SN060 – KENAIKAN HARGA MINYAK

PDF

SN Keluaran 2006


logo SN



[SN060] Pada 28hb Februari yang lalu, kerajaan telah menaikkan harga runcit petrol sebanyak 18.5% dan diesel sebanyak 23.4% dan kenaikan ini merupakan kenaikan yang paling drastik dalam masa dua tahun kebelakangan ini. Sekali lagi, alasan yang sama digunakan – kerajaan terpaksa menanggung subsidi yang semakin membebankan. Kali ini, selain alasan kenaikan harga minyak, pihak kerajaan juga menyarankan agar rakyat mengubah cara hidup mereka; agar lebih berhemah dalam perbelanjaan dan tidak membazir. Dato’ Seri Najib mengatakan, “Satu daripada kebaikan yang boleh terbit daripada kenaikan ini ialah timbul kesedaran bahawa rakyat perlu membuat perubahan cara hidup, berbelanja secara berhemah, menentukan keutamaan perbelanjaan dan tidak membazir”. Selain dari itu, pihak kerajaan juga berjanji tidak akan lagi menaikkan harga minyak untuk sepanjang tahun 2006. Mengikut Timbalan Perdana Menteri juga, selain janji tidak akan menaikkan lagi harga bahan itu tahun ini, kerajaan juga akan menggunakan sepenuhnya wang yang dijimatkan daripada pengurangan subsidi itu untuk pembangunan, terutama meningkatkan kemudahan pengangkutan awam. Bagi ‘meredakan’ lagi keadaan yang timbul akibat dari isu ini, Pak Lah muncul pada 5hb Mac yang lalu, di hadapan wakil parti-parti komponen BN di Pusat Dagangan Dunia Putra, menjelaskan rasional kerajaan menaikkan harga minyak. Beliau juga menghuraikan langkah-langkah kerajaan bagi menangani isu ini [Berita Harian 6 Mac 2006].

Rentetan dari kenaikan harga minyak ini, terdapat pelbagai komen yang dinyatakan oleh rakyat; ada yang menyokong dan tidak kurang juga yang menolak tindakan drastik kerajaan ini. Sautun Nahdhah minggu ini tidak akan membawa para pembaca yang budiman untuk turut terlibat di dalam polemik ini. Apa yang ingin kami bawakan adalah sesuatu yang lebih mendasar. Kenaikan harga komoditi dan perkhidmatan yang berlaku saban tahun di dalam sistem ekonomi dunia hari ini (Malaysia tidak terkecuali) adalah merupakan suatu perkara yang tabi’i. Ia merupakan manifestasi yang pasti bagi sistem ekonomi kapitalis. Sistem inilah, sistem yang tidak pernah menjanjikan kestabilan dan ketenteraman kepada manusia sejagat, yang kini diterapkan oleh majoriti negara-negara di dalam dunia. Yang lebih menyedihkan adalah negara-negara kaum Muslimin seperti Malaysia juga turut menegakkan sistem ini sedangkan bagi umat Islam yang mulia ini, Allah Subhanahu wa Ta’ala telahpun menyediakan sistem ekonomi yang jauh lebih teguh dan terbukti keutuhannya untuk diimplementasikan.

Sautun Nahdhah kali ini ingin mengajak para pembaca yang dirahmati Allah untuk mengkaji sistem kapitalisme dengan keburukan-keburukannya serta menghayati sistem ekonomi Islam yang telah berjalan selama lebih 1300 tahun sehinggalah institusi politik yang menerapkan sistem ini dihancurkan pada 3hb Mac 1924.

Sistem Ekonomi Kapitalisme – sistem yang menjanjikan ketidakstabilan dan kezaliman

Sistem kapitalisme merupakan sistem ekonomi yang lahir dari aqidah sekularisme; aqidah yang mengenepikan peranan Allah sebagai As-Syari’ atau pembuat hukum. Ia merupakan aqidah yang mengagungkan akal sebagai ‘arbitrator’, sebagai tunjang yang melahirkan segenap pemikiran dan sistem kehidupan manusia. Sistem ekonomi kapitalisme merupakan sistem ekonomi yang hanya mementingkan keperluan materialistik manusia sebagai dasar permasalahannya. Dalam membincangkan permasalahan ini, pendukung sistem ini meletakkan 3 perkara sebagai asas perbincangan mereka.

