SN126 – QISAS ITU WAJIB!

PDF

SN Keluaran 22 Jun 2007


Logo SN


[SN126] Misteri demi misteri terus menyelebungi kes pembunuhan ngeri wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu. Terbaru, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail telah menukar barisan pendakwaraya dan perkara ini dilakukan di saat-saat akhir, satu keadaan yang dikatakan amat jarang berlaku. Alasannya, kerana Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Salehuddin Saidin yang mengetuai barisan pendakwaan, dilihat bermain badminton dengan hakim kes itu, Datuk Mohd Zaki Md Yasin. Abdul Gani berkata demikian ketika memberi sebab pertukaran barisan pendakwaan itu yang dilakukan pada saat-saat akhir, yang mengakibatkan kes berprofil tinggi yang sepatutnya bermula di Mahkamah Tinggi Shah Alam Isnin lalu, ditangguhkan kepada 18 Jun. Salehuddin diganti oleh Ketua Bahagian Sivil Pejabat Peguam Negara, Tun Abdul Majid Tun Hamzah [BH 07/06/07].

Altantuya, dikatakan seorang model dari Mongolia dipercayai mati ditembak sebelum mayatnya diletupkan dengan bom tangan di Empangan Tasik Subang, Puncak Alam, Shah Alam, Selangor pada Oktober tahun lalu. Mayat mangsa ditemui dalam keadaan berkecai di tepi empangan berkenaan. Cebisan tulang dan daging mangsa dikatakan berselerak di tepi empangan itu akibat letupan beberapa butir bom tangan [UM 08/11/06]. Hasil dari siasatan oleh PDRM, seorang pegawai polis berpangkat Cif Inspektor bersama seorang konstabel dihadapkan ke Mahkamah. Azilah Hadri, 30, dan Sirul Azhar Umar, 35, yang sebelum ini bertugas di Unit Tindakan Khas (UTK), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman didakwa membunuh Altantuya, sementara Abdul Razak Abdullah Baginda, 47, Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Strategik Malaysia didakwa bersubahat melakukan pembunuhan itu di Tingkat 10, Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di Kuala Lumpur antara pukul 9.54 pagi dan 10.05 pagi pada 18 Oktober 2006. Jika sabit kesalahan, ketiga-tiga tertuduh boleh dihukum mati di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sautun Nahdhah pada minggu ini bukanlah ingin mengupas kes pembunuhan kejam Altantuya ini, tetapi kami ingin mengenengahkan kepada para pembaca berkenaan hukum Islam ke atas pembunuhan yang dilakukan secara sengaja, yang merupakan sebahagian dari hukum jinayat/qisas di dalam Islam. Sebagai sebuah Deen yang sempurna yang datangnya dari Zat Yang Maha Sempurna, sudah semestinya tidak ada satu masalah pun yang tidak ada penyelesaiannya di dalam Deen ini. Sebagai seorang Muslim pula, wajib ke atas kita untuk mempelajari dan menerapkan hukum dari agama yang sempurna ini. Kami seterusnya ingin membetulkan pandangan salah segelintir pihak yang menyatakan bahawa hukuman bunuh ke atas pembunuh di Malaysia adalah bertepatan dengan hukum qisas di dalam Islam.

Pembunuhan Sengaja Dan Hukumannya

Di dalam sistem uqubat Islam, terdapat empat jenis (kategori) hukuman iaitu jinayat/qisas, hudud, ta’zir dan mukhalafat. Untuk setiap kesalahan, terdapat hukumannya yang tersendiri yang telah ditetapkan oleh Allah dan RasulNya. Jika mencuri termasuk di dalam kategori hudud, pembunuhan adalah termasuk di bawah kategori jinayat. Pembunuhan di dalam Islam terdiri dari empat bentuk iaitu pembunuhan sengaja, seumpama sengaja, tidak sengaja dan tersalah. Sebagaimana telah disebut di atas dan di dalam ruang yang serba terbatas ini, kami hanya akan memfokuskan perbincangan berkenaan pembunuhan yang dilakukan secara sengaja sahaja.

Hukum bagi pembunuhan yang disengajakan adalah bunuh balas (qisas) iaitu membunuh si pembunuh, jika wali orang yang dibunuh tidak menuntut diyat atau memaafkan si pembunuh. Dalilnya adalah dari firman Allah,

Dan barangsiapa dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah memberi kekuasaan kepada ahli warisnya, tetapi janganlah ahli waris itu melampaui batas di dalam membunuh” [TMQ al-Isra’ (17):33].

