Wahai Para Mufti, Bersuaralah Kalian!!

Harussani bidas Sisters in Islam
PUTRAJAYA 18 Feb. – Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria hari ini membidas Sisters in Islam (SIS) yang menyifatkan tindakan merotan tiga wanita Islam atas kesalahan melakukan persetubuhan haram sebagai diskriminasi terhadap wanita.

Tegas beliau, mana-mana pihak yang mempunyai tanggapan sedemikian bermakna mereka tidak mempercayai hukum Allah dan boleh dianggap terkeluar daripada Islam.

”Orang seperti ini tidak faham hukum Islam, mereka menentang dan membenci hukum Islam kerana terpengaruh dengan orientalis Barat yang menentang Islam.

”Kalau hendak diambil kira hukuman enam kali sebatan itu ia begitu ringan sedangkan asalnya 100 kali sebatan terhadap mereka yang melakukan persetubuhan haram manakala 80 kali sebatan terhadap yang minum arak,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Dalam hal ini, Harussani memuji bekas model sambilan yang didapati bersalah meminum arak, Kartika Sari Dewi Shukarnor, 32, yang bersedia menjalani hukuman sebat.

”Dia mengaku kesalahannya dan mahu dihukum secara Islam, jadi Kartika seorang yang jujur dan mempunyai kesedaran,” kata beliau.

Sisters in Islam hari ini mendakwa tindakan Jabatan Penjara pada 9 Februari lalu merotan tiga wanita Islam atas kesalahan mengadakan persetubuhan haram sebagai satu diskriminasi terhadap wanita.

Pertubuhan itu mendakwa tindakan merotan itu mencabuli hak sama rata dan tiada diskriminasi yang dijamin oleh Perlembagaan kerana wanita tidak boleh disebat menurut Seksyen 289, Akta Kanun Jenayah.

Dalam kenyataan akhbarnya itu, Pengarah Eksekutif Sis, Hamidah Marican berkata, memandangkan beberapa isu syariah berhubung pelaksanaan hukuman seperti kes Kartika Sari yang masih belum selesai, tindakan kerajaan itu dipertikaikan.
 
Sumber: Utusan Malaysia (http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0219&pub=utusan_malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_05.htm&arc=hive)


Wahai Para Mufti, Bersuaralah Kalian!!
Tahniah buat Mufti Perak, kerana tampil ke depan dengan hujjah yang sangat bertepatan dengan hukum uqubat Islam.

‘Kalau hendak diambil kira hukuman enam kali sebatan itu ia begitu ringan sedangkan asalnya 100 kali sebatan terhadap mereka yang melakukan persetubuhan haram manakala 80 kali sebatan terhadap yang minum arak,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Persoalannya kini, apakah hanya puak feminis, Sisters In Islam sahaja yang dibidas? 

Realitinya, golongan pemerintah sekular secara terang-terangan tidak menerapkan hukum syarak iaitu 100 kali sebatan terhadap penzina (ghayr muhsan) dan 80 kali kali sebatan ke atas peminum arak.  Mengapakah tidak ditegur Perdana Menteri Malaysia dan kabinetnya yang masih lagi mengabaikan sistem-sistem Islam, malah menerapkan pula sistem sekular-kapitalisme di dalam seluruh aspek kehidupan di negara ini?  Mengapakah orang-orang yang melakukan kemaksiatan yang besar kepada Allah dan RasulNya ini dibiarkan begitu sahaja?  Bukankah mereka inilah yang pertama sekali harus ditegur, dimuhasabah, dan dibacakan ayat-ayat peringatan Allah kepada mereka?

Belum tibakah peringatan tegas Allah kepada kalian, lewat firmanNya,

“Hai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” [TMQ al-Maidah (5): 8]

Wahai para mufti! Sudah tiba masanya kalian berlepas diri dari kezaliman dan penodaan agama yang dilakukan oleh para pemerintah. Sudah tiba masanya, kalian berserah diri sepenuhnya kepada Allah dan RasulNya dengan memperjuangkan penerapan Islam secara kaffah di atas muka bumi. Sudah tiba masanya kalian berhadapan dengan musuh-musuh agama Allah sebagai pejuang Allah yang sebenar, bukannya hanya membiarkan kejahilan bermaharajalela di atas muka bumiNya sedangkan kalian orang-orang yang mengetahui!   Wallahu’alam