SN 079 – KEDATANGAN CONDOLEEZA RICE – Sedar dan Bangkitlah Wahai Kaum Muslimin

PDF

SN Keluaran 2006

logo SN



[SN079] Dunia mengetahui bahawa Presiden Amerika Syarikat (AS), George W. Bush telah mengisytihar perang ke atas kaum Muslimin dengan menyebutnya sebagai sebuah ‘crusade’ (Perang Salib). Afghanistan diserang pada Oktober 2001 and Iraq pada Mac 2003 atas alasan ‘memerangi keganasan’. Kini, setelah beberapa tahun, Amerika mula merasakan bahawa ’rancangan’ mereka ini perlu dikaji semula. Pentadbiran Bush mula sedar bahawa ‘War on terror’ (Perang ke atas keganasan) telah gagal, lalu harus dilancarkan perang baru ke atas ’hati dan pemikiran’ musuh-musuhnya (umat Islam). Dahulu Amerika telah berjaya menundukkan Soviet Unionmelalui peperangan pemikiran tanpa melepaskan se das tembakan pun. Setelah runtuhnya negara pembawa Ideologi Sosialis ini, maka satu-satunya musuh AS yang tinggal ialah Islam. Justeru, AS dengan angkuhnya tak putus-putus berusaha untuk menghancurkan Islam dan kaum Muslimin. Kini, usaha ini dijalankan melalui pelbagai misi dalam rangka untuk mengambil hati dan pemikiran negara-negara umat Islam. Pentadbiran ‘koboi’ Bush mula mengorak langkah serius untuk menawan ‘hati-hati dan pemikiran musuh-musuhnya’.

Kita menyaksikan bahawa beberapa politikus tertinggi Amerika telah melawat kebanyakan negeri-negeri kaum Muslimin sejak serangan ke atas Afghanistan dan Iraq. Setiausaha Rendah AS untuk Diplomasi Umum, Karen Hughes memikul tugas berat di dalam usaha AS untuk mengambil hati Dunia Islam, Karen bagaimanapun dihujani dengan reaksi marah kaum Muslimin pada setiap lawatannya ke negeri-negeri kaum Muslimin tahun lalu. Malaysia, sebagai salah sebuah negeri kaum Muslimin juga tidak dapat lari dari ‘senarai’ AS ini. Pentadbiran Clinton pernah menghantar Madeline Albright untuk melawat Malaysia pada 1998. Colin Powell juga pernah melawat Malaysia suatu waktu dahulu. Kali ini, Setiausaha Negara AS, Condoleezza Rice (Condi) pula akan melawat Malaysia pada 28hb Julai 2006 [Bernama 4 Julai].

Sautun Nahdhah pada kali ini akan membincangkan tujuan di sebalik lawatan Condi dan respon yang sepatutnya diberikan oleh kaum Muslimin di Malaysia terhadapnya. Semoga Allah memberi kesedaran kepada semua pembaca SN khususnya dan seluruh kaum Muslimin amnya tentang siapa kawan dan siapakah musuh kita yang sebenarnya. InsyaAllah!

Condi dan Misi-misi Diplomatiknya

Condoleezza Rice telah banyak melakukan misi-misi diplomatik untuk AS. Setelah Hamas memenangi pilihanraya melalui ‘proses demokrasi’ di Palestin, Condi mengatakan bahawa Mesir, Arab Saudi dan negara-negara Arab yang lain tidak sepatutnya menyokong kerajaan Palestin yang dipegang oleh Hamas selagi Hamas tidak mengiktiraf kewujudan Israel dan menghentikan serangan-serangannya ke atas Israel. ‘‘Saya berharap agar mana-mana negara yang berhasrat untuk membantu kerajaan Hamas secara kewangan berfikir mengenai implikasi bantuan ini ke atas Asia Barat dan proses keamanan Asia Barat’’, katanya [http://www.aljazeerah.info, 1 Mac 2006]. Apakah ertinya dari ucapan ini? AS sebagai sebuah Negara pengamal, pendokong dan penjaja demokrasi tidak mengiktiraf dan tidak membenarkan negara-negara Arab lain mengiktiraf kerajaan Hamas yang menang melalui proses demokrasi? Sebaliknya, Israel yang menduduki Palestin secara haram (tidak melalui proses demokrasi) diarahkan supaya diiktiraf. Menilai apa yang diucapkan ini sahaja telah memberi gambaran kepada kita apakah perempuan ini seorang kawan dan perlu dihormati atau dialu-alukan kedatangannya.