FirmanNya yang lain,

“Diwajibkan atas kamu qisas berkenaan orang-orang yang dibunuh” [TMQ al-Baqarah (2):179].

Qisas di dalam ayat ini membawa maksud membunuh si pembunuhnya. Ayat ini dirincikan lagi oleh Rasulullah dengan baginda menjelaskan melalui sabdanya bahawa selain qisas, wali bagi pihak yang terbunuh boleh memilih samada meminta diyat yang berupa 100 ekor unta ataupun memberikan kemaafan kepada si pembunuh. Imam Abu Daud meriwayatkan dari Abu Syuraih al-Khaza’i, ia berkata, aku mendengar Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Barangsiapa tertumpah darahnya atau disakiti, maka ia boleh memilih salah satu dari tiga pilihan, boleh mengqisas atau mengambil tebusan (diyat) atau memaafkan…”. Imam Tirmidzi meriwayatkan dari Amru bin Syua’ib dari bapanya, dari datuknya bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Barangsiapa yang membunuh dengan sengaja, maka keputusannya diserahkan kepada wali-wali pihak yang terbunuh. Mereka berhak membunuh atau mengambil diyat yakni 30 unta dewasa, 30 unta muda dan 40 unta yang sedang bunting, atau mereka juga berhak memaafkannya”

Terdapat banyak lagi hadis yang senada dengan hadis di atas yang menjadi dalil yang sangat jelas bahawa hukuman bagi pembunuhan yang disengajakan adalah qisas, atau pihak wali meminta diyat atau memaafkan. Hukuman yang terdapat di dalam Islam ini jelas berbeza dengan hukuman yang ada sekarang dilihat dari sudut mana sekalipun. Pertama: Mengikut undang-undang sekarang, pihak yang melakukan tuntutan (pendakwaan) adalah kerajaan (pendakwaraya), bukannya ahli waris mangsa; Kedua: Wali kepada pihak yang terbunuh langsung tidak diberi pilihan memilih hukuman, walhal di dalam Islam, wali mempunyai tiga pilihan. Ketiga: Hukuman sekarang yang diperuntukkan di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan adalah berasal dari undang-undang yang dibuat dan diluluskan oleh manusia di Parlimen, manakala hukum qisas dalam Islam berasal dari Allah dan Rasul di dalam Al-Quran dan Hadis. Keempat: Hukuman sekarang dijalankan oleh manusia atas kehendak manusia sendiri berdasarkan keputusan majoriti manusia, sedangkan hukum qisas dijalankan oleh manusia atas kehendak Allah yang menjadi kewajipan bagi manusia berdasarkan aqidah. Kelima: Hukuman Allah apabila dilaksanakan ke atas manusia akan menjadi pencegah (zawajir) dan penebus dosa (jawabir) di akhirat, sedangkan hukuman sekarang tidak akan membawa apa-apa erti, malah akan membawa dosa ke atas pelaksananya kerana jelas-jelas mereka tidak berhukum dengan apa yang Allah turunkan. Inilah di antara sebahagian dari perbezaannya.

Membunuh Orang Kafir

Adapun hukuman terhadap seseorang yang membunuh orang kafir, maka dalam kes ini harus dibezakan antara kafir harbi, kafir dzimmi, kafir mua’hid dan kafir musta’min [Syeikh Abdurrahman al-Maliki, Nidzamul Uqubat Fil Islam]:-

(1) Kafir Harbi ialah orang kafir yang tidak diberi jaminan keamanan mahupun hak-hak umum dari Negara Islam serta tidak ada jaminan khusus untuknya. Kafir harbi terdiri dari 2 jenis iaitu kafir harbi fi’lan dan kafir harbi hukman. Harbi fi’lan adalah orang kafir yang sedang memusuhi Negara Islam secara langsung dan sedang memerangi umat Islam manakala kafir harbi hukman pula adalah orang kafir yang tidak ada apa-apa perjanjian dengan Negara Islam dan tidak juga mereka ini berada di dalam kedudukan perang dengan umat Islam. Bagi kafir harbi fi’lan, tidak ada perbezaan pendapat di kalangan ulama bahawa darah mereka adalah halal. Seorang Muslim bukan sahaja tidak akan dikenakan apa-apa hukuman jika membunuh mereka, malah hukumnya wajib ke atas kaum Muslimin untuk memerangi mereka di mana sahaja mereka berada. Jika dahulu mereka ini adalah golongan kafir Quraish yang kedudukan mereka sentiasa memerangi Daulah Islam Madinah, sekarang ini kedudukan mereka sama seperti tentera-tentera Amerika atau Israel atau British yang sedang memerangi kaum Muslimin. Mana-mana negara kufur boleh bertukar status menjadi harbi fi’lan apabila mereka mengisytiharkan perang ke atas umat Islam.

