SN120 – HAMBA MANUSIA DAN HAMBA ALLAH
SN Keluaran 18 Mei 2007
[SN120] Sebuah Rang Undang-Undang Antipemerdagangan Orang 2007 sedang digubal ketika ini untuk mencegah eksploitasi seks, perhambaan, kerja paksa atau pemindahan organ. Ia juga memperuntukkan hukuman bagi kesalahan menjadikan Malaysia sebagai transit atau pusat perdagangan dan eksploitasi manusia. Hukuman penjara sehingga 20 tahun menanti pesalah yang memperdagangkan kanak-kanak atau orang dewasa untuk segala bentuk eksploitasi termasuk seks, perhambaan, kerja paksa atau pemindahan organ. Ini termasuklah jika ia melibatkan ancaman, kekerasan/paksaan, pemelarian, fraud (penipuan), perdaya dan penyalahgunaan kuasa. Rang Undang-Undang itu turut memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda antara RM50,000 hingga RM500,000 bagi kesalahan mendapatkan keuntungan daripada eksploitasi mangsa. Kesalahan membuat, memperoleh, memberi, menjual atau memiliki suatu dokumen perjalanan atau pengenalan diri fraud bagi memudahkan perbuatan pemerdagangan orang pula boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun serta denda antara RM50,000 dan RM500,000 [BH 25/04/07].
‘Sudah terhantuk baru terngadah’. Mungkin inilah pepatah yang paling tepat untuk menggambarkan perkembangan undang-undang jenayah di Malaysia. Setiap kali peristiwa dan statistik jenayah yang semakin meningkat didedahkan di media massa, maka setiap kali itulah kita mendengar pelbagai rang undang-undang digubal untuk ‘mencegah’ kejadian tersebut. Sudah ratusan atau mungkin ribuan yang menjadi mangsa, maka barulah kerajaan bertindak. ‘Tunggu nasi menjadi bubur, barulah kita bertindak’ – mungkin slogan ini sebenarnya lebih sesuai untuk menggambarkan tindakan yang diambil oleh pihak berwajib selama ini di dalam menangani isu-isu yang berlaku. Ini dari satu aspek. Dari aspek yang lain, pelbagai akta dan undang-undang yang telahpun digubal sebelum ini kononnya dikatakan untuk ‘mencegah’ jenayah, namun realiti menceritakan sebaliknya, statistik jenayah semakin bertambah dari hari ke hari, dari tahun ke tahun. Jenayah dadah, samun, curi, rogol, pembunuhan, pecah rumah dan sebagainya tidak pernah dapat dicegah, malah menunjukkan peningkatan yang semakin menakutkan. Maka apakah rang undang-undang Antipemerdagangan Orang 2007 yang sedang dibentangkan ini akan membawa sinar untuk hari esok?
Penyelesaian Akal : Tikus Membaiki Labu
Mengikut catatan sejarah, perhambaan di Eropah telah dimansuhkan sejak kurun ke-18. Ia adalah hasil tekanan daripada golongan intelektual yang kebanyakannya memperjuangkan fahaman sekular berasaskan idea-idea kebebasan (freedom), di mana ketika itu, Eropah sedang mengalami proses pencerahan (renaissance). Setelah perhambaan dimansuhkan sepenuhnya, bentuk perhambaan baru pula muncul di mana ia bermula apabila tercetusnya Revolusi Perindustrian. Sejak itu, bermulalah kegiatan memeras, mengekploitasi dan memperhambakan tenaga kerja manusia atas nama pembangunan dan kemajuan. Selama mana kedudukan (eksploitasi) ini memberi keuntungan kepada pemilik-pemilik modal (Kapitalis), maka ianya ‘dibolehkan’. Keadaan eksploitasi sebegini sebenarnya kekal sehingga sekarang, yang tak lain mencerminkan Ideologi Kapitalis yang sememangnya bersifat sedemikian.
