SN018 – KITA BELUM DIPERINTAHKAN BERPERANG

PDF

SN Keluaran 2005

SN

[SN018] Terpampang di dada-dada akhbar mutakhir ini, berita rusuhan dari Asia Tengah. Semuanya berkenaan beberapa siri pemberontakan yang melibatkan rantaian serangan fizikal terhadap rejim-rejim pemerintahan disana dan contoh yang terkini sekali adalah peristiwa demonstrasi berdarah di Andijan. Sebagaimana yang dilaporkan oleh media massa luar negara tanggal 13 Mei, Islam Karimov, diktator Uzbekistan, melalui arahan Menteri Dalam Negerinya, Almatov, telah menembak penunjuk perasaan untuk meredakan rusuhan besar yang melanda negara tersebut. Laporan awal media mengatakan lebih 300 orang telah terbunuh (BH,15 Mei 2005) Laporan seterusnya mengatakan bahawa angka kematian telah meningkat kepada 500 orang dan 2000 orang tercedera (AP, 15 Mei 2005). Didalam beberapa ulasan media, diantaranya seperti yang dilaporkan oleh AP menyatakan bahawa pemberontakan ini dilakukan oleh sebuah kumpulan militan Hizbut Tahrir (AP, 14 Mei 2005). Pemberontakan ini juga dikaitkan dengan gerakan terorris (Taklimat Berita Rumah Putih oleh Scott McClellan). Memang telah diketahui bahawa Islam Karimov memusuhi mana-mana gerakan atau kumpulan rakyat yang bergerak diatas nama Islam. Kekejaman demi kekejaman, sejak dahulu lagi, telah beliau lakukan keatas penduduk Islam Uzbekistan. Kini kemarahan penduduk Muslim Uzbekistan sudah tidak dapat dibendung lagi – demonstrasi kali ini disudahi dengan sebuah tragedi pembantaian tehadap kaum Muslimin dan sebagaimana biasa yang dilakukan oleh Islam Karimov, setiap kali apabila berlaku pembantaian kaum Muslimin, beliau akan mengatakan bahawa gerakan Islamlah yang menjadi punca segala kekeruhan dalam negaranya. Kambing hitamnya selalu terkena kepada pembela Islam, tuduhan yang melulu selalunya ditujukan kepada anak-anak kaum Muslimin yang merindukan sistem Islam, ternyata kali ini tuduhan ‘pemberontakan’ ditunjukkan kepada Hizbut Tahrir Al-Islami (HT).

Sautun Nahdhah kali ini ingin mengajak para pembaca budiman untuk melihat dengan jernih tentang apakah diperbolehkan sesuatu gerakan Islam melakukan aktiviti fizikal seperti melakukan pemberontakan bersenjata terhadap pemimpin kaum Muslimin dan juga aktiviti fizikal seperti perjuangan membebaskan tahanan dari penjara dan lain-lain lagi; apakah kita boleh melawan secara kekerasan bila berhadapan dengan pemimpin yang kejam seperti Islam Karimov. Perbincangan sebegini perlu diketengahkan supaya umat Islam, pemerintah dan gerakan Islam memahami bagaimana ideologi Islam itu mengajar kita supaya melakukan aktiviti bersesuaian dengan syariat Allah SWT.

Kekejaman Islam Karimov

Karimov adalah Presiden Uzbekistan yang terkenal dengan kekejamannya. Semasa pemerintahan Karimov, sejak tahun 1990, puluhan ribu muslim dan muslimat diculik dan ditahan di Uzbekistan tanpa pengadilan. Ribuan disiksa; ratusan lagi dibunuh tanpa pengadilan. Individu muslim dan muslimat yang dipenjara melaporkan bahawa mereka sentiasa menjadi sasaran penyiksaan, dikurung di ruangan bawah tanah dalam keadaan yang tidak layak untuk manusia, serta disuntik dengan darah yang dicemari dengan virus HIV hanya kerana mereka tetap mendirikan solat dan menolak untuk memohon maaf kepada Karimov. Di sana, kaum muslimat selalu terancam dengan ganguan seksual semasa proses siasatan.