Adapun kafir harbi hukman, seorang Muslim (serta golongan kafir dzimmi dan mu’ahid) tidak akan dibunuh jika membunuh harbi hukman. Ia hanya dikenakan diyat yang jumlahnya adalah separuh dari diyat pembunuhan ke atas Muslim. Diriwayatkan dari Amru bin Syu’aib dari bapanya dari datuknya, bahawa Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Seorang kafir (harbi hukman) separuh diyatnya seorang Muslim”. Ini adalah kerana kita tidak mengumumkan perang ke atas mereka dan di antara kita dengan mereka juga tidak terjadi peperangan secara langsung. Imam Ahmad meriwayatkan dari Ali RadhiAllahu ‘anhu bahawa Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Perhatikan, seorang Mukmin tidak dibunuh kerana membunuh seorang kafir (hukman), demikian pula kafir yang memiliki perjanjian”. Makna dari hadis ini adalah seorang Muslim itu tidak dibunuh jika dia membunuh seorang kafir harbi hukman. Begitu juga keadaannya bagi seorang kafir yang memiliki perjanjian (yakni kafir dzimmi dan kafir mua’hid), mereka juga tidak akan dibunuh jika ia membunuh kafir harbi hukman. Bagaimanapun, wajib ke atas mereka membayar diyat yang jumlahnya separuh dari diyat seorang Muslim.

(2) Kafir mua’hid adalah orang kafir (termasuk sebuah negara) yang mempunyai perjanjian keamanan dengan Daulah Islam. Kafir dzimmi juga termasuk kafir yang mempunyai perjanjian dengan Daulah Islam. Bezanya dengan kafir mua’hid adalah adalah mereka ini (dzimmi) menetap (bertempat tinggal) di dalam Daulah dan tunduk kepada pemerintahan Islam. Mereka membayar jizyah sebagai balasan perlindungan dari Daulah Islam ke atas mereka. Mereka ini adalah warganegara Daulah dan segala undang-undang Islam terpakai ke atas mereka kecuali dalam beberapa perkara yang dikecualikan syara’. Hak mereka adalah sama sebagaimana hak kaum Muslimin warganegara Daulah yang lainnya serta harta, darah dan kehormatan mereka adalah terjaga. Darah mereka haram ke atas kaum Muslimin seperti haramnya darah seorang Muslim. Imam Bukhari meriwatkan dari Abdullah bin Amri dari Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam, “Barangsiapa yang membunuh kafir mua’hid, maka ia tidak akan mencium bau syurga, padahal bau syurga boleh tercium dari jarak 40 tahun perjalanan.”. Imam Tirmidzi meriwayatkan dari Abu Hurairah, dari Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam, “Perhatikan, barangsiapa membunuh kafir mua’hid, maka ia mendapat celaan Allah dan RasulNya. Sungguh aku berlindung dari celaan Allah dan ia tidak akan mencium bau syurga, padahal bau syurga boleh tercium dari jarak 40 tahun perjalanan.”

Hadis-hadis di atas menunjukkan keharaman membunuh kafir mua’hid dan dzimmi dan Rasulullah memberi ancaman yang keras ke atas pembunuhan yang dilakukan ke atas golongan tersebut. Imam Baihaqi mengeluarkan hadis dari Abdurrahman al-Bilmani, “Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam telah membunuh seorang Muslim yang membunuh kafir mua’hid. Kemudian beliau bersabda, ‘Aku telah memuliakan darah orang yang memohon perlindungan”.