Berdasarkan statistik Anti-Slavery International, pada ketika ini terdapat lebih kurang 27 juta orang menjadi hamba di seluruh dunia. Ia adalah jumlah tertinggi di dalam sejarah peradaban manusia. Walaupun masih ada perhambaan warisan di sesetengah tempat di Afrika, kebanyakan hamba yang dimaksudkan itu bukanlah seperti yang terdapat pada zaman feudal di awal kurun ke-16 dahulu. Hamba yang dimaksudkan di sini adalah manusia merdeka yang terperangkap atau diperangkap lalu diperdagangkan akibat kesempitan hidup dan belenggu hutang. Di antara negara-negara yang dicatatkan mempunyai statistik perdagangan manusia tertinggi adalah negara-negara Afrika, India, Pakistan, Haiti, China dan Thailand. ‘Hamba-hamba’ ini samada dijual, ditukar-milik sebagai jaminan hutang atau untuk diekploitasi sebagai buruh di ladang-ladang atau di bidang industri atau juga di dalam kegiatan pelacuran. UNICEF melaporkan, lebih kurang 200,000 kanak-kanak di Afrika Tengah dan Barat di jual sebagai hamba setiap tahun [www.Infoplease.com] Menurut statistik Amnesty International pula, kira-kira 700,000 manusia diperdagangkan setahun untuk tujuan seks.
Itu adalah sebahagian kecil daripada kisah perhambaan dan eksploitasi manusia yang berlaku sekarang. Di dalam kehidupan hari ini di mana manusia hanya hidup untuk meraih sebanyak mungkin manfaat, maka kewujudan penindasan sebegini adalah sesuatu yang tidak menghairankan. Inilah sifat Ideologi Kapitalis yang diamalkan oleh kebanyakan negara di dunia ketika ini, tidak terkecuali Malaysia. Manusia sudah hilang sifat kemanusiaannya – yang menjadi perkiraan di dalam setiap perbuatan adalah manfaat. Jika dengan mengeksploitasi manusia akan diperolehi manfaat, maka ia akan dilakukan. Jika dengan ‘mengeksploitasi’ diri sendiri sekalipun akan mendatangkan manfaat, maka golongan berpemikiran Kapitalis ini sanggup melakukannya. Jadi, tidak hairanlah wujudnya perbuatan ‘menjual diri’ untuk memperolehi manfaat seperti GRO atau para model, samada sambilan atau sepenuh masa yang sanggup berbuat apa sahaja, bukan setakat memperdagangkan wajah dan bentuk tubuh mereka sahaja, malah lebih dari itu, semata-mata kerana manfaat. Malangnya ‘eksploitasi seks’ semacam ini tidak dikategorikan sebagai salah.
Menurut pandangan Kapitalis, manusia adalah aset. Daripada konsep asas ini, setiap manusia disifatkan mempunyai nilai ekonomi yang boleh dipergunakan untuk meraih sebanyak mungkin manfaat. Contohnya, kecantikan seseorang wanita atau tubuh mereka dianggap mempunyai nilai ekonomi tersendiri yang boleh dimanfaatkan. Nilai ini boleh dipergunakan sebagai ‘pelaris’ jualan dan sebagainya. Justeru, kita melihat bagaimana wanita-wanita ini dipergunakan di rumah-rumah pelacuran, rumah urut, hotel, restoran, tempat-tempat GRO dan seumpamanya. Hatta iklan-iklan barangan dan lain-lain iklan pun diletakkan wanita cantik dan berpakaian seksi walaupun pada kebiasaannya barangan tersebut tiada kaitan langsung dengan wanita seperti iklan minyak pelincir, bateri kereta, motosikal, telefon bimbit dan banyak lagi. Yang peliknya, wanita itu sendiri sememangnya sanggup untuk ‘dipergunakan’ sedemikian rupa, tanpa apa-apa bantahan. Kenapa? Ternyata, kerana manfaatlah yang menjadi ukuran mereka. Walhal Islam memandang wanita dengan penuh kemuliaan sebagai ‘aurat’ yang perlu dijaga, bukannya suatu ‘aset’ yang boleh dieksploitasi atau dimanipulasi. Kita tertanya-tanya di manakah golongan feminis terutamanya Sisters In Islam di dalam memperjuangkan nasib kaum mereka yang ‘diperkudakan’ ini?