Pertemuan Condi dengan pemimpin Mesir, Arab Saudi dan UAE tidak membuahkan hasil yang diingininya. Selain dari pemimpin UAE, Condi juga mengadakan pertemuan dengan pemimpin Bahrain, Kuwait, Oman dan Qatar. Beliau juga melawat Lebanon secara tidak rasmi bagi menyatakan ‘sokongan Amerika terhadap rakyat Lebanon dan kerajaannya’. Condi mengakhiri lawatannya ke Asia Barat dengan kegagalan – gagal mendapatkan sokongan di sana untuk menolak kerajaan Palestin pimpinan Hamas dan Condi juga gagal mengharapkan campurtangan negara-negara Arab terhadap Iran di dalam isu nuklear yang hingga kini masih menemui jalan buntu. Fikirkanlah wahai kaum Muslimin, kenapakah negara-negara umat Islam yang menjadi sasaran utama AS? Kenapa Condi tidak dihantar ke negara-negara bukan Islam yang masih banyak lagi di luar sana?

Fikirkanlah, bagaimana AS boleh melaungkan demokrasi dan kebebasan sedangkan ia sendiri berdiam diri (dan mengiktiraf) akan penjajahan Israel ke atas Palestin? Bagaimana AS boleh mempromosi Hak Asasi Manusia sedangkan ia sendiri membenarkan penahanan tanpa bicara, membenarkan pemerkosaan, kekejaman, kezaliman dan salahlaku yang dahsyat di penjara Guantanamo, Bagram dan Abu Ghareeb? Bagaimana AS boleh mempromosi idea kebebasan beragama sedangkan askar-askarnya sendiri mengoyak dan menghina Al-Quran di hadapan tahanan Muslim di penjara Afghanistan? Bagaimana AS boleh berjuang untuk pengawalan senjata nuklear sedangkan ia sendiri memiliki lebih 10,000 senjata nuklear, membekalkan Israel sebanyak 200 senjata tersebut dan pernah menggunakan senjata pemusnah besar-besaran (WMD) seperti uranium terpakai, napalm serta fosforus putih di Iraq sehingga menyebabkan lebih 100,000 orang (separuh dari mereka wanita dan kanak-kanak) terbunuh? [Johns Hopkins Bloomberg School of Public Health in Baltimore, Maryland, Lancet journal Oktober 2004].

Inilah sebahagian dari pembohongan dan kejahatan mereka, bak musang berbulu ayam. Slogan-slogan kufur ini disolek indah oleh AS dan dilontarkan kepada kaum Muslimin. Dengan ’keindahan’ yang dibawanya, maka kaum Muslimin terpegun dan terus berkata, ’’Ahh! Betapa indahnya demokrasi, betapa sucinya ide kebebasan, betapa mulianya perjuangan Hak Asasi Manusia’’, dan kaum Muslimin kemudian membuat kesimpulan bahawa ’’Islam itu indah dan setiap yang indah itu dari Islam’’ – maka semua solekan ’indah’ yang dibawa oleh kafir Barat dikatakan berasal dari Islam, tanpa mengkaji dengan mendalam hakikatnya. Justeru bergembiralah simusang melihat ayam masuk ke dalam perangkapnya. Wahai kaum Muslimin! Adakah kalian masih belum sedar bahawa semua yang dilaungkan oleh Barat telah dilanggar sesuka hati oleh mereka sendiri, tetapi telah diambil dan diperjuangkan oleh umat Islam? Atas alasan memerangi pengganas, AS telah mengganas di Afghanistan dan membunuh saudara-saudara kita di sana. Atas alasan menghapuskan diktator dan menerapkan demokrasi, AS telah menceroboh Iraq dan membunuh, memenjarakan serta menyiksa dengan kejam saudara-saudara kita. Apakah ini demokrasi namanya? Apakah kita masih ingin menjilat muntah Barat ini?