1. Kelangkaan relatif komoditi dan perkhidmatan di dalam dunia berbanding dengan keperluan manusia yang terus meningkat.
2. Penekanan keatas nilai produk (komoditi atau perkhidmatan) dalam pengkajian mereka.
3. Harga dan peranannya dalam aspek pengeluaran, pengagihan dan penggunaan produk.

Tambahan lagi, motivasi penggerak ekonomi kapitalis adalah manfaat dan hanya manfaat semata-mata. Makalah ini tidak akan membincangkan ketiga-tiga elemen di atas secara mendalam kerana perbincangan seperti ini memerlukan ruangan khusus untuk mengkajinya. Namun begitu, adalah amat penting untuk kita menyedari bahawa banyak peristiwa-peristiwa yang berlaku sejak kebelakangan ini, yang bersangkutan dengan masalah ekonomi dunia, berkait rapat dengan falsafah ekonomi kapitalis yang berkisar di sekitar tiga asas seperti yang disebutkan di atas.

Banyak contoh yang boleh digunakan dalam membincangkan kepincangan sistem ini dalam konteks asas perbincangan yang disebutkan tadi. Kenaikan harga minyak yang berlaku baru-baru ini merupakan kes yang baik untuk diperhatikan dalam melihat kepincangan ini. Falsafah meletakkan harga sebagai mekanisma pengeluaran, pengagihan dan penggunaan, sebagai contoh, telah dengan sendirinya menyebabkan mereka yang tidak berkemampuan dianggap sebagai orang yang’tidak layak’ mendapat bahagian dalam ‘pengedaran’ bahanapi ini. Pada hakikatnya, kerajaan tidaklah perlu menyarankan perubahan cara hidup kerana bebanan kenaikan harga minyak ini dengan sendirinya memaksa rakyat yang tidak berkemampuan untuk merendahkan lagi taraf hidup mereka yang sudah sememangnya berada di tahap yang cukup menyedihkan. Tidak cukup dengan kenaikan harga minyak, harga barangan keperluan juga turut naik. Kenaikan kadar inflasi (kini kadar inflasi Malaysia adalah lebih kurang 3.2%), salah satu dari fenomena tabi’i sistem kapitalis akan memburukkan lagi keadaan masyarakat yang dipaksa hidup di dalam sistem ini. Yang kaya terus mampu untuk mendapatkan komoditi yang tinggi harganya dan berkemungkinan meraih keuntungan yang lebih dari akses kepada komoditi tersebut. Yang kurang berkemampuan pula terpaksa berjimat dan tidak mendapat akses sepenuhnya kepada komoditi tersebut dan kemungkinan untuk memperbaiki taraf kehidupan, bagi mereka ini, adalah amat tipis. Sesungguhnya, meletakkan harga sebagai mekanisma pengagihan, seperti yang dilakukan oleh sistem kapitalisme, merupakan suatu yang amat menjijikkan dan hanya membawa kepada lebih banyak kezaliman. Falsafah inilah yang merupakan salah sebab utama bertambahnya jurang antara yang kaya dan miskin.

Melihat fenomena kenaikan harga minyak ini dalam konteks yang berbeza, kesengsaraan yang dihadapi oleh rakyat akibat dari kenaikan ini, bagi sebuah negara pengeluar minyak, adalah merupakan suatu yang amat menghairankan. Kapitalisme merupakan sistem yang muncul dari aqidah sekularisme yang meletakkan kebebasan sebagai asas utamanya. Kebebasan kepemilikan merupakan aspek yang membentuk sistem kapitalisme. Dengan kebebasan ini, kapitalisme pada hakikatnya tidak pernah meletakkan sebarang halangan bagi sesiapa untuk memiliki apa sahaja yang mereka inginkan. Begitulah halnya dengan khazanah minyak kurniaan Allah. Bagi pendokong kapitalis, minyak bukanlah hak milik umum, sedangkan hukum Allah secara eksplisit meletakkan komoditi seperti minyak dan galian lainnya dengan status kepemilikan umum. Kita tidak perlu mendalami mekanisma pusingan keuntungan minyak untuk sampai kepada rumusan bahawa keuntungan ini pada hakikatnya tidak sampai kepada masyarakat umum sepenuhnya. Malah, bagi masyarakat di Malaysia, kenaikan harga minyak sepatutnya menjadi rahmat kepada masyarakat; namun yang terjadi adalah rahmat ini berubah menjadi sumpahan ke atas mereka!