Matlamat hidup yang hanya untuk meraih manfaat adalah antara konsep yang ketara di dalam Ideologi Kapitalis. Sekarang ini, akidah sekularisme Kapitalis yang memisahkan agama dari kehidupan diterapkan oleh semua negara umat Islam, Malaysia tidak terkecuali. Yang nyata, akidah ini mengajar bahawa kehidupan mesti ditentukan sendiri oleh manusia, tidak ada campurtangan agama. Kerana inilah, kita menyaksikan mereka yang sudah diresapi oleh akidah ini membuat atau menggubal undang-undang mengikut akal mereka sendiri, tanpa merujuk lagi kepada Kitabullah dan Sunnah Rasulullah. Mereka tanpa sedikit pun rasa takut kepada Allah dan Hari Kiamat, dengan bangganya membentang dan meluluskan undang-undang mengikut kehendak dan selera mereka.
Pembentangan Rang Undang-Undang Antipemerdagangan Orang 2007 hanyalah sebahagian kecil manifestasi dari pemikiran sekularisme yang ada pada mereka yang memegang kuasa. Setiap kali berlaku sesuatu isu, maka mereka akan terus menggunakan akal mereka untuk membuat undang-undang, bukannya merujuk kepada Al-Quran dan Sunnah untuk menyelesaikan masalah. Inilah yang mereka amalkan sejak sekian lama kerana tebalnya pemikiran Kapitalis sekular dalam diri mereka, seolah-olah Islam sudah tidak ada gunanya lagi bagi mereka di dalam menyelesaikan masalah kehidupan. Jadi tidak hairanlah jika masalah akan terus wujud dan kadar jenayah akan terus meningkat, kerana yang diterapkan ialah hukum manusia yang penuh kelemahan manakala hukum Allah yang penuh kesempurnaan pula ditinggalkan. Walhal, hukum Allahlah satu-satunya hukum yang mempunyai sifat zawajir (mencegah) dan yang secara pasti akan mendatangkan rahmat bagi manusia.
Perhambaan Di Dalam Islam
Sebelum kedatangan Islam, aktiviti perhambaan telah lama wujud. Ia wujud hampir di seluruh pelusuk dunia. Terdapat pelbagai sebab ketika itu yang boleh menyebabkan seseorang itu menjadi hamba. Contohnya, apabila seseorang itu gagal membayar hutangnya atau muflis, maka dia akan dijadikan hamba. Perhambaan juga boleh berlaku sebagai hukuman atas perbuatan jenayah yang ia lakukan. Begitu juga halnya apabila kabilah seseorang ditawan oleh kabilah lain yang lebih kuat, ia berserta kabilahnya juga boleh dijadikan hamba. Aktiviti perhambaan juga merupakan satu fenomena biasa di dalam masyarakat Jahiliyyah. Kedatangan Islam tidak menghapuskan sistem perhambaan ini, tetapi Islam telah menggariskan beberapa ketetapan tentang hukum perhambaan. Islam memandang bahawa hamba adalah seorang manusia yang fitrahnya adalah sama sebagaimana halnya dengan orang merdeka. Allah Subhanahu wa Ta’ala telah mengharamkan hamba dari dieksploitasikan oleh tuannya. Firman Allah,
“Dan janganlah kamu paksa hamba-hamba wanitamu untuk melakukan pelacuran, sedang mereka sendiri menginginkan kesucian, kerana kamu hendak mencari keuntungan duniawi” [TMQ An-Nur(24):33].
Turunnya ayat di atas adalah untuk melarang orang-orang yang mempunyai hamba sahaya wanita untuk melakukan eksploitasi ke atas mereka. Eksploitasi hamba di sini merujuk kepada amalan masyarakat Jahiliyyah yang memaksa hamba-hamba sahaya wanita mereka untuk melacurkan diri. Biasanya hamba-hamba sahaya wanita ini akan dipaksa melayan tetamu atau pemuka-pemuka mereka untuk mendapatkan keuntungan daripada pelacuran tersebut [Tafsir Ibn Katsir]. Hamba-hamba ini tidak mempunyai pilihan dan terpaksa menurut kehendak tuannya. Tetapi, setelah kedatangan Islam, amalan buruk (eksploitasi hamba) ini telah diharamkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala.
