SN155 – PENUTUP JENDELA 2007 : TAMATNYA RIWAYAT BENAZIR

PDF

SN Keluaran 4 Januari 2008

                       Logo SN

[SN155] Pada 27 Disember lepas, dunia telah dikejutkan dengan kejadian pembunuhan ke atas bekas Perdana Menteri Pakistan sebanyak dua kali, Benazir Bhutto. Peristiwa yang menggegarkan ini sekali gus telah menjadi penutup kepada jendela dunia tahun 2007. Benazir terbunuh dalam satu serangan berani mati yang turut mengorbankan kira-kira 20 penyokongnya selepas menyampaikan ceramah kempen pilihan raya di Rawalpindi. “Beliau meninggal dunia pada pukul 5.25 petang (8.25 malam waktu Malaysia) di Hospital Umum Rawalpindi,” kata jurucakap Parti Rakyat Pakistan (PPP), Rehman Malik. Dalam kejadian itu, Benazir, 54, dilaporkan ditembak di leher dan dada ketika sedang memasuki kenderaannya. Beliau, ketika itu baru sahaja selesai menyampaikan ceramah kepada beribu-ribu penyokongnya dan sedang berjalan ke arah kenderaannya apabila seorang lelaki menghampirinya dan melepaskan tembakan sebelum meletupkan dirinya [UM 28/12/07]. Bagaimanapun, jurucakap Kementerian Dalam Negeri Pakistan kemudiannya mengesahkan yang Benazir bukan mati ditembak tetapi terhantuk pada penahan cahaya matahari di bumbung kenderaan yang dinaikinya sehingga menyebabkan tengkoraknya retak ketika serangan berlaku. Ini kerana tiada sebarang kesan tembakan pada leher dan tubuh beliau [UM 29/12/07].

Daripada sejumlah video yang dirakamkan pada detik-detik akhir pembunuhan dan telah pun disiarkan oleh banyak stesen televisyen, semua bukti menunjukkan bahawa Benazir telah ditembak dari belakang sebanyak tiga das dan kemudian baru berlaku letupan. Ternyata (berdasarkan video), kematian Benazir adalah kerana tembakan di mana kelihatan dengan jelas rambut dan selendang beliau tersingkap (hasil tembakan) dan beliau terus jatuh. Kesan ‘darah’ yang terdapat di dalam kereta juga dengan secara automatik menafikan yang kematian beliau adalah kerana ‘terhantuk kuat’. Dengan keluarnya banyak video (sebagai bukti) yang memaparkan saat-saat akhir beliau ditembak, kemarahan rakyat khususnya terhadap rejim Musharraf terus meningkat. Penjelasan jurucakap rejim Musharraf nampaknya jelas-jelas merupakan satu ‘penipuan besar’. Tambahan lagi, dilaporkan bahawa tempat kejadian terus ‘dibersihkan’ dengan serta-merta dengan sebersih-bersihnya sehingga saksi-saksi menyatakan seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku di situ. Dalam politik kotor yang penuh penipuan dan kekejaman seperti hari ini, ahli-ahli politik dan pemerintah sekular sememangnya sanggup melakukan apa sahaja cara asalkan matlamat mereka tercapai.

Apakah Reaksi Kita?

Mengulas tentang tragedi pembunuhan ini, Presiden rejim Amerika Syarikat (AS) George W. Bush yang berucap di Texas pada hari yang sama terus menyampaikan takziah dan antara lain menyatakan,

“The US strongly condemns this cowardly act by murderer extremists who are trying to undermine Pakistan’s democracy. Those who committed this crime must be brought to justice…..we stand with the people of Pakistan in their struggle against the forces of terror and extremism. We urge them to honour Benazir Bhutto’s memory by continuing with the democratic process for which she so bravely gave her life.” [http://whitehouse.gov] (AS mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pembunuh ekstremis yang penakut yang cuba melumpuhkan demokrasi Pakistan. Sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan ini mesti di bawa ke pengadilan…..kami berdiri bersama-sama rakyat Pakistan di dalam perjuangan mereka menentang kuasa keganasan dan ekstremisme. Kami menggesa mereka untuk memberi penghormatan bagi mengenangi Benazir Bhutto dengan meneruskan proses demokrasi yang mana Bhutto telah menyerahkan nyawanya dengan begitu berani)

