SN025 – KEGAGALAN SISTEM KAPITALISMA MENANGANI MASALAH SOSIAL

PDF

SN Keluaran 2005

alt

[SN025] Masyarakat Malaysia dikejutkan lagi dengan satu lagi gejala sosial. Episod menyedihkan musim baru menyaksikan seorang pelajar Sekolah Menengah Agama Al-Maidah Addiniah, Padang Tengku, Kuala Lipis, Pahang bernama Muhammad Afiq Qusyairi Baharuddin, 13, dilaporkan telah dipukul pelajar senior pada 24 April lepas sebagaimana yang dilaporkan di laman web Bernama pada 14 Jun 2005. Ketika ramai dari kalangan anggota masyarakat mengurut nafas lega kerana adik Afiq tidak mengalami lumpuh seluruh anggota badannya dan boleh berjalan sendiri, dengan tiba-tiba insiden seorang remaja dibelasah sekelompok samseng menjadi berita sensasi negara. Laporan Berita Harian, Khamis 30hb Jun 2005 menyatakan Allahyarham Asrin Mohsin, 18, yang bertarung nyawa selepas dibelasah di Pesiaran Gurney, Georgetown awal pagi Sabtu lalu, disahkan meninggal dunia jam 4 pagi setelah koma selama 4 hari. Gara-gara seorang perempuan, nyawa yang jadi galang-gantinya!

Sungguhpun isu ini menarik perhatian seluruh anggota masyarakat termasuk ahli Parlimen dan Sultan yang sudi mencemar duli untuk turun ke padang, gejala sosial yang semakin menjadi-jadi ini seolah-olah sekadar hangat-hangat tahi ayam kerana ujudnya terlalu banyak agenda hiburan yang menenggelamkan berita-berita sebegini. Rancangan televisyen realiti seperti Akademi Fantasia, Malaysian Idol, Audition dan Bintang RTM lebih mendapat tempat di hati peminat seni hiburan tanahair. Sambutan konsisten terhadap rancangan yang mampu menjana keuntungan stesyen televisyen dan syarikat telekomunikasi dibuktikan dengan siri airmata peminat menangisi ‘pemergian’ idola mereka, sebaliknya isu sosial seperti insiden buli dan belasah hanya disambut dengan rungutan yang bersifat sementara. Kemunculan artis-artis jelita ‘ala mi segera’ ini sangat menarik minat apatah lagi dengan penampilan seksi yang sudah tentu boleh menggelorakan syahwat. Siapa yang telah lupa laporan media sejurus selepas tamat Akademi Fantasia 2 yang mana sejumlah RM7.5 juta telah ‘dilaburkan’ oleh rakyat Malaysia dalam bentuk undian SMS (Utusan Malaysia, 15 Ogos 2004).

Dalam masa yang sama, isu rogol dan sumbang mahram masih tetap mewarnai senario media cetak dan maya. Kegelisahan umat yang ditunjukkan dengan tulisan-tulisan di media-media tersebut dan paparan MySiasat NTV7 serta 999 (TV3) seakan tidak mampu menangani masalah sosial yang bertali arus seiring dengan kepesatan pembangunan madaniyyah demi meletakkan Malaysia di peta dunia. Sebahagian golongan bersikap acuh tidak acuh. Ketika keluarga Allahyarham Asrin masih berduka, sebahagian masyarakat ibu kota sibuk membanjiri Dataran Putrajaya untuk menyaksikan secara langsung konsert mingguan kelima Akademi Fantasia 3 (AF3). Apakah sikap sebegini mampu merealisasikan aspirasi melahirkan masyarakat cemerlang? Sautun Nahdhah ingin mengungkap masalah sosial masa kini yang berpunca dari tidak ujudnya pemisahan antara lelaki dan wanita dalam kehidupan dan apakah perspektif Islam menanganinya untuk melahirkan masyarakat gemilang di dunia dan akhirat.

