Siapakah Itu Muallaf Dan Kedudukan Pemberian Zakat Kepada Mereka.

muslim-muallaf-2Soalan  :

Ustaz, kami agak keliru tentang kedudukan muallaf dalam Islam kerana terdapat perbincangan yang mengatakan bahawa Saidina Umar Al-Khattab RA pernah menggugurkan bahagian zakat muallaf pada zaman pemerintahannya. Mohon Ustaz perincikan tentang hukum perkara ini.

Jawapan :

Memang benar, di zaman Khalifah Umar Al-Khattab RA, beliau tidak membahagikan zakat kepada muallaf kerana mengikut ijtihad Umar RA, asnaf untuk muallaf ini muncul di kala Islam pada waktu itu masih lemah. Apabila Islam sudah menjadi kuat dan tersebar luas, maka sudah tidak perlu lagi untuk memanjakan golongan ini. Lantaran tindakan Umar yang tidak ditentang oleh para sahabat yang lain, ia telah memunculkan penafsiran tentang hukum zakat ini. Penulisan ini akan cuba membantu untuk memahamkan tentang perbezaan fuqaha yang berlaku dalam bab ini.

Dari segi bahasa, muallaf adalah orang yang ditambat hatinya dengan perbuatan yang baik dan kasih sayang. Manakala dari segi pengertian istilah (syarak), muallaf adalah orang-orang yang ditambat hatinya untuk dijinakkan mereka kepada Islam, atau untuk menguatkan mereka terhadap Islam, atau untuk menghilangkan bahaya mereka daripada kaum Muslimin, atau untuk menolong mereka atas musuh mereka dan yang semisal dengannya. (Al Mausu’ah Al-Fiqhiyyah, 36/12; Yusuf Qaradhawi, Fiqh Az-Zakah, 2/57).

Para fuqaha berbeza pendapat tentang sama ada gugur atau pun tidak hukum pembahagian zakat terhadap golongan ini. Menurut ulama Hanafiyah, hak zakat itu telah gugur setelah Islam menjadi kuat dan tersebar luas. Manakala jumhur ulama iaitu ulama Malikiyah, Syafi’iyah dan Hanabilah berpendapat bahawa hak zakat bagi golongan muallaf tidak gugur. Namun di kalangan jumhur ulama ini, ada juga yang berpendapat bahawa hak zakat muallaf telah terputus (munqathi’), yakni tidak diberikan lagi sekarang. Tetapi sekiranya terdapat keperluan untuk menjinakkan hati mereka, maka zakat diberikan lagi. (Wahbah Zuhaili, Al Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu, 3/298-299; Al-Mausu’ah Al-Fiqhiyyah, 36/13, dan 23/319).

Para fuqaha juga mempunyai perbezaan pendapat tentang anutan agama penerima zakat, iaitu sama ada bolehkah orang kafir (non-Muslim) dapat digolongkan sebagai muallaf. Menurut ulama Malikiyah, muallaf adalah orang kafir yang dijinakkan hatinya supaya memeluk Islam. Menurut ulama Syafi’iyah, tidak boleh sama sekali diberikan hak zakat untuk muallaf kepada orang kafir. Menurut ulama Hanabilah, muallaf itu ada yang Muslim dan ada pula yang kafir. (Al Mausu’ah Al-Fiqhiyyah, 36/13; Sa’id Al-Qahthani, Masharif Az-Zakah fi Al-Islam, hlm. 22-23).

Setelah dikaji dan diteliti dalil-dalil berkenaan perkara ini, menurut pandangan kami yang rajih (kuat) adalah sebagaimana berikut;

Pertama, muallaf itu hanya terdiri daripada Muslim sahaja. Hak zakat tidak boleh diberikan kepada orang kafir.

Kedua, hukum pemberian zakat kepada muallaf tidak pernah gugur, tetapi pemberiannya bergantung kepada illat (sebab berlakunya hukum) tertentu, iaitu untuk menjinakkan hati (ta`liful qulub) muallaf. Ia bergantung kepada pandangan Khalifah. (Taqiyuddin An-Nabhani, AnNizham Al-Iqtishadi fi Al-Islam, hlm. 241; As-Syakhshiyyah Al-Islamiyyah, 3/354; Abdul Qadim Zallum, Al-Amwal fi Daulah Al-Khilafah, hlm. 193).

Dalil yang mengatakan bahawa muallaf itu khas untuk Muslim sahaja adalah berdasarkan kepada sabda Rasulullah SAW yang disampaikan kepada Muadz bin Jabal ra, yang mana ia diutuskan ke Yaman bagi mengajak kaum ahli kitab untuk memeluk Islam,

“Maka beritakanlah kepada mereka (orang-orang yang sudah memeluk Islam daripada ahli kitab itu) bahawa Allah telah mewajibkan zakat ke atas mereka pada harta-harta mereka yang diambil daripada orang-orang kaya mereka dan dibahagikan kepada orang-orang fakir mereka.” [HR Bukhari no 395; Muslim no 19, daripada Ibnu Abbas RA].

receive-zakat-1Syeikh Abdul Qadim Zallum berhujah dengan hadis ini bahawa zakat tidak diberikan kecuali kepada Muslim, dan ia tidak diberikan kepada seseorang yang kafir. (Al-Amwal fi Daulah Al-Khilafah, hlm. 193). Pandangan ini adalah selari dengan pendapat Imam Syafi’i ra yang berkata, “Orang-orang muallaf adalah sesiapa sahaja yang memeluk Islam dan tidak diberikan zakat itu kepada orang musyrik untuk menjinakkan hati mereka supaya memeluk Islam.” (Al-Umm, Juz 2 hlm. 61).

Tentang membelanjakan harta zakat kepada muallaf, ia bergantung kepada illat tertentu yang mana dalam kes ini ia merujuk kepada untuk menjinakkan hati-hati mereka. Dalilnya adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT yang bermaksud,

”Sesungguhnya zakat-zakat itu hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, para ‘amil zakat, para muallaf yang dipujuk hatinya…”
[TMQ At-Taubah (9) : 60].

Imam Taqiyuddin An-Nabhani mengatakan bahawa kata  “al-mu`allaffatu quluubuhum” adalah sifat (washf) yang menunjukkan illat pemberian zakat, iaitu untuk menjinakkan hati mereka (ta`liful qulub). (As-Syakhshiyyah Al-Islamiyyah, Juz 3 hlm. 354). Adapun yang mempertimbangkan sama ada illat itu wujud ataupun tidak adalah Khalifah sebagai ketua negara Khilafah. (An-Nizham Al-Iqtishadi fi Al-Islam, hlm. 241).

Kesimpulannya, muallaf adalah Muslim sahaja (bukan orang kafir) yang mana menurut pendapat Khalifah, dengan memberikan zakat kepada mereka akan terwujud suatu kemaslahatan yang menguatkan pegangan mereka terhadap Islam. (An-Nizham Al-Iqtishadi fi Al-Islam, hlm. 241).

Wallahu a’lam.