Dalam konteks yang sama, adalah merupakan suatu hakikat bahawa sebahagian besar khazanah minyak dunia berada di tangan kaum Muslimin. Namun hakikat yang diperhatikan adalah suatu yang amat menghairankan. Kemiskinan dan kehinaan yang menimpa kaum Muslimin hari ini langsung tidak menggambarkan kekayaan negara-negara umat Islam hari ini. Inilah, secara umumnya, kesan yang amat menyedihkan akibat dari penerapan sistem kapitalisme dalam dunia Islam. Minyak yang sepatutnya menjadi milik umum kaum Muslimin kini dimiliki oleh individu-individu, konglomerat dan syarikat-syarikat besar yang berjalan atas prinsip kapitalisme – manfaat dan keuntungan. Bagi mereka, harga adalah mekanisma pengagihan; oleh itu, selayaknya, hanya mereka yang berkemampuan boleh mendapatkan minyak. Oleh itu, hanya negara-negara Barat dan negara-negara industri yang mampu sahaja dapat membeli minyak dengan harga yang tinggi; meninggalkan negara-negara miskin menjadi semakin miskin dan semakin tersisih dari aktiviti ekonomi global. Yang lebih menyedihkan adalah banyak di antara negara-negara ini adalah negara kaum Muslimin.

Keadilan Ekonomi???

Sistem kapitalisme sebenarnya baru sahaja diimplementasi di dunia hari ini. Dominasi Barat ke atas dunia baru berumur dua abad dan selama dominasi tersebut, fakta sejarah dan realiti hari ini membuktikan bahawa sistem kapitalisme yang diterapkan di majoriti negara di dalam dunia lebih banyak menyebabkan kerosakan dan kenistaan berbanding kebaikan. Perlu diingatkan di sini bahawa dalam membincangkan kegagalan atau kejayaan sesebuah ideologi, seperti kapitalisme, penilaian perlulah dilakukan ke atas kesan penerapannya di seluruh dunia dan bukannya di tempat-tempat tertentu sahaja. Pandangan ini memberikan gambaran yang lebih global dalam memahami kegagalan atau kejayaan ideologi tersebut.

Adakah benar sistem kapitalisme, sekiranya diterapkan boleh menjanjikan keadilan? Adakah Pak Lah akan dapat mengotakan janjinya untuk memberikan keadilan kepada masyarakat Malaysia dalam pemerintahannya, sedangkan sistem yang diterapkannya adalah sistem kapitalisme? Untuk menjawab soalan ini secara tuntas marilah kita sama-sama melihat ‘track-record’ kapitalisme dalam memberikan ‘keadilan’ kepada masyarakat dunia.

Secara global, jurang antara yang kaya dan miskin amat ketara. Banyak statistik yang memanifestasikannya. Namun untuk memperkuatkan lagi hujah yang menunjukkan dengan jelas kenistaan yang disebabkan oleh sistem ini, kami bawakan sedikit sebanyak statistik di bumi kapitalisme sendiri, USA. Secara puratanya, golongan miskin di Amerika mencecah 30 juta orang. Pada masa yang sama GNP AS meningkat dari USD400 bilion kepada USD10 trilion dari tahun 1959 hingga 2000. Peningkatan GNP ini tidak pula membantu dalam mengurangkan kemiskinan di sana [US Census Bureau 2001]. Malahan, AS sebagai negara yang menempatkan jumlah jutawan terbesar di dunia masih lagi menghadapi masalah kebuluran. Menurut The Physician Task Force on Hunger in America, kebuluran masih berleluasa di Amerika dan akibat polisi-polisi kerajaan Amerika, masalah ini menjadi semakin buruk. Mungkin perkara ini tidak pernah didedahkan secara meluas dan ramai antara kita yang tidak sedar akan perkara ini; namun, sekiranya kita masih ingat peristiwa yang menimpa Amerika baru-baru ini, peristiwa Taufan Katrina, kita dapat melihat dengan jelas jurang perbezaan antara masyarakat kaya dan miskin yang begitu ketara didedahkan melalui peristiwa-peristiwa diskriminasi dan jenayah yang berlaku di New Orleans. Nampaknya Amerika, sebagai bapa kapitalisme masih tidak berjaya menghapuskan masalah kemiskinan dan kebuluran. Sesungguhnya kegagalam AS dalam menangani masalah ini adalah sesuatu yang tidak menghairankan. Kemiskinan merupakan masalah yang hanya boleh di atasi secara sistemik. Kapitalisme dicipta bukan untuk mengatasi masalah ini bahkan ia berfungsi untuk mempertingkatkannya!

