SIS Buat Kenyataan Melampau

KUALA LUMPUR, 5 Okt — Pertubuhan bukan kerajaan Sisters in Islam (SIS) kekal dengan pendiriannya menentang pelaksanaan hukum hudud di Malaysia atas alasan ia tidak akan membawa keadilan kepada kaum wanita.

Pengarah Eksekutif SIS Ratna Osman berkata, pihaknya kekal dengan pendirian yang diputuskan sejak 1993 itu – pada tahun kerajaan negeri Kelantan pimpinan PAS meluluskan enakmen bagi menguatkuasakan perundangan itu.

Terengganu membawa enakmen yang sama 10 tahun kemudian.

Bagaimanapun pelaksanaan terbantut ekoran sekatan pusat atas alasan kedudukan Perlembagaan Persekutuan.

Kata beliau, SIS menentang perundangan itu kerana ia akan menafikan hak kaum wanita selain bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan melanggar jaminan berperlembagaan yang diperuntukkan.

“SIS percaya bahawa masyarakat perlu dikawal selia selari dengan prinsip kesaksamaan, keadilan dan maruah, dan bukannya menerusi penghakisannya dengan hukuman-hukuman kejam dan keras,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Jelas beliau, hukum hudud mendiskriminasikan kaum wanita kerana beban pembuktikan, misalnya dalam kes rogol, terletak pada bahu mangsa.

“Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Terengganu (Hudud dan Qisas) 2002 mengatakan bahawa di bawah Seksyen 9, seorang wanita yang membuat laporan dia telah dirogol boleh dituduh qazaf dan dikenakan sebatan sebanyak 80 kali jika dia gagal menyediakan bukti. “Meskipun pindaan telah dibuat untuk membenarkan bukti situasi, masih wujud kekeliruan,” katanya sambil menambah, “sebagai contoh, pihak mana yang perlu menyediakan bukti iaitu polis atau mangsa?”
“Pindaan tidak mencukupi dan keseluruhan undang-undang ini kekal sesuatu yang tidak adil,” kata beliau.

Beliau menambah, di bawah enakmen Kelantan pula, seorang wanita yang mengandung atau melahirkan anak disebabkan kejadian rogol, dianggap telah melakukan zina meskipun dia merupakan mangsa dirogol.

“Ketidakupayaan menyediakan empat saksi lelaki akan berakhir dengan (andaian) telah melakukan zina sedangkan perogol pula bebas,” kata Ratna.

Sambil menegaskan seorang wanita tidak boleh menjadi saksi, kata beliau, mereka dari kepercayaan yang lain pun tidak boleh menjadi saksi.

“Sebenarnya tiga per empat penduduk Malaysia tidak layak menjadi saksi,” katanya lagi.

Justeru kata beliau, enakmen-enakmen hudud di Kelantan dan Terengganu melanggar prinsip hak asasi manusia dan keadilan dan kesaksamaan dalam Islam.

“Ia memperuntukkan hukuman yang dilihat kejam, tidak perikemanusiaan dan mengaibkan,” katanya lagi.

Oleh itu kata beliau, SIS mahu menekankan pendiriannya bahawa undang-undang hudud tidak berperlembagaan dan tidak boleh dilaksanakan di negara ini.

“Ia melanggar prinsip-prinsip universal hak asasi manusia dan diskriminasi ke atas kaum wanita,” katanya lagi.

Sumber: The Malaysian Insider


SIS BUAT KENYATAAN MELAMPAU!

Tak habis-habis agenda mereka menakwilkan hukum Allah Ta’ala mengikut keterbatasan logik akal semata-mata. Sepatutnya, akal kurniaan Allah ini digunakan untuk memahamkan hukum Allah dan segera dilaksanakan. Bertambah berdosa apabila dituduh hukum Allah adalah tidak adil dan melanggar hak asasi manusia. Masya Allah! Bertaubatlah sebelum nyawa sampai di kerongkong kalian.  Hudud adalah hak Allah dan wajib dijalankan biarpun golongan kafir, munafik, liberal dan sekular membencinya sekalipun. Jika seseorang itu menolak hukum Allah dan Rasul, serta tidak pasrah/redha kepadanya, maka tidak ada lagi keimanan dalam diri seseorang itu.

