Siapakah Sebenarnya Yang Tidak Mahukan Perubahan?
BUKIT MERTAJAM: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kecewa dengan sikap pengundi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir yang tidak mahukan perubahan. Beliau yang juga Timbalan Presiden Umno berkata kekalahan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir menunjukkan pengundi terlalu selesa dengan keadaan mereka ketika ini sehingga tidak mahukan pembangunan. “Kita menerima keputusan ini kerana mengikut apa yang diamalkan dalam demokrasi berparlimen dan kita menghormati keputusan rakyat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Pada pilihan raya itu, calon PAS, Mohd Salleh Man, 52, menewaskan calon BN, Rohaizat Othman, 38 dengan majoriti 4,551 undi. Sambil mengucapkan tahniah kepada calon Pas beliau berkata isu melibatkan calon yang dieksploitasi pembangkang juga menjadi faktor kepada kekalahan BN. Selain itu, Muhyiddin berkata Permatang Pasir yang terletak dalam kawasan Parlimen Permatang Pauh dan merupakan kubu kuat Penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim, menjadi faktor kepada kekalahan BN. “Tempat itu juga adalah kubu Pas dan mempunyai jumlah pengundi Cina yang ramai,” katanya yang turut menjelaskan bahawa keputusan pilihan raya ini tidak boleh dibandingkan dengan pilihan raya kecil DUN Manik Urai, Kelantan. Bagaimanapun, beliau berkata berdasarkan jumlah undi yang diperolehi calon BN, sokongan terhadap pakatan tidak berkurangan jika dibandingkan dengan pilihan raya umum 2008.
“Kita nampak cuma ada sedikit perubahan (sokongan terhadap BN) di beberapa peti undi tetapi tidak begitu ketara,” katanya. Beliau berkata BN akan menganalisis punca kekalahan pada pilihan raya itu dari aspek sokongan pengundi Melayu, Cina dan India bagi membuat penambahbaikan untuk menghadapi pilihan raya akan datang. Muhyiddin berkata beliau yakin sokongan terhadap BN akan pulih dari semasa ke semasa di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. “Saya percaya dan yakin kita akan pulih,” katanya. Beliau turut mengingatkan Umno Permatang Pauh untuk terus bekerja keras bagi mendampingi pengundi dan memahami sikap mereka. Sementara itu, Rohaizat berkata beliau akan terus berkhidmat kepada penduduk di kawasan itu sebagai tanda terima kasihnya kepada pengundi yang menyokongnya.
Katanya, sebagai Setiausaha Umno Bahagian Permatang Pauh, beliau akan terus membantu golongan yang memerlukan bantuan di kawasan itu setelah mendengar masalah yang mereka hadapi mereka sepanjang tempoh berkempen. Rohaizat berkata beliau menerima kekalahan itu dengan hati terbuka kerana itu adalah keputusan rakyat dan berharap Mohd Salleh akan memberikan perkhidmatan yang baik kepada penduduk di situ. BERNAMA
Sumber : mStar online: 26/08/09
Siapakah Sebenarnya Yang Tidak Mahukan Perubahan?
Pelbagai komen dan pandangan diberikan oleh pihak UMNO apabila mereka sekali lagi ditolak oleh pengundi dalam pilihanraya kecil di Permatang Pasir semalam. Rasa kekecewaan UMNO diterjemahkan oleh TPM yang memberikan ulasan terhadap kekalahan UMNO tersebut dengan mengatakan para pengundi tidak mahukan perubahan. Apakah benar para pengundi menolak perubahan ataupun sebenarnya mereka menolak UMNO? Hakikatnya bukanlah para pengundi tidak mahukan perubahan tetapi faktanya saat ini mereka tidak mahukan UMNO.
Secara fitrahnya manusia itu cenderung kepada perubahan. Cuma samada perubahan itu ke arah kebaikan ataupun sebaliknya bergantung kepada konsep perubahan yang dibawa. Islam memandang bahawa perubahan itu adalah sesuatu yang perlu dimulakan dengan perubahan pemikiran. Selagi pemikiran manusia tidak diubah maka selama itulah tidak akan berlaku perubahan yang sebenarnya. Firman Allah SWT
“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri” [TMQ ar-Ra’d (13) : 11]
Hakikatnya UMNO sendiri yang perlu berubah. Dari sebuah parti yang berasaskan ashobiyyah kepada parti yang berasaskan Islam dan berjuang untuk mengembalikan kembali kehidupan Islam agar Deen Allah yang mulia ini dapat diterapkan kembali di tengah-tengah kehidupan manusia. Kita yakin jika UMNO berubah kepada parti yang berasaskan Islam dan berjuang untuk Islam sebagaimana yang difirmankan oleh Allah SWT;
“Dan hendaklah ada di antara kamu satu umat yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya” [TMQ al-Imraan (3) :104],
InsyaAllah umat Islam akan bersama dengan mereka. UMNO wajib berubah dengan meninggalkan fahaman ashobiyyah jahiliyyah dan berpegang teguh dengan Islam. Dengan perubahan ini, sinar kemuliaan akan pasti menyerlah..