SN065 – ISTIMEWA MAULIDUR RASUL 1427H – Mengapa Kita Perlukan Rasul Allah?

PDF

SN Keluaran 2006


logo SN



[SN065] Rabiul Awal kembali menemui kita. Bulan ini pastinya menggamit memori kita kepada sambutan Maulidur Rasul yang amat tipikal kepada rakyat Malaysia. Iklan ceramah-ceramah agama dan aktiviti-aktiviti yang bakal dijalankan bersempena dengan ulangtahun kelahiran Rasul terakhir ini telah mula kelihatan samada di televisyen, media cetak, internet, kain rentang dan lain-lain. Tiba hari yang ditunggu, yang merupakan cuti umum, gema selawat ke atas Nabi, marhaban dan qasidah yang memuji-muji junjungan besar Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa Sallam mula kedengaran dan perarakan warna-warni kelihatan di mana-mana. Selepas itu, ceramah yang menceritakan sedutan perjalanan hidup Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam selepas kelahiran dan zaman kanak-kanak baginda mula berputar, sama seperti tahun-tahun yang lalu.

Ada juga pihak yang menganjurkan konsert sempena Maulidur Rasul dengan menggandingkan penyanyi nasyid dan diva popular tanahair yang tampil dengan imej bertudung. Konsert pada 1hb April 2006 lepas yang dilaporkan telah menarik lebih 8,000 penonton itu diserikan dengan kehadiran Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamod yang menyampaikan tazkirah mengenai perjalanan hidup Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam sejak dilahirkan sehingga kewafatan baginda [www.hmetro.com.my, 5 April 2006]. Nampaknya di zaman ini, untuk ‘menimbulkan kecintaan’ kepada kekasih Allah, perlu diadakan konsert sebagai satu uslub. Tazkirah juga perlu disampaikan dalam majlis yang mana wanita bebas mempamerkan kecantikan dan kelunakan suara melalui nasyid yang berkemundang di hadapan ribuan penonton yang terdiri dari wanita dan laki-laki ajnabi.

Dan hendaklah kamu tetap di rumah kamu, dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang jahiliah.” [TMQ Surah Al-Ahzab: 33]

Kepada masyarakat umumnya, apakah sebenarnya erti Maulidur Rasul itu? Adakah ia hanya rutin tahunan dengan aktiviti sama saban tahun? Adakah Maulidur Rasul dapat menumbuhkan keinsafan dalam diri mereka betapa beruntungnya mereka kerana kehidupan dalam kegelapan yang disulami dengan seribu warna perilaku jahiliyyah berubah wajah menjadi suatu kehidupan bermartabat tinggi setelah diutusnya para anbiya’? Atau apakah sambutan ini hanyalah seperti sambutan-sambutan lain yang datang dan pergi tanpa memberikan kesan kepada umat? Malah, pernahkah kita, umat Islam hari ini memahami Maulidur Rasul dengan memerhatikan hakikat kelahiran Rasul itu sendiri? Bersempena dengan kehadiran 12 Rabiul Awal 1427H ini, Sautun Nahdhah ingin mengupas isu ini – isu yang bersangkutan dengan fitrah manusia dan mengapa manusia amat memerlukan seorang Rasul untuk menjalani kehidupan sejahtera di dunia dan berbahagia di akhirat.

Beragama Sebagai Satu Fitrah

Sejak zaman berzaman, kita menyaksikan manusia itu sebagai makhluk yang mempunyai naluri beragama (gharizah tadayyun/spritual instinct). Belum pernah ada suatu masa pun, manusia hidup tanpa mensucikan sesuatu, samada dengan cara menyembah matahari, bintang, api, berhala, mahupun menyembah Tuhan yang Hakiki, Yang Maha Suci, Allah Azza wa Jalla. Juga, belum pernah ada satu zaman pun yang mana manusia tidak menyembah sesuatu. Buktinya, penganut sosialisme yang menolak agama dan Tuhan, bukan bermakna tidak mempunyai ‘tuhan’. Akan tetapi, mereka mengganti objek penyucian mereka dari satu bentuk ‘tuhan’ kepada bentuk ‘tuhan’ yang lain. Mereka juga mengubah bentuk ta’zim dan taqdis (pensucian) dari Tuhan kepada pahlawan, pemimpin dan benda-benda yang mereka anggap memanifestasikan keagungan.

