SN052 – WANITA, PENGORBANAN DAN KETAATAN

PDF

SN Keluaran 2006

logo SN

[SN052] Hari Raya Korban tiba lagi pada 10 Januari atau 10 Zulhijjah yang lalu. Hari bersejarah ini sinonim dengan ibadat korban, mengingatkan kita kepada peristiwa Nabi Ibrahim ’alaihi as-Salam yang mendapat mimpi bahwa Allah memerintahkan baginda untuk menyembelih Nabi Ismail ’alaihi as-Salam. Atas ketaatan kepada perintah Allah, maka Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail pun menyempurnakan perintah tersebut; mengenepikan perasaan kasih sayang bapa dan anak, sanggup berkorban semata-mata kerana ingin menjadi hamba Allah yang patuh kepada perintahNya. Begitu juga dengan pengorbanan Siti Hajar yang ditinggalkan bersama bayinya, Nabi Ismail ’alaihi as-Salam oleh Nabi Ibrahim ’alaihi as-Salam di tanah Mekah yang kering dan tandus. Beliau tetap sabar dan tabah, berlari-lari dari bukit Safa ke bukit Marwa mencari air apabila si kecil menangis hinggalah terbit air dari celah-celah jari kaki Nabi Ismail yang kini dikenali sebagai perigi Zamzam. Pengorbanan beliau ini djadikan sebagai simbol ibadat Haji bagi umat Islam.

Banyak lagi sejarah pengorbanan wanita pada zaman dahulu seperti kisah ibu kepada Nabi Musa ’alaihi as-Salam yang terpaksa memasukkan bayinya ke dalam bakul lalu diapungkan di atas air sungai yang mengalir demi menyelamatkan nyawa Nabi Musa dari dibunuh. Begitu juga kisah Asiah wanita beriman yang terpaksa bersabar dan hidup disamping suaminya Firaun yang angkuh dan zalim; kisah Khansa Radiallahu ’anha yang meniupkan semangat juang kepada kelima-lima anaknya untuk pergi berjihad sehingga semuanya mati syahid. Kemudian, kisah Sumaiyyah Radiallahu ’anha wanita pertama yang mati syahid kerana mempertahankan agamanya dan kisah Ummu Hakim Radiallahu ’anha yang melangsungkan perkahwinan di medan perang dan suaminya telah syahid sebelum sempat menikmati malam pertama mereka.

Wanita kini juga melakukan ’pengorbanan’. Di dada-dada akhbar kita sering terbaca isu-isu wanita yang sanggup ’berkorban’ meninggalkan bayi mereka di tempat menunggu bas, di tempat sampah malah di kawasan perkuburan [Mingguan Malaysia 8 Januari 2006] bukan untuk melindungi nyawa anak mereka tetapi bagai menghulurkan bayi yang tidak berdosa untuk dibaham oleh binatang-binatang liar. Wanita masa kini juga sanggup ’berkorban’ memperagakan tubuh dengan menari bogel dan menjadi pelacur kerana yakin hanya dengan jalan itu mereka dapat memperolehi wang bagi menyara keluarga. Bagi wanita yang kemaruk dengan cinta, pastinya ’pengorbanan’ kesucian dan maruah diturutkan demi membuktikan cinta mereka terhadap pasangan walaupun tanpa nikah. Selain itu kita dikejutkan dengan keberanian seorang wanita yang menyimbah asid ke muka dan badan suami gara-gara suami ingin berpoligami.

Kedua jenis pengorbanan itu jelas perbezaannya bagai langit dan bumi; pengorbanan wanita Islam terdahulu dan wanita Islam zaman globalisasi. Wanita zaman kini lebih berani dalam segala-galanya. Kalau dahulu kecekalan dan pengorbanan mereka hanyalah kerana ingin mendapat redha Allah tetapi kini mereka lebih rela menuruti kehendak hawa nafsu…

Sautun Nahdhah minggu ini tidak akan membincangkan pengorbanan para Muslimah terdahulu secara panjang lebar, tetapi ingin mendedahkan tindakan kaum feminis dalam memperjuangkan hak wanita dan kesamarataan serta falsafah disebaliknya. Mereka ini melakukan ’pengorbanan’ dengan menyangka perjuangan mereka adakah demi membela wanita di atas kezaliman dan ketidak-adilan yang menimpa kaum Hawa ini..