Perdana Menteri UK, Gordon Brown juga turut mengutuk pembunuh Benazir dan menyifatkannya sebagai “cowards afraid of democracy” (pengecut yang takutkan demokrasi). Kata Brown,

“This is a sad day for democracy…Benazir Bhutto was a woman of immense personal courage and bravery. Knowing, as she did, the threats to her life, the previous attempt at assassination, she risked everything in her attempt to win democracy in Pakistan, and she has been assassinated by cowards afraid of democracy. Benazir Bhutto may have been killed by terrorists, but the terrorists must not be allowed to kill democracy in Pakistan. And this atrocity strengthens our resolve that terrorists will not win there, here or anywhere in the world” [http://news.bbc.co.uk]. (Ini adalah hari yang menyedihkan bagi demokrasi…Benazir Bhutto merupakan seorang wanita yang amat teguh dan berani. Walaupun beliau tahu nyawanya terancam, percubaan bunuh terhadapnya sebelum ini, namun beliau telah merisikokan segalanya untuk memenangkan demokrasi di Pakistan, dan beliau telah dibunuh oleh pengecut yang takutkan demokrasi. Benazir Bhutto mungkin telah dibunuh oleh pengganas, tetapi pengganas tidak boleh dibiarkan untuk membunuh demokrasi di Pakistan. Kekejaman ini menguatkan lagi keazaman kita yang teroris tidak akan menang di sana, di sini atau di mana sahaja di dunia)

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, beliau amat terkejut dengan pembunuhan bekas Perdana Menteri Pakistan ini dan mengutuk perbuatan kejam tersebut yang turut membunuh ramai mangsa yang tidak bersalah. Abdullah yang mengucapkan takziah kepada keluarga Benazir dan mangsa-mangsa lain yang terbunuh mahu melihat penjenayah yang melakukan perbuatan kejam itu dibawa ke muka pengadilan. “Tragedi ini merupakan satu perkara yang sungguh menyedihkan. Perbuatan melampau dan ganas seperti itu tidak boleh diterima sama sekali walau di mana sekalipun ia berlaku, tidak kira masa dan tempat,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri [UM 29/12/2007].

Sebenarnya rata-rata pemimpin, tidak kira Muslim mahu pun kafir, tidak kira Barat atau Timur akan mengulas dengan bentuk yang hampir sama – sama ada mengutuk pembunuhan, mengaitkan dengan pengganas/ekstremis, memuji Benazir dan mengembalikan demokrasi. Di dalam ucapannya sebaik sahaja mendapat berita yang Benazir dibunuh, Bush dan Brown terus menyelar pembunuh sebagai ‘ekstremis’ yang cuba melumpuhkan demokrasi di Pakistan dan antara inti pati yang penting dalam ucapan mereka adalah agar rakyat Pakistan meneruskan perjuangan Demokrasi sebagai kesinambungan perjuangan Benazir. Inilah sikap hipokrit dan pembohongan Barat yang jelas lagi nyata tentang demokrasi yang dicanangkan ke atas umat Islam, malangnya sebahagian umat Islam masih lagi tenggelam dalam dakapan demokrasi ini. Barat bercakap tentang demokrasi walhal merekalah yang memberi sokongan penuh kepada Musharraf yang diktator. Barat menyeru kepada demokrasi, walhal mereka menyokong Benazir yang (semasa menjadi PM) terkenal rasuah, merampas semua kekayaan umat Islam dan menjadikan Pakistan sebagai miliknya dan suaminya. Kesungguhan seruan Barat agar umat Islam terus memperjuangkan demokrasi ini berjaya mengheret sebilangan dari umat Islam, yang ‘terpukau’ seolah-olah seruan Barat kepada demokrasi ini adalah seruan kepada Islam. Golongan yang terpukau ini masih belum sedar bahawa demokrasi hanyalah sebuah sistem kufur yang dibawa oleh Barat dan oleh kerana itulah Barat bersungguh-sungguh menyeru agar umat Islam memperjuangkan demokrasi! Seruan untuk menerapkan ‘Sistem Demokrasi’ inilah yang Barat harapkan dapat mengalih perhatian umat Islam daripada seruan untuk menerapkan syari’ah dan ‘Sistem Khilafah’.