Titik Ketuhanan (God Spot)

Para ahli sains percaya mereka telah menemui ‘Modul Ketuhanan’ (God Module) di dalam otak yang menyebabkan manusia percaya pada agama. Dikatakan bahawa terdapat saraf di dalam lobus temporal (temporal lobe) yang berkaitan dengan agama, bertujuan untuk mengwujudkan aturan dan keamanan dalam masyarakat [http://cas.bellarmine.edu]. Sekumpulan pakar neuro (saraf) di Universiti of California di San Diego juga telah mengenal pasti kawasan di dalam otak manusia yang berkaitan dengan pemikiran spiritual (kerohanian) dan ibadah. Penemuan mereka mendapati bahawa manusia telah diprogramkan secara genetik untuk percaya kewujudan Tuhan. [www.parascope.com]. Apabila seseorang menjejakkan kaki ke tempat suci seperti masjid atau gereja, perasaan ta’zim dan rendah hati ujud dalam diri. Lobus ini mempunyai kaitan dengan frontal cortex yang mengawal pusat penumpuan (attention centre) dan juga pusat kognitif (cognition centre) yang mengawal pemikiran logik (logical thinking). Eksperimen yang dijalankan mendapati wujud aktiviti elektrik di lobus temporal ini ketika para pesakit mengatakan mereka mengalami perasaan ‘ketuhanan’. Aktiviti elektrik turut dikesan di kawasan ini ketika pesakit mengalami krisis peribadi dan kekurangan gula dalam darah (hypoglycemia). [www.islamonline.net]. Namun tidak kira apa jua yang ditemukan oleh para saintis, yang jelas, Allah Subhanahu wa Ta’ala telahpun menjelaskan kepada manusia, di dalam Al-Kitab yang tidak ada keraguan di dalamnya bahawa naluri mencari Rabb (Tuhan) sememangnya wujud pada manusia sebagai salah satu dari naluri yang di kurniakan Allah ke atasnya..

Dan apabila manusia ditimpa kesusahan, maka ianya memohon kepada Tuhannya dengan kembali kepadaNya” [TMQ Surah Az-Zumar:8]

Tegasnya, memeluk agama merupakan fitrah manusia yang tidak dapat disangkal. Persoalannya adalah, siapakah sebenarnya yang berhak menurunkan agama yang hakiki bagi manusia dalam mengatur keperluan naluri beragamanya? Oleh kerana pemenuhan atau pemuasan naluri ini adalah sesuatu yang bersangkutan dengan Zat Yang Maha Agung Allah Subhanahu wa Ta’ala, justeru, pemenuhannya mestilah datang hanya dari Allah Subhanahu wa Ta’ala. Aktiviti untuk memenuhi naluri beragama ini dinamakan ibadah, yang berfungsi sebagai tali penghubung antara manusia dengan Penciptanya. Apabila hubungan ini dibiarkan tanpa aturan, pastinya akan menimbulkan kekacauan dan kekeliruan. Fitrah manusia yang sentiasa mahu mencari perlindungan pada kuasa yang lebih kuat dan sempurna, tanpa bimbingan dan petunjuk dari seorang nabi, akan membawa Bani Adam kepada mencari perlindungan daripada makhluk-makhluk tak bernyawa, haiwan atau pun sesama manusia sebelum dia dapat mencari Tuhan yang hakiki. Selagi seseorang itu belum menemui jalan sebenar kepadaNya, fitrah naluri beragamanya akan sentiasa menunjukkan mana-mana objek/makhluk yang ‘agung’ sebagai ‘tuhan’nya.

Justeru itu, bila kita telusuri perjalanan dakwah yang dirintis oleh pada Nabi ia bukanlah hanya untuk meyakinkan manusia tentang adanya Pencipta alam semesta malah, lebih dari itu, peranan para anbiya’ adalah membebaskan manusia dari cengkaman syirik dan penyembahan kepada selain Allah Yang Maha Suci. Sebagai contoh, masyarakat Arab yang mengakui kewujudan Allah, melahirkan ‘keimanan’ mereka melalui sembahan terhadap berhala sebagai perantara; lantas Allah menurunkan Rasul-rasul yang datang untuk memberitahu umat manusia, “Wahai manusia! Allah yang kita imani kewujudanNya adalah ini, bukan itu. Ia Maha Esa, bukan berbilang. Jangan memberi status Allah kepada makhluk. Terimalah Allah sebagai yang Esa. Jangan menerima sekutu apapun bagiNya”.