Reaksi Masyarakat

Sesetengah kaum Muslimin melihat realiti yang menyakitkan ini sebagai masalah akhlak dengan bersandarkan pada tanggapan “Jika setiap individu memiliki akhlak yan baik, maka masyarakat pun akan menjadi baik. Kemunduran dan kebangkitan suatu masyarakat sangat ditentukan oleh kebangkitan dan kemunduran akhlaknya”. Pandangan ini adalah sangat dangkal kerana insiden-insiden menyedihkan yang dipaparkan di atas sebenarnya adalah gejala atau symptoms, manakala penyakit sebenar yang melanda masyarakat hari ini adalah disebabkan oleh dominasi sistem kapitalis dan tidak dilaksanakan hukum-hakam Islam secara kaffah (menyeluruh) dalam kehidupan. Akibatnya masyarakat tidak pernah ambil pusing antara punca masalah sosial yang sangat menonjol iaitu pergaulan lelaki wanita yang tidak menurut batasan yang ditetapkan oleh syarak.

Cara Merubah Masyarakat dalam Sistem Kapitalis

Jika aspirasi murni ialah melahirkan masyarakat cemerlang, ini bermakna konteks yang hendak dikaji adalah kebangkitan umat atau kebangkitan masyarakat, bukan kebangkitan individu. Maka, cara membangkitkan individu pasti tidak sama dengan membangkitkan masyarakat. Contoh: seorang lelaki yang mengamalkan rukun Islam dengan sempurna, dapatkah dia mengawal jirannya dari terjebak dengan perzinaan? Justeru cara membahas kebangkitan masyarakat adalah dengan memahami unsur-unsur penyusun masyarakat serta cara mengubah masyarakat yang terdiri dari 4 unsur – manusia, pemikiran, peraturan dan perasaan. Jika penyelesaian yang dicari berasaskan sistem kapitalis yang mementingkan manfaat-mudarat, untung-rugi semata-mata kita menyaksikan hukuman yang dilaksanakan tidak mampu menyelesaikan berbagai krisis sosial yang kian meruncing. Hukuman berasaskan common law juga terbukti gagal sehingga tidak mampu melindungi masyarakat sehingga hak masyarakat untuk menikmati ketenangan telah dirampas.

Hukuman dari Perspektif Islam

Syariat Islam adalah sistem yang ditetapkan oleh Allah untuk mengatur kehidupan manusia melalui Rasulullah saw untuk seluruh dan demi kerahmatan umat manusia sepanjang masa dimana jua. Hukum Islam dengan sumber Al-Quran dan As Sunnah, adalah hukum yang lengkap yang akan mengatur segenap aspek kehidupan manusia. Dengan ijtihad para mujtahid, hukum Islam akan mampu menjawab tiap persoalan baru yang muncul. Ia tidak akan pernah kering dan sentiasa relevan di sepanjang masa. Hukum Islam diturunkan kepada manusia dengan memandang manusia sebagai manusia yang memiliki sifat kemanusiaan (insaniah)yang secara sunnahtullah, tidak mengalami perubahan. Manusia yang hidup 14 abad yang lalu di negeri Arab, memiliki sifat kemanusiaan yang dengan manusia yang hidup sekarang. Menurut Syekh Muhammad Muhammad Ismail dalam kitab Al-Fikru al Islamy, pada diri manusia terdapat potensi kehidupan iaitu keperluan organik serta naluri berupa naluri beragama, naluri pembiakan dan naluri survival sebagai sunnatullah, yang mana potensi ini tetap ada sepanjang masa. Justeru cara menangani sebarang permasalahan yang melanda manusia hendaklah mengambil kira fitrah atau sunatullah manusia ini.