Punca Gerakan Feminisme

Kemunculan feminisme berasal dari sejarah panjang perjuangan kaum wanita Barat menuntut kebebasannya. Pada abad pertengahan zaman feudal Eropah, kaum wanita tidak memiliki tempat di tengah-tengah masyarakat. Mereka diabaikan, tidak memiliki dan mengurusi apapun. Dalam masyarakat feudal, pengaruh pemikiran falsafah dan kekuasaan gereja penuh dengan perlecehan keatas wanita. Wanita diletakkan sebagai sesuatu yang amat rendah, hanya layak dianggap sebagai sumber godaan dan kejahatan.

Kemudian muncul zaman renaissance, zaman pemberontakan melawan pengaruh gereja, kemudian diikuti dengan Revolusi Perancis dan Revolusi Industri. Inilah puncak tindakbalas terhadap pengaruh kaum feudal yang cenderung merosakkan dan menindas rakyat di bawah kekuasaan gereja dan bermulalah era liberalisasi dan demokratisasi kehidupan di Barat. Perubahan ini tidak hanya berfalsafah pada berubahnya sistem feudal menjadi sistem kapitalis-sekular, tetapi turut menginspirasikan kaum wanita untuk bangkit memperjuangkan hak-hak mereka. Keadaan ini semakin meruncing apabila kaum wanita cuba berkerjaya dan mencari hak yang sama rata dan bersaing serta merebut posisi lelaki dari segala sudut ikatan dan nilai tradisi. Kaum wanita mulai menuntut persamaan secara mutlak dengan kaum laki-laki dalam pelbagai aspek kehidupan.

Musuh-musuh Islam terus berusaha memindahkan kehancuran perilaku masyarakat mereka ke Dunia Islam untuk menghancurkan Islam dan sistem keluarga Islam serta menggantikannya dengan perilaku yang sama dengan mereka. Tidak dapat dinafikan, hari ini, mereka telah berjaya merosakkan minda masyarakat Islam. Mereka juga telah berjaya menyebarkan idea feminisme di Dunia Islam yang didorong oleh banyaknya permasalahan yang dihadapi kaum wanita. Kekerasan, kemiskinan, dan ketidakadilan/diskriminasi sering disebut-sebut sebagai permasalahan utama yang di alami wanita dari masa ke masa, terutamanya di Dunia Islam. Ini diburukkan lagi apabila terdapat suami yang tidak bertanggungjawab dan berlaku kejam ke atas isterinya.

Dari fakta tersebut, muncullah berbagai tuntutan untuk memperjuangkan hak-hak wanita. Walau bagaiamanapun, perubahan masyarakat dari sistem feudal menjadi sistem kapitalis ternyata tidak serta-merta mengubah nasib kaum wanita menjadi lebih baik. Bahkan, nasib kaum wanita semakin buruk. Kemiskinan berstruktur (structural poverty) yang terjadi memastikan mereka ikut berperanan dalam membantu ekonomi keluarga. Pada masa yang sama, mereka mesti berperanan dalam sektor domestik. Inilah yang menurut kalangan feminis dianggap sebagai sebuah kepincangan, ketidakadilan, atau diskriminasi gender/jantina.

Mendokong ’perjuangan’ wanita Islam, di Malaysia kita melihat kemunculan Sisters In Islam (SIS) yang kita lihat mendabik dada mengaku kononnya sebagai pejuang utama wanita yang telah banyak memperjuangkan hak-hak wanita dan isu feminisme. Mereka merasakan seolah-olah bertindak melawan peraturan buatan manusia, tetapi hakikatnya mereka bertindak melawan hukum Allah Subhanahu wa Taala. Bangkitnya perjuangan SIS dan kaum feminisme ini juga disebabkan oleh undang-undang sedia ada tidak dapat menjamin kemuliaan wanita. Oleh yang demikian, antara objektif SIS yang dianggap selari dengan kehendak kaum kuffar Barat adalah menegakkan dan membangunkan suatu kerangka hak-hak wanita dalam Islam yang mengambil kira pengalaman dan realiti wanita; menghapuskan ketidakadilan dan diskriminasi terhadap wanita dengan mengubah amalan-amalan serta nilai-nilai yang menganggap bahawa taraf wanita adalah lebih rendah daripada lelaki; dan membina kesedaran awam dan memperbaharui undang-undang serta dasar-dasar mengenai kesaksamaan, keadilan, kebebasan, martabat dan demokrasi dalam Islam. [www.sistersinislam.org.my]