Dengan kejadian serangan Israel ke atas Lebanon baru-baru ini (yang masih lagi berterusan hingga kini), bagaimana mungkin ‘sokongan AS kepada rakyat dan kerajaan Lebanon’ adalah benar sedangkan apabila Israel melancarkan serangannya, kononnya untuk membebaskan dua orang askarnya yang ditangkap, AS berdiam diri terhadap pembunuhan ratusan penduduk Lebanon dan mendiamkan diri terhadap ribuan tahanan Palestin, termasuk kanak-kanak dan wanita yang dipenjarakan oleh rejim Zionis ini? Malah lebih buruk lagi, AS sendiri memveto resolusi untuk mengutuk Israel kerana serangannya ke atas Gaza dan Lebanon!!! Inilah AS. Masihkah kita percaya kepada kata-kata Condi yang kononnya AS menyokong Lebanon? Adakah Allah memerintah untuk kita berbaik dengan orang kafir yang sedang memerangi saudara kita???

Pada awal April tahun ini Condi telah melawat dua buah Bandar di Britain bersama-sama dengan Setiausaha Luar Britain, Jack Straw. Apa yang diterimanya hanyalah kata-kata ‘‘Baliklah Condi!!’’. Di Blackburn, sebuah masjid telah menarik balik jemputan mereka kepada Condi. ‘‘Pentadbiran AS ini telah banyak kali menimbulkan kemarahan di kalangan Muslim di sini dan di seluruh dunia, oleh itu bukanlah sesuatu yang memeranjatkan apabila jemputan ini ditark balik’’, kata jurucakap Majlis Muslim Britain, Inayat Bunglawala [Reuters]. Ratusan penunjuk perasaan berdiri di luar dewan bandaran Blackburn ketika beliau dan Jack Straw bertemu dengan pemimpin Muslim tempatan. BBC malah melaporkan bahawa para pegawai rasmi menghadapi masalah untuk mengisi tempat kosong bagi menyambut Condi sebagai ‘tetamu kehormat’[BBC 2 April]. Di Greece pula, lebih kurang 5000 polis anti-keganasan bertempur dengan para penunjuk perasaan yang membantah kedatangan Condi di sana. ‘’Kami bukan sahaja memprotes Rice tetapi juga kerajaan AS yang imperialis dan gila perang’’ [BBC 25 April].

Condoleezza Rice dibenci bukan sahaja di luar negara, malah di AS sendiri. Para pelajar dan pensyarah di Boston College memprotes penganugerahan Doktor Kehormat ke atasnya [Boston Globe 23 Mei]. Ketika dia menerima anugerah tersebut, teriakan ’’Malu! Malu!’’ berkumandang, ’’Berikan dia perintah sepina dan bukannya ijazah untuk jenayah kemanusiaannya!!!’’, laung mereka sambil memegang sepanduk yang berbunyi ‘Tiada ijazah untuk keganasan!’ Begitulah realiti Condoleezza yang dibenci dan dihina ke mana sahaja dia pergi, bak pelacur yang membawa siplis. Cuba untuk menjual diri demi ‘tauke’nya (Bush) tetapi tiada seorang pun yang sudi mendampinginya. Wahai para pemimpin kaum Muslimin! Masihkah kalian memandang baik orang seperti ini? Wajarkah dia dibenar datang dan disambut dengan permaidani? Orang-orang yang seagama dengannya pun membenci dan menolaknya, apakah kita kaum Muslimin ingin menetangnya?

Amerika Sedang Kalah

Kita tidak perlu melakukan analisis yang mendalam untuk menyatakan bahawa AS sekarang sedang mengalami kekalahan di dalam perangnya ke atas umat Islam samada secara fizikal atau pemikiran. Sekiranya Amerika sedang memenangi peperangan ini, sudah tentulah ia tidak perlu menghantar wakilnya ke sana-sini bagi mendapatkan sokongan atas rancangannya. Namun, apa yang berlaku adalah sebaliknya. Michael Schuer, penulis buku ‘Imperial Hubris : Why the West is Losing the War on Terror’ (Mengapa Barat sedang kalah dalam perangnya terhadap keganasan) yang telah bersara dari CIA pada November 2004 mengatakan bahawa ‘‘polisi AS di dunia Islam, terutamanya penjajahannya ke atas Iraq dan Afghanistan, sokongan ekonomi dan ketenteraannya kepada Israel serta sokongan AS yang berpuluh tahun lamanya kepada pemerintah-pemerintah zalim di dunia Islam telah menciptakan kebangkitan Islam sedunia’’. Beliau selanjutnya menegaskan, ‘‘…masa bukan lagi bersama kita dan adalah begitu jelas sekali AS sedang mengalami kekalahan’’ [http://www.middle-east-online.com 27 April 2006].

