Sia-sia Harapkan Obama

Sudah hampir lebih dua minggu Barack Obama bergelar Presiden Amerika bagi penggal kedua, Meskipun jumlah undian yang memihak kepadanya kali ini berkurang berbanding pilihanraya presiden yang lalu, namun hasilnya tetap sama iaitu segala polisi yang telah dijalankan selama sepenggal beliau memerintah akan bakal diteruskan sebagaimana tema kempen beliau iaitu “forward”. Mesej daripada rakyat Amerika sangat jelas iaitu mereka masih memerlukan kepimpinan Obama daripada Parti Demokrat ini.

Sebagai sebuah negara superpower, pastinya penyandang kerusi paling berkuasa itu akan menjadi tumpuan dunia. Ini kerana, penyandangnya bukan sahaja akan mencaturkan urusan politik dalaman negara mereka, tetapi ia akan mempengaruhi percaturan politik dunia secara amnya.

Namun begitu, sama ada Obama ataupun Romney yang terpilih, ia langsung tidak akan membawa kebaikan kepada umat Islam. Segala polisi yang akan mereka laksanakan pastinya berlandaskan ideologi kapitalis serta pastinya akan menyuburkan agenda kebebasan dan sistem demokrasi mereka. Lihatlah apa yang berlaku di Afghanistan mahupun Irak, langsung tiada apa perubahan yang berlaku walaupun berlaku perubahan pimpinan George Bush kepada Obama sebelum ini. Malah keadaan umat Islam semakin parah dengan apa yang berlaku di Syria dan di Semenanjung Gaza kerana sokongan kuasa barat ke atas Bashar Al Assad dan Israel. Jadi amat kejilah sekiranya ada pemimpin umat Islam yang seolah- olah tidak malu untuk mengucapkan tahniah di atas kemenagan Obama ini. Ucapan tahniah ini seolah- oleh merestui segala tindak tanduk serta kekejaman Obama ke atas umat Islam serta membenarkan untuknya melakukan perkara yang sama untuk satu penggal lagi!

Perubahan sebenar bagi politik umat Islam ialah apabila umat Islam dipimpin oleh seorang Khalifah dan mereka hidup di bawah satu negara iaitu Negara Khilafah. Hanya dengan cara itu sahaja, polar penguasa politik dunia akan berubah iaitu daripada pimpinan kuffar kepada kepimpinan Islam. Di ketika itu, barulah perubahan sebenar berlaku ke atas seluruh umat Islam di mana segala urusan serta kepimpinan mereka berlandaskan Islam sebagai teras rujukan dan pelaksanaan.  Khalifah yang memerintah bukan sahaja mengatur urusan umat Islam, tetapi turut mencatur urusan politik dunia. Oleh itu, tiada ucapan tahniah buat Obama. Wallahu a’lam.
 
Sumber : Utusan Online, 08/11/12 Utusan Online, 09/11/12