Maka demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu (Wahai Muhammad) hakim dalam perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa keberatan dalam hati mereka terhadap putusan yang kamu berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya” [TMQ An Nisa’ (4):65].

Kenyataan SIS : ….bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan melanggar jaminan berperlembagaan yang diperuntukkan.

Nampak dengan jelas, pelbagai pihak termasuk gabungan parti pembangkang dan SIS akui bahawa hukum Hudud tidak dapat dilaksanakan kerana Perlembagaan Persekutuan yang merupakan hadiah kemerdekaan daripada penjajah British. Sedar dan bukalah seluas-luas mata hati anda wahai kaum muslimin khususnya pencinta hukum Hudud, ayuh buang Perlembagaan Persekutuan dan kembali semula kepada Perlembagaan hakiki iaitu Al-Qur’an dan Sunnah yang ditinggalkan Rasul s.a.w.

Apakah hukum jahiliyah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin?” [TMQ al-Maidah (5) : 50]

Kenyataan SIS : …hukum hudud mendiskriminasikan kaum wanita kerana beban pembuktikan, misalnya dalam kes rogol, terletak pada bahu mangsa.

Lelaki dan perempuan berkedudukan setara dalam hukuman. Perbezaan hanya jumlah saksi yang diperlukan. Umumnya, dua orang saksi perempuan setara dengan seorang saksi lelaki. Ini tidak bererti bahawa perempuan rendah separuh status berbanding lelaki! Aturan ini bukan ditetapkan oleh lelaki, tapi oleh Yang Maha Pencipta dan Maha Adil terhadap wanita iaitu Allah s.w.t. Masing-masing wajib taat kepada aturan ini sebagai bukti ketaatan kepadaNya. Jika pihak penuduh zina tidak dapat mengajukan empat saksi yang adil, maka dia sendiri yang dihukum qadzaf dengan 80 kali sebatan. Selain itu, kes zina boleh juga dibuktikan dengan pengakuan oleh si pelaku atau kehamilan pada wanita yang disertai pengakuannya. Jika si wanita bersumpah dia dirogol, maka keberadaan empat orang saksi itu tidak memberi impak apa pun. Malah wanita itu tidak akan dijatuhkan hukuman zina kerana hudud tidak dijatuhkan ke atas orang yang dipaksa.

Kenyataan SIS: ….hukuman yang dilihat kejam, tidak perikemanusiaan dan mengaibkan

Wahai pemerintah yang takutkan hukuman Allah! Haramkan keberadaan SIS di muka bumi ini! Mereka berlagak lebih hebat daripada Pencipta Hudud. Sememangnya jika hanya hudud dilaksanakan dan sistem yang lain masih dalam kekufuran, memanglah tidak adil. Ini yang dimaksudkan Allah,

Wahai orang-orang yang beriman, masuklah Islam secara kaffah (menyeluruh) dan janganlah kamu mengikut jejak syaitan, sesungguhnya (syaitan itu) adalah musuh yang jelas bagi kamu” [TQM Al-Baqarah: 208]

Sebab itu, hukum Allah dan segala sistem dari Nya tidak boleh diterap secara bertahap (tadarruj), tetapi pemerintah (khalifah) di bai’at untuk menerapkan keseluruhan Islam yang kaffah mulai hari pertama memerintah.

Dan tidak sepatutnyalah bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan – apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara – (tidaklah boleh mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka Sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.” [TQM Al-Ahzab : 36]

Juga firmanNya, “Dan barangsiapa yang memaksiati Allah dan Rasul-Nya dan melanggar ketentuan-ketentuanNya, nescaya Allah memasukkannya ke dalam api neraka sedang ia kekal di dalamnya, dan baginya seksa yang menghinakan” [TMQ an-Nisa’ (4):14].

Sila rujuk Sautun nahdhan SN277 dan SN278 untuk mendapatkan pencerahan pemikiran mengenai hukum hudud.

Wallahua’lam