Islam diturunkan oleh Allah untuk menjadikan manusia itu mulia dan kehidupannya sesuai dengan fitrah. Setiap manusia diciptakan semata-mata untuk mengabdikan sepenuh jiwa dan raganya kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala, bukan kepada sesama manusia. Kerana itulah Islam hanya menetapkan keadaan tertentu sahaja yang membolehkan seseorang manusia itu dijadikan hamba. Di dalam keadaan aman, Islam tidak membolehkan sesiapapun yang merdeka dijadikan hamba secara mutlak. Perbuatan ini adalah haram. Berbeza halnya jika dalam suasana perang, di mana kita perlu meneliti nas-nas mengenai perhambaan dengan lebih mendalam.
Islam melarang menjadikan tawanan perang sebagai hamba. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman,
“Apabila kamu bertemu dengan orang-orang kafir (di medan perang) maka pancunglah batang leher mereka. sehingga apabila kamu telah mengalahkan mereka maka tawanlah mereka dan sesudah itu kamu boleh membebaskan mereka atau menerima tebusan sampai perang berhenti.” [TMQ Muhammad (47):4].
Ayat ini diturunkan pada tahun ke-2 Hijrah ketika mana Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam telah mula melancarkan peperangan demi peperangan terhadap orang-orang musyrik. Berdasarkan ayat ini, jika ada tawanan perang, maka pilihan yang ada kepada Rasulullah (sebagai Ketua Negara) hanyalah membebaskan mereka atau menerima tebusan. Tidak ada kebenaran untuk menjadikan mereka sebagai hamba.
Namun begitu, ketika perang Hunain, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam dicatatkan telah mengambil tawanan-tawanan perang sebagai hamba. Bagaimanakah hal ini boleh terjadi sedangkan ayat di atas dengan jelas tidak menyatakan sebarang keizinan untuk menjadikan tawanan perang sebagai hamba? Di sinilah pemahaman yang mendalam tentang nas diperlukan agar tidak tersalah di dalam mengistinbat sesuatu hukum. Melalui perincian dari catatan sirah perang Hunain, ia menunjukkan bahawa ketika peperangan berlangsung, orang-orang musyrik turut membawa wanita dan kanak-kanak bertujuan untuk meningkatkan bilangan serta memberikan semangat kepada tentera mereka. Setelah kaum musyrik kalah dalam perang ini, wanita dan kanak-kanak ini menjadi tawanan, lalu dibahagi-bahagikan oleh Rasulullah kepada kalangan tentera kaum Muslimin sebagai hamba. Tawanan-tawanan wanita dan kanak-kanak ini disebut (dalam bahasa arab) sebagai “sibyah”. Jadi, tindakan Rasulullah ini (menjadikan tawanan sebagai hamba) hanya berlaku khusus untuk sibyah sahaja. Walaupun setelah itu Rasulullah telah meminta kaum Muslimin untuk membebaskan mereka kepada keluarga masing-masing secara sukarela, namun tindakan Rasul ini sebenarnya telah menjadi dalil bagi membolehkan sibyah (iaitu tawanan wanita dan kanak-kanak yang turut sama ke medan perang) dijadikan sebagai hamba sekiranya pasukan musuh ditewaskan.
Manakala ketika perang Khaibar, Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam tidak pula menjadikan tawanan wanita dan kanak-kanak (sibyah) sebagai hamba walaupun kaum Muslimin menang di dalam peperangan tersebut. Berdasarkan hal ini, Abu Ubaidah menerangkan tentang sibyah: ‘Seseorang imam (Ketua Negara) itu mempunyai pilihan selagimana sabiyah belum dibahagikan di kalangan tentera Muslim. Tetapi, jika mereka telah dibahagikan, maka khalifah tidak berhak memaksa agar sabiyah itu dibebaskan kecuali dengan hadiah atau dibebaskan secara sukarela oleh tentera kaum Muslimin. Namun baginda Sallallahu ‘alaihi wa Sallam tidak melakukan hal itu kepada penduduk Khaibar, malah baginda membiarkan mereka bebas (merdeka). Baginda juga tidak meminta dari sesiapapun untuk mengembalikan mereka, sebab memang baginda tidak membahagikannya.” .
