SN051 – HAJI DAN PENYATUAN UMAT ISLAM

PDF

SN Keluaran 2006

logo SN
 

[SN051] Pada tanggal 8 Januari ini umat Islam akan berkumpul di tanah suci Makkah untuk menunaikan ibadah haji. Ia adalah merupakan manifestasi dari gharizah tadayyun atau naluri menyembah yang secara fitrah wujud di dalam manusia kepada Zat yang lebih sempurna, Tuhan yang mencipta mereka serta alam semesta. Naluri ini menggerakkan mereka dengan tenaga, masa dan harta untuk menyambut panggilan Allah tanpa imbalan material sedikitpun – mereka hanya mengharap redha Allah semata-mata. Umat Islam dari Malaysia tidak ketinggalan menyertai perhimpunan tahunan terbesar umat Islam sedunia ini yang telah berlangsung sejak 14 abad yang lalu dalam apa jua keadaan ekonomi, sosial dan politik umat Islam. Seramai lebih 26,000 jemaah haji Malaysia telah bertolak secara berperingkat ke tanah suci; sebahagian besarnya diuruskan oleh Lembaga Tabung Haji.

Seperti tahun-tahun sudah, persiapan rapi telah dibuat untuk memastikan segala urusan ibadah haji berjalan dengan lancar. Untuk memastikan daya tahan dari segi fizikal para jemaah haji disediakan dengan kemudahan kesihatan yang baik melalui kemudahan klinik Tabung Haji berhampiran tempat penginapan mereka. Sebelum berangkat para jemaah akan diberi sekurang-kurangnya suntikan vaksin ACYW-135 untuk meningitis, influenza dan pneumokokus. Pihak kerajaan Arab Saudi juga telah mengambil langkah berjaga-jaga menghalang penyebaran wabak seperti demam denggi, batuk kering, kolera dan selsema burung.

Dari segi keselamatan pula pihak Arab Saudi telah menyediakan lebih 20,000 pegawai untuk mengawal ketenteraman. Beberapa tempat seperti di Masjidil Haram dan lain-lain tempat dipasang kamera pemantauan. Di tempat melontar jamrah sahaja diletakkan seramai 1,400 anggota untuk mengawal kawasan ini di sepanjang 4 hari waktu melontar untuk mengelakkan kemalangan seperti trajedi terowong Muasem yang mengorbankan lebih 250 nyawa pada tahun 2004. Pada hakikatnya banyak lagi yang perlu atau boleh dilakukan oleh mereka. Antara lain adalah seperti menyediakan infrastruktur yang lebih baik untuk mengurangkan kesesakan yang pasti akan berlaku setiap musim haji. Apa yang amat diperlukan, sebagai contoh, adalah suatu sistem pengangkutan yang cekap seperti keretapi aliran ringan (LRT) yang bebas dari kesesakan jalan raya. Perkhidmatan ini seharusnya dibina untuk menghubungkan tempat-tempat utama ibadah haji seperti Masjidil Haram, Mina, Muzdalifah, ‘Arafah dan kawasan Jamrah dengan lebih cekap.

Haji di masa Rasulullah

Di zaman Rasulullah kaum Muslimin sempat menjalani ibadah haji sebanyak dua kali. Kali yang pertama dipimpin oleh Saidina Abu Bakar yang dilantik oleh Rasulullah selaku Amir Haji pada tahun ke sembilan Hijrah, selepas perjanjian Hudaibiyah. Pada haji kali ini, pengumuman telah dilakukan pada hari Qurban di Mina bahawa orang musyrik dilarang melaksanakan haji setelah tahun tersebut dan para jemaah dilarang bertelanjang semasa melakukan tawaf seperti yang telah menjadi praktik pada zaman jahiliyyah.

Haji kedua pada tahun kesepuluh Hijrah telah dipimpin oleh Rasulullah sendiri dan ini adalah haji terakhir atau dikenali sebagai Haji Wada’. Pada musim inilah Rasulullah menunjukkan kaifiyat atau cara-cara menunaikan haji mengikut syari’at Muhammad Sallallahu ‘alaihi wasallam yang berbeza dari haji jahiliyyah dan syari’at Nabi dan Rasul terdahulu. Sabda Baginda:

“Kalian ambillah daripadaku manasik haji kalian” [HR Muslim]

Walaupun kefardhuan haji ini telah bermula sejak zaman nabi Ibrahim namun umat Islam wajib mengikut syari’at Nabi Muhammad untuk menunaikan ibadah ini.

