SN040 – NUZUL AL- QURAN

PDF

SN Keluaran 2005

alt

[SN040] Bulan Ramadan kini dilalui oleh seluruh umat Islam di serata dunia. Di bulan yang mulia ini perasaan dan dorongan untuk berbuat kebaikan muncul dalam diri umat Islam. Besarlah harapan seluruh umat Islam agar Allah memberikan hidayah dan taufiq-Nya disamping memuliakan kita dengan pertolongan-Nya yang agung. Semoga amalan kita diterima sebagai ketaatan dan ikhlas semata-mata mencari keredhaanNya.

Pelbagai peristiwa besar yang berlaku sepanjang Ramadhan terus mekar di ruang ingatan kita. Antaranya adalah peristiwa yang maha agung dalam sejarah umat Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wasallam iaitu peristiwa turunnya kitab suci atau yang dikatakan sebagai “Nuzul Al-Quran” pada 17 Ramadhan. Peristiwa itu dirakamkan di dalam Al-Quran sebagai peringatan kepada kita semua sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala :

“Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan- keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan di antara yang benar dan yang salah”. [TMQ Al-Baqarah 185]

Al-Quran diturunkan di antaranya bertujuan untuk memperbaiki keadaan manusia dan juga sebagai petunjuk ke jalan yang lurus yang diredhai Allah Subhanahu wa Ta’ala sebagaimana yang dinyatakan dalam firman-Nya:

Alif, Lam, Raa, ini adalah kitab Al-Quran kami turunkan ia kepada mu wahai Muhammad, supaya engkau mengeluarkan umat manusia seluruhnya dari gelap gelita ( kufur ) kepada cahaya iman dengan izin Allah yang Maha Kuasa lagi Maha Terpuji” [TMQ Ibrahim:1]

Imam Ibnu Katsir menyatakan, “Allah Subhanahu wa Ta’ala telah memuliakan bulan Ramadhan di antara bulan-bulan yang lain. Ini boleh difahami kerana bulan Ramadhan telah dipilih Allah Subhanahu wa Ta’ala untuk menurunkan Al Quran Al-‘Adzim”

Allah Subhanahu wa Ta’ala telah memuliakan dan mengagungkan bulan Ramadhan di atas bulan-bulan yang lain. Di bulan Ramadhanlah Allah menurunkan Al-Quran yang mengandungi petunjuk, penjelasan serta pemisah antara yang haq dan bathil. Al-Quran juga adalah sumber segala hukum bagi kaum Muslimin yang tidak boleh diingkari dan diacuhkan. Dalam masalah ini Imam Ibnu Taimiyyah berkata:

“Barangsiapa tidak mahu membacakan Al-Quran bererti ia tidak mempedulikannya dan barangsiapa membaca Al-Quran namun tidak menghayati maknanya, maka bererti ia juga tidak mempedulikannya. Barangsiapa yang membaca Al-Quran dan telah menghayati maknanya akan tetapi ia tidak mahu mengamalkan isinya, maka ia pun tidak mempedulikannya”. Selanjutnya Imam Ibnu Taimiyyah mengungkapkan sebuah ayat:

“Berkatalah Rasul : “Ya Tuhanku! Sesungguhnya kaumku menjadikan Al-Quran ini suatu yang tidak dipedulikan” [TMQ Al-Furqan:30]

Nuzul Al-Quran melontarkan impak yang besar untuk disambut oleh umat Islam yang menyedari hakikat kewajipan menerapkan ajaran Al-Quran didalam seluruh aspek kehidupan mereka. Al-Quran mesti diambil sebagai kaedah kehidupan (Manhajul Hayah) bagi kaum Muslimin. Sesungguhnya individu, masyarakat dan negara, jika kesemuanya mahu mengambil Al-Quran sebagai Manhajul Hayah, maka akan terpancarlah petunjuk, penjelas dan furqan (kemampuan untuk membezakan mana yang benar dan salah). Sebaliknya jika sebuah negara dan masyarakat itu jauh dari tuntunan Al-Quran, maka mereka tidak akan pernah mendapat petunjuk, penjelas dan furqan. Dan yakinlah sesiapa sahaja yang mendapat petunjuk dari Allah Subhanahu wa Ta’ala, maka mereka akan dikurniakan keberkahan, kemudahan dan juga kesejahteraan hidup.