Sebuah tinjauan terhadap 116 pakar dan bekas pegawai rasmi AS yang dilakukan oleh majalah Foreign Policy menunjukkan dengan jelas bahawa 84% dari responden menyatakan bahawa AS sedang mengalami kekalahan dalam perangnya terhadap keganasan. Di antara yang disoal selidik adalah bekas Setiausaha Negara, para penasihat keselamatan, komandan tentera, ahli-ahli komuniti risikan, ahli akademik dan para wartawan. ‘‘Adalah begitu jelas bahawa pentadbiran Bush mempunyai pandangan yang begitu tidak realistik akan apa yang mereka boleh capai dengan kekuatan dan ugutan ketenteraan’’, kata Leslie Gelb, presiden Majlis Mengenai Hubungan Luar yang berpusat di New York [AFP 5 Julai 2006]. ‘‘Kita mengalami kekalahan dalam ‘perang ke atas keganasan’ kerana kita menangani simtomnya dan bukan puncanya’’, merupakan kata-kata Anne-Marie Slaughter, ketua Woodrow Wilson School of Public and International Affairs di Universiti Princeton di dalam majalah Foreign Policy.

Menyedari dan mengambil kira padangan-pandangan ini, bagi mendidik orang Islam untuk ‘menyayangi’ Amerika, pentadbiran Bush telah melancarkan pelbagai inisiatif besar dalam penyiaran luar negara – Radio Sawa, sebuah stesyen radio muzik pop dan berita dilancarkan pada tahun 2002 dan Al-Hurra, sebuah rangkaian berita TV satelit, dilancarkan pada Februari 2004. Kedua-duanya bertumpu kepada penonton/pendengar Arab. Al-Hurra mempunyai objektif untuk menjadi alternatif kepada stesyen berita pan-Arab seperti Al-Jazeera dan Al-Arabiyya. Presiden Bush mengatakan bahawa Al-Hurra akan menembusi ‘propaganda kebencian yang memenuhi ruang udara dunia orang Islam’ dan mempromosikan perdebatan di wilayah tersebut. Namun orang-orang Arab masih terus melekat kepada Al-Jazeera dan Al-Arabiyya dan bukannya kepada rangkaian stesen tajaan AS Al-Hurra. [Gregory D. Johnsen, 30 April 2004, Christian Science Monitor]

AS Mencari ‘Kumpulan Berpengaruh Strategik’ Di Dunia Islam

Dalam suasana anti-Amerika yang semakin bertambah di dunia Islam, pentadbiran Bush kini merangka strategi yang bertumpu kepada usaha merekrut ‘pendorong strategik’ di kalangan negara-negara berpotensi tinggi bagi memasarkan nilai-nilai Amerika di negara-negara tersebut. ‘‘Kajian menunjukkan mereka yang pernah datang ke Amerika atau mengenali seseorang yang pernah datang ke Amerika lebih cenderung untuk mempunyai penilaian positif terhadap negara kita (Amerika)’’, ungkap Karen Hughes kepada Reuters. Hughes, salah seorang ‘penasihat politik sulit’ (political confidante) kepada Presiden George W. Bush mengatakan ‘pendorong strategik’ merangkumi bintang-bintang sukan, ulama’ dan individu-individu penting dalam masyarakat yang mampu untuk mempelopor nilai-nilai Amerika di dunia Islam. Hughes mengatakan bahawa pelan strategik sedang dirancang untuk tempoh tiga ke lima tahun yang akan datang. ’’Senarai terperinci masih lagi dalam kategori maklumat sulit tetapi ianya termasuk negara-negara yang difikirkan penting untuk melawan sokongan terhadap ideologi ekstremisme’’, katanya.