Untuk itu, salah satu perjuangan mereka yang radikal adalah menyerang dan menolak institusi keluarga dan sistem kekeluargaan yang dalam pandangan mereka merupakan simbol pengaruh dan ketidakadilan kaum laki-laki atas kaum wanita. Kaum feminisme ini berusaha mengubah struktur pembahagian tugas kehidupan menjadikan kebebasan menentukan tugas antara laki-laki dan wanita. Ia membawa konotasi seolah-olah mereka ingin menjadikan kaum wanita seperti lelaki sepenuhnya, dalam segenap bidang.
Terbaru adalah berkenaan isu Undang-Undang Keluarga Islam (UUKI) (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2005 di mana Gabungan Kumpulan Bertindak Wanita (JAG) menggesa ahli-ahli Dewan Negara mengkajinya semula walaupun ia telah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 26 September dengan alasan masih terdapat kekurangan dan diskriminasi terhadap wanita. Pengarah Eksekutif Sisters In Islam, Zainah Anwar mengatakan bahawa JAG membangkitkan isu ini kerana merasakan wujud ketidakadilan menerusi pindaan poligami di mana isteri pertama diminta memilih samada untuk mendapat nafkah atau harta sepencarian yang di perolehi atas susah payah isteri bekerja membantu suami dan keluarga. [Utusan Malaysia 2 Januari 2006].

Di samping itu, ada juga sekumpulan lelaki beragama Islam yang amat bimbang tentang rang undang-undang tersebut dan merasa amat terkilan kerana ia diluluskan walaupun terdapat sekurang-kurangnya 12 senator wanita yang memberi tentangan keras terhadap lima peruntukan dalam Rang Undang-Undang tersebut seperti yang dikhabarkan oleh The Star, Jumaat, 23 Disember 2005 [www.wao.org.my/news/ 3 Januari 2006]. Menteri Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil juga membantah cadangan memasukkan UUKI sebagai kandungan dalam kursus perkahwinan dan menyatakan bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tidak sepatutnya menimbulkan cadangan itu kerana masih terdapat klausa-klausa yang perlu dihalusi yang dilihat akan mendiskriminasi wanita. [31 Disember 2005 Utusan Malaysia]

Bagaimana Islam memandang Wanita?

Pemikiran yang disandarkan dengan konsep kebebasan berpendapat bahawa ukuran nilai dan kemaslahatan harus dikembalikan kepada individu masing-masing. Menurut mereka yang berpegang kepada pemikiran seperti ini, pengukuran tersebut dapat dicapai dengan mengubah tata nilai sosial dan peraturan di tengah masyarakat. Konsep tradisional gender mula berubah. Akhirnya, pembahagian tanggungjawab juga akan berubah sehingga wujud ’persamaan dan kesetaraan’ di tengah-tengah keluarga dan masyarakat. Itulah yang disebut sebagai masyarakat ideal dalam kacamata SIS dan golongan feminis yang lain – sebuah masyarakat yang sama rata; laki-laki dan wanita memiliki kesempatan yang sama untuk terlibat dalam semua aktiviti di semua peringkat tanpa sebarang halangan dalam menikmati hasil-hasilnya.

Akan tetapi, yang diperhatikan adalah justeru sebaliknya. Apa yang dihasilkan oleh gerakan feminisme telah banyak membawa kesan buruk kepada institusi keluarga dan masyarakat. Fakta menunjukkan bahwa falsafah feminisme sekular telah membawa kerosakan terhadap fungsi dan tanggungjawab wanita dalam keluarga dan masyarakat, sekaligus mengakibatkan kehancuran sistem sosial masyarakat secara keseluruhan. Hal ini disebabkan oleh kebebasan yang ditawarkan feminisme yang mengakibatkan keruntuhan struktur keluarga, peningkatan angka perceraian, fenomena anak dara lanjut usia (andalusia) dan kehidupan tanpa perkahwinan, merebaknya seks bebas, meningkatnya kes pengguguran, dilema wanita berkerjaya, perlecehan seksual, pembuangan bayi, anak-anak bermasalah, dan lain-lain. Walhal, yang terbentuk tentu sahaja bukan masyarakat yang bersatu dan teguh, tetapi sebuah masyarakat yang penuh dengan konflik yang tidak memberikan ketenangan dan kepastian, kerana pelbagai penyimpangan yang terjadi di dalamnya.