Kini, tanpa disedari, umat Islam hanya terpanggil untuk menjadikan Al-Quran sebatas kitab yang mesti dibaca tatkala Ramadhan tiba tanpa memperhatikan dan menjadikan isi kandungannya sebagai pengatur kehidupan mereka. Ketahuilah Al-Quran tidak memadai hanya dibaca, tetapi mestilah dipelajari, difahami maksudnya dan diamalkan ajarannya sebagai tanda kita melaksanakan seluruh kewajipan yang dibebankan Allah ke atas hamba-Nya. Tergamakkah kita tidak peduli dan menyia-nyiakan Al-Quran tatkala ia dianggap sebagai kitab bermusim yang mesti dihabiskan bacaannya untuk diraikan dalam majlis tadarus atau Khatam Al-Quran semata-mata?!

Lebih parah lagi, umat Islam hanya sekadar menikmati alunan merdu nan syahdu bacaan Al-Quran yang diperdengarkan di stesen-stesen tv, tatkala jalan raya penuh sesak dan pasaraya penuh dibanjiri mereka yang mengambil kesempatan cuti Nuzul Al-Quran untuk membeli belah. Malah dalam laman web Malaysia Tourism Portal dan Selangor Travel Guide, Nuzul Al-Quran jatuh di bawah kategori “festivals and celebrations” setaraf dengan October Fest, hari pesta arak bagi orang-orang Jerman.

Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam dalam berbagai hadis baginda menegaskan bahawa sesiapa yang berpegang pada Al-Quran dan As-Sunnah tidak akan tersesat selama-lamanya. Jadikan prinsip “Kami mendengar, dan kami patuh!” sebagai pegangan bila berdampingan dengan Al-Quran. Alangkah ruginya orang yang memahami Al-Quran tetapi tidak mengamalkannya. Orang itu laksana pohon yang tidak berbuah. Juga diibaratkan seorang musafir kelana yang membawa peta. Peta tadi lengkap mengandungi petunjuk arah agar dia boleh merujuknya dan tidak tersesat jalan. Namun jika musafir tadi tidak mahu menggunakannya, tidak mustahil dia akan tersesat jalan, lantas kehilangan hala tuju perjalanannya.

Kaum Muslimin yang diberkati Allah! Sesungguhnya Al-Quran tidak boleh dipisahkan dari kehidupan umat Islam. Sesungguhnya Al-Quran mengungkapkan kebenaran yang menjadi nadi kekuatan, menjana perubahan serta memuatkan pelbagai ajaran dengan syarat umat Islam mahu mengambil segala isinya untuk diterapkan dalam kehidupan. Telah terbukti apa yang telah dilakukan Rasulullah dengan jayanya iaitu membangkitkan bangsa yang jahil dan buta huruf menjadi umat pelopor dan pencetus generasi cemerlang, gemilang dan terbilang dengan jalan Al-Quran. Berdampinglah selalu dengan Al-Quran, fahami dan hayati maksudnya dan seterusnya jadikan ia acuan dalam mengatur kehidupan sepanjang hayat kita. Seterusnya, jadikanlah Al-Quran sebagai sumber hukum ketika ini. Oleh itu bersamalah kita berusaha mengembalikan sistem Khilafah ala Minhaj Nubuwwah supaya ajaran Al-Quran dapat direalisasikan dalam bentuk kehidupan bermasyarakat dan bernegara yang diredhai Allah.

