Sistem Kapitalis: Sebab di sebalik pembuangan bayi
KUALA LUMPUR 11 Feb. – Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang sedih dengan gejala buang bayi yang semakin menjadi-jadi di negara ini, mahu ia dibendung segera.
Beliau berharap perbuatan zalim itu tidak akan berulang lagi. “Perbuatan itu dilakukan oleh ibu yang tidak mahu membela bayi sendiri. “Bayi juga inginkan kasih sayang dan mahu hidup dengan sempurna di dunia ini dan bukannya dibuang sesuka hati tanpa ada perasaan belas kasihan,” katanya ketika ditemui di kediaman Perdana Menteri di Taman Duta di sini hari ini.
Beliau sebelum itu berjumpa murid pintar piano, Tengku Ahmad Irfan Tengku Shariman, 11, dari Sekolah Rendah Kebangsaan Sri Petaling di sini. Murid itu akan menyertai bahagian muzik orkestra kanak-kanak Istana Budaya (IB).
Rosmah yang diminta mengulas laporan muka depan Utusan Malaysia hari ini mengenai penemuan mayat bayi di tepi pagar Masjid Jamek Permatang Duyong, Melaka, menasihati belia perempuan supaya jangan bertindak secara melulu.
Mengenai Tengku Ahmad Irfan katanya, kanak-kanak itu mempunyai bakat luar biasa sebagai pemain piano sejak mempelajarinya pada usia 7 tahun dan telah berjaya mencapai Gred 8 dengan kepujian. Beliau berkata, Tengku Ahmad Irfan ialah antara 31 kanak-kanak berusia dari 9 hingga 15 tahun yang dipilih untuk membuat persembahan dalam konsert orkestra kanak-kanak di IB selewat-lewatnya November depan.
Rosmah berkata, bakat Tengku Ahmad Irfan yang juga cemerlang dalam bidang akademik akan diketengahkan supaya tidak disia-siakan begitu sahaja. ”Negara mempunyai kanak-kanak berbakat luar biasa di dalam bidang muzik dan bakat ini akan terus digilap sehingga mampu diketengahkan ke peringkat antarabangsa,” katanya.
Sumber : Utusan Malaysia, 12/02/2010
Sistem Kapitalis: Sebab di sebalik pembuangan bayi
Bagaimanakah caranya untuk membendung pembuangan bayi baru lahir?
Sesetengah pihak mengesyorkan agar diadakan rumah perlindungan dan rumah kebajikan supaya pasangan kekasih (bukan pasangan suami-isteri) yang terlanjur melahirkan anak luar nikah boleh menyerahkan bayi itu kepada pusat perlindungan ini agar bayi tersebut boleh hidup dan mendapat perlindungan. Ada juga sesetengah pihak yang menyeru supaya diadakan program meningkatkan kesedaran masyarakat tentang penggunaan kondom untuk pasangan kekasih yang terlibat supaya kehamilan luar nikah dapat dielakkan.
Hakikatnya, dengan apa cara sekalipun, gejala ini tidak dapat dibendung sepenuhnya tanpa mengkaji sebab sebenar kenapa ia berlaku. Malahan, apa yang didedahkan kepada masyarakat mungkin tidak menggambarkan keadaan yang sebenar! Bagaimanakah dengan statistik kes-kes yang tidak atau belum dilaporkan?
Memang ada pihak yang sedar bahawa kebebasan pergaulan antara lelaki dan perempuan di luar ikatan pernikahan menyumbang kepada berlakunya gejalan pembuangan bayi ini. Namun, apabila para pegawai penguatkuasa menjalankan operasi untuk membendung aktiviti khalwat lelaki dan wanita bukan mahram di pusat-pusat maksiat, di tempat-tempat awam dan persendirian yang boleh menyumbang kepada seks bebas dan kehamilan luar nikah, usaha-usaha tersebut selalunya dipandang secara sinis dan mendapat kritikan daripada golongan liberal seperti SIS, seolah-olah para pegawai penguatkuasa tersebut bertindak seperti polis Gestapo, Taliban atau Komunis yang bencikan kebebasan. Ini belum lagi mengambil kira hakikat bahawa operasi seperti ini bukanlah solusi sebenar, dan apa yang diperlukan adalah penerapan penuh sistem sosial Islam!!
Dan apabila diseru kepada masyarakat dan negara supaya dilaksanakan sistem sosial Islam dan pemerintahan Islam, akan diberikan seribu satu alasan tentang tidak sesuainya sistem Islam di negara ini. Suara daripada beberapa pemimpin politik seperti isteri Perdana Menteri dan lain-lain lagi sudah menjadi bukti yang cukup tentang kepincangan kehidupan di dalam sistem Kapitalis ini. Suara-suara inilah yang berterusan mahu mempertahankan kapitalisme, punca sebenar gejala ini dengan mengalihkan punca gejala tersebut kepada kesalahan individu. Kerosakan sistem tidak pernah dipersoalkan, bahkan para pemimpin inilah yang merupakan benteng pertama pertahanan sistem busuk ini!