Globalisasi merupakan bentuk terbaru kapitalisme. Ia merupakan kapitalisme yang merentas benua di mana dana mengalir antara negara tanpa halangan yang merumitkan. Produk juga bergerak tanpa halangan yang besar merentasi negara dan benua. Benar, dalam era globalisasi ini, produksi dan kekayaan meningkat berkali ganda namun peningkatan ini tidak mengalir kepada mereka-mereka yang benar-benar memerlukannya. Sebuah laporan, ‘The scoreboard on Globalization 1980-2000: Twenty Years of Dimished Progress’ melaporkan penurunan kadar pembangunan (pembantutan) berbanding 2 dekad yang lalu. Sebagai contoh, kadar perkembangan ekonomi menunjukkan penurunan secara keseluruhannya. Negara-negara miskin pernah mencatat peningkatan GDP sebanyak 1.9% setiap tahun sebelum 1980 namun dalam 20 tahun terakhir sejak era globalisasi, kadar peningkatannya menjunam kepada purata 0.5% setiap tahun. Dalam aspek-aspek lain, laporan ini juga menunjukkan pembantutan dan bukan kemajuan di kebanyakan negara-negara miskin dan sederhana dalam aspek seperti jangkaan hayat (life expectancy), kadar kematian bayi dan kanak-kanak (infant and child mortality) serta pendidikan dan kebolehan membaca (education and literacy). Semua data yang digunakan di dalam laporan ini diperolehi dari World Development Indicators, 2000, World Bank. Dilaporkan juga di dalam ‘Decomposing World Income Distribution: Does the World Have a Middle Class?’ bahawa 78 peratus dari populasi dunia adalah miskin, 11 peratus berada di kelas pertengahan dan 11 peratus adalah kaya; dan jurang ini malah semakin bertambah buruk.
Para pemerhati ekonomi kapitalis bukannya tidak sedar akan pertambahan jurang ini, malah sekiranya diperhatikan, data-data mengenai ketidakadilan di dalam sistem ekonomi kapitalis itu sendiri kita perolehi dari sumber Barat yang menerapkan kapitalisme. Mereka ada menunjukkan keprihatinan namun dalam menunjukkan keprihatinan ini, pada hakikatnya, mereka malah menawarkan kembali sesuatu yang akan mengekalkan masalah dan bukan menyelesaikannya. Sebagai contoh, di dalam Rome Declaration on World Food Security pada tahun 1996, disebutkan:

‘Kami merasakan bahawa adalah merupakan suatu perkara yang tidak boleh diterima bahawa 800 juta orang di seluruh dunia, terutama di negara-negara membangun masih tidak mendapat makanan yang mencukupi untuk keperluan zat mereka’

‘..oleh itu, peningkatan produksi makanan terutamanya makanan ruji perlu dipertingkatkan..’