Dengan demikian, jelaslah bahawa Islam hanya melarang memperhambakan tawanan perang lelaki tetapi memberikan pilihan kepada Khalifah terhadap nasib sibyah antara diperhambakan atau dibebaskan dan tidak ada tebusan atas mereka. Namun begitu perlu diingat bahawa hukum ini hanya akan berlaku apabila wanita dan kanak-kanak tersebut ikut ke medan perang. Namun, apabila mereka tetap tinggal di rumah mereka, maka mereka tidak boleh dijadikan sebagai sibyah. Keputusan Khalifah dalam masalah perhambaan sibyah ini hendaklah berjalan sesuai dengan polisi perang (yang diadopsi) oleh Khalifah berkenaan pengambilan tindakan ke atas musuh. Objektif di sini bukanlah untuk menggalakkan perhambaan, tetapi hanya menunjukkan bahawa ia adalah salah satu polisi perang yang keputusannya terletak di tangan Khalifah, sebagai Ketua Negara.
Beberapa Hukum Tentang Perhambaan
Sejarah telah mencatatkan bahawa orang-orang kafir Barat melayan hamba dengan amat buruk. Golongan hamba ditindas dan diekploitasi sehabisnya oleh mereka. Mereka dilayan umpama binatang. Perlakuan buruk dan keji mereka terhadap hamba telah menyebabkan dunia menganggap perhambaan sebagai suatu bentuk kekejaman. Oleh itu, apabila mereka menghapuskan sistem perhambaan, maka langkah ini telah mendapat sambutan yang baik. Dalam masa yang sama, apabila mereka mengetahui bahawa perhambaan juga wujud di dalam Islam, maka mereka terus menyerang Islam sebagai satu agama yang kejam, tidak bertamadun, lapuk dan sebagainya. Sikap defensif dan ceteknya kefahaman umat Islam tentang hukum perhambaan telah memburukkan lagi keadaan. Walhal, jika kita menelusuri sejarah dan hukum-hakam Islam, Allah Subhanahu wa Ta’ala telah meletakkan kedudukan hamba jauh dari segala kehinaan, kekejaman atau eksploitasi. Berikut ini dipaparkan beberapa hukum Islam yang mulia tentang perhambaan:-
1. Islam memerintahkan agar hamba dilayan dengan segala hak dan pertimbangan mereka sebagai seorang ‘manusia’ sebagaimana orang merdeka dan dengan penuh kebaikan dan tinggal bersamanya dengan penuh kesejahteraan. Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam mengingatkan,
“Bertakwalah kamu kepada Allah terhadap hamba-hambamu. Mereka itu adalah sahabatmu, yang telah Allah letakkan di bawah kuasamu. Justeru, berilah mereka makan sebagaimana kamu makan, dan berilah mereka pakaian sebagaimana kamu pakai, dan janganlah kamu bebani mereka dengan beban yang memberatkan mereka. Sekiranya kamu membebani mereka, maka bantulah mereka.” [HR Muslim].
Di dalam riwayat (Muslim) yang lain daripada Abu Hurairah,
“Janganlah sekali-kali seorang pun daripada kamu memanggil (hambanya dengan panggilan) ‘Wahai hamba lelakiku’ dan ‘Wahai hamba perempuanku’. Kerana kamu semuanya adalah hamba lelaki Allah, sedangkan isteri-isteri kamu adalah hamba-hamba perempuan Allah. Tetapi panggilah (dengan panggilan) ‘ghulam’, ‘jariyah’, ‘fata’ dan ‘fatati.’ (pemuda atau pemudi)”.
Islam juga telah mengangkat kedudukan seseorang hamba dan menempatkannya sejajar dengan orang merdeka. Ini adalah kerana darahnya dipelihara (sama dengan orang merdeka), yang apabila ia dibunuh (oleh orang merdeka), orang merdeka tersebut akan dibunuh balas. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala,
“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu hukum qishas berkenaan dengan orang-orang yang dibunuh” [TMQ Al-Baqarah (2):178]. Rasulullah bersabda, “Barangsiapa yang membunuh hambanya, maka kami pasti akan membunuhnya.” [HR Ahmad].
2. Islam sangat menggalakkan pembebasan hamba. Bahkan, memerdekakan hamba itu akan membantu orang lain untuk mensyukuri nikmat Allah dan membantunya ketika berada di dalam kesusahan. Allah berfirman,
“Tetapi dia tidak menempuh jalan yang mendaki lagi sukar. Tahukah kamu, apakah jalan yang mendaki lagi sukar itu? Iaitu membebaskan hamba dari perhambaannya.” [TMQ Al-Balad (90):11-13].