Walaupun kita tidak perlu menyokong pembunuhan ke atas Benazir, namun dalam masa yang sama, umat Islam tidak seharusnya bersedih atau ‘merasa kehilangan’ di atas kematian seorang diktator dan penindas yang telah menghabiskan hidupnya menggelap dan merampas kekayaan umat. Antara tahun 1999-2000 sahaja, aset Benazir dilapor berjumlah USD1.5 billion, yang terdiri dari akaun bank di seluruh dunia, hartanah, ladang-ladang, firma-firma dan sebagainya [http://www.pakistanthinktank.org/default.php/p/articles/pk/585]. Dari manakah beliau mendapat semua kekayaan ini jika tidak kerana kedudukannya sebagai Perdana Menteri? Tidak ada fakta yang dapat menafikan bahawa Benazir (semasa beliau memerintah Pakistan) hanyalah berkhidmat untuk kepentingan kuffar Barat dan kepentingan diri sendiri, atas nama demokrasi. Kembalinya beliau ke Pakistan sehingga menyebabkan kematiannya kini, sekali lagi adalah di dalam rangka untuk menunaikan baktinya kepada Barat. Baik Benazir, Musharraf mahu pun Nawaz Sharrif, kesemuanya merupakan diktator-diktator yang telah menunjukkan permusuhan secara terbuka terhadap Islam dan umat Islam. Kesemuanya adalah pembenci sistem Islam dan pemuja sistem kufur/sekular. Hidup mereka hanyalah dipersembahkan untuk menjadi hidangan Barat dan penghancuran Pakistan serta umat Islam.

Bunuh Sistem Bukan Bunuh Pemimpin

Kita masih tidak tahu setakat ini siapakah yang menyebabkan kematian Benazir, walaupun berdasarkan bukti ikut-keadaan (circumstancial evidence), Musharraf adalah dalang yang paling disyaki. Pihak doktor yang merawat Benazir telah diberi tekanan hebat agar tidak membuat sebarang kenyataan dan segala rekod perubatan/bedah siasat dilapor telah dirampas serta-merta oleh kerajaan. Penyokong Benazir yang sudah hilang pertimbangan memang terus menyalahkan Musharraf dan Amerika Syarikat (AS) di dalam pembunuhan ini manakala kerajaan Pakistan pula terus menuding jari kepada Al-Qaeda dan Taliban, malah mendakwa mereka kononnya mempunyai bukti mengenainya. Apa pun, Sautun Nahdhah kali ini bukanlah ingin membuat analisis siapakah dalang di sebalik pembunuhan ini, tetapi apa yang lebih penting untuk diperkatakan ialah tentang hakikat ‘pembunuhan’ pemimpin sekular yang tidak akan menyelesaikan masalah dan juga ‘kesan’ pembunuhan ini ke atas umat Islam di seluruh dunia.