“Polis di Uzbekistan menggunakan kejutan elektrik, pukulan, dan perkosaan untuk mendapat pengakuan. Mereka menyesakkan nafas tahanan dengan karung beg plastik, atau mematikan sistem pengudaraan di sel bawah tanahnya. Mereka menggantung lelaki dalam keadaan telanjang dengan pergelangan tangan dan kaki diikat. Didalam sebuah kes dua tahun lalu (2003), doktor mengesan bahawa ada kesan melecur pada tubuh seorang tahanan yang mati di dalam penjara akibat dicelupkan ke dalam air mendidih. Tangannya tidak lagi berkuku. Inilah gaya dari Rejim Karimov,” demikian ulasan Steve Crawshaw, Pengarah Human Rights Watch London. Catatan berkenaan kekejaman Karimov ini telah berkali-kali diajukan oleh beberapa lembaga hak sivil dan hak asasi manusia. Duta Besar UK ke Uzbekistan, Craig Murray pernah mengatakan, bahawa rejim Karimov sering mendidihkan orang sampai mati! (Hidayatullah.com, 10/XVII Februari 2005).

Sejak tahun 1997, hampir semua aktiviti keagamaan (terutama yang bersandarkan Islam) diawasi di negara itu. Secara khusus, Hizbut Tahrir telah menjadi mangsa utama Presiden Karimov hanya kerana seruan politiknya untuk menegakkan Khilafah Islamiyah secara damai di Asia Tengah dan menyatukan kaum Muslim seluruh dunia. Hizbut Tahrir juga sangat dibenci oleh rejim Karimov, kerana telah mengkritik berbagai polisi pemerintahan yang gagal, korup dan kejam.

Sejak kempen ‘perang melawan terorisme’ yang diterajui oleh AS, serangan dan tekanan terhadap kaum muslimin Uzbekistan semakin bertambah, sehingga sangat memilukan. Sokongan AS terhadap Uzbekistan telah digunakan secara efektif sebagai cop mohor oleh si diktator Uzbekistan itu untuk melakukan apa sahaja penindasan terhadap kumpulan penentangnya. Sebagai upah penglibatannya untuk ‘perang melawan terorisme’ ala AS itu, Uzbekistan telah menerima pinjaman hutang dari AS sejumlah USD55 juta dengan jaminan Bank Import Eksport AS. Sang diktator Uzbekistan yang kejam itu juga dijanjikan hutang luar negeri USD160 juta dolar (tiga kali ganda berbanding jumlah hutang sebelumnya) sebagaimana yang didedahkan sebuah artikel di Washington Post (13/3/2002).

Tragedi Andijan ini merupakan manifestasi kekuasaan Karimov di dalam negeri. Seandainya bukan karena sokongan Amerika dan Russia, barangkali si diktator Uzbekistan itu sudah lama tersungkur. Karimov, bekas setiausaha Parti Komunis Uzbekistan ini memanglah mempunyai hubungan yang kuat dengan Russia, sebagaimana para pemerintah yang ada di negeri-negeri Asia Tengah yang lain sejak dahulu. Bahkan Russia sengaja mengirim pasukan khusus sebanyak 5000 anggota untuk menjaga takhta Karimov. Gaya kepemimpinan sang diktator itu telah menyemai benih kebencian dan kemarahan rakyatnya. Tambahan pula dengan keadaan ekonomi Uzbekistan yang teruk dengan kadar inflasi yang tinggi. Harga barangan keperluan asas melambung tinggi, sementara pendapatan rakyatnya sangat rendah. Maka untuk meredam kemarahan rakyatnya, si diktator Uzbekistan itu pun membuat kempen penangkapan, penyiksaan dan pembunuhan secara sistematik terhadap aktivis Muslim, khususnya aktivis Hizbut Tahrir. Amerika yang selama ini banyak melaungkan slogan Hak Asasi Manusia, tetapi mengapa dalam kes Uzbekistan ini justeru diam seribu bahasa. Tambahan pula setelah beroperasinya pangkalan tentera Amerika di sana, dan setelah penggal kedua pemerintahan George W Bush, ini menunjukkan bahawa Amerika mempunyai objektif yang lebih besar terhadap kawasan tersebut – menguasai kawasan Asia Tengah, Baltik dan Balkan, dengan cara mengganti rejim yang sebelumnya pro-Soviet, dengan rejim yang pro-Amerika.

Revolusi Mawar di Georgia telah dirancang oleh Amerika, dan berjaya menumbangkan Presiden pro-Rusia, Eduard Shevardnadze, yang sebelumnya pernah menyandang jawatan Menteri Luar Rusia. Daripada tuduhan penipuan dalam pilihanraya pertengahan 2003 yang lalu, tercetus gelombang protes akhirnya berhasil menumbangkan sang presiden.

