Keganasan Rumah Tangga Ketika PKP – Sekilas Kepincangan Institusi Kekeluargaan Hari Ini

Sebanyak 135 aduan keganasan rumah tangga (KRT) diterima melalui Talian Kasih di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) [Astro Awani, 16/4/2020].

Jumlah tersebut hanyalah sebahagian daripada insiden keganasan rumah tangga yang dilaporkan dan direkodkan oleh agensi berkaitan, namun tidak mustahil lebih banyak lagi kes-kes keganasan rumah tangga terjadi terutamanya di sepanjang penguatkuasaan PKP di negara ini.

Meskipun fokus kini tertumpu kepada penularan wabak COVID-19 dan langkah-langkah kawalan serta pencegahannya, namun keseriusan kes KRT tidak sewajarnya dipandang remeh. Bahkan mangsa-mangsa lebih terdedah kepada keganasan kerana banyak masa terluang di rumah ekoran PKP, manakala sekatan pergerakan pula menyukarkan mereka untuk mendapatkan bantuan.

Terdapat banyak faktor yang dikatakan boleh menyumbang kepada tercetusnya KRT ketika menghadapi ancaman COVID-19 serta penguatkuasaan PKP, antaranya termasuklah tekanan yang dihadapi tatkala berhadapan dengan ancaman wabak, kegusaran ekoran ketidaktentuan ekonomi, kehilangan sumber pendapatan, dan sebagainya.

Dengan kata lain, faktor-faktor tersebut cenderung mendatangkan impak negatif terhadap kesihatan mental seseorang sekali gus menjadikan seseorang itu cenderung kepada melakukan KRT sekiranya tidak ditangani secara berkesan.

Kebanyakan yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga terdiri daripada wanita dan kanak-kanak, selain daripada warga emas. Keganasan domestik ini pula tidak terhad kepada keganasan fizikal semata-mata, bahkan meliputi penderaan mental, perasaan, tekanan dari sudut kewangan, dan pengabaian (neglect).

Sekiranya Muslim itu berpegang teguh dengan Islam, walau apa jua ujian dan cabaran yang melanda, ia tidak akan mendorongnya untuk melakukan KRT. KRT merupakan suatu bentuk kesalahan dan dosa, kerana bertentangan dengan tuntutan Islam berhubung institusi kekeluargaan. Islam menyarankan supaya suami dan bapa berbuat baik kepada keluarganya, sebagaimana sabda Rasulullah (saw),

“Sebaik-baik kalian adalah orang yang paling baik terhadap keluarganya, dan aku adalah orang yang paling baik terhadap keluargaku” [HR Tirmizi].

Demikian juga sabda baginda (saw),

“Mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya di antara mereka. Dan sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap isterinya” [HR Ahmad].

Begitu pula dengan layanan terhadap kedua ibu bapa, apatah lagi di saat mereka sudah lanjut usia. Daripada Abu Hurairah (ra), Rasulullah (saw) bersabda:

 “Kehinaan, kehinaan, kehinaan.” Baginda ditanya: “Siapa (yang engkau maksudkan) wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab: “Siapa sahaja yang mempunyai orang tuanya ketika sudah lanjut usia, salah satu atau kedua-duanya namun tidak (menjadikannya sebab) masuk syurga” [HR Muslim].

Firman Allah (swt);

وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۚ إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا

“Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan “ah” dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia” [Al-Isra’ (17): 23].

Dari sudut yang lebih luas pula, kita dapat perhatikan bagaimana institusi kekeluargaan pada hari ini rata-ratanya begitu jauh berbeza dengan apa yang digariskan oleh Islam. Sikap materialistik, individualistik, lemahnya pegangan agama, serta tekanan yang dihadapi akibat kesempitan hidup dalam sistem kapitalisme pada hari ini – semua ini menyumbang kepada tercetusnya KRT. Inilah natijah yang terjadi apabila Islam sebagai sebuah mabda’ (ideologi) sudah tidak lagi diterapkan secara kaffah (menyeluruh) dalam kehidupan.

Dalam urusan rumahtangga, tatkala negara tidak menerapkan Islam sehingga suasana keIslaman tidak wujud dalam masyarakat, hanya dengan ketakwaan individu sahajalah yang dapat menjadi benteng bagi memastikan tidak berlakunya KRT sekali gus mewujudkan sesebuah keluarga yang sakinah, mawaddah, dan rahmah (tenang, berkasih-sayang, dan penuh rahmah), sejajar dengan firman Allah (swt);

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُمْ مَوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya diantara kamu rasa kasih-sayang dan rahmah. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir” [Ar-Rum (30): 21].

Wallahu a’lam.

Abu Fahim Muhammad Fadhli