Sabda Rasul yang bermaksud, “
Sesiapa sahaja yang memerdekakan seorang Islam, maka Allah akan menyelamatkan anggota tubuhnya daripada api neraka.” [HR Bukhari].
3. Islam juga mempunyai hukum-hakam praktikal berhubung pembebasan hamba. Contohnya, bagi kesalahan-kesalahan seperti menzihar isteri (menyerupakan isteri dengan ibunya), membunuh orang Islam kerana tersalah, melanggar sumpah [lihat TMQ 58:3, 4:92, 5:89], dan menyetubuhi isteri pada siang hari di bulan Ramadhan, kesemuanya harus ditebus dengan memerdekakan hamba. Hanya apabila seseorang itu tidak mampu maka barulah diberi pilihan menebusnya dengan cara yang lain. Rasulullah juga menjelaskan,
“Barangsiapa yang menampar hambanya atau memukulnya, maka kafarat (tebusan)nya adalah memerdekakannya.” [HR Muslim].
Yang dimaksudkan memukul di sini ialah pukulan yang menyakitkan (mubrih), bukannya pukulan mendidik, yang dibenarkan. Bukan setakat itu, Islam bahkan telah menjadikan seorang hamba itu boleh berusaha agar dapat memerdekakan dirinya dengan mengikat perjanjian dengan tuannya untuk bekerja. Setelah kontrak kerja dipersetujui dan dipenuhi, maka tuannya wajib memerdekakannya, sebagaimana firman Allah,
“Dan hamba-hamba sahaya yang kamu miliki yang menginginkan perjanjian, hendaklah kamu buat perjanjian dengan mereka, jika kamu melihat ada kebaikan pada diri mereka. Dan berikanlah kepada mereka sebahagian daripada apa yang diberikan oleh Allah kepada kamu.” [TMQ An-Nur (24):33].
Ayat ini memberikan kebenaran dan kreativiti kepada hamba dan tuannya untuk sama-sama berfikir mewujudkan satu akad kerja sebagai pembebasan bagi hamba tersebut.
4. Bukan setakat galakan untuk membebaskan hamba dan kontrak kerja untuk pembebasan, Islam juga memperuntukkan wang yang khas di dalam Baitul Mal untuk memerdekakan hamba. Wang ini berupa salah satu dari lapan asnaf zakat yang diperuntukkan khas untuk pembebasan mereka [lihat TMQ At-Taubah (9):60]. Al-Quran tidak menjelaskan berapa banyakkah jumlah peruntukannya yang bermaksud bahawa hak ini diberikan kepada Khalifah untuk memutuskannya mengikut pendapatnya, demi kemaslahatan kaum Muslimin.
Khatimah
Wahai pemimpin kaum Muslimin! Kalian semua adalah hamba kepada Allah Azza wa Jalla. Sebagai seorang hamba, kalian wajib mematuhi segala perintah dan laranganNya. Kalian langsung tidak berhak untuk mengingkariNya. Apabila Allah dan RasulNya telah menetapkan suatu urusan, maka kalian tidak lagi mempunyai pilihan kecuali mendengar dan taat. Kenapakah kalian sanggup menggubal undang-undang sendiri dengan membelakangi undang-undang Allah dan Rasul? Sudah berapa banyak undang-undang yang digubal oleh kalian dengan tangan-tangan kalian tanpa kalian menghiraukan hukum Allah. Adakah kalian merasa yang kalian lebih bijak dari Allah sehingga hukum Allah kalian campakkan? Adakah kalian merasakan yang kalian akan terus kekal berkuasa dan boleh melakukan apa sahaja? Kenapakah kalian sanggup menjadi hamba kepada sistem kufur yang berasal dari penjajah dan kalian sanggup memilih untuk memperhambakan diri kepada taghut? Walhal yang diperintahkan kepada kalian adalah untuk memperhambakan diri kepada Allah dan mengkufuri taghut. Yang wajib kalian lakukan adalah membuang segala undang-undang kufur yang ada dan menggantikannya dengan undang-undang Allah. Sebaliknya kalian mencipta undang-undang sendiri dan melupakan Allah. Ingatlah! Bahawa Allah Maha Berkuasa dan Maha Membalas akan segala perbuatan kalian. Oleh itu, bertakwalah kalian kepada Allah, wahai mereka yang memegang kekuasaan!