Wallahua’lam

AMERIKA DAN STRATEGI BARUNYA MEMERANGI PENUBUHAN KHILAFAH

Akhirnya secara terang-terangan pada 6 Oktober 2005, Presiden Amerika Syarikat, George W. Bush telah menamakan musuh utamanya di abad ini iaitu umat Islam yang cintakan kekuasaan Islam untuk kembali tertegak. Kenyataan tersebut dikeluarkan ketika Bush memberikan ucapannya menentang terorisme di National Endowment for Democracy, Ronald Reagen Building and International Trade Center serta berjanji tetap akan meneruskan perang melawan ‘terorisme’. Kalau selama ini kumpulan dan individu yang menentang kepentingan AS akan digelar sebagai “teroris” atau “pengganas” secara umumnya, kali ini Bush akhirnya memberi indikasi bahawa ‘teroris’ yang beliau maksudkan (dan beliau menggunakan perkataan ‘serangan’ di dalam ucapannya) adalah “golongan yang memperjuangkan ideologi yang jelas dan terfokus, tetapi bukan berpemikiran gila. Sebahagian dari kumpulan ini digelar radikal Islam yang jahat, angkatan jihad bersenjata, dan Islam fasis”. Beliau juga menekankan bahawa “..apapun golongan ini dipanggil, ianya berbeza dari Islam sebenar”. ‘Islam sebenar’ yang beliau maksudkan ini adalah versi Islam ‘moderat’ yang menyokong aspirasi Barat. Seterusnya, beliau menambah bahawa “..golongan ini sanggup mengeksploit Islam demi tujuan politik mereka yang jahat”, yang sebenarnya bermaksud tujuan politik yang tidak menyokong aspirasi Barat. Dari ucapannya ini, dengan jelas sekali Bush menuding jari kepada kaum muslimin yang berjuang mengembalikan Negara Islam (Al-Khilafah) secara khusus. Untuk menyokong kenyataannya, Bush telah mengeluarkan pelbagai tuduhan dan pembohongan dari ketakutan serta kekhuatirannya akan visi dan misi umat Islam di seluruh dunia iaitu untuk mendirikan kekuasaan Islam. Tuduhan-tuduhan ini boleh diperhatikan seperti berikut:

1. Golongan ini dituduh ekstremis dan hendak menamatkan pengaruh cengkaman AS dan Barat di Timur Tengah. Penentangan ini timbul kerana AS kononnya berdiri atas nama demokrasi dan keamanan, serta membantu untuk mencapai ‘cita-cita umat Islam’ di seluruh dunia ke arah ‘kebebasan’.

2. Jaringan bersenjata dituduh ingin mengeksploitasi vakum yang dicipta akibat pengunduran AS di Iraq untuk dijadikan pangkalan melancarkan serangan dan mencipta perang ke atas negara umat Islam ‘moderat’. Katanya lagi, sepanjang beberapa dekad lepas, golongan Islam ini menjadikan Mesir, Arab Saudi, Pakistan dan Jordan sebagai tempat yang berpotensi untuk mengambil alih kekuasaan.

3. Golongan bersenjata percaya dengan menguasai satu negara, ia akan dapat mengerahkan seluruh umat Islam, membolehkan mereka menggulingkan kerajaan yang ‘moderat’ di sekitarnya, dan menubuhkan empayar Islam radikal yang terbentang dari Sepanyol ke Indonesia.

Kenyataan Bush dikeluarkan untuk menunjukkan bahawa :

1. AS akan meneruskan perang melawan ‘terorisme’ atas tiket demokrasi dan keamanan. Namun hakikatnya, tindakan AS adalah lebih zalim daripada binatang buas yang sedang menikmati hidangannya. Lupakah kita bagaimana AS membunuh kanak-kanak dan orang tua dalam perang Iraq dan Afghanistan?

2. AS tidak akan berundur selama-lamanya dari Iraq. Pengunduran mereka akan memungkinkan tertubuhnya negara Khilafah yang menjadi kepimpinan umum umat Islam. Penjajahannya ke atas Iraq ini adalah kerana didorong oleh sikap ingin menjadikan Iraq sebagai pusat kekuasaannya dan penyebaran ideologi kapitalisme-demokrasi di Timur Tengah. Ini jelas kerana Daulah Khilafah yang tertubuh akan menghancurkan ideologi kufur ini dan negara yang menjadi pendokong dan penyebarnya seperti AS, Barat serta negara-negara umat Islam yang melaksanakannya.

3. Wujud ketakutan dan kebencian membara dalam jiwa kafir Bush terhadap Islam, setelah mengetahui dan yakin bahawa Daulah Khilafah pasti akan tertegak berdasarkan senario yang diunjurkan di dalam dokumen “Mapping the Global Future” terbitan National Intelligence Council, sebuah badan di bawah agensi perisikan CIA.