Kisah Nabi Ibrahim

Nabi Ibrahim ‘alaihissalam dilahirkan di Babylon dalam lingkungan kegelapan penyembahan berhala dan penyembahan manusia. Manusia merendahkan dirinya kepada berhala yang dibuat dengan tangannya sendiri atau kepada bintang-bintang. Pemerintah di waktu itu adalah Namrud putra Kan’an yang mengaku dewa sungguhpun dia juga menyembah berhala. Sokongan dari para ahli nujum yang dianggap sebagai golongan intelektual di zaman itu dimanfaatkan oleh Namrud untuk memperbodohkan masyarakat ketika itu. Dalam situasi seperti inilah, Nabi Ibrahim dilahirkan.

Ketika berusaha membawa masyarakat ke jalan kebenaran, pada suatu masa, Nabi Ibrahim pernah menatap ke langit sewaktu terbenam matahari dan terus berjaga sehingga ia terbenam lagi di hari berikutnya. Baginda berdebat dengan umat ketika itu dengan mengemukakan hujjah-hujjah yang mantap. Tatkala kegelapan malam mula menyelimuti dan menyembunyikan segala tanda kehidupan, bintang yang bersinar cemerlang muncul dari suatu sudut cakrawala. Untuk memenangi hati pemuja bintang, baginda mengikuti kaedah berfikir mereka sambil berkata, “Itu adalah pemeliharaku”. Namun ketika bintang itu tenggelam dan menghilang, baginda berkata, “Aku tidak dapat menerima tuhan yang tenggelam”. Baginda mematahkan hujjah pemuja bintang yang menganggap bintang itu sebagai tuhan. Setelah itu, matanya tertuju kepada sinar sang rembulan yang bersinar dengan cahaya yang memukau. Baginda bersikap seakan bulan itu tuhan tetapi kemudiannya meruntuhkan kepercayaan itu dengan hujjah yang memuaskan akal mereka. Ketika Sang Pencipta membenamkan bulan di sebalik cakrawala dan keindahannya lenyap dari muka bumi, tanpa menyinggung perasaan pemuja bulan, baginda berkata, “Apabila Tuhanku yang hakiki tidak membimbing aku, tentulah aku tersesat kerana ‘tuhan’ ini terbenam seperti bintang dan tunduk pada suatu aturan dan sistem yang secara pasti dibentuk oleh sesuatu yang lain”.

“Sesungguhnya jika Tuhanku tidak memberi petunjuk kepadaku, pastilah aku termasuk orang-orang yang sesat” [TMQ Surah Al-An’am:77]

Kegelapan malam berakhir dan matahari pun muncul, membuka cakrawala dan menyebarkan sinar keemasannya ke muka bumi. Para pemuja matahari kemudiannya terus memalingkan wajah mereka mengadap ‘tuhan’ mereka. Nabi Ibrahim turut melakukan hal yang sama, seolah-olah bersetuju dengan pemikiran mereka. Namun, terbenamnya matahari mengukuhkan bahawa ia tunduk pada suatu sistem alam semesta yang umum dan Nabi Ibrahim terus mengatakan bahawa ia (matahari) tidak layak disembah. “Kemudian tatkala dia melihat matahari terbit, dia berkata “Inilah Tuhanku”, ini yang lebih besar”, maka tatkala matahari itu telah terbenam, dia berkata,

Hai kaumku, sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang kamu sekutukan[TMQ Surah Al-An’am :78]

Kegelapan dan kehidupan yang terpesong dari kebenaran pastinya kekal berterusan tanpa adanya seorang Nabi yang memberi petunjuk akan wujudnya Tuhan. Para anbiya’ juga memberi manusia ilmu pengetahuan dalam bentuk hujjah intelektual berdasarkan wahyu, yang memuaskan akal dan memberikan ketenangan dalam hati untuk memenuhi keperluan jasmani dan naluri manusia seiring dengan pemenuhan naluri beragamanya .