Bukan setakat itu sahaja, Amerika juga telah mendalangi Revolusi ‘Orange’ di Ukraine, yang membatalkan kemenangan Presiden Victor Yanukovich. Atas desakan dunia antarabangsa, terutama setelah Amerika menuduh pilihanraya umum memilih presiden tersebut dinodai dengan penipuan, lalu berlaku kekosongan politik (political vac), sehingga pilihanraya diulang semula. Akhirnya, Presiden Victor Yanukovich kalah, dan tampillah tokoh pembangkang, didalangi oleh Amerika, Victor Yushchenko terpilih sebagai presiden.

Amerika juga telah mendalangi Revolusi Tulip di Kyrgyztan, yang berjaya menjatuhkan Presiden Askar Akayev. Pencetusnya tak lain tak bukan ialah penipuan dalam pilihanraya. Askar Akayev akhirnya melarikan diri ke Moskow Mac lalu. Setelah itu, kelompok pembangkang menguasai bandar dan membentuk pemerintahan ad interim.

Semuanya ini membuktikan wujudnya persaingan antara Amerika dan Rusia di kawasan tersebut. Kemarahan rakyat terhadap para pemimpin diktator sengaja dimanfaatkan Amerika untuk menggulingkan mereka. Setelah itu, dengan menggunakan isu demokrasi dan kebebasan, akan tampil seorang pemimpin yang dikehendaki oleh Amerika. Tragedi Andijan ini memang sangat menakutkan Karimov. Dari satu aspek, Rusia dengan terang membela Karimov. Namun, yang menarik adalah sikap Amerika yang talam dua muka. Dari satu sisi, ia mengecam tindakan kejam yang terjadi di Andijan, namun disisi lain Amerika juga menyalahkan terorisme sebagai punca rusuhan. Itulah wajah Amerika yang terus menerus mencari keuntungan disebalik penderitaan umat dan bangsa lain.

Pandangan Syarak Terhadap Rusuhan Bersenjata

Perjuangan Rasulullah bermula dari baginda diutus menjadi Rasul untuk menegakkan agama Allah s.w.t yang suci dikalangan umat manusia sehinggalah baginda berjaya mengembang dan menegakkan Islam dengan begitu berjaya sehingga kehari kiamat nanti. Perjuangan ini adalah penuh dengan catatan sejarah dan pengajaran yang dapat dijadikan suri tauladan dalam kita merintis untuk mendirikan sebuah negara Islam. Rasulullah s.a.w pada peringkat awal perutusannya di Mekah tidak dizinkan untuk menggunakan kekuatan fizikal; serangan fizikal musuh ditepis dengan kekuatan jati diri sahabat pengikut baginda. Oleh itu, baginda pada peringkat awal hanya menumpukan pengajaran baginda bagi menguatkan akidah dan pendidikan bagi meningkatkan rohani dan semangat serta keyakinan diri dikalangan penganut Islam itu sendiri, dengan mendidik mereka dengan keperibadian Islam.

Petanda kejayaan pembinaan ini dapat dilihat dari sudut bagaimana para sahabat dapat bersabar dengan ancaman getir kaum Quraisy. Tambahan pula kita juga dapat melihat kesanggupan baginda dan para sahabat setianya untuk berkorban meninggalkan segala kesenangan dan keselesaan hidup di tanah tumpah darah mereka di Mekah untuk berhijrah ke Madinah. Baginda berhijrah ke Madinah dengan segala susah payahnya dalam menyambut perintah Allah swt. Ini merupakan satu strategi yang penting dan bersejarah dalam perkembangan agama Allah swt dalam fasa barunya; mendidik umah untuk hidup didalam sistem politik Negara Islam – Darul Islam pertama di Madinah. Hal ini adalah sebagaimana yang dicatatkan oleh Imam Nawawi ra.:

Imam Syafie dan pengikutnya berkata “Setelah baginda saw diutus untuk menyampaikan Islam dan ancaman tanpa peperangan, maka kaum demi kaum mengikutnya, maka solat difardukan di Mekah, kemudian difardukan puasa sesudah hijrah selama dua tahun, dan berlaku perbezaan pendapat bahawa zakat difardukan selepas puasa atau sebelumnya, kemudian difardukan haji tahun ke 6 dan ada yang mengatakan tahun ke 5 H;, dan peperangan adalah dilarang, pada permulaan Islam dan diperintahkan mereka bersabar terhadap gangguan kafir…setelah hijrah..Allah swt mengizinkan perang kepada kaum Muslimin jika kaum kafir memulakannya, kemudian dibolehkan perang ibtida’ (offensif)” [ Raudhatul Al-Thalibin, Kitab Siyar, ms 1786]