Di dalam deklarasi ini, pemimpin-pemimpin dunia mengakui adanya masalah kemiskinan dan kebuluran yang serius namun dalam ‘kesedihan’ mereka ini, mereka tetap memberikan penyelesaian yang bertunjangkan aspek kelangkaan relatif; iaitu dengan menyeru kepada peningkatan produksi makanan. Hakikatnya, kebanyakan negara-negara membangun dan miskin mendapat akses kepada makanan kurang dari 2000 kilokalori per orang, per hari, sedangkan AS dan Eropah, yang mempunyai penduduk kurang dari 20% penduduk dunia menggunakan 3500 kilokalori. Dalam penyelesaian yang dideklarasikan, malangnya, tidak ada langsung indikasi bahawa masalah yang sepatutnya diselesaikan adalah masalah pengagihan. Produksi hanya akan menambahkan bekalan makanan kepada mereka yang sudah kaya (berkemampuan), namun yang miskin akan terus miskin!

Dalam aspek kewangan pula, obsesi terhadap perkembangan produk dan kekayaan di dalam kapitalisme menyebabkan sempadan antara produk, perkhidmatan dan wang dilenyapkan. Dalam suasana kewangan dunia yang terapung, tanpa asas yang kuat dan stabil, suatu keadaan wujud di mana kekayaan kini boleh wujud dalam bentuk maya. Kekayaan mula wujud tanpa bersandarkan produk dan perkhidmatan. Dua faktor yang membawa kepada perkembangan kekayaan tanpa had ini adalah wujudnya sistem riba dan sistem pelaburan berasaskan saham. Dan dalam keadaan ini kekayaan boleh muncul secara tiba-tiba dan hilang secara tiba-tiba!! Masihkan para pembaca ingat kejatuhan ekonomi pada akhir tahun 1990an? ..kekayaan negara yang dijana dengan titik peluh rakyat hilang dalam sekelip mata sahaja!!!

Inilah keadilan ekonomi kapitalisme!!!!!

Wahai kaum Muslimin yang dimuliakan..

Masalah kenaikan harga minyak yang kita lalui hari ini adalah suatu yang pasti berlaku dan akan terus berlaku selama mana sistem kapitalisme ini menjadi asas kepada kehidupan kita. Sebarang ‘penyelesaian’, selama mana ia tetap diasaskan kepada idea-idea kapitalisme, tidaklah ia layak digelar penyelesaian. Kita sebenarnya telahpun terperangkap di dalam lubang kapitalisme yang akan terus mewujudkan ketidakstabilan dan kenistaan di dalam kehidupan kita. Satu-satunya jalan keluar hanyalah dengan mengembalikan sistem Islam melalui penegakkan semula entiti politik Islam yang universal, yakni, Al-Khilafah.

Keadilan sistem kehidupan Islam telah terbukti secara empirik – dan tiada siapa yang mampu menolaknya – melalui penerapan Deen Al-Islam selama lebih 1300 tahun. Dalam aspek ekonomi, Islam meletakkan masalah pengagihan kekayaan sebagai masalah utama yang perlu diselesaikan. Islam juga memastikan kepemilikan kekayaan diperhatikan dengan hukum-hukum yang khusus. Sebagai contoh, kepemilikan dibahagikan kepada 3 jenis; kepemilikan individu, kepemilikan umum dan kepemilikan negara. Minyak, yang banyak menimbulkan pelbagai persoalan sejak kebelakangan ini diletakkan di bawah kepemilikan umum di mana segala kekayaan yang berkaitan dengan kepemilikan ini adalah milik rakyat, bukannya syarikat atau individu. Syarikat dan individu boleh dikontrak untuk membantu proses carigali, pemprosesan dan pengagihan hanya sebagai ‘pekerja’ dan bukan ‘pemilik’ kekayaan ini. Dalam masalah kewangan, Islam mengasaskan wangnya kepada emas dan perak. Ini pasti akan mencipta suasana kewangan yang stabil dan menghapuskan inflasi. Kekayaan diukur dalam nilainya yang sebenar. Tiada lagi kekayaan yang boleh hilang dalam sekelip mata.

Inilah sistem Islam. Sistem yang mewajibkan manfaat dan kemaslahatan ditumpahkan ke atas setiap individu yang hidup di bawah naungannya. Sistem yang menjanjikan kestabilan, kesenangan dan kerahmatan Allah Subhanahu wa Ta’ala…

‘Dan tidaklah kami mengutuskan engkau kecuali sebagai rahmat bagi sekelian alam’ [TMQ AL-Anbiya’:107]

Wallahua’lam