(3) Kafir musta’min adalah kafir yang diberi kemanan oleh Daulah Islam untuk masuk ke dalam Daulah. Mereka bukan warganegara Daulah, tetapi hanya mendapat keizinan untuk masuk dan menetap dalam jangka masa yang dibenarkan oleh Negara. Dalam keadaan sekarang, mereka ini adalah orang kafir yang diberi visa untuk masuk ke dalam Daulah. Dalam situasi ini, darah dan harta mereka adalah terjaga dan undang-undang dalam Daulah Islam adalah terpakai ke atas mereka. Selama mana mereka berada di dalam negara, maka mereka mendapat keamanan sebagaimana halnya dengan kafir dzimmi. Dengan jaminan keamanan ini maka terpeliharalah jiwa, harta dan kehormatannya. Kaum Muslimin haram untuk mencederakannya atau membunuhnya kerana mereka telahpun mendapat hak keamanan dan penjagaan dari Daulah. Ini sesuai dengan firman Allah Subhanahu wa Ta’ala,

“Dan jika seorang di antara orang-orang musyrikin itu meminta perlindungan kepadamu, maka lindungilah ia supaya ia sempat mendengar firman Allah, kemudian hantarlah ia ke tempat yang aman baginya”
[TMQ at-Taubah (9):6].

Jika seorang Muslim membunuhnya, maka Muslim tersebut akan dibunuh, sebagaimana jika mereka membunuh kafir dzimmi juga. Ini diperkuat dengan kenyataan bahawa seorang Muslim yang membunuh kafir yang memiliki perjanjian kerana tersalah (tidak sengaja), maka hukumnya sama dengan ia membunuh seorang Muslim. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala,

“Dan jika ia (si terbunuh) dari kaum (kafir) yang ada perjanjian (damai) antara mereka dengan kamu, maka (hendakah si pembunuh) membayar diyat yang diserahkan kepada keluarganya (si terbunuh) serta memerdekakan hamba sahaya yang mukmin.” [TMQ an-Nisa’ (4):92].

Ayat ini adalah berkenaan hukum membunuh kafir mua’hid secara tidak sengaja di mana hukumannya adalah sama sebagaimana hukuman membunuh seorang Muslim secara tersalah. Mafhumnya, ini menunjukkan bahawa bagi pembunuhan terhadap kafir mua’hid dengan sengaja, maka hukumannya juga adalah sama sebagaimana hukuman membunuh seorang Muslim dengan sengaja.

Wahai kaum Muslimin! Demikianlah kedudukan hukum Islam ke atas orang-orang kafir jika mereka dibunuh di dalam sebuah Daulah Islam. Ramai dari kalangan umat Islam yang terkeliru atau dikelirukan dengan kefahaman bahawa undang-undang Islam hanyalah untuk orang-orang Islam sahaja dan tidak terkena ke atas orang-orang kafir. Kefahaman ini jelas-jelas menyimpang dari kebenaran. Berdasarkan ayat-ayat Quran dan Hadis yang begitu banyak menyentuh persoalan hukuman ke atas orang Islam dan orang kafir (termasuk perbincangan di atas), ternyata bahawa hukum Allah itu adalah wajib dilaksanakan ke atas semua manusia, tidak kira Muslim ataupun kafir. Undang-undang Islam adalah undang-undang Negara, bukannya undang-undang yang bersifat peribadi ke atas individu Muslim sahaja. Dengan kata lain, jika di dalam sebuah Negara Islam ada kes mencuri, maka si pencuri wajib dipotong tangannya tidak kira samada ia seorang Muslim mahupun kafir. Begitu juga dengan kes rogol, zina, rompak, bunuh dan sebagainya. Semua yang terlibat di dalam melanggar hukum Allah (yang merupakan hukum Negara), maka kesemuanya tertakluk kepada hukuman yang sama tanpa mengira lagi samada dia Muslim atau kafir.

Sejak sekian lama kefahaman kita telah diputar belitkan oleh penjajah kafir. Mereka menjajah kita dan menerapkan undang-undang mereka ke atas kita. Di peringkat awal, mereka menerapkan undang-undang mereka secara paksa, sesuai dengan realiti mereka sebagai bangsa yang menjajah. Sepanjang penjajahan, mereka tidak henti-henti berusaha merubah pemikiran kita agar berfikir dengan cara mereka. Mereka menguasai dan mengawal sistem pendidikan kita, mereka benarkan kita mengamalkan Islam tetapi sebatas yang diizikan mereka sahaja seperti dalam hal-hal ibadat, harta pusaka, perkahwinan dan seumpamanya. Mereka adalah golongan yang telah ‘membuang’ agama dan memisahkannya dari kehidupan (sekular) dan mereka mengimplementasi sistem mereka ini ke atas kita. Walaupun pada peringkat awalnya semua ini diterapkan ke atas kita secara paksa, tetapi kemudiannya, ia telah diterima secara sukarela oleh umat Islam, khususnya mereka yang memegang kekuasaan. Lama-kelamaan, mereka mula belajar membuat undang-undang mengikut cara mereka dengan mengenepikan hukum agama. Mereka meletakkan kuasa membuat undang-undang di tangan manusia dan menetapkan bahawa undang-undang ini ‘wajib’ diluluskan apabila majoriti manusia sudah bersetuju. Dari sini, maka lenyaplah sudah peranan agama dalam kehidupan.