Antara Wanita dan Lelaki

Wanita dan lelaki adalah makhluk Allah SWT yang diciptakan untuk saling lengkap-melengkapi. Di dalam Al Qur’an, Allah Swt berfirman berkaitan dengan keberadaan manusia, yang terdiri dari laki-laki dan perempuan, sebagai berikut :

Hai manusia, sesungguhnya kami telah menciptakan kalian dari seorang laki-laki dan seorang perempuan, lalu menjadikan kalian berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kalian saling mengenal. [Surah al-Hujurat 49:3]

” Diantara tanda-tanda kekuasaannya ialah Dia menciptakan untuk kalian isteri-isteri dari diri kalian sendiri supaya kalian cenderung dan merasa tenteram dengannya” [Surah ar-Rum 30:2]

Adalah suatu yang lumrah apabila ujud ‘chemistry’ antara wanita dan lelaki. Ia adalah manifestasi naluri manusia untuk melanjutkan keturunan, yang menuntut suatu pemuasan ketika bergejolak. Akan tetapi, naluri tersebut tidak akan bergejolak, kecuali kerana adanya fakta yang dapat diindera atau adanya fikiran-fikiran yang sengaja ditimbulkan. Kita dapati masalah sosial yang bermaharajalela di dalam masyarakat saat ini disebabkan tidak adanya batas-batas pergaulan antara lelaki dan wanita. Masyarakat Islam sendiri telah termakan idea Barat yang mana mereka tindakan menciptakan fakta-fakta yang terindera dan fikiran-fikiran dan fantasi-fantasi seksual merupakan tindakan yang lazim mereka lakukan. Tujuannya adalah demi membangkitkan naluri seksual mereka sehingga naluri tersebut menuntut pemuasan. Apabila masyarakat lebih selesa menghabiskan masa dengan aktiviti-aktiviti hiburan dan kurang peduli masalah-masaah sosial disekeliling mereka, bagaimanakah aspirasi melahirkan masyarakat cemerlang & gemilang hendak dicapai?

Penyelesaian Menurut Perspektif Islam

i. Ketaqwaan Individu

Islam yang lengkap ini memiliki pengaturan dan hukum-hakam tentang apa jua permasalahan yang menimpa manusia. Seorang muslim sejati yang menjadikan redha Allah sebagai penentu perbuatannya meyakini bahawa akidah yang mantap akan membantu seseorang menangani isu berkenaan dengan pemenuhan naluri melanjutkan keturunan (gharizatul nau’) iaitu melalui pernikahan. Sekiranya masih belum berkemampuan, naluri ini dikekang dengan mengalihkannya pada aktiviti yang mendekatkan diri pada Allah (taqarrub ilalLah) seperti berpuasa sebagaimana hadis riwayat Bukhari yang bermaksud,

“Wahai pemuda, sesiapa sahaja diantara kamu yang mampu berumahtangga, maka menikahlah. Sebab, menikah itu dapat menundukkan pandangan dan membentengi kemaluan. Namun, sesiapa sahaja yang tidak mampu, maka hendaknya berpuasa, sebab puasa itu dapat menjadi benteng (bagi seseorang)”

Ini selaras dengan firman Allah:

“Orang-orang yang tidak mampu untuk menikah, hendaklah menjaga kesucian (diri)nya hingga Allah memberikan kepada mereka kemampuan dengan kurnia-Nya [Surah an-Nur 24;33].

Dia juga disarankan agar. Sekiranya terdapat realiti seperti wanita seksi lalu di hadapan mata, dia akan dengan segera menundukkan pandangannya sebagaimana perintah Allah SWT dalam surah An-Nur ayat 30,

“Katakanlah kepada lelaki-lelaki beriman, hendaklah mereka menundukkan pandangan mereka dan menjaga kemaluan mereka”.

Sementara bagi para wanita pula, mereka mematuhi perintah menundukkan pandangan, memakai khimar (tudung kepala) dan berjilbab ketika di tempat umum dan di hadapan lelaki bukan mahram sebagaimana firman Allah :

Hendaklah mereka melabuhkan kain tudung ke dada mereka. Janganlah mereka menampakkan perhiasannya kecuali yang biasa tampak pada dirinya [surah An-Nur 24: 31]

Hendaklah mereka mengulurkan jilbab mereka keatas seluruh tubuh mereka [Surah al-Ahzab :59].

