Skandal Penyelewengan Dana Zakat: Sistem beri ruang – Jurucakap HTM

BULETIN HTM – Isu penyelewengan dana zakat yang membabitkan angka ratusan juta ringgit terus mendapat perhatian serius banyak pihak. Skandal atas nama agama ini telah dikupas secara terperinci oleh Jurucakap Hizbut Tahrir Malaysia (HTM), Ustaz Abdul Hakim Othman, menerusi program Kupas Tuntas Bersama Jurucakap HTM yang bersiaran secara langsung di platform TikTok beliau pada jam 9.15 malam, Jumaat lalu (24 April 2026).

Menurut Ustaz Abdul Hakim, isu ini bermula apabila ada Majlis Agama yang melantik badan bukan kerajaan (NGO) sebagai ejen pemasaran (broker) bagi menarik syarikat-syarikat besar membayar zakat ke negeri pentadbirannya. Melalui skim yang ditawarkan, NGO tersebut ditawarkan pulangan sebanyak 60 peratus daripada jumlah kutipan zakat atas tiket asnaf Fisabilillah.

Perkara ini terbongkar apabila wang zakat yang diperolehi NGO berkenaan atas anaf Fisabilillah tadi disalurkan ke akaun peribadi untuk tujuan pembelian aset dan kenderaan mewah.

Beliau menjelaskan bahawa skandal ini boleh terjadi sedemikian apabila maksud “Fisabilillah” sebagai asnaf zakat diberi tafsiran yang cukup luas dan longgar oleh pihak berkuasa agama, yang merangkumi apa sahaja aktiviti dakwah dan keIslaman, melanjutkan pelajaran, membina pusat pendidikan Islam, masjid dan sebagainya. Atas dasar itu, NGO yang menjalankan kerja-kerja dakwah sesuai tafsiran pihak berkuasa berkenaan secara automatik merupakan asnaf Fisabilillah yang layak diberi zakat.

Padahal maksud “Fisabilillah” dalam ayat berkenaan asnaf zakat, menurut beliau, hanyalah merujuk kepada orang-orang yang berjihad (berperang) di jalan Allah atau apa sahaja persiapan perang, peralatan perang, kenderaan, latihan dan sebagainya yang benar-benar terkait dengan perang di jalan Allah.

Beliau seterusnya menjelaskan pandangan keempat-empat Imam Mazhab, dan termasuk pandangan Imam al-Ghazali bahawa makna “Fisabilillah” menurut mereka ialah Mujahidin (orang-orang yang berjihad/berperang) dan segala perkara yang terkait dengan perang. Tidak ada tafsiran lain kecuali ini sahajalah tafsirannya, ujar beliau. Para Imam Mazhab tidak pernah meluaskan makna Fisabillah kepada dakwah, atau apa-apa aktiviti kebaikan, atau pelajaran, atau pembinaan masjid dan sebagainya, tegas beliau lagi.

Jurucakap HTM itu menekankan bahawa dana zakat bukanlah untuk dijadikan “bahan muamalat” kerana ia bukan milik pihak berkuasa agama untuk diperlakukan sesuka mereka. Beliau turut memuhasabah amalan tidak betul di Malaysia yang mengehadkan kuasa mengutip dan mengagihkan zakat mengikut negeri, yang menurut beliau tidak pernah diajar dalam Islam. Lord Reid-lah yang memberi dan membataskan kuasa agama kepada negeri, suatu yang tidak pernah ada dalam Al-Quran mahupun al-Hadis pun, kata beliau.

Di penghujung program, Ustaz Abdul Hakim menegaskan bahawa individu atau NGO mana pun yang menggunakan zakat atas asnaf Fisabilillah merupakan satu kesalahan dan keharaman apabila mereka bukanlah pihak yang terlibat dengan jihad (perang) di jalan Allah.

Namun masalahnya tidak terhenti di situ, tetapi yang lebih besar dan utama menurut beliau ialah mesti melihat kepada punca kepada skandal itu sendiri, iaitu pihak berkuasa agama yang telah membuat tafsiran yang salah terhadap makna Fisabilillah, sehingga melantik NGO-NGO pilihan mereka untuk diberikan zakat atas nama Fisabilillah.

Individu yang bersalah memang wajib dihukum, dan ini mudah dilakukan oleh pihak berkuasa. Namun, apabila negara atau negeri atau pihak yang memegang kuasa itu sendiri yang melakukan kesalahan, siapakah yang akan menghukum mereka, tanya Jurucakap HTM itu. Sistem yang ada pada hari ini telah memberikan ruang dan peluang untuk kesalahan itu berlaku, kata beliau, dan hal ini tidak mudah untuk diubah kecuali kita berusaha untuk menggantikan keseluruhan sistem ini dengan sistem Islam di bawah naungan Khilafah yang akan menerapkan Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya, yang sekali gus akan menutup segala ruang kejahatan dan kemaksiatan.