Jika kita merujuk kembali kepada kes Altantuya, dia pada peringkat awalnya dikatakan sebagai seorang Muslim di mana berita-berita menyebutkan bahawa namanya adalah Altantuya @ Aminah binti Abdullah, tetapi peliknya, tidak ada pengesahan dari Pihak Berkuasa Agama akan statusnya. Malah cebisan mayatnya dikutip oleh ahli keluarganya yang beragama Buddha dan ‘disemadikan’ mengikut ritual agama Buddha [lihat UM 18/11/06]. Pihak Jabatan Agama Islam nampaknya seolah-olah tidak berminat untuk campurtangan, tidak sebagaimana kes Moorthi dahulu yang mana mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk menguruskan pengebumian mayat Moorthi mengikut cara Islam. Di dalam kes ini, sesungguhnya kewajipan adalah terletak di bahu mereka yang memegang kekuasaan untuk menentukan status agama si mati dan mereka wajib menguruskannya secara Islam jika si mati adalah Muslim. Setelah ditentukan status agamanya (atau jenis kafirnya), maka barulah boleh ditentukan hukuman Allah ke atas pembunuhnya. Jika tidak ada bukti yang menunjukkan seorang itu adalah Muslim, maka hal ini akan dikembalikan kepada hukum asal yakni dengan melihat kepada agama asal si mati tersebut. Dan jika kita merujuk kepada kes Altantuya, ternyata tidak ada bukti (samada saksi atau dokumen) yang menunjukkan dia adalah seorang Muslim. Dari segi fakta juga, ternyata Altantuya telah dibunuh dengan cara sengaja (diletupkan). Justeru, kewajipan pemerintah/qadhi menurut hukum Islam adalah bertanya kepada wali Altantuya hukuman manakah yang ingin mereka pilih, samada qisas, diyat atau memaafkan. Setelah itu, barulah jelas apa yang perlu diputuskan oleh qadhi.

Pembunuhan Berkumpulan

Tidak diragukan lagi bahawa sekelompok orang wajib dibunuh kerana membunuh orang lain, kerana hadis yang berbicara tentang hukuman bagi pembunuh mencakup baik dilakukan oleh seorang individu mahupun sekelompok orang. Lafaz hadis ‘Barangsiapa yang terbunuh…’ adalah mencakup kes seseorang atau sekelompok orang yang membunuh orang lain. Saidina Umar al-Khattab pernah bertanya kepada Saidina Ali tentang pembunuhan yang dilakukan oleh sekelompok orang terhadap seseorang. Ali kemudian bertanya kepada Umar, “Apa pendapatmu seandainya ada sekelompok orang mencuri barang, apakah engkau memotong tangan mereka? Umar menjawab, ‘ya’. Kata Ali, ‘Demikian juga dengan pembunuhan”. Dari sini kita dapat memahami bahawa jika sekelompok orang bersekutu, baik dua orang atau lebih untuk membunuh seseorang, maka semuanya akan dikenakan hukuman yang sama. Semuanya wajib dibunuh meskipun yang terbunuh adalah seorang individu.

Yang dimaksud bersekutu di dalam pembunuhan di sini bergantung kepada penglibatannya dalam pembunuhan tersebut. Jika seseorang terlibat di dalam pemukulan terhadap pihak yang terbunuh, maka ia tergolong sebagai orang yang terlibat dalam pembunuhan secara pasti. Adapun jika seseorang tidak terlibat dalam pemukulan, maka hal ini perlu diperhalusi. Jika kedudukannya adalah sebagai orang yang memudahkan terjadinya pembunuhan seperti menahan/mengepung pihak yang hendak dibunuh, lalu orang yang dikepung tadi dibunuh oleh pelaku pembunuhan atau menyerahkan pihak yang terbunuh kepada pelaku pembunuhan, maka orang tersebut tidak dianggap sebagai pihak yang bersekutu di dalam pembunuhan, akan tetapi disebut sebagai pihak yang membantu pembunuhan. Ini termasuklah pemandu kereta, penjaga pintu dan seumpamanya. Orang semacam ini tidak dibunuh, akan tetapi hanya dipenjara sahaja. Imam Daruquthni mengeluarkan hadis dari Ibnu Umar dari Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam,