Naluri, keperluan jasmani dan peranan Rasul

Aktiviti seharian manusia dimotivasikan oleh dua perkara yang ingin dipenuhi olehnya. Dua perkara tersebut adalah naluri dan keperluan jasmani. Selain dari manifestasi naluri keagamaan, manusia juga hidup untuk memenuhi dua perkara tersebut. Sekiranya manusia dibiarkan memenuhi dua perkara ini sesuka hati mereka nescaya akan hancurlah bumi ini. Di sinilah perlunya kita kepada seorang Rasul yang akan menjelaskan kepada manusia cara-cara pemenuhan naluri dan keperluan jasmani dengan cara yang betul.

Manusia diciptakan Allah Subhanahu wa Ta’ala dengan memiliki keperluan jasmani (al-hajat al-udhuwiyyah) seperti makan, minum dan lain-lain yang mesti dipenuhi. Contohnya, apabila tubuh manusia kekurangan air yang serius, dia akan mengalami gangguan seperti mendapat penyakit buah pinggang. Apabila manusia mengalami kekurangan oksigen pula, dia akan mengalami sesak nafas dan boleh membawa kematian. Inilah hakikat manusia yang lemah.

“Ini adalah manusia biasa, yang masih memerlukan makan sama dengan apa yang kamu makan, dan minum sama dengan apa yang kamu minum” [TMQ Surah Al-Mukminun:33].

Dalam keadaan tertentu, keperluan jasmani ini wajib dipenuhi kerana kemusnahaan struktur organ badan boleh membawa kematian. Dalam hal ini, Rasul yang diutus akan menunjukkan jalan melalui sumber wahyu bahawa dalam memastikan keperluan jasmani ini dapat dipenuhi, sesuatu yang asalnya haram seperti khinzir menjadi halal demi untuk mengelak kemudaratan. Dengan kata lain, dalam situasi ini, memakan yang haram hanyalah sekadar untuk meneruskan hidup (survival).

“Maka sesiapa sahaja yang dalam keadaan terpaksa, tanpa unsur kesengajaan dan penentangan, maka tiada dosa baginya” [TMQ Surah Al-Nahl:106].

Dari wahyu juga, kita mendapati bahawa orang yang mencuri untuk makan pada masa kebuluran tidak dijatuhi hukuman kerana ia hanya ingin mendapatkan keperluan asasnya.

“Tiada hukuman potong tangan” (kepada pencuri apabila mencuri pada zaman kebuluran yang amat sangat). [HR Makhul]

Naluri pula merupakan satu fitrah yang terdapat dalam diri manusia agar manusia dapat melanjutkan keturunan, mempertahankan diri (survival) dan mencari petunjuk akan kewujudan Sang Pencipta. Naluri ini tidak dapat diindera secara langsung oleh manusia tetapi dapat dijangkau oleh akal berdasarkan realiti manifestasinya. Naluri ini tidaklah seperti keperluan jasmani (al-hajat al-udhiwiyyah) – ia tidak akan menjejaskan nyawa manusia jika tidak dipenuhi sebaliknya hanya akan menimbulkan kegelisahan dan kegawatan fikiran terutamanya apabila wujud rangsangan dari realiti luaran. Perbincangan mengenai naluri keagamaan telahpun ditelusuri. Perlunya seorang Rasul dalam membimbing dan menyampaikan hukum Allah bagi memastikan dua lagi naluri manusia dapat di kawal dalam pemuasannya secara syar’i boleh diperhatikan dari contoh di bawah.

i. Naluri Mempertahankan Diri

Allah telah mewahyukan kepada labah-labah:

Kamu ambillah gunung, pokok dan apa sahaja yang mereka jadikan sebagai atap untuk menjadi tempat tinggal (rumah)-nya [TMQ Surah An-Nahl:68].