Ibadah haji dan kefardhuan yang lain

Di Malaysia, setiap bakal haji telah diberi kursus intensif untuk memberi kefahaman kepada mereka kaifiyat mengerjakan ibadah haji terutama rukun-rukunnya. Berbagai pesanan telah disampaikan oleh pembimbing kursus terutamanya mengenai kesalahan-kesalahan biasa yang sering dilakukan oleh para jamaah yang boleh merosakkan ibadah haji mereka. Para jemaah diingatkan mengenai kesalahan yang mungkin terjadi ketika melontar jamrah dan waktu-waktunya, bagaimana mengira bilangan sa’ie, dari mana garisan mula tawaf dan bagaimana melakukan kiraannya supaya cukup tujuh kali dan perkara-perkara yang boleh membatalkannya serta lain-lain persoalan. Perkara-perkara ini sangat dititikberatkan sehingga kadang-kadang menimbulkan pertelingkahan seperti yang dibangkitkan oleh Menteri Besar Perlis Datuk Seri Syahidan Kassim sebagai reaksi kepada kenyataan Tabung Haji yang mengeluarkan fatwa baru bahawa jemaah haji lelaki dan wanita yang bersentuhan ketika tawaf di Kaabah tidak batal tawaf mereka bermula musim haji kali ini. Beliau mengatakan “Ini satu lagi masalah. Dulu mereka (Tabung Haji) kata batal, kini bertukar pula. Oleh yang demikian, bagaimana dengan jemaah-jemaah haji sebelum ini”. Beliau dengan tegas menuntut penjelasan dari pihak Tabung Haji mengenai masalah ini [Utusan 15/12/05].

Kes ini menunjukkan betapa prihatinnya umat Islam terhadap urusan ibadah haji. Mungkin kerana ibadah ini dianggap sebagai ibadah tertinggi dalam Islam selepas jihad fisabillah (berperang menentang orang kafir). Ini adalah kerana bagi wanita Muslimah ibadah haji juga dikategorikan sebagai ‘jihad’ yang paling utama. Rasulullah pernah ditanya oleh Aisyah RadhiAllahu ‘anha.,

“Kami melihat bahwa jihad merupakan amal yang paling utama. Kalau begitu, tidakkah kami juga berjihad.” Beliau kemudian bersabda: “Akan tetapi, jihad yang paling utama adalah haji mabrur.” [HR al-Bukhari].

Menurut para fuqaha, haji mabrur adalah hajinya orang yang tidak maksiat kepada Allah pada saat menunaikannya. Akan tetapi, menurut al-Fira’, haji mabrur adalah bagi orang yang setelah menunaikan ibadah haji tidak bermaksiat kepada Allah. Sementara itu, menurut Ibn ‘Arabi, haji mabrur adalah bagi orang yang tidak bermaksiat kepada Allah baik ketika menunaikan ibadah haji maupun setelahnya. Sedangkan menurut al-Hasan, haji mabrur adalah bagi orang yang ketika kembali dari menunaikan ibadah haji menjadi zuhud terhadap dunia dan rindu pada akhirat [Al-Qurthubi, II/408]. Atas alasan inilah umat Islam begitu serius dalam usaha mendapatkan haji mabrur.

Dengan motivasi seperti ini, alangkah baiknya jika hukum-hukum Islam yang lain juga diambil berat. Ini adalah kerana hukum Islam yang diturunkan oleh Allah bukanlah hanya berkisar di sekitar bidang akhlak, aqidah dan ibadah seperti solat, puasa, nikah, faraid dan haji sahaja (hubungan dengan Tuhan dan diri sendiri) tetapi juga menyangkut soal hubungan antara manusia seperti mu’amalat (ekonomi, pemerintahan dll.) dan uqubat (penghukuman). Islam datang sebagai sebuah ideologi yang mampu mengatur seluruh hubungan manusia sebagai sebuah masyarakat. Islam tidak turun hanya sebagai agama ritual seperti Hindu, Buddha atau Kristian. Islam sebagai ad-Deen yang mengatasi seluruh ideologi lain di dunia pada hakikatnya mampu mengatur kehidupan manusia dalam segenap aspek. Namun apa yang kita perhatikan hari ini adalah sekiranya Islam itu mampu, mengapa ia masih terpinggir?