Ukuran nilai dan kemaslahatan pada hakikatnya tidak boleh dikembalikan kepada manusia atau individu tertentu. Ini adalah kerana banyak permasalahan akan timbul sekiranya ini dibenarkan terjadi; akan wujud perbezaan, perselisihan dan pertentangan pendapat yang tidak berkesudahan. Di samping itu, pendapat tersebut tidak akan memberikan kemaslahatan kepada manusia, bahkan sebaliknya Penilaian baik buruk, ketidakadilan atau kesamarataan serta pujian dan celaan yang didasarkan oleh akal manusia, adalah sesuatu yang merosakkan serta menghancurkan martabat manusia. Firman Allah Subhanahu Wa Taala yang bermaksud;

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal itu amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu padahal amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui”
[TMQ al-Baqarah : 216]

Hanya hukum syara’lah yang layak dijadikan rujukan untuk menilai sesuatu di dalam kehidupan manusia, termasuklah di dalam isu-isu yang melibatkan wanita dan hak-haknya.

Dalam memastikan syara’ merupakan satu-satunya rujukan, negaralah yang berkewajiban melaksanakan Islam bagi memastikan penerapannya berlaku dalam setiap jalur kehidupan. Negara wajib melaksanakan Sistem Sosial Islam yang mana sistem ini akan mengatur dan menjaga struktur kekeluargaan Islam. Dengan sistem kekeluargaan ini, fungsi setiap ahli keluarga akan berjalan dalam fitrahnya – wanita sebagai pengurus keluarga sementara suami sebagai ketua keluarga dan sekaligus sebagai sumber nafkah.

Sekiranya berlaku kekejaman, tindakan jenayah atau ketidakadilan keatas wanita, maka hanya syariat Islamlah yang akan dilaksanakan oleh Daulah. Dalam Islam, kejahatan tidak langsung terkait dengan persoalan gender atau masalah kesamarataan hak lelaki atau wanita. Menuduh wanita berzina tanpa bukti, tidak kira lelaki atau wan ita yang melakukannya akan dikenakan 80 kali sebatan, menyakiti wanita sama ada akibat deraan suaminya atau orang lain akan dikenakan hukuman dan sekiranya seseorang terluka akan dikenakan denda kepada pelaku, tidak kira lelaki atau wanita, selaras dengan luka wanita tersebut. Suami yang mengabaikan tanggungjawab akan dikenakan takzir oleh Daulah. Mencabul kehormatan wanita akan dikenakan tindakan hukuman penjara, sebat dan buang daerah; malah hukuman yang lebih berat akan dikenakan sekiranya yang melakukan kejahatan tersebut adalah penjaganya. [Nidzamul Uqubat, Abdurrahman al Maliki].

Islam menjunjung tinggi kehormatan dan kesucian kaum wanita. Ini terbukti apabila Rasulullah telah menunjukkan contoh yang terbaik bagaimana baginda telah membela nasib wanita muslimah yang dimalukan oleh kaum Yahudi Bani Qainuqa’ sehingga seluruh Bani ini telah dihalau dari Madinah oleh Rasulullah Salallahu ‘alaihi wasallam setelah dikepung selama 15 hari. Begitu juga apabila seorang muslimah di kota Amuria di sempadan Iraq dan Syam, menjerit meminta pertolongan kerana kehormatanya dinodai oleh seorang pemimpin Rom. Jeritannya didengari oleh Khalifah Mu’tasim yang terus memerintahkan tenteranya yang kepalanya di Amuria dan ekornya masih di Baghdad, menyerang bukan sahaja pelakunya tetapi kerajaan Rom sekaligus. Akhirnya, kemenangan diraih oleh pihak umat Islam. Dalam Islam, lelaki dan wanita dilihat bukan sebagai dua spesis yang berbeza. Dalam Islam, wanita dan lelaki dilihat sebagai manusia yang kedua-duanya mempunyai tanggungjawab untuk beribadah kepada Allah

KHATIMAH

Wahai kaum muslimin dan muslimat yang dimuliakan, apakah ‘pengorbanan’ seperti yang dilakukan SIS yang kita inginkan atau keredhaan Allah? Adakah ketaatan kita kepada nafsu dan kehendak diri kita akan benar-benar membawa keadilan yang kita ingini? Apakah pandangan kita, manusia yang dicipta, tentang ketidakadilan dan hak sama rata adalah lebih baik daripada hukum syara’? Renungilah….Semoga Hari Raya Aidil Adha ini mengubah pengorbanan kita ke jalan yang sebenarnya – pengorbanan dalam mengembalikan hukum-hukum Islam. Ketaatan kita hendaklah kepada Allah Subhanahu Wa Taala semata-mata. Adalah merupakan suatu kesesatan yang nyata jilka hukum Allah diabaikan dan hukum nafsu dijadikan rujukan. Allah berfirman dengan maksunya:

“Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang mukmin, apabila Allah dan rasul-Nya Telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. dan barangsiapa mendurhakai Allah dan rasul-Nya Maka sungguhlah dia Telah sesat, sesat yang nyata.”
[TMQ al-Ahzab : 36]