Kajian ringkas dari sirah yang dibentangkan menunjukkan dengan jelas bahawa, Rasulullah saw tidak pernah melakukan aktivi pemberontakan untuk membina Negara Islam, baginda terus menerus melakukan aktiviti bersifat intelektual. Dalil-dalil lain yang lebih mengukuhkan konsep ini adalah tindakan dan aktiviti dakwah Rasulullah saw di Mekah yang berlangsung selama 13 tahun. Beliau melakukan aktiviti dakwah dan meminta pertolongan kepada orang-orang terkemuka dari seluruh Jazirah Arab dengan tujuan agar dakwah beliau berhasil dalam menegakkan Daulah Islam. Rasulullah saw dalam hal ini telah membatasi kegiatannya dengan aktiviti-aktiviti yang bukan bersifat fzikal (intelektual – fikriyyah). Beliau tidak pernah melakukan aktiviti apapun yang bersifat fizikal, sebagaimana yang dikatakannya kepada para sahabatnya setelah Bai’at Aqabah ke II:

Kita belum diperintahkan melakukan hal itu (tindakan kekerasan)”.
[As Sirah An Nabawiyah, Imam Adz Dzahabi, halaman 202]

Beliau menolak tawaran para pemimpin Madinah untuk memerangi penduduk Mina (jama’ah haji dari seluruh Jazirah Arab) dengan pedang. Beliau tidak mengatakan kepada mereka: “Kita belum mampu”, tetapi beliau mengatakan: “Kita belum diperintahkan melakukan hal itu”. Imam Az-Zahabi berkomentar dalam kitabnya As Sirah An Nabawiyah, Imam Az-Zahabi, muka surat 467-468 bahawa “Rasulullah saw hanya mengizinkan mereka berperang setelah beliau bersama kaum Muhajirin berhijrah ke Madinah dan setelah berdirinya Daulah Islam di sana. Saat itulah diturunkan firman Allah SWT yang berbunyi.

Telah diizinkan (berperang) bagi orang-orang yang diperangi (kaum Muslimin), kerana sesungguhnya mereka telah dianiayai”. [TMQ Al-Haj: 39-40]

“Mafhum Mukhalafah” (hukum yang tersirat adalah yang sebaliknya dari hukum yang tersurat – disebut juga dengan dalil khithab) dari ayat ini menjelaskan bahawa sebelum hijrah, kaum Muslimin tidak diizinkan untuk berperang. Mafhum Mukhalafah ini merupakan hujjah yang wajib dilaksanakan serta dijadikan pedoman bagi setiap gerakan Islam. Lebih dari itu, Allah SWT berfirman:

“Tidakkah kamu perhatikan orang-orang yang dikatakan kepada mereka: ‘Tahanlah tanganmu (dari berperang), dan dirikanlah solat'” [TMQ An Nisa : 77].

Ayat ini diturunkan semasa Daulah Islam masih belum berdiri dan pada waktu itu telah muncul satu gerakan yang dipimpin Rasulullah saw yang anggotanya adalah individu-individu muslim (kaum Muhajirin), yang berhempas pulas untuk mendirikan Daulah Islam dengan menghabiskan waktu 13 tahun lamanya. Setelah itu timbul keperluan untuk melakukan aktiviti bersifat fizikal. Namun sebelum ini kaum muslimin sebagai sebuah kesatuan gerakan, dilarang melakukan aktiviti fzikal tersebut. Malah, mereka diperintahkan untuk bersabar dan menahan emosi. Bahkan, sebahagian besar dari mereka diizinkan berhijrah ke Habsyah demi menghindarkan diri dari fitnah (paksaan untuk meninggalkan Islam).

Dengan tidak diizinkan melakukan tindakan fizikal pada waktu itu, menunjukkan adanya larangan tegas dari melakukan tindakan ini dalam usaha mendirikan Daulah Islam pada setiap masa. Sedangkan keizinan melakukan tindakan fizikal yang hanya muncul setelah Daulah Islam tertegak menunjukkan bahawa aktiviti fizikal merupakan salah satu hal yang tidak termasuk langkah-langkah suatu gerakan Islam, sebaliknya termasuk aktiviti dan tanggungjawab Daulah Islam.