Sekiranya umat benar-benar yakin bahawa Islam adalah satu-satunya cara hidup (way of life) yang sewajarnya dijadikan sebagai pegangan, sepatutnya umat telahpun bergerak dengan bersungguh-sungguh untuk mengembalikannya agar ia berperanan sepenuhnya dalam kehidupan seharian. Namun apa yang berlaku adalah kaum Muslimin telah mengambil sistem Barat dalam menjalankan kehidupan mereka dan mempertahankannya. Sebagai contoh, anak-anak umat Islam hari ini, dalam menjalankan mu’amalat seperti peminjaman wang hanya memikirkan kadar faedah bank mana yang terendah dan wajar diambil. Atau bagaimana bebanan pembayaran cukai dapat dikurangkan. Mereka akan merujuk kepada undang-undang sivil dan tidak pernah pula peduli mengenai sistem politik Islam dalam aspek pemerintahan. Halal dan haram bukan lagi menjadi pegangan. Kaum Muslimin hari ini lupa bahawa Islamlah yang menjadikan manusia semulia-mulia makhluk melalui penerapannya yang kaffah. Ahli orientalis seperti Bernard Lewis yang kafir sendiri mengakui bahawa Islam mempunyai sistem politik yang begitu jelas melalui kenyataan beliau “…Islam, tidak seperti fahaman moden Yahudi dan Kristian, adalah doktrin politik yang jelas dan sangat sangat maju, cepat mengadaptasi dengan situasi….”

Ibadah haji dan penyatuan umat Islam

Ibadah haji pada hakikatnya adalah simbol perpaduan umat kerana untuk melakukan ibadah ini semua bakal haji diwajibkan untuk hadir ke padang ‘Arafah serentak selepas waktu asar pada tanggal 9 Zulhijjah untuk menjalani ibadah wuquf. Contohnya, pada tahun ini umat Islam akan berkumpul di padang ini dalam keadaan berihram. Orang miskin atau kaya akan memakai dua helai kain putih rida’ dan izar sebagai pakaian ihram ketika berada di sini dalam keadaan bertaqarrub kepada Allah. Setiap muslim akan merasa persamaan mereka di hadapan Allah semasa berihram; semua perhiasan yang biasa dipakai olehnya terpaksa ditinggalkan ketika menghadap Allah di padang ‘Arafah. Mereka juga, bahkan semua 1.2 bilion kaum Muslimin di seluruh dunia akan sama-sama menjalani ibadah puasa ‘Arafah pada hari tersebut dan merayakan hari raya ‘Idul ‘Adha serta menjalani ibadah Qurban serentak pada tanggal 10 Zulhijjah.

Setiap muslim juga akan merasakan persamaan antara mereka kerana Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam pada saat Haji Wada’ telah bersabda dengan maksudnya:

Wahai manusia, sesungguhnya Tuhan kalian adalah satu, dan bapa kalian adalah satu. Ingatlah, tidak ada kelebihan bagi orang Arab atas orang bukan Arab; juga tidak ada kelebihan bagi orang yang berkulit hitam atas orang yang berkulit merah, kecuali dengan taqwa. [HR Ahmab, Ibn Hibban, dan al-Harits].

Semua Muslim Arab dan bukan Arab, dengan berbagai warna kulit yang bukan merupakan pilihan mereka adalah sama di sisi Allah kecuali taqwa yang dicapai dengan kesungguhan mereka untuk mencapai keredhaanNya. Sejarah telah membuktikan bahawa selama lebih 1,300 tahun manusia pelbagai bangsa dan warna kulit telah bersatu dengan gagahnya sebagai satu umat di atas asas aqidah Islam.