Wahai kaum muslimin dan muslimat yang dimuliakan, ingatlah bahawa kaum wanita akan terbela nasib, maruah, martabat, kedudukan serta keselamatan mereka apabila Daulah Khilafah wujud di muka bumi ini. Khilafah sahajalah yang akan menyelesaikan masalah wanita dengan penerapan syariat Islam secara kaffah. Kedudukan ini bukan sahaja akan menjamin keadilan wanita tetapi juga menjamin keadilan bagi semua anggota masyarakat. Inilah jaminan yang hakiki. Sekiranya inilah hakikatnya, mengapakah mesti kita mengikuti ‘pengorbanan’ kaum feminis atau kaum-kaum lain yang menjadikan hawa nafsu mereka sebagai rujukan? Bukankah lebih baik sekiranya pengorbanan itu tertumpah dalam perjuangan menegakkan perlaksanaan syariat Islam kaffah? Fikir-fikirkanlah… Wallahu ‘alam bissawab.

Bicara SN…

Sultan Abdul Hamid II dan Sisters in Islam? – Bagaimana Seorang Khalifah Menjaga Maruah Wanita.

Imam itu adalah pemelihara dan dia bertanggung jawab terhadap rakyatnya
. [HR Bukhari]

Salah satu tugas Imam adalah menjaga hal ehwal rakyatnya dan memastikan bahawa hukum Allah tertegak dalam pemerintahannya. Sungguh menyedihkan apabila pintu negara Khilafah terbuka luas kepada budaya Barat maka ada golongan di dalam Daulah Khilafah terdedah kepada budaya asing ini. Ramai pemudi-pemudi Islam terpengaruh dengan budaya ini dan mula meninggalkan sistem sosial Islam. Sekelompok kecil wanita Islam Turki Uthmani telah menanggalkan jilbab. Sebagai Khalifah Islam, Sultan Abdul Hamid II memandang bahawa hal ini bercanggah dan tidak sesuai dengan ajaran Islam. Beliau telah mewajibkan pemakaian hijab yang sempurna bagi kaum wanita ketika keluar dari rumah. Surat edaran rasmi yang mewartakan perintah ini telah dikeluarkan pada 4 Oktober 1883.

Inilah sifat Penjaga urusan kaum Muslimin, mereka tidak membiarkan sahaja desakan rakyat yang tidak Islami, mereka tidak membiarkan wanita Islam dibogelkan kerana mengikut idea-idea kebebasan. Islam datang sebagai sebuah cara hidup lengkap yang tidak hanya mengajar wanita akan kewajiban menutup aurat. Penyelesaian Islam mencangkupi seluruh aspek kehidupan.

Namun sayang, dalam sistem kehidupan yang ada sekarang, wanita separuh bogel yang tidak menutup aurat sudah menjadi kebiasaan. Desakan wanita untuk membahagikan harta warisan dengan kadar yang sama dengan mengatasnamakan ”gender equality” dapat kita saksikan di kaca TV walhal hukum perwarisan ini telah termateri sebagai hukum yang Qath’i. Hukum perlu atau tidak wanita Islam berkerja sebagai pramugari memakai tudung pula menjadi isu yang dipersenda guraukan dalam parlimen. Inilah akibat idea kebebasan yang dijajakan oleh Barat sehingga hukum syara’ boleh diselorohkan dan boleh ditolak dengan alasan tidak memenuhi tuntutan zaman dan sebagainya.

Hakikatnya, masyarakat Barat sendiri telah lama rosak dengan sistem kapitalis yang berasaskan idea kebebasan ini. Kerosakan ini mereka bawa pula ke negara-negara kaum Muslimin. Ini bukanlah situasi yang wajar bagi umat Islam yang yakin dengan Allah. Adalah merupakan tanggunjawab kaum Muslimin dan Muslimat hari ini untuk membetulkan keadaan yang rosak ini dengan menegakkan Daulah Khilafah yang telah hilang. Apa yang kita perlukan adalah pemimpin seperti Sultan Abdul Hamid II, bukannya Sisters in Islam agar hukum Allah dapat dilaksanakan dengan tegas dan benar. Benarlah kata-kata Ibnu Abbas:

’Islam dan kekuasaan (authoriti) adalah bersaudara, dan tidak akan baik salah satu tanpa sahabatnya. Islam itu adalah keamanan dan kekuasaan itu adalah penjaga; tanpa keamanan akan rosaklah (masyarakat), dan penjaganya penjaga akan sia-sialah (kewujudannya).’