan Amerika sekarang mungkin berlarutan kira-kira 10 hari menurut laporan rangkaian CBS Amerika; Al-Arabiya 28/2/2026].
Wahai Kaum Muslimin!
Serangan ganas ini dilancarkan ke atas Iran ketika Iran sedang beredar dalam orbit Amerika. Iran telah memberikan perkhidmatan kepada Amerika dalam perang Amerika di Iraq dan Afghanistan serta di banyak bahagian rantau ini. Sebelum ini Amerika tidak pernah membangkitkan isu peluru berpandu dan senjata nuklear dalam hubungannya dengan Iran. Malah, Obama telah memeterai perjanjian 2015 dengan penyertaan negara-negara Eropah untuk membenarkan Iran melakukan pengayaan nuklear pada had 3.67%, dan Iran terus berada dalam orbit tersebut selama bertahun-tahun seperti mana Turki.
Apabila si tirani Trump berkuasa, dia mahu Iran menjadi sebuah negara ejen yang tunduk sepenuhnya kepadanya, bercakap mengikut apa yang dia cakap dan melakukan apa yang dia mahu. Trump bermula dengan tipu daya melalui rundingan yang berlangsung di Muscat selama kira-kira lima pusingan, kemudian diikuti dengan serangan Trump dan Yahudi yang dikenali sebagai “serangan dua belas hari”. Inilah hakikat yang terjadi. Trump mengumumkan [sasaran 3 kemudahan nuklear Iran, menegaskan keberhasilan serangan Amerika. Trump merujuk kepada sasaran tapak nuklear Fordow, Natanz dan Isfahan, sambil menyeru Iran untuk berdamai dan menamatkan perang. Bercakap mewakili Trump, Setiausaha Pertahanan Amerika, Pete Hegseth mengesahkan bahawa serangan Amerika telah menamatkan cita-cita nuklear Iran…BBC 22/6/2025].
Serangan-serangan tersebut gagal membuat Iran beralih daripada negara satelit yang beredar di orbit Amerika kepada sebuah negara ejen. Sebaliknya, muncul suara-suara – walaupun kecil – yang menyeru untuk membebaskan diri daripada orbit tersebut. Maka Amerika kembali kepada muslihat rundingan semula dengan menumpukan kepada isu yang sama, iaitu perlucutan senjata peluru berpandu dan nuklear Iran. Sebagaimana yang berlaku pada kali pertama dengan serangan selepas lima pusingan rundingan, perkara yang sama berlaku sekarang dengan serangan selepas hanya tiga pusingan!
Wahai Kaum Muslimin!
Para penguasa di negeri-negeri kaum Muslimin gagal memahami akan bahaya memberikan kesetiaan (wala’) kepada golongan kafir, dan bahawa hal itu adalah kehinaan di dunia serta azab yang pedih di akhirat:
﴿الَّذِينَ يَتَّخِذُونَ الْكَافِرِينَ أَوْلِيَاءَ مِنْ دُونِ الْمُؤْمِنِينَ أَيَبْتَغُونَ عِنْدَهُمُ الْعِزَّةَ فَإِنَّ الْعِزَّةَ لِلَّهِ جَمِيعاً﴾
“(Iaitu) orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman-teman setia dengan meninggalkan orang-orang Mukmin. Apakah mereka mencari kekuatan di sisi orang kafir itu? Maka sesungguhnya semua kekuatan itu milik Allah” [An-Nisa’ (4): 139].
Para penguasa itu gagal memahami bahawa negara-negara kafir itu hanya mengutamakan kepentingan mereka sahaja, dan mereka memendam permusuhan terhadap Islam dan kaum Muslimin siang dan malam. Jika mereka menunjukkan sedikit keredhaan terhadap mana-mana negara yang berada dalam orbit mereka atau ejen-ejen mereka, mereka sebenarnya tidak menginginkan kebaikan pun buat negara-negara atau ejen-ejen tersebut, sebaliknya mereka menyembunyikan kejahatan mereka, dan menampakkan (kesan tindakannya) secara terbuka.
Kalaulah para penguasa ini menyedari bahawa Amerika tidak akan mempedulikan mereka jika kepentingan Amerika menuntut penyingkiran mereka, nescaya mereka akan mengambil pengajaran daripada sejarah. Berapa ramai ejen yang telah disingkirkan setelah peranan mereka dalam melayani kepentingan penjajah berakhir. Kalaulah para penguasa ini berakal, nescaya mereka akan membuang golongan kafir itu seperti membuang biji kurma, namun para penguasa ini pekak, bisu, lagi buta, maka mereka tidak akan kembali ke jalan yang benar…Kesetiaan mereka kepada penjajah kafir telah sampai ke tahap di mana jika salah satu negeri mereka diserang, yang lain tidak bergerak untuk membantunya. Malah orang yang paling “baik” antara mereka hanyalah yang sibuk menghitung jumlah korban dan yang tercedera! Sebagaimana yang sedang berlaku dalam serangan ke atas Iran sekarang ini.
Wahai Kaum Muslimin!