Menurut pegawai-pegawai yang terlibat, senarai tersebut melibatkan Afghanistan, Indonesia, Malaysia, Mesir, Turki dan negara-negara Timur Tengah yang lain. Negara-negara ini dipilih berdasarkan maklumat sulit di dalam mesyuarat di antara Pentagon, Jabatan Negara, agensi perisikan CIA dan lain-lain. [http://www.aljazeera.com Jun 2006]. Jika dipandang sekali lalu, negara-negara yang masuk di dalam pilihan AS adalah negara-negara umat Islam yang moderat yang mana penduduknya suka dan memuji nilai-nilai Barat dan terdiri dari pemimpin-pemimpin yang rata-rata berpemikiran sekular dan pemuja idea-idea Barat. Jadi tidak hairanlah kenapa Condi dihantar ke Malaysia.

Sebuah kumpulan penyelidik AS, Rand Corporation, baru-baru ini telah mengeluarkan hasil kajian bertajuk ‘Strategi AS di Dunia Islam Selepas 9/11’ (US Strategy in the Muslim World After 9/11). Angel Rabas, ketua pengarang kajian tersebut mengatakan, “Pada ketika orang-orang Islam dengan sendirinya secara efektif mampu untuk menyanggah mesej Islam radikal, masih banyak ruang yang boleh diisi oleh AS dan sekutunya bagi memberi kekuasaan kepada golongan Islam moderat dalam perjuangan ideologi ini. Perjuangan dalam dunia Islam hakikatnya adalah peperangan idea yang mana hasilnya akan menentukan arah tuju dunia Islam dan secara jelas memberi kesan kepada kepentingan keselamatan Amerika Syarikat’’.

Paul Reynolds, pegawai perhubungan hal-ehwal dunia BBC News Online telah menulis bahawa strategi Barat untuk melawan ekstrimisme Islam adalah dengan memberi sokongan kepada golongan Islam moderat. Ini telah dicadangkan dalam sebuah laporan yang dibiayai sebahagiannya oleh kumpulan konservatif Amerika. Laporan tersebut menegaskan bahawa Barat perlu membantu modenis agama di dalam dunia Islam. [BBC 29 Mac 2004]. Amerika mula sedar bahawa “peperangan anti -keganasan’ yang selama ini dilancarkan ke atas dunia Islam kini perlu diperjuangkan dengan pemikiran. Sesiapa sahaja individu, kumpulan atau negara yang menentang rancangan AS akan dilabel sebagai ekstrimis, radikal atau fundamentalis. Cop-cop ini yang dari dulu direka oleh Barat sekarang dipropagandakan dengan lebih efektif untuk dimanipulasikan ke atas kaum Muslimin. Yang nyata, selepas cop-cop ini diperkenalkan oleh AS, maka para pemimpin kaum Musliminlah yang selepas itu akan menggunakannya untuk melabelkan mana-mana individu atau gerakan Islam dengan cop-cop seperti ini. Sesiapa yang tidak sekepala dengan pemimpin akan dicop sebagai radikal, extremis atau fundamentalis, sesuai dengan kehendak AS. Inilah apa yang dirancang oleh AS untuk para pemimpin kaum Muslimin yang mengikut telunjuk mereka dan berfikir sebagaimana mereka (AS) mahukan.

Umat Islam di Malaysia Perlu Menolak Lawatan Condoleezza Rice

Bekas Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Madeleine Albright, yang telah melawat Malaysia pada tahun 1998 pernah menjawab pertanyaan mengenai kematian setengah juta kanak-kanak Iraq sepanjang sekatan PBB sejak 1991 dengan mengatakan, ‘‘Ianya adalah pilihan yang sukar, namun saya fikir, kami fikir, ianya berbaloi’’. Kini penggantinya, Condoleeza Rice, salah seorang dari penjenayah perang yang telah melakukan jenayah kemanusiaan yang tidak boleh dimaafkan, ingin datang ke Malaysia. Apakah reaksi yang harus kita tunjukkan? Apakah reaksi kita jika seseorang seperti Hitler, Stalin atau Pol Pot yang telah melakukan pembunuhan dalam magnitud yang sama masih hidup dan akan melawat negara ini? Wajarkah musuh-musuh Allah seperti Abu Jahal, Abu Lahab, Walid Bin Mughirah, Utbah Bin Rabi’ah, George W. Bush, Ehud Olmert, Tony Blair, Donald Rumsfeld dan Condoleezza Rice yang telah membunuh ribuan umat Islam diterima dan diberi sambutan. Lupakah kita siapa mereka ini? Kawan atau lawan, musuh atau sahabat, penolong Allah atau penolong syaitan?

