Silaturrahim: Menguatkan Ikatan Kekeluargaan

Oleh: Maryam Ismail

Menjaga silaturrahim merupakan satu kewajipan yang amat dituntut dalam Islam. Ia jelas termaktub dalam firman Allah SWT, “Dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut namaNya serta peliharalah hubungan silaturrahim kaum kerabat kerana sesungguhnya Allah sentiasa mengawasi kamu” [TMQ Al-Nisa’ (4): 1]

Malangnya, pada hari ini terdapat ramai Muslim yang memandang ringan tentang kepentingan menjaga silaturrahim. Demi harta dan kepentingan duniawi, ada yang sanggup memutuskan hubungan kekeluargaan. Rasulullah SAW telah memberi gambaran peristiwa sebegini melalui sebuah hadis: “Kelak bumi akan mengeluarkan semua isi perutnya yang terlalu banyak dari emas dan perak. Kemudian akan datang seorang pembunuh seraya berkata, kerana benda inilah aku membunuh. Kemudian datang pula orang yang memutuskan tali silaturrahim seraya berkata, kerana benda inilah aku memutuskan tali silaturrahim. Kemudian datang pula seorang pencuri seraya berkata, kerana benda inilah tanganku dipotong. Akhirnya mereka semua meninggalkannya begitu sahaja tanpa mengambilnya sedikit pun”.[HR Muslim 1683]

Definisi Silaturrahim

Silaturrahmi atau (shilah ar-rahmi (صِلَةُ الرَّحمِ) berasal daripada dua perkataan bahasa Arab, iaitu “silah” yang bermaksud hubungan, dan “ar-rahim” )—bentuk jamaknya al-arham—yang membawa makna rahim atau hubung kait kekeluargaan (kerabat). Dalam Al-Quran, perkataan “arham” disebut sebanyak tujuh kali dengan maksud rahim dan lima kali sebagai kerabat. Oleh itu, secara literal, silaturrahim bermaksud hubungan kekeluargaan yang terjalin melalui rahim.

Menurut Imam an-Nawawi, silaturrahim bermaksud berbuat baik kepada kerabat mengikut keadaan orang yang hendak menghubungkan dan orang yang hendak dihubungkan. Ia boleh dilakukan dalam pelbagai bentuk seperti bantuan kewangan, tenaga, kunjungan, ucapan salam, dan bentuk kebaikan yang lain. (Syarah Shahih Muslim II201)

Kewajipan Menjaga Silaturrahim

Nabi Muhammad SAW mengingatkan kita tentang kewajipan menjaga hubungan kekerabatan melalui satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Hakim dan Ibnu Hibban dari jalur sanad Hariq al-Muharibi bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Tangan orang yang memberi (nafkah) itu tinggi (kedudukannya). Mulailah dengan orang yang menjadi tanggunganmu, kemudian ibumu, kemudian ayahmu, kemudian saudara perempuanmu, kemudian saudara lelakimu, kemudian yang dekat denganmu dan yang dekat denganmu.”

Rasulullah SAW turut memberi ancaman api neraka bagi mereka yang memutuskan tali silaturrahim. Sabda Baginda, “Tidak akan masuk syurga orang yang suka memutuskan tali silaturrahim” [HR Muslim]

Dengan ancaman yang dahsyat daripada Rasulullah SAW ini sepatutnya menguatkan tekad kita untuk terus menjaga hubungan kekeluargaan. Dalam Islam, hubungan kekeluargaan dibahagikan kepada dua kategori utama:

  1. Kerabat yang memiliki hak waris. Golongan ini dikenali sebagai Ashab al- Furud atau mereka yang layak mendapat bahagian tetap dalam pembahagian harta pusaka. Selain itu, terdapat juga golongan Ashabah iaitu hubungan agnatik (kerabat dari sebelah bapa), yang turut termasuk dalam kategori ini.
  2. Kerabat yang tidak memiliki hak waris. Ini merujuk kepada hubungan kekeluargaan dari pihak ibu atau zawi al-arham. Mereka tidak mempunyai bahagian dalam harta pusaka tetapi masih dianggap kerabat. Ada sepuluh orang yang termasuk dalam golongan ini iaitu bapa saudara sebelah ibu (khal), ibu saudara sebelah ibu (khalah), datuk sebelah ibu (jadd li al-umm), anak lelaki dari anak perempuan (cucu), anak lelaki dari saudara perempuan (anak saudara), anak perempuan dari saudara lelaki (anak saudara), ibu saudara (saudara perempuan bapa), bapa saudara dari ibu, anak lelaki dari saudara lelaki seibu; serta keturunan salah seorang dari mereka.

Walaupun terdapat perbezaan dalam aktegori-kategori ini, Allah SWT tetap memerintahkan kita untuk menjalin hubungan silaturrahim dan berbuat baik kepada semua kerabat, bahkan terhadap kerabat yang tidak seagama dengan kita. Kisah Asma’ binti Abu Bakar RA memberikan contoh terbaik dalam hal ini. Menurutnya, “Ibuku datang kepadaku, sedangkan dia adalah seorang wanita musyrik pada masa Quraisy (Jahiliah), kerana mereka telah membuat perjanjian dengan Nabi mengenai anaknya. Maka aku meminta fatwa kepada Rasulullah SAW. Aku berkata, “Ibuku datang kepadaku, sedangkan dia ingin bertemu denganku.” Rasulullah SAW menjawab, “Ya, sambunglah tali silaturahim dengan ibumu.”

Cara Menyambung Silaturrahim

Terdapat pelbagai cara untuk meyambung silaturrahim, antaranya adalah dengan kunjungan ziarah yang tidak terhad pada perayaan seperti Aidilfitri, saling mendoakan, menyantuni ketika kerabat dalam kesusahan, saling menasihati ke arah kebaikan serta ketakwaan dan boleh juga saling memberi hadiah sebagai tanda kasih sayang sebagaimana sabda Nabi SAW, “Hendaklah kamu saling memberi hadiah, nescaya kamu akan saling mencintai.” [HR Bukhari]

Kesimpulan

Jelas bahawa Islam sangat menitikberatkan hubungan silaturrahim dalam kehidupan seorang Muslim. Ia bukan sekadar tradisi atau formaliti, tetapi merupakan salah satu asas pelaksanaan hukum Allah SWT. Dengan itu, umat Islam digalakkan untuk terus memelihara tali silaturrahim, bukan kerana kepentingan duniawi seperti harta semata-mata, tetapi demi mencapai keredhaan Allah dan membina masyarakat yang harmoni dan berkat.

Wallahu’alam.