Dari sini kita dapat memahami bahawasanya syari’at Islam telah membezakan dengan jelas antara hukum yang ditaklif kepada gerakan dengan hukum yang dibebankan kepada individu dan penguasa. Namun perlu ditegaskan pula bahawa perbezaan hukum-hukum terhadap jema’ah, kelompok dakwah dan parti politik Islam dengan hukum-hukum yang berkaitan individu di dalam suatu gerakan, hanya terbatas pada gerakan yang mengembang dakwah Islam yang bertujuan mendirikan Islam dalam kehidupan bernegara dalam memenuhi seruan Allah didalam Surah Ali Imran ayat 104.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulannya, Hizbut Tahrir sentiasa berpegang kepada konsep bahawa Negara Islam berdiri bukan atas dasar kekerasan, tetapi negara Islam berdiri atas dasar persetujuan umat, dan kami menolak dengan tegas penggunaan kekerasan dalam mendirikan Daulah berasaskan nas yang telah kami sebutkan diatas. Sebenarnya, tuduhan tanpa bukti oleh Islam Karimov adalah satu usaha untuk mengalihkan perhatian masyarakat terhadap pertumpahan darah yang dilakukannya. Bahkan, tindakan kejam ini semakin membuktikan sakit dan lemahnya sang kuku besi ini. Kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Jurucakap Hizbut Tahrir di London, dengan tegas menafikan tuduhan si diktator Uzbekistan itu; “Hizbut Tahrir menolak mentah-mentah penggunaan kekerasan, ketenteraan, atau perjuangan bersenjata sebagai cara untuk mendirikan kembali Khilafah Islam”. Bahkan, selama beberapa dekad, Hizb telah mengalami penindasan di dunia Islam, namun tetap tidak pernah mengubah thariqahnya dan tetap berjuang tanpa kekerasan. “Dengan menyalahkan Hizbut Tahrir, Karimov ingin mengalihkan perhatian dari penumpahan berdarah (yang dilakukannya) keatas ratusan penunjuk perasaan dari orang awam di Andijan, termasuk wanita dan anak yang tidak bersenjata”, demikian kata Imran Waheed, wakil Hizbut Tahrir di UK (www.khilafah.com). Hizbut Tahrir Pusat juga telah mengeluarkan kenyataan rasmi menafikan keterlibatan HT didalam aktiviti fizikal ini dengan tajuk ‘Pembohongan Adalah Senjata Diktator Uzbekistan dan Ketakutannya Sendiri Akan Membinasakannya’ (Nasyrah Rasmi Hizbut Tahrir, 14/5/2005).

Wahai Kaum Muslimin yang Mulia dan Pemimpin Gerakan Islam,

Marilah kita sama-sama menolak penggunaan kekerasan, ketenteraan, atau perjuangan bersenjata sebagai tatacara untuk mendirikan kembali Khilafah Islam, di samping ianya bercanggah dengan thariqah (tatacara) dakwah Rasulullah, malah ianya juga akan mengorbankan dan memicu peperangan saudara sesama kaum Muslimin. Marilah kita sama-sama bergerak secara intelektual dalam mengkaji bagaimana Islam merupakan sebuah cara hidup yang lengkap bagi kita. Lupakah anda bahawa kita, kaum muslimin, merupakan umat terbaik? Lupakah anda bahawa kita umat yang dimuliakan oleh Allah? Umat yang dikeluarkan oleh Allah untuk mengajak manusia lain ke arah kebenaran? Umat yang terbaik ini telah disiapkan Allah dengan Al-Quran yang mulia dan RasulNya kekasih pilihan Allah. Umat yang terbaik hanya layak dengan sistem yang terbaik, yakni Islam; umat yang terbaik kerana kita sentiasa mengambil yang terbaik. Jadi, apakah anda merasakan sistem kapitalisme adalah sistem terbaik untuk anda? Kami yakin bahawa sebagai kaum muslimin yang sayang kepada Islam anda juga melihat Islam sebagai sebuah cara hidup terbaik. Umat Islam akan sentiasa menjadi umat yang terbaik selama mereka mengambil Islam sebagai cara hidup. Lihatlah bagaimana umat Islam dahulu ketika mereka berpegang kepada Islam telah menjadi pentas rujukan negara Barat dalam semua bidang. Sejarah membuktikan bahawa Islamlah satu-satunya cara hidup yang dapat membawa kita ke persada antarabangsa, memacu umat manusia ke jalan yang benar dan menempa keredhaan Allah swt. Nabi Allah telah menjanjikan bahawa akan berdiri kembali pada suatu masa, setelah segala kekejaman dan penderitaan, khilafah ala minhaj nubuwwah. Tanya diri anda apakah peranan anda dalam menyahut seruan Allah untuk merealisasikan janji ini?

Wallahu’alam.