Skandal 1MDB: Patutkah Najib letak jawatan?
Skandal 1MDB boleh dikatakan telah sampai ke kemuncak apabila The Sarawak Report mendedahkan sejumlah besar wang 1MDB dimasukkan ke akaun peribadi Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak. Najib yang sudah tidak boleh berdiam diri telah bertegas untuk menyaman Sarawak Report atas alasan fitnah manakala portal berkenaan juga bertegas bahawa mereka mempunyai bukti kukuh terhadap transaksi perbankan terbabit.
Rentetan pendedahan ini, banyak pihak yang menyeru agar Perdana Menteri Malaysia bercuti atau direhatkan dari tugas sehinggalah siasatan kes ini selesai. Tidak kurang pula pihak yang menekan Najib agar meletak jawatan kerana skandal ini telah menjejas dan memalukan Malaysia kerana melibatkan pemimpin nombor satu negara.
Manakala pihak polis pula seperti biasa, sehingga sekarang masih tidak berminat untuk menyiasat Najib tetapi berusaha bersungguh-sungguh untuk memburu orang yang mendedahkan maklumat perbankan yang berkenaan dan juga pihak-pihak yang dikatakan cuba untuk menggulingkan kerajaan melalui isu 1MDB. Tindakan PDRM ini mendapat kecaman rakyat kerana tak ubah seperti memburu pemasang CCTV berbanding memburu pencuri yang dirakam melalui CCTV!
Kita tahu bahawa undang-undang perbankan Malaysia tidak membenarkan bank atau mana-mana pihak mendedahkan maklumat peribadi pelanggan. Inilah alasan yang digunakan oleh PDRM untuk memburu pihak yang membuat pendedahan. Namun, dalam keadaan sekarang (apabila telah berlaku kebocoran maklumat), cara singkat dan mudah untuk menjawab segala dakwaan dan persoalan serta menyelesaikan kekusutan ialah dengan pengakuan dari Najib sendiri diikuti dengan pendedahan dari bank yang berkenaan, apakah telah berlaku aliran masuk wang secara sah atau tidak. Tetapi kita semua tahu bahawa hal ini tidak mudah untuk dilakukan oleh Najib dan bank berkenaan, malah hampir mustahil untuk mereka lakukan!
Apa pun, menjadi tugas pihak berwajib untuk menyelesaikan skandal di atas, walaupun kita sudah boleh mengagak apa tindakan dan keputusan mereka. Kita mungkin tidak akan dapat menyaksikan keadilan di dunia, tetapi Insya Allah di Akhirat nanti semuanya tidak akan terlepas dari perhitungan Allah.
Di dalam Islam, jika pemimpin nombor satu Negara Islam (Khalifah) didakwa atas kesalahan atau telah melakukan kefasikan atau kemaksiatan, maka dia wajib dibicarakan di Mahkamah Madzalim, sebuah mahkamah khas yang membicarakan kesalahan pemerintah atau persengketaan antara rakyat dan pemerintah. Tatkala perbicaraan ini berlangsung, Khalifah tidak lagi mempunyai kuasa untuk memecat Qadhi Madzalim (asalnya Khalifah mempunyai kuasa), sehinggalah Qadhi Madzalim menjatuhkan keputusannya. Sekiranya terbukti Khalifah tersebut melakukan maksiat atau kefasikan atau ternyata bersalah atas kesalahan yang didakwa, maka Qadhi Madzalim berhak memecat Khalifah dari jawatannya dan Khalifah wajib mematuhi keputusan tersebut. Setelah itu, seorang Khalifah baru akan dilantik mengikut cara dan syarat sesuai dengan hukum syarak.
Inilah keadilan Islam yang tidak akan ditemukan dalam sistem demokrasi atau mana-mana sistem buatan manusia sekarang.
Antara isu penting di sini ialah, jika satu keajaiban berlaku iaitu Najib meletak jawatan, persoalannya ialah siapa yang bakal menjadi Perdana Menteri dan apakah sistem yang bakal diterapkan? Persoalan ini sebenarnya tidak pernah difikirkan dengan waras dan tuntas oleh mereka yang mendesak Najib untuk meletak jawatan. Bagi mereka, yang penting ialah Najib letak jawatan, siapa yang akan jadi PM dan apa yang akan jadi selepas ini adalah isu kedua, fikir kemudian!
Sesungguhnya “kesalahan” utama Najib dan lain-lain Perdana Menteri sebelum beliau yang “mewajibkan” untuk mereka berundur, bukanlah persoalan skandal semata-mata, tetapi jauh lebih penting dan utama dari itu, iaitu persoalan penerapan hukum Allah dalam pemerintahan negara!
Kewajipan, amanah dan tanggungjawab seseorang pemimpin negara itu ialah menerapkan syariat Allah secara kaffah dalam bingkai Negara Khilafah. Jika mereka tidak melakukan hal ini, maka mereka sebenarnya telah mengabaikan amanah Allah yang tidak melayakkan mereka untuk menjadi pemimpin negara dalam apa keadaan sekalipun. Malah mereka memikul dosa yang paling besar kerana apabila mereka tidak menerapkan hukum Allah, mereka akan termasuk dalam golongan kafir (jika meyakini hukum lain lebih baik atau sesuai daripada hukum Allah), zalim dan fasik!
Jadi, Najib wajib menerapkan hukum Allah secara kaffah (yang tidak beliau lakukan) dan jika ternyata beliau terus tidak mahu berbuat demikian, maka wajarlah untuk beliau berundur dan bertaubat nasuha agar Allah mengampuni segala dosa-dosanya yang tidak menerapkan hukum menurut apa yang Allah turunkan. Persoalan skandal dan lain-lain kekorupan hanyalah buah-buah busuk yang terhasil dari pokok yang telah buruk dari akar-akarnya.
Sesungguhnya untuk menyelamatkan Malaysia dan seluruh warganya, khususnya umat Islam, tidak ada cara lain lagi kecuali dengan mencampakkan sistem kufur demokrasi yang ada sekarang yang penuh dengan kezaliman dan kerosakan, lalu diganti dengan sebuah Negara Khilafah Rasyidah ala minhaj nubuwwah yang akan dipimpin oleh seorang Khalifah yang menerapkan Kitabullah dan Sunnah RasulNya secara kaffah, yang kemudian akan menyebarkan Islam ke seluruh penjuru alam melalui jalan dakwah dan jihad.
Wallahu a’lam.