Di sini, kita melihat bahawa Allah Subhanahu wa Ta’ala telah memberikan ciri-ciri khusus kepada labah-labah untuk membuat tempat tinggal di mana pun yang memungkinkannya berlindung dari serangan makhluk lain sebagai bukti wujudnya naluri mempertahankan diri (survival instincts) atau gharizatul baqa’. Manifestasi wujudnya naluri ini ditunjukkan dengan rintihan rakyat Malaysia apabila harga runcit minyak petrol dinaikkan sebanyak 30 sen kerana kenaikan harga minyak yang memberi kesan domino ke atas harga barang dan perkhidmatan yang lain, telah menjejaskan kuasa membeli (purchasing power) kerana pendapatan boleh-guna (disposable income) mereka turut terjejas. Dalam konteks ini, Islam, melalui perantaraan RasulNya, menetapkan hukum-hukum yang berkaitan dengan kepemilikan dan jaminan keperluan asas bagi memastikan bahawa naluri mempertahankan diri manusia diperhatikan dengan betul.

ii. Naluri Melanjutkan Keturunan

Manusia juga memiliki naluri untuk melanjutkan keturunan (gharizatun nau’/procreation instincts) termasuk menyukai lawan jenis dan menyayangi kaum-kerabat. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam Al Quran: “Sesungguhnya wanita itu telah bermaksud (melakukan perbuatan itu) dengan Yusuf dan Yusuf pun bermaksud (melakukannya) dengan wanita itu, seandainya dia tidak melihat tanda-tanda (dari) Tuhannya” [TMQ Surah Yusof:24]. Kehadiran seorang Rasul dapat memberi petunjuk untuk memenuhi naluri ini dengan jalan yang syari’e. “Wahai para pemuda, sesiapa sahaja diantara kamu yang mampu berumahtangga, maka bernikahlah. Sebab bernikah itu dapat menundukkan pandangan dan membentengi kemaluan. Namun sesiapa sahaja yang tidak mampu, maka hendaklah berpuasa sebab puasa itu dapat menjadi benteng (bagi seseorang)” [HR Bukhari]. Naluri yang cuba dikekang atas alasan keagamaan ternyata bertentangan dengan fitrah manusia yang mahukan pemenuhan naluri seksual sebagaimana kisah seorang lelaki yang telah didera secara seksual selama 10 tahun oleh seorang paderi bernama Father Christopher Clonan, paderi di Christ The King Church di Coventry, United Kingdom. Pemenuhan naluri seksual di luar tabi’i bukan sekadar menyebabkan mangsa mengalami “schizophrenia” dan “post-traumatic stress disorder”, malah pihak gereja terpaksa membayar lebih £600,000 pampasan kepada mangsa. [http://u.tv/newsroom/indepth.asp]. Naluri melanjutkan keturunan ini juga mendorong seorang ibu, Jacqueline Pascarl-Gilespie dan seorang anak, Raja Shahirah Aishah Raja Bahrin Shah untuk berusaha menjalin semula hubungan sehingga dapat bertemu selepas 14 tahun terpisah[www.hmetro.com.my, 8 April 2006]. Islam meletakkan berbagai hukum yang menetapkan hubungan lelaki dan wanita yang syar’ie berjalan sesuai dengan fitrah manusia.

Khatimah

Muslimin Muslimat yang dirahmati Allah, peri pentingnya kehadiran seorang Rasul kepada manusia amat jelas sekali. Rasul datang untuk menerangkan kepada manusia agar beriman dengan Pencipta dengan cara yang sebenar-benarnya tanpa ada unsur wijdan (sangka-sangka).

Dialah yang mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang hak agar dimenangkan-Nya terhadap semua agama. “ [TMQ Surah Al-Fath: 28].

Sayugia, hendaklah kita menjadikan baginda sebagai contoh terbaik.

Walaubagaimanapun, ini bukan bermakna baginda hanya layak dijadikan sebagai idola yang dikenang di hari ulangtahun kelahiran sahaja, diikuti untuk melaksanakan ibadah ritual atau disanjung seperti tokoh-tokoh tertentu di atas jasa-jasa yang telah disumbangkan sebaliknya kita sebagai umat Islam sejati hendaklah mengambil contoh teladan yang telah ditunjukkan baginda dalam semua urusan termasuk sistem pemerintahan, ekonomi, sosial, perundangan, hukuman, pendidikan dan lain-lain yang mana kesemua ini hanya dapat direalisasikan secara hakiki dalam sebuah Negara Islam (Daulah Islamiyyah). Pemahaman yang benar mengenai Islam dengan jalan yang ditunjukkan oleh nabi (manhaj nubuwwah) pastilah selari dengan firman Allah,

“Dan tidak Kami utuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat kepada seluruh alam.” [TMQ Surah al-Anbiya’ : 107].