Memang benar ramai di kalangan umat Islam hari ini yang sudah tidak tahan melihat kekejaman dan kezaliman pemimpin sekular yang ada. Bagi umat Islam yang berjuang untuk Islam dan ingin melihat hukum Allah ditegakkan sepenuhnya di atas muka bumi ini, sistem dan pemimpin sekular yang ada sekarang cukup-cukup menyakitkan. Jadi tidak hairanlah jika ada sebahagian dari umat Islam yang benar-benar bencikan pemimpin sekular penyembah Barat ini dan berusaha untuk menghapuskan diktator-diktator ini. Jika benar sekali pun pembunuhan itu dilakukan oleh orang Islam, maka di sini kita tidak perlu dan tidak mahu membela baik si pembunuh mahupun yang dibunuh. Apa yang ingin dan perlu kita lakukan ialah melihat dari aspek ‘realiti’ dan yang lebih penting dari aspek hukum Allah terhadap apa yang berlaku, yakni apakah hal ini akan dapat menyelesaikan masalah umat Islam? Kita tidak mahu melakukan sesuatu untuk kepentingan diri sendiri mahu pun kepentingan kelompok-kelompok tertentu. Justeru, walaupun kita teramat membenci pemimpin yang tidak menerapkan Islam, tetapi apalah gunanya jika seseorang itu berjaya membunuhnya walhal hakikatnya masalah umat Islam tetap tidak dapat diselesaikan (dengan pembunuhan tersebut)?

Sistem sekular yang ada hari ini tidak akan wujud kecuali kerana adanya pemimpin yang sekular. Sistem sekular memang sepatutnya dihapuskan kerana ia adalah sistem kufur dan umat Islam wajib menggantikannya dengan sistem Islam. Manakala pemimpin sekular pula, walaupun kita wajib ‘menghapuskannya’, tetapi bukanlah dengan cara membunuhnya. Membunuh seorang pemimpin sekular tidak akan menyelesaikan masalah, malah mungkin boleh menimbulkan banyak lagi masalah. Matinya seorang pemimpin sekular, berpuluh lagi yang lain sedang menunggu giliran mereka untuk menaiki takhta dan bermaharajalela. Pemimpin ini menjadi sekular kerana mereka dikawal oleh hawa nafsu dan dikuasai oleh syaitan, bukannya oleh keimanan dan ketakutan kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala. Pemikiran mereka dipenuhi dengan pemikiran-pemikiran kufur, bencikan Islam, ingin berkuasa, mementingkan diri sendiri, tamakkan kekayaan, cintakan dunia dan takutkan mati. Pemikiran inilah yang perlu dihapuskan dari mereka. ‘Pemikiran kufur’ inilah yang perlu ‘dibunuh’ dan pemikiran kufur ini mesti ‘dibunuh’ dengan ‘pemikiran Islam’. Sekiranya pemikiran kufur ini berjaya dihapuskan dari mereka dan digantikan dengan pemikiran Islam, maka, Insya Allah, mereka akan berubah. Dan apabila mereka berubah (inginkan Islam), maka sistem juga akan berubah. Sistem sekular akan secara automatik mereka hapuskan dan diganti dengan sistem Islam. Pemimpin yang cintakan Islam sudah pasti akan menerapkan sistem Islam.

Nah, walaupun perasaan membuak-buak marahkan pemimpin sekular ada di setiap benak kaum Muslimin yang cintakan Islam, namun perasaan ini hendaklah dipandu mengikut Islam. Memanglah pemimpin sekular yang menerapkan sistem kufur sekarang ini dipenuhi noda dan dosa, tetapi apakah dosa mereka ini boleh dibalas dengan membunuh mereka? Sistem yang rosak inilah yang sebenarnya telah merosakkan umat Islam dan merosakkan bumi Allah ini. Jadi, sistem yang rosak inilah yang perlu ‘dibunuh’, bukannya pemimpin yang rosak. Di sinilah umat Islam perlu mengambil sikap yang benar berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah. Allah Subhanahu wa Ta’ala mengharamkan seorang Mukmin membunuh Mukmin yang lain. FirmanNya,

Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah neraka jahanam, kekal ia di dalamnya, dan Allah murka kepadanya, dan melaknatnya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar [TMQ an-Nisa’ (4):93].

