Siapa yang undang campur tangan asing?
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam facebooknya pada Jumaat 22 April lalu, kesal dengan sikap pemimpin yang sanggup meninggalkan prinsip sendiri demi agenda peribadi.
Pemimpin tersebut, ujarnya, dahulu sering melaungkan dan memperjuangkan semangat kebangsaan, tetapi berubah meminta campur tangan asing dalam hal ehwal negara. “Mereka ini sanggup meninggalkan prinsip, malah menggadaikan kedaulatan negara semata-mata untuk agenda peribadi. “Kita tak perlu, kita jangan minta orang asing campur urusan kita. Biarlah urusan dalam negara ditentukan oleh rakyat sendiri,” tulis Najib dalam akaun facebooknya itu.
Baru-baru ini, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika diwawancara oleh akhbar Australia, The Weekend Australian telah dikatakan meminta campur tangan asing dalam usaha menjatuhkan Najib. Namun, kenyataan tersebut dinafikan oleh Mahathir.
Apa pun perbalahan atau kenyataan antara Mahathir-Najib berhubung campur tangan asing, pokok persoalannya ialah, apakah urusan Malaysia tidak pernah dicampuri oleh pihak asing?
Mungkin kedua-dua individu tersebut telah lupa atau buat-buat lupa bahawa kemerdekaan dan pembentukan Malaysia itu sendiri adalah hasil “campur tangan” asing! Tanah Melayu telah “diberi” kemerdekaan oleh British pada 1957 dan negara ini terbukti tidak ada kedaulatan apabila British tetap menjadi penasihat sehinggakan pembentukan Malaysia pada 1963 itu pun adalah atas nasihat, restu dan campur tangan British!
Itu dari satu sudut. Dari sudut yang lain, sistem dan undang-undang yang diamalkan di Malaysia adalah sistem dan undang-undang kufur yang diwarisi daripada British! Dengan kata lain, walaupun secara zahirnya sudah tidak nampak campur tangan British secara langsung di Malaysia, namun hakikatnya sistem dan undang-undang yang ada sekarang tidak lepas sedikitpun dari apa yang British mahukan dan apa yang telah British tanamkan sejak belum merdeka lagi!
Bukan sekadar itu, sistem ekonomi, pergaulan, polisi pendidikan dan banyak lagi, pun tidak pernah lepas daripada apa yang telah British ajarkan. Malah, Suruhanjaya yang dipengerusikan oleh Lord Reid yang membentuk Perlembagaan Persekutuan, menjadikan negara ini sebenarnya berada dalam acuan British dan tidak keluar seincipun dari apa yang British mahukan.
Setakat ini, Malaysia sudah mempunyai enam orang Perdana Menteri dan tidak ada seorang Perdana Menteri pun yang menukar hakikat ini. Tidak ada seorang Perdana Menteri pun, baik Najib mahupun Mahathir, yang cuba keluar dari kepompong Perlembagaan, sistem dan undang-undang yang telah dicipta oleh kuffar British ini. Selagi mereka memandang yang Perlembagaan ciptaan si kafir Lord Reid ini sebagai yang terbaik, maka selagi itulah mereka sebenarnya tidak pernah keluar dari kepompong British!
Setelah Amerika Syarikat menguasai dunia dan hegemoni British semakin berkurangan, AS cuba mengalih “kiblat” Malaysia dari London ke Washington. Usaha itu dilihat melahirkan benih apabila Tun Abdullah Ahmad Badawi yang pada waktu itu yang merupakan Perdana Menteri Malaysia yang kelima, mula berjabat tangan dengan negara Uncle Sam itu. Pada waktu pemerintahan Najib, benih semakin membesar apabila keintiman Najib dengan Obama begitu menyerlah, baik di padang golf di Hawaii mahupun ketika ‘selfie’ bersama di Kuala Lumpur. Apatah lagi Najib telah pun bersetuju untuk menandatangani TPPA yang dipelopori oleh AS yang akan menyaksikan campur tangan negara kafir itu dalam ekonomi Malaysia!
Baik British mahupun Amerika, kedua-duanya adalah kuffar Barat yang sama-sama haram untuk dijadikan kawan, apatah lagi untuk Malaysia menjadi pak turut dan tunduk kepadanya. Namun, inilah realiti Malaysia saat ini. Dengan realiti umpama matahari di siang hari ini, tiba-tiba Najib menyatakan kekesalan apabila ada orang yang meminta campur tangan asing dalam urusan Malaysia!!!