Zakat untuk orang-orang kafir?

SHAH ALAM 22 Okt. – Dua anggota pembangkang mempersoalkan langkah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Kota Damansara, Dr. Mohd. Nasir Hashim yang mencadangkan agar kerajaan negeri menyalurkan sebahagian peruntukan zakat kepada bukan Islam di Selangor. Datuk Dr. Satim Diman (BN-Sri Serdang) dan Abdul Shukur Idrus (BN-Kuang) berkata, soal pengurusan wang zakat tidak harus dibangkitkan oleh mana-mana pihak dan dijadikan isu untuk kepentingan politik. Menurutnya, wang zakat yang dikumpul adalah untuk diagih-agihkan kepada lapan asnaf yang telah ditetapkan agama Islam.

Dr. Mohd. Nasir yang juga Presiden Parti Sosialis Malaysia (PSM) membangkitkan perkara itu ketika sesi soal jawab pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, sebagai salah satu pendekatan yang boleh diambil oleh kerajaan negeri pakatan pembangkang untuk menangani masalah kemiskinan di kalangan bukan Islam. Beliau menegaskan bahawa ia merupakan soalan (kemusykilan) bukan usul. Bagaimanapun, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim menolak cadangan tersebut dari dilaksanakan dalam negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat ketika ini.

Keseluruhan asnaf yang layak menerima zakat telah ditetapkan oleh Allah hanya kepada orang-orang Islam sahaja. Ia termaktub dengan jelas di dalam Al-Quran,

“Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan ibnu sabil. (Yang demikian itu) sebagai satu ketetapan dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” [TMQ At-Taubah (9):60]

Justeru, amat naif sekali pandangan yang menyatakan agar zakat turut diberi kepada orang-orang kafir. Inilah akibatnya apabila konsep keadilan yang sama rata yang terdapat dalam fahaman sosialis ingin diterapkan ke dalam Islam. ‘Keadilan’ di dalam Islam langsung tidak sama dengan ‘keadilan’ yang ada di dalam Ideologi lain. Keadilan dalam Islam bukan bergantung pada kesamaan damal hal material yang dibahagikan kepada seseorang walaupun inilah makna keadilan yang terdapat di dalam Ideologi Sosiallis mahupun Kapitalis.

Islam memandang bahawa dua bahagian kepada anak lelaki dan satu bahagian kepada anak perempuan dalam masalah pusaka adalah adil. Islam memandang bahawa aurat lelaki dari pusat ke lutut dan aurat perempuan adalah keseluruhan anggota badan kecuali tapak tangan dan muka adalah adil. Islam memandang bahawa lelaki boleh kahwin sehingga empat manakala perempuan satu sahaja adalah adil. Dengan kata lain, keadilan di dalam Islam adalah dengan mengikuti setiap perintah dan larangan Allah, walaupun hak dan pembahagian tersebut tidak sama pada pandangan manusia. Hal ini berbeza dengan Ideologi Sosialis mahupun Kapitalis yang mengukur keadilan menggunakan akal.

Dalam Islam, orang Islam diwajibkan zakat, manakala orang kafir diwajibkan membayar jizyah. Pengiraan zakat telah tetap caranya, manakala jumlah jizyah bergantung pada pendapat Khalifah selaku ketua negara. Walaupun jumlah kedua tidak sama, namun ini adalah adil menurut Islam. Islam mengukur keadilan berdasarkan hukum wahyu, bukan hukum akal. Justeru, apa sahaja hukum yang ditetapkan oleh Allah, maka itu adalah adil bagi manusia. Sebagai Muslim, kita mesti ingat bahawa Allah adalah Pencipta Manusia, Pembuat Hukum, Maha Mengatur dan Maha Adil. Oleh itu, apa sahaja yang diputuskan oleh Allah yang berupa hukum-hukum syarak bagi manusia, maka kesemuanya adalah adil. Dan barangsiapa yang tidak berhukum dengan hukum Allah, maka dia adalah zalim.

Jika direnung dengan teliti, pandangan ini juga merupakan manifestasi dari fahaman liberalisme yang sedang menular di kalangan umat Islam. Ia cuba meliberalkan semua perkara termasuklah hukum-hukum Allah yang qath’ie sifatnya. Idea yang dicanangkan oleh Barat ini telah mendapat tempat di kalangan orang-orang Islam yang jahil dan jauh dari Islam. Oleh kerana kejahilan di kalangan umat Islam itu sendiri, maka fahaman dan pemikiran asing yang merosakkan Islam boleh bercambah dengan suburnya. Hukum akal didewakan oleh golongan ini, manakala hukum wahyu ditinggalkan. Malang sungguh bagi umat Islam kerana di kalangan mereka, terdapat golongan seperti ini yang menjadi pemimpin.