Sesungguhnya kemuliaan kalian adalah dengan kembalinya negara kalian, Khilafah Rasyidah. Sesungguhnya Hizbut Tahrir adalah pemimpin yang tidak membohongi warganya, yang telah menazarkan dirinya untuk berjuang dengan bersungguh-sungguh dan ikhlas dengan izin Allah (swt) demi mengembalikan kehidupan Islam dengan menegakkan Khilafah Rasyidah. Ia benar-benar pemimpin yang tidak membohongi warganya, sebuah parti yang harum kebaikannya, dan akan menjauhlah sesiapa sahaja yang tidak tahan dengan keharuman itu…
Begitulah kami menilai parti ini dan semua pemudanya yang berjuang bersamanya, bahawa mereka adalah orang-orang yang bersungguh-sungguh, pejuang yang ikhlas, yang mengharapkan akhirat jauh melebihi harapan mereka terhadap dunia. Mereka berjuang siang dan malam, mengharapkan rahmat Allah (swt) agar janji-Nya dan khabar gembira Rasul-Nya (saw) terealisasi melalui tangan mereka, dan yang demikian itu tidaklah sukar bagi Allah (swt).
Inilah (Khilafah) yang akan menyelamatkan umat, mengembalikan kemuliaannya, menguatkan kedudukannya, dan membuatkan musuh-musuhnya berfikir seribu kali sebelum berani menyerangnya. Inilah satu-satunya jalan, iaitu dengan kembalinya Khilafah bagi menyinari bumi dengan kebaikan dan keadilannya. Sebagaimana Khilafah dahulu telah menamatkan keangkuhan Kaisar dan Kisra, begitulah juga ia akan menamatkan keangkuhan pengikut mereka seperti si tirani Trump dan orang-orang yang sepertinya daripada kalangan kafir penjajah.
Adapun entiti Yahudi, ia terlalu lemah untuk diberi perhatian yang besar. Ia adalah sebagaimana firman Allah (swt):
﴿لَنْ يَضُرُّوكُمْ إِلَّا أَذًى وَإِنْ يُقَاتِلُوكُمْ يُوَلُّوكُمُ الْأَدْبَارَ ثُمَّ لَا يُنْصَرُونَ﴾
“Mereka sekali-kali tidak akan dapat membuat mudharat kepada kalian, selain dari gangguan-gangguan sahaja, dan jika mereka berperang dengan kalian, pastilah mereka berbalik melarikan diri ke belakang (kalah). Kemudian mereka tidak mendapat pertolongan” [Ali Imran (3): 111].
Entiti Yahudi tidak mampu bertahan dengan sendirinya; ia bukanlah ahli perang melainkan dengan adanya “tali” daripada manusia, sebagaimana firman Yang Maha Kuat lagi Maha Perkasa:
﴿ضُرِبَتْ عَلَيْهِمُ الذِّلَّةُ أَيْنَ مَا ثُقِفُوا إِلَّا بِحَبْلٍ مِنَ اللهِ وَحَبْلٍ مِنَ النَّاسِ﴾
“Mereka diliputi kehinaan di mana saja mereka berada, kecuali jika mereka berpegang kepada tali (agama) Allah dan tali (perjanjian) dengan manusia” [Ali Imran (3): 112].
Mereka telah memutuskan tali dengan Allah (swt) dan yang tinggal bagi mereka hanyalah tali dengan manusia iaitu tali Amerika, Eropah, serta ejen-ejen mereka daripada kalangan penguasa pengkhianat di negeri-negeri kaum Muslimin, yang tidak melakukan apa-apa dalam menghadapi pencerobohan ganas Yahudi. Masalahnya terletak pada negara-negara yang wujud di negeri kaum Muslimin hari ini, di mana para penguasanya setia kepada penjajah kafir, musuh Islam dan kaum Muslimin.
Demikianlah musibah bagi kaum Muslimin yang terletak pada para penguasanya; kesetiaan para penguasa ini kepada penjajah kafir membuatkan mereka tunduk kepada perintah dan larangan penjajah, bukannya menumpahkan kesetiaan mereka kepada Allah (swt) dengan melaksanakan hukum-hukum-Nya dan berjihad di jalan-Nya, serta meneladani Rasul-Nya (saw) sehingga Islam dan kaum Muslimin akan menjadi mulia, manakala kekufuran dan orang-orang kafir akan menjadi hina.
﴿وَيَوْمَئِذٍ يَفْرَحُ الْمُؤْمِنُونَ * بنَصْرِ اللَّهِ يَنْصُرُ مَنْ يَشَاءُ وَهُوَ الْعَزِيزُ الرَّحِيمُ﴾
“ Dan di hari (kemenangan) itu bergembiralah orang-orang yang beriman. Kerana pertolongan Allah. Dia menolong siapa yang dikehendaki-Nya. Dan Dialah Maha Perkasa lagi Penyayang” [Ar-Rum (30): 4-5].
Hizbut Tahrir
At-Tarikh al-Hijri: 11 Ramadan 1447 H
At-Tarikh al-Miilaadi: Sabtu, 28 Februari 2026 M
https://hizb-ut-tahrir.info/ar/index.php/leaflets/hizb/108010.html