Selain itu, dia juga mengelakkan tabarruj seperti memakai wangian dsb, contohnya hadis dari Abu Musa al-Asy’ari yang bermaksud:

Siapapun wanita yang memakai wewangian kemudian melalui suatu kaum agar mereka mencium baunya, bererti dia seorang penzina.

ii. Kawalan Masyarakat

Walaubagaimanapun, seperti mana hukum-hakam lain, pelaksanaan syariat sepenuhnya tidak sekadar bergantung kepada ketaqwaan individu tetapi juga kawalan masyarakat yang mana apabila berlaku sesuatu aktiviti maksiat, setiap ahli masyarakat terpanggil untuk melakukan tindakan pencegahan, iaitu nahy munkar seperti mana hadis – Barangsiapa yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubah dengan tangannya. Jika tidak mampu, maka dengan lidahnya. Jika tidak mampu, dengan hatinya (di dalam hati). Itulah selemah-lemah iman.

iii. Keujudan Negara yang menerapkan Islam secara Kaffah

Sungguhpun begitu, ketaqwaan individu dan campur tangan masyarakat untuk mengatasi masalah sosial tidak akan mencegah dan menyelesaikan kemaksiatan yang bermaharajalela dalam masyarakat tanpa adanya penguatkuasaan dan hukuman oleh negara kepada yang melanggarnya. Hukuman hudud kepada penzina adalah satu contoh hukuman kepada pelaku maksiat, selain dari penguatkuasaan tentang penampilan dan pakaian muslimat dan non-muslimat di tempat awam yang mana ia bertujuan menjaga kemaslahatan masyarakat.

Khatimah

Islam sebagai sebuah ideologi lengkap memiliki setiap penyelesaian akan permasalahan yang melanda manusia. Dalam menangani masalah sosial, apa yang perlu difokuskan ialah kita mengakui akan ujudnya naluri melanjutkan keturunan (procreation instinct) yang mana, rangsangan dan tarikan antara berlainan jantina yang didorong oleh naluri ini dihalusi dan ditangani sesuai dengan syara’. Ketiadaan sistem pemerintahan yang menerapkan Islam secara kaffah menyebabkan tidak adanya hukum-hakam bersepadu yang ujud seiring jalan antara ketiga faktor – ketaqwaan individu, kawalan masyarakat dan keujudan negara yang menerapkan hukum-hakam Islam secara kaffah. Maka, sebagai seorang Muslim yang berfikiran jernih, adalah sangat perlu melihat sesuatu isu dengan mengkaji akar umbinya (root of the problem) dan bukan sekadar melihat gejala (symptoms) yang lahir disebabkan ketiadaan Negara Islam, yang dengannya penerapan hukum-hakam Islam dapat dilaksanakan secara menyeluruh. Justeru, penyelesaian paling tuntas dalam apa jua permasahan yang dihadapi umat manusia tidak ada cara lain selain dari melanjutkan kehidupan Islam yang berarti mengajak kaum muslimin kembali hidup secara Islami dalam Darul Islam. Seluruh kegiatan kehidupannya diatur sesuai dengan hukum-hukum syara’ dan pandangan hidup yang menjadi pedoman adalah halal dan haram, di bawah naungan Daulah Islamiyah, yang dipimpin oleh seorang Khalifah yang menjalankan pemerintahan berdasarkan Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya. Tidak perlu mempertikaikan hukum hakam Allah atas alasan masyarakat masih belum bersedia kerana ketika di Malaysia diterapkan lebih dari 80% undang-undang British (hingga sekarang) dan pelaksanaan demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan, rakyat tidak pernah ditanya samada sudah bersedia atau belum. Marilah kita bersama-sama berjuang mengajak seluruh umat Islam kembali kepada Islam dan merealisasikan pelaksanaan Islam secara kaffah. Namun begitu, dalam mengorak langkah memastikan hanya Islam yang menjadi tolok ukur, marilah kita menghalusi hukum-hakam Islam satu persatu supaya apabila perahu telah di lautan dan pendayung telah ada di tangan, kita tidak terkapai-kapai mencari as-Syafie dan al-Ghazali untuk meraih restu Illahi. Wallahu ‘alam.