Inilah keberkesanan penyatuan yang telah dimulakan oleh Rasulullah setelah berhijrah. Di Madinah, beliau telah mempersaudarakan kaum Muslimin. Beliau mempersaudarakan diri beliau dengan ’Ali bin Abi Talib. Pakciknya, Hamzah dengan bekas hambanya Zaid. Abu Bakar dipersaudarakan dengan Kharijah bin Zaid, ’Umar bin Khattab dengan ’Utbah bin Malik al-Khazrajiy, Talhah bin ’Ubaidillah dengan Abu Ayyub al-Anshariy dan Abdul Rahman bin Auf dengan Sa’ad bin Rabi’. Persaudaraan semacam ini mempunyai pengaruh yang sangat kuat dalam melahirkan masyarakat yang stabil dan kukuh, mampu menghadapi tentangan luar dan dalaman, dari orang munafik dan propaganda Yahudi [Negara Islam, Taqiyyuddin An-Nabhani].

Gelombang penyatuan yang benar

Islam telah menunjukkan kaedah penyatuan yang berstruktur dan teratur dengan menghadkan kewujudan hanya seorang sahaja pemimpin umum kaum Muslimin pada setiap masa. Pemimpin ini dipanggil Khalifah. Struktur ini adalah sangat jelas berdasarkan sabda Rasulullah Sallallahu ’alaihi wasallam dalam hadis riwayat Abi Said al-Khudri bahawa Nabi bersabda:

Apabila dibai’at dua orang khalifah, maka bunuhlah yang terakhir dari keduanya.[HR Muslim]

Kata ’bunuh’ di dalam hadis ini merupakan qarinah (indikasi) tentang ketegasan perintah ini yang membawa implikasi hukum haram bagi kaum Muslimin untuk memiliki lebih dari seorang Khalifah. Ini memberikan isyarat kepada kita bahawa kewujudan lebih dari 50 orang pemimpin di negeri-negeri kaum Muslimin sekarang ini adalah tidak sah di sisi syara’.

Sempadan geografi yang wujud antara kaum Muslimin pada hari ini bukanlah datang dari Islam tetapi adalah merupakan paksaan oleh Barat ke atas umat yang diimplementasi melalui ejen-ejen mereka. Ini boleh dilihat dari pernyataan mereka sendiri seperti yang diungkapkan oleh John Kifner dalam artikelnya Building Modernity on Desert Mirages (Membina Kemodenan di atas Fatamorgana Padang Pasir). Beliau menyebut ”Dan daripada semua negara-negara buatan yang diciptakan oleh kuasa-kuasa Eropah yang telah memenangi Perang Dunia I, yang telah melakarkan garisan-garisan rawak di atas peta, tiada yang lebih palsu dari kepingan-kepingan kawasan padang pasir kecil, miskin dan tidak berperundangan yang merupakan negara Jordan. Malah benderanya adalah rekaan – lembaran warna hijau, merah, putih dan hitam yang berkibar di atas pasukan Arab yang diketuai oleh bani Hashim menentang Empayar Uthmaniyah – dasar kepada bendera Jordan dan Pertubuhan Pembebasan Palestin – telah dilakarkan oleh pegawai Petugas Luar British bernama Sir Mark Sykes dan dikeluarkan oleh pejabat perbekalan tenteranya di Kairo.”

Selepas Perang Dunia I muncullah negeri-negeri seperti Mesir, Arab Saudi, Jordan, Iraq dan lain-lain. Sempadan yang ada merupakan ciptaan penjajah semata-mata di bawah dasar pecah dan perintah mereka. Maka lahirlah negeri-negeri kecil dan lemah yang ’merdeka’ dengan hadiah pelembagaan ciptaan barat. Sebab itulah kita terpaksa bergabung dengan Liga Bangsa-Bangsa negara-negara kristian Eropah yang kemudiannya digantikan dengan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 1946 selepas Perang Dunia II. Sehingga kini umat Islam sentiasa merujuk kepada Barat melalui PBB untuk menyelesaikan masalah-masalah mereka seperti di Chechya, Bosnia, Palestin, Mindanao, Selatan Thai, Kashmir, Ethiophia, Indonesia dan banyak lagi. Malangnya, apa yang berlaku adalah masalah kita malah menjadi semakin rumit.