“Jika seseorang lelaki menghentikan seorang lelaki yang lain, kemudian lelaki tersebut dibunuh oleh lelaki yang lain, maka orang yang membunuh tadi mesti dibunuh, sedangkan lelaki yang menghentikannya dipenjara.”

Hadis ini merupakan penjelasan bahawa orang yang membantu dan menolong si pembunuh tidak dibunuh, akan tetapi hanya dipenjara. Namun demikian, ia boleh dipenjara dalam waktu yang sangat lama, bergantung kepada ketetapan qadhi. Bahkan Ali ibn Abi Thalib berpendapat agar orang tersebut dipenjara sampai mati. Diriwayatkan dari Imam Syafi’i dari Ali ibn Abi Thalib bahawa beliau, RadhiAllahu ‘anhu, telah menetapkan hukuman bagi seseorang lelaki yang melakukan pembunuhan dan orang yang menghentikannya (menahan pihak yang terbunuh) di mana Ali berkata,“Pembunuhnya dibunuh manakala yang lainnya dipenjara hingga mati.”

Dengan demikian, semua orang yang tidak bersekutu dalam pembunuhan hukumnya dipenjara, bukan dibunuh. Sedangkan orang yang bersekutu dalam pembunuhan maka ia mesti dibunuh, apapun penglibatannya. Oleh kerana itu, orang yang bersekutu secara langsung yakni bersekutu sebagai pihak yang menyebabkan terjadinya pembunuhan, dan sebagai pihak yang mengatur (mengarahkan) pembunuhan semuanya dianggap sebagai pihak yang bersekutu dalam pembunuhan. Ini adalah kerana mereka semua terlibat di dalam pembunuhan secara langsung. Tidak ada bezanya apakah bersekutu dalam pemukulan atau perencanaan (perancangan) pembunuhan tersebut, semuanya termasuk di dalam aktiviti membunuh. Ini bererti semua orang yang perbuatannya dianggap bersekutu dalam pembunuhan, hukumnya wajib dibunuh, sama seperti ‘pembunuh langsung’. Akan tetapi orang yang mempermudah pembunuhan tidak dianggap sebagai pihak yang bersekutu, baik secara langsung mahupun tidak langsung. Dalil untuk semua ini adalah berdasarkan hadis Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam.

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Membunuh jiwa tanpa hak adalah satu perbuatan yang jelas-jelas haram di dalam Islam. Hanya Allah sahajalah, selaku Pencipta manusia yang berhak menentukan siapakah yang boleh dibunuh dan siapakah yang tidak boleh. Dalam hal ini, Allah Azza wa Jalla memberi khabar ancam kepada manusia melalui firmanNya,

Dan barangsiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya adalah Jahannam, kekal ia di dalamnya dan Allah murka kepadanya dan melaknatnya serta menyediakan azab yang besar baginya. [TMQ an-Nisa’ (4):93].

Allah sebagai Zat yang mencipta ruh dan memasukkannya ke dalam tubuh manusia, Dialah satu-satunya yang berhak menentukan bilakah ruh itu wajib dikembalikan kepadaNya. Ingatlah wahai kaum Muslimin bahawa membunuh dengan tanpa hak itu berdosa dan balasannya adalah neraka Jahannam dan kekal di dalamnya. Ingatlah bahawa melaksanakan qisas ke atas pembunuh itu adalah wajib dan meninggalkannya adalah haram. Ingatlah bahawa berhukum dengan selain dari apa yang diturunkan Allah itu adalah haram dan berdosa. Ingatlah bahawa berdiam diri tanpa berusaha untuk menerapkan hukum Allah juga satu keharaman dan dosa. Jika pemerintah berdosa kerana tidak menerapkan hukum Allah, maka umat Islam pula akan berdosa apabila tidak merubah keadaan ini. Justeru, bersatulah wahai kaum Muslimin untuk kita sama-sama bergerak menegakkan agama Allah ini agar azab Allah tidak menimpa kita dunia dan akhirat. Wallahu a’lam.