Dalam berhadapan dengan pemimpin yang tidak menerapkan Islam seperti sekarang, sesungguhnya Rasulullah telah pun merentas jalan yang wajib diikuti oleh kita semua, khususnya oleh gerakan Islam yang berjuang untuk mengembalikan semula kehidupan Islam di dunia ini. Zaman kita sekarang adalah sama sebagaimana zaman Rasulullah semasa di Mekah di mana kehidupan dipenuhi dengan sistem kufur yang rosak. Rasulullah dahulu berjuang dalam sebuah , yang rosak, sebagaimana kita sekarang. Pemimpin Jahiliyyah dahulu memerintah dengan sistem kufur, sebagaimana pemimpin sekarang, meskipun para pemimpin kaum Muslimin sekarang terdiri dari orang-orang Islam. Yang perlu diperhatikan di sini adalah sistem kufur yang diterapkan, bukannya agama pemimpin yang menerapkannya. Rasulullah tidak pernah membunuh para pemimpin ini atau memerintahkan para sahabat agar membunuh mereka. Apa yang dilakukan oleh Rasulullah adalah mengubah pemikiran mereka agar menerima Islam dan menerapkannya dalam kehidupan. Rasulullah dan para sahabat berdakwah membongkar segala kebatilan sistem kufur, menerangkan kerosakannya, lalu menjelaskan penyelesaian Islam kepada mereka, walaupun untuk itu, nyawa mereka pula yang sebaliknya tergadai. Af’al al-Rasul (perbuatan Nabi) ini adalah ‘Hadis’ dan ia menjadi sunnah yang wajib kita ikuti. Inilah caranya untuk kita berdakwah pada hari ini, yakni kita membongkar segala kekufuran dan kerosakan sistem yang ada sekarang dan menjelaskan kepada umat tentang penyelesaian Islam, walaupun untuk ini, nyawa kita yang menjadi taruhannya.

Berdasarkan nas yang jelas dari Al-Quran dan Sunnah, di sini kami (Hizbut Tahrir) ingin menyatakan pendirian bahawa Hizbut Tahrir tidak pernah dan tidak akan menyokong mana-mana usaha untuk membunuh pemimpin (atau siapa sahaja) dari kalangan kaum Muslimin. Perjuangan untuk menegakkan Islam wajib dijalankan secara intelektual (pemikiran) tanpa menggunakan kekerasan/keganasan. Inilah perjuangan yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah dan inilah perjuangan yang diteladani oleh Hizbut Tahrir dan inilah satu-satunya metodologi yang wajib diikuti oleh mana-mana gerakan Islam sekalipun. Adapun bagi pemimpin kaum Muslimin yang menerapkan sistem kufur seperti sekarang, mereka ini wajib dimuhasabah, bukannya dibunuh. Jika mereka tetap berdegil dan cintakan kekufuran dan sistem kufur/sekular yang ada, maka pemimpin ini wajib diganti dengan pemimpin yang akan menerapkan sistem Islam berdasarkan Al-Kitab dan Al-Sunnah. Dan metodologi untuk menggantikan pemimpin ini juga wajib mengikuti jalan yang telah dirintis oleh Rasulullah dan para sahabat, bukannya mengikuti jalan selain itu.

Kesan Pembunuhan Ke Atas Umat Islam

Sudah agak lama kita tidak dikejutkan dengan peristiwa besar dunia yang membolehkan AS campur tangan di negara umat Islam. Agenda war on terror AS juga dilihat semakin basi, kecuali kisah Osama Bin Laden sahaja yang sentiasa diperbaharui dari masa ke semasa. Kegagalan AS di Iraq, populariti Bush yang semakin menurun terutama di negaranya sendiri dan juga gelombang kebangkitan Islam yang semakin menerpa, semua perkembangan ini sudah tidak