Ini adalah amat berbeza jika umat Islam bersatu di bawah naungan Khilafah kerana Daulah yang dipimpin oleh Khalifah akan menjaga segala hal ehwal warganya. Ini adalah kerana Khilafah atau Imam kaum Muslimin adalah merupakan perisai/benteng kepada mereka. Abu Hurairah menuturkan bahawa Rasulullah pernah bersabda:

Imam itu bagai benteng; tempat umat berperang di belakangnya dan berlindung dengannya. [HR Muslim]

Jika di dalam hadis itu disebutkan bahawa imam (pemimpin atau penguasa) itu bagaikan perisai bagi rakyatnya, maka pemimpin haruslah mampu melindungi dan menyelamatkan rakyatnya dari berbagai hal yang mengancamnya; termasuk kelaparan, kedinginan, penyakit, ataupun kebodohan; baik dalam keadaan normal, lebih-lebih dalam keadaan sulit akibat bencana seperti gempa bumi. Tidak perlu kita mengemis kepada musuh kita seperti Amerika untuk bantuan seperti khemah dan makanan kerana Daulah akan mempunyai sumber-sumber yang cukup untuk menyelesaikannya. Dalam hal pengaturan urusan umat ini Rasulullah juga pernah bersabda:

Imam (pemimpin) adalah pengatur/pengelola; ia akan dimintai pertanggungjawaban atas orang yang dipimpinnya itu. [HR Muslim]

Yang jelas, apabila umat Islam telah bersatu, hidup di bawah sistem Islam yang mulia, maka sumber kekayaan seperti petroleum dan gas tidak akan lagi tertumpu kepada negeri kecil seperti Kuwait, Brunei dan lain-lain, dinikmati hanya segelintir orang semata-mata. Dalam keadaan mendesak, bantuan akan digerakkan secara efisien seperti apa yang telah berlaku ketika Madinah dilanda kemarau pada zaman Umar al-Khattab. Bekalan dengan segera datang dari Afrika – yang sekarang ini sebaliknya miskin dan tidak dapat membantu walau dirinya sendiri.

Imam sebagai pelayan umat dan penyatu dapat dilihat dari peranan yang dimainkan oleh Sultan Abdul Hamid, antara Khalifah di akhir zaman kekhilafahan Uthmaniyah sebelum kejatuhannya. Sultan Abdul Hamid menyedari bahawa satu-satunya harapan untuk orang-orang Islam pada ketika itu adalah dengan membentuk Kesatuan Islam yang utuh. Sultan Abdul Hamid berpandangan bahawa Barat akan cuba memecahbelahkan negara Islam dan kemudian berurusan dengan setiap wilayah (negara bangsa) secara berasingan seperti yang berlaku pada hari ini di mana umat Islam telah berpecah menjadi lebih 50 buah negara. Sultan Abdul Hamid membuat keputusan untuk memperkenalkan atau mencanangkan semula bahawa kekhilafahan Uthmaniah adalah pemimpin dunia Islam.

Antara langkah ke arah penyatuan kaum Muslimin yang dilakukan oleh Khalifah Abdul Hamid adalah dengan membuat keputusan mewujudkan landasan keretapi Hijaz (1900) yang menghubungkan Damshiq di Syria dan Madinah sebagai simbol Kesatuan Islam. Pembiayaan landasan keretapi telah dilunaskan dalam waktu beberapa tahun sahaja dan ia berfungsi sebagai alat yang utama untuk menghubungkan wilayah-wilayah utama di dalam Daulah Islam. Ia juga digunakan sebagai laluan pantas untuk pengangkutan dan menempatkan unit ketenteraan. Selain itu, banyak lagi langkah-langkah politik yang telah diambil untuk menguatkan Khilafah sebelum pemecatannya oleh seteru-seteru politik beliau. Ini merupakan suatu yang tidak dapat dielakkan; seluruh kuasa Barat seperti Inggeris, Perancis, Belanda, Portugis, Jerman, Rusia dan lain-lain tidak pernah lelah dalam usaha mereka untuk menghancurkan Daulah.

