Sistem Kapitalisme Terus Menggigit Amerika
SAN FRANCISCO 5 Mac – Para pelajar dan fakulti universiti-universiti awam di California mengadakan tunjuk perasaan di seluruh negeri ini semalam sebagai membantah kenaikan yuran mendadak yang dikatakan telah merosakkan sistem pengajian tinggi di negara ini. Lebih 100 tunjuk perasaan di lebih 30 buah negeri dijadual akan diadakan sempena ‘Hari Tindakan’ bagi menyokong pendidikan awam, berikutan kenaikan yuran pengajian dan potongan program yang menggambarkan masalah kewangan yang mencengkam hampir setiap negeri di Amerika Syarikat (AS).
Kelemahan sistem pendidikan didapati sangat meruncing di California, salah sebuah negeri yang paling teruk menerima tekanan akibat kemelesetan ekonomi. Tunjuk perasaan bagaimanapun berjalan secara aman, meskipun polis Oakland telah menahan kira-kira 150 orang selepas penunjuk perasaan memanjat kawasan lebuh raya San Francisco Bay semasa berarak pada sebelah tengah hari, sekali gus memaksa ia ditutup selama setengah jam, menurut polis.
Bantahan pertama diadakan pada waktu tengah hari di Universiti California di Berkeley, pusat bantahan Perang Vietnam pada tahun 1960-an, di mana pelajar-pelajar yoga menganjurkan kelas di luar bilik darjah bagi menghalang penunjuk perasaan melalui garisan piket. Kemudian, beratus-ratus pelajar, fakulti dan kakitangan berhimpun di Berkeley dan berarak menuju ke pusat bandar Oakland. Media tempatan melaporkan, perhimpunan di Dewan Perbandaran Francisco telah menarik beribu-ribu penunjuk perasaan. Siaran radio Universiti Santa Cruz California menggesa orang ramai supaya tidak berada di kampus itu selepas penunjuk perasaan menghalang laluan masuk trafik. Bantahan itu turut menggambarkan meningkatnya perdebatan mengenai sama ada penduduk California wajar meningkatkan aspirasi mereka atau rela membayar lebih untuk mengekalkan universiti-universiti dan institusi lain seperti taman negara dan perkhidmatan sosial. “Mereka tidak mengutamakan pendidikan. Itu wajar menjadi keutamaan, lebih utama daripada segala-galanya,” kata Yesenia Castellanos,18, seorang graduan Berkeley yang sedang berjalan untuk menyertai perarakan itu dengan memegang sepanduk bertulis ‘Adakah UC (Universiti California) melihat apa yang saya lihat? Ketidakadilan’. Kadar kenaikan yuran kira-kira 30 peratus yang baru diluluskan itu akan meningkatkan kos pengajian di Universiti California sehingga lebih AS$10,000 (RM35,000), menjadikan sistem UC lebih mahal berbanding universiti awam di kebanyakan negeri lain, menurut pelajar. – Reuters
Sumber: Utusan Malaysia 06/03/10
Sistem Kapitalisme Terus Menggigit Amerika
Lihatlah bagaimana sistem Kapitalisme yang selama ini dibanggakan oleh Amerika sebenarnya telah mengsensarakan rakyatnya sendiri. Rakyatnya sendiri kini nampaknya semakin tertekan dengan polisi kerajaan menaikkan yuran pengajian. Inilah wajah hodoh dan bau busuk yang dibawa oleh kapitalisme yang diasaskan kepada akidah sekular. Bagi ideologi kapitalisme perkiraan keuntungan yang semaksimum mungkin adalah merupakan sasaran yang perlu dicapai dalam apa jua polisi yang diterapkan oleh negara. Maka tidak hairanlah apabila kita melihat bagaimana kerajaan kapitalis di dunia pada hari ini menerapkan polisi ”kerajaan berniaga dengan rakyat”. Ini berbeda dengan Islam sebagai sebuah mabda’. Pada pandangan Islam, pendidikan adalah termasuk dalam keperluan asas masyarakat yang wajib dipenuhi dan mesti dijamin oleh negara. Daulah wajib menyediakan pendidikan percuma kepada warganegaranya.
Lihat: SN114 – POLISI PENDIDIKAN DALAM DAULAH KHILAFAH