Allah Subhanahu wa Ta’ala telah mengingatkan kita di dalam banayak ayat agar tidak bersekongkol dengan orang-orang kafir yang memusuhi Islam, antaranya,

’’Wahai orang orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang orang Yahudi dan Nasrani sebagai wali kamu, sebahagian mereka adalah wali kepada sebahagian yang lain. Sesiapa di antara kamu mengambil mereka sebagai wali, maka sesungguhnya ia termasuk dalam golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada orang orang zalim’’ [TMQ Al-Maidah: 51]

’Kabarkanlah kepada orang-orang munafik bahwa mereka akan mendapat siksaan yang pedih (yaitu) orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi wali dengan meninggalkan orang-orang mukmin. Apakah mereka mencari kekuatan di sisi orang kafir itu? Maka sesungguhnya semua kekuatan kepunyaan Allah.“ [TMQ an-Nisa’:138, 139]

’Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang kafir menjadi wali dengan meninggalkan orang-orang mukmin. Inginkah kamu mengadakan alasan yang nyata bagi Allah (untuk menyiksamu) ?“ [TMQ an-Nisa’:144]

Kita perlu memahami bahawa kedatangan Condi bukan untuk melancung, bukan atas urusan perniagaan dan bukan lawatan sambil kerja, tetapi lawatannya adalah untuk ‘mengerjakan’ kaum Muslimin. Lawatannya bukan untuk mengetahui setakat mana ekonomi Malaysia didominasi oleh kaum Cina, bukan juga untuk bertanya khabar tentang perbalahan Sammy Vellu dan Subramaniam, perempuan ini tidak berminat dengan semua itu! Kedatangannya adalah untuk ‘menyucuk hidung’ para pemimpin di Malaysia sebagai salah sebuah negara kaum Muslimin agar sentiasa ‘istiqamah’ di dalam menghapuskan mana-mana individu atau gerakan yang anti-Amerika dan seterusnya memastikan agar agenda mereka ke atas kaum Muslimin dilaksanakan. Personifikasi syaitan ini datang untuk menyiasat kekuatan kaum Muslimin, untuk mengetahui sejauh manakah kekuatan gerakan-gerakan Islam yang ada di Malaysia dalam mewujudkan Islam sebagai sebuah negara super power yang akan melawan, meruntuh dan seterusnya menghancurkan kekuatan AS. Inilah tujuan kedatangan perempuan ini.

Kami dengan ini menyeru agar para pemimpin tidak membenarkan lawatan Condoleezza Rice ke Malaysia. Kami juga ingin mengajak seluruh kaum Muslimin di Malaysia agar menolak sekeras-kerasnya kedatangan musuh Allah ini. Tunjukkanlah penolakan kalian terhadap kedatangan wali syaitan ini dengan setiap cara yang diizinkan syara’. Marilah kita bersama-sama membuktikan bahawa umat Islam adalah umat yang satu dan umat yang memiliki kekuatan dan kemuliaan. Wahai kaum Muslimin! Kami ingin mengingatkan kalian bahawa darah saudara-saudara kita masih menitis di bumi Palestin, darah mereka juga sedang membasahi bumi Lebanon, tak lain tak bukan, angkara Israel dan sekutu mereka AS. AS kini menghantar wakilnya untuk memusnahkan kita. Adakah kalian rela bersalaman, bergandingan dan berkongsi satu meja persidangan dengan mereka? Adakah kalian redha melihat pemimpin kalian tersenyum di sebelah wakil syaitan ini setelah tamat melakukan rundingan untuk memusnahkan Islam?

Ya Allah! Binasakanlah segala kekafiran, kemusyrikan dan kemunafikan. Binasakanlah musuh-musuhMu dan musuh-musuh kami. Teguhkanlah kaki-kaki kami. Bantulah kami mengalahkan kaum kafirin. Bantulah kami menegakkan DeenMu. Ya Allah! Kami memohon kepadaMu negara Islam yang mulia iaitu Khilafah Rashidah ’ala minhaj nubuwwah yang dengan negara tersebut Engkau muliakan Islam dan pengikut-pengikutnya dan Engkau hinakan kekafiran dan pengikut-pengikutnya. Dengan negara tersebut juga, maka zahirlah DeenMu dimuka bumi ini di atas semua deen yang lain. Amin ya Rabbal ’alamin.