Wahai kaum Muslimin,

Sekiranya falsafah persamaan dan kesatuan seluruh kaum Muslimin ini benar-benar dihayati maka ia pasti melahirkan suatu gelombang penyatuan yang amat dahsyat yang akan melanda umat Islam di seluruh dunia. Ia akan mampu meruntuhkan tembok-tembok nasionalisme Arab dan Turki yang telah dibina oleh Barat dan kuncu-kuncunya sebelum kejatuhan kekhilafahan Uthmaniyyah. Gelombang yang sama juga mampu meruntuhkan dan mamadamkan tembok sempadan-sempadan buatan Barat yang diagung-agungkan oleh ramai kaum Muslimin sehingga mereka terpecah-pecah kepada negeri-negeri kecil yang lemah dan diperintah oleh boneka-boneka yang lemah. Gelombang itu perlu bermula dengan tertubuhnya Daulah Khilafah yang akan menjadi pencetus dan memimpin kepada penyatuan umat secara fizikal dan mental. Negeri Islam yang bergabung dengan Khilafah adalah umpama cebisan daging yang bercantum membentuk semula gergasi yang akan menghancurkan kekufuran dan mengembalikan kemuliaan yang telah sirna sejak kejatuhan Daulah Khilafah kepada umat Islam.

Ketahuilah bahawa Islam, melalui penegakkan semula Khilafah, secara fitrahnya mampu menjadi kenderaan yang dapat membawa penumpangnya untuk menghadapi serangan-serangan dan propaganda kaum kuffar. Penumpang kenderaan ini adalah umat Islam yang diikat oleh tali persaudaraan yang tidak mengenal taraf sosial, bangsa dan warna kulit. Umat ini adalah umat yang diikat dengan aqidah Islam yang dipilih melalui proses berfikir yang jernih dan rasional sehingga ia diyakini oleh akal tanpa sebarang keraguan. Kekuatan ikatan ini tidak boleh dinafikan. Coretan sejarah membuktikannya. Dan ia akan kembali mendominasi dunia, dengan izin Allah yang Maha Kuasa. Semoga musim haji pada tahun ini menimbulkan motivasi di dalam diri umat untuk bersatu dan menegakkan Islam, mengembalikan kemulian kaum Muslimin yang sudah terlalu lama menghilang…

Wallahua’lam

Bicara SN

’Kami kirimkan surat ini dengan khabar gembira atas apa yang telah Allah kurniakan kepada kami pada tahun ini dari penaklukan-penaklukan yang tidak pernah didengar telinga dan belum pernah terlihat mata yakni penaklukan kota yang sedemikian mahsyur, Kota Konstantinopel. Harapan kami dari tuan hendaknya menyebarkan khabar kemenangan dan kurnia besar ini kepada semua penduduk dua kota suci Makkah dan Madinah, kepada para ulama’ dan kaum bangsawan yang mendapat petunjuk, para zahid, ahli ibadah dan orang-orang yang soleh, para syaikh, orang-orang yang selalu mendekatkan diri mereka kepada Allah serta para imam yang mulia dan bertaqwa. Kami juga berharap agar berita ini disampaikan juga kepada anak-anak dan orang-orang tua secara keseluruhannya yang tinggal di Baitullah, di mana mereka ini laksana tali yang kukuh yang tidak akan pernah putus. Khabarkan juga kepada orang-orang yang datang untuk meminum air Zamzam dan ke maqam Ibrahim, yang beri’tikaf di kubur Rasulullah Sallallahu ’alaihi wasallam. Kami berharap mereka dapat mendoakan kekuasaan kami di ’Arafah dengan menundukkan wajah kepada Allah atas kemenangan yang telah dicapai. Allah telah memberikan kepada kami barakah mereka dan mengangkat darjat mereka.’

(Sebahagian dari surat yang dikirimkan oleh Sultan Muhammad Al-Fatih, setelah kejayaan tentera Islam membebaskan Kota Konstantinopel pada tahun 1453M (857H), kepada Gabenor Makkah) [Bangkit dan Runtuhnya Khilafah Uthmaniyyah, Dr. Ali Muhammad Ash-Shalabi]