4. AS ingin terus mempertahankan cengkaman dan pengaruh kapitalismenya di dunia Islam agar ideologi ini akan terus kekal di dalam Dunia Islam. AS tidak mahu penjajahannya berakhir yang akan membawa kepada kehancurannya dan kehancuran sekutu-sekutunya.

5. Seterusnya, menghalalkan tindakan yang berterusan untuk memburu dan menyerang kumpulan-kumpulan dan negara yang mendokong perjuangan menubuhkan Khilafah Islamiyyah di mana beliau mengatakan bahawa kewujudan Khilafah nanti akan menafikan kebebasan politik dan agama.

6. Menyekat aktiviti politik parti-parti Islam yang berusaha menegakkan Khilafah, seperti Hizbut Tahrir. Hizb, sebagai contoh, telah berjuang lebih 50 tahun untuk mengembalikan Islam secara kaffah tanpa menggunakan kekerasan dan hanya menggunakan peperangan pemikiran. AS dan sekutunya buat masa ini masih berjaya menggunakan media untuk mengelirukan pemikiran Islam dan segenap aspirasi kebangkitan umat Islam. Dengan bantuan media ini, sebagai contoh, Barat telah cuba mengaitkan aktiviti parti-parti Islam yang bergerak secara aman seperti Hizbut Tahrir dengan aktiviti militan. Bush, di dalam ucapannya mengatakan, “The murderous ideology of the Islamic radicals is the great challenge of our new century. Like the ideology of communism, our new enemy teaches that innocent individuals can be sacrificed to serve a political vision” (Ideologi Islam radikal yang membunuh adalah cabaran paling besar di abad ini. Seperti ideologi Komunis, musuh baru kita mengajar bahawa individu yang tidak bersalah boleh dikorbankan untuk mencapai visi politiknya). Bush meletakkan pengertian umum ‘Islam radikal’ sebagai merangkumi seluruh aspek perjuangan Islam, termasuk perjuangan yang tidak menggunakan kekerasan dalam usaha untuk mengembalikan Khilafah. Bagi Bush, mana-mana gerakan yang ingin menegakkan Khilafah, beliau akan menyamakannya dengan gerakan militan.

Semua kenyataan ini mempamerkan sikap dan motif utama Amerika dalam agenda mereka ‘menentang keganasan’. Hakikatnya, tentangan mereka ini adalah merupakan tentangan terhadap Sistem Politik Islam – Al-Khilafah. Khilafah atau juga dikenali sebagai Daulah Islam adalah sistem politik yang ditubuhkan oleh Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wasallam di Madinah yang kemudiannya diteruskan sehinggalah Britain, melalui ejennya, membubarkan kekhilafahan terakhir di Istanbul pada 3hb Mac 1924.

Sebenarnya, ideologi Islamlah yang dikhuatiri oleh AS. Ideologi ini, jika dilaksanakan dan diterapkan oleh kaum Muslimin, secara pasti akan meruntuhkan ideologi Kapitalisme. Ideologi Islam akan menyatukan Umat Islam di bawah naungan Daulah Khilafah Islam – sebuah negara yang berideologi Islam dan bersifat global. Umat Islam di bawah Khilafah juga akan menerapkan syariat Islam untuk mengatur kehidupan mereka sehari-hari.

Dengan perlaksanaan dan penerapan Ideologi Islam serta sistemnya, Kapitalisme akan diabaikan dan dilupakan. Jelas ini akan mengancam kewujudan penjajahan AS. Ini adalah kerana kunci keberhasilan penjajahan AS adalah selama mana umat Islam masih menganggap ideologi Kapitalisme sebagai sesuai buat mereka dan masih diamalkan oleh negeri-negeri umat Islam.

Oleh itu, peperangan ideologi yang bermula dari peperangan pemikiran adalah hal yang paling ditakuti oleh AS. AS faham akan kesan perang pemikiran malah masih menjalankannya demi mempertahankan anggapan bahawa ideologi Kapitalisme masih sesuai. Ini sekaligus melemahkan pemikiran umat Islam dan membentuk pembohongan terhadap Ideologi Islam serta mengekang sebarang perjuangan untuk mengembalikan Khilafah Islamiyyah.

Pada tahun 2002, bekas Setiausaha Pertahanan AS, Paul Wolfowitz mengatakan, “Ketika ini, kita sedang bertempur dalam perang melawan pengganas – perang yang akan kita menangi. Perang yang lebih besar yang kita hadapi adalah perang pemikiran – ini jelas merupakan suatu tentangan, namun ia juga mesti kita menangi”

Pada tahun 2004, Penasihat Keamanan Kebangsaan AS, Condoleeza Rice juga mengatakan, “Kemenangan sebenarnya tidak akan muncul hanya kerana teroris dikalahkan dengan kekerasan, tetapi kerana ideologi kematian dan kebencian dikalahkan”

AS merasa yakin dapat mengalahkan penentangan bersenjata yang dilakukan oleh sebahagian umat Islam. Ini adalah kerana kekuatan persenjataan AS jauh lebih baik dibandingkan dengan kekuatan ketenteraan para pejuang Islam. Namun begitu, AS menyedari bahawa kekuatan Ideologi Islam yang dipeluk oleh para pejuang mukhlisin tidak akan mudah dikalahkan dan dihancurkan; Ideologi Islam secara fitrah lebih mudah menarik hati dan fikiran masyarakat.

Strategi Umat Islam Menentang Propaganda dan Rancangan Jahat AS

Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani di dalam kitab Ad-Daulah al Islâmiyyah telah menjelaskan halangan-halangan yang akan dihadapi kaum Muslimin ketika ingin mendirikan kembali Negara Islam. Di dalam buku tersebut, Syeiikh an-Nabhani, pengasas Hizbut Tahrir, menyebut bahawa salah satu halangan terbesar adalah wujudnya pemikiran-pemikiran yang tidak Islami yang telah ditanam oleh Kafir Barat di dalam benak kaum muslimin. Hal ini disebabkan Dunia Islam memang sedang mengalami kemunduran dan kecetekan berfikir. Natijahnya, pemikiran-pemikiran yang tidak Islami ini berkembang subur dan memunculkan para intelektual yang sekadar mengekori idea-idea yang tidak Islami tersebut.

Inilah kenyataan yang sedang terjadi di Dunia Islam. Kehadiran intelektual atau pemikir tidak Islami ini secara hakikatnya membantu AS memerangi umat Islam yang ikhlas berjuang, termasuk di Malaysia dan ini mencerminkan kemunduran berfikir mereka. Para intelektual dan pemikir ini dengan bangganya menyerukan ‘liberalisme’ Islam dalam segala aspek, termasuk pemikiran Islam. Di sisi lain, para pemikir ini juga kerapkali memanifestasikan alah dan fobia dengan pemikiran Islam terutamanya dalam masalah hukum syara’ dan isu kenegaraan dan politik Islam (Khilafah). Kemunduran berfikir inilah yang melahirkan sikap rendah diri dan bersalah ketika menghadapi pemikiran Barat.

Syeikh an-Nabhani kemudian memberikan penyelesaian yang wajib menjadi agenda utama kaum Muslimin dalam menghadapi serangan pemikran AS dan sekutunya.

Pertama: membina umat, terutama para intelektualnya, dengan pemikiran ideologi Islam. Dalam hal ini, mesti dijelaskan kepada umat sejelas-jelasnya bahawa Islam mampu menyelesaikan persoalan-persoalan kehidupan mereka secara hakiki. Di sinilah pentingnya melakukan pengkajian yang lebih terperinci tentang sistem ekonomi Islam, sistem politik Islam, sistem pendidikan Islam, dan yang lainnya. Pemikiran Islam mesti disampaikan secara bersepadu; tidak sebatas membahas aqidah sahaja, fiqih ibadah sahaja, atau akhlak sahaja.

Pembahasan Islam juga mesti dikaitkan dengan fakta-fakta/persoalan-persoalan realiti dunia hari ini, kemudian dijelaskan bagaimana Islam menyelesaikan persoalan tersebut. Sebagai contoh, krisis kenaikan harga minyak; perlu dikaji secara mendalam dan menyeluruh fakta krisis kenaikan minyak ini melalui satu pandangan yang khas (pandangan Islam) dan penyelesaian Islam yang murni diberikan atas persoalan ini.

Matlamat dari semua ini adalah untuk menimbulkan keyakinan umat, terutama para pemikirnya, bahawa Islam pasti boleh menyelesaikan setiap persoalan kehidupan mereka; tanpa mendongak pada ideologi Kapitalisme. Dengan begitu, sikap rendah diri yang melanda para intelek Islam akan hilang.

Kedua: menjelaskan kepada umat kepalsuan dan keburukan pemikiran yang bersumber dari ideologi Kapitalisme dan Sosialisme serta pertentangannya dengan Islam. Seterusnya pemikiran songsang lain seperti sekularisme, demokrasi, terorisme, idea dialog antara agama dan lainnya akan dibentang dengan sejelas-jelasnya. Hakikat sistem Kapitalisme yang mendatangkan kesengsaraan kepada umat Islam juga akan dijelaskan.Tidak ketinggalan pemikiran demokrasi yang menjadi wakil suara rakyat, yang hakikatnya adalah suatu khayalan mesti diserang habis-habisan.

Demokrasi yang diperjuangkan oleh AS hendaklah dijelaskan pertentangannya dengan Islam. Ini adalah kerana demokrasi telah menyerahkan kedaulatan membuat hukum kepada manusia. Sebaliknya, di dalam Islam, kedaulatan hukum hanyalah milik Allah semata. Begitu juga pemikiran liberalisme dan kebebasan, ianya amat bertentangan dengan Islam. Di dalam Islam, manusia tidak dibiarkan melakukan apa sahaja yang sesuai dengan seleranya, namun setiap Muslim wajib terikat pada syariat Islam dalam segala perilakunya.

Jika kesedaran akan keburukan idea Kapitalisme ini sudah wujud di jiwa umat maka apa jua bentuk propaganda pemikiran kufur tidak akan laku. Justeru, umat akan melihat bahawa para pemikir taghut ini tidak lain hanyalah kakitangan dan boneka penjajah yang ingin meneruskan penjajahan dan kesengsaraan umat.

Ketiga: melakukan dakwah yang bersifat politik dengan mengajak umat Islam untuk menerapkan syariat Islam secara kaffah dalam seluruh aspek kehidupan. Umat hendaklah memahami bahawa bukan para pemikir taghut sahaja yang menghalang perlaksanaan Islam, akan tetapi, semua ini berakar kerana tidak adanya institusi yang menerapkan syariat Islam secara kâffah iaitu Khilafah Islamiyyah. Oleh yang demikian, dakwah Islam mestilah bermatlamat membawa kepada penerapan syariat Islam secara menyeluruh di bawah naungan Daulah Khilafah Islamiyyah.

Penerapan syariat Islam secara kâffah dan menyeluruh ini akan menjadi jawaban yang paling menyakinkan kepada para ahli propaganda kufur yang menolak syariat Islam. Tuduhan-tuduhan palsu mereka tentang syariat Islam akan nampak jelas kebohongannya. Penerapan Islam secara kaffah dan menyeluruh ini akan secara jelas memberikan gambaran bahawa syariat Islam dan Khilafah Islam itu bukan sebuah khayalan, tetapi merupakan suatu realiti. Seterusnya, ia juga akan menafikan tuduhan mengatakan bahawa Islam membawa kepada kemunduran. Semuanya akan hancur secara komprehensif jika Khilafah Islam segera ditegakkan.

Ingatlah firman Allah di dalam Al Quran:

“Sesungguhnya orang-orang kafir membelanjakan harta mereka untuk menghalangi manusia dari jalan Allah. Mereka akan membelanjakan harta itu, lalu harta itu menjadi bahan penyesalan bagi mereka, dan kemudian mereka akan dikalahkan”  [TMQ al-Anfal : 36]

Wahai umat Islam yang dimuliakan! Yakinlah bahawa Islam pasti akan berdiri dan menghancurkan musuh Allah dan musuh umat Islam dan kalianlah yang memikul tanggungjawab untuk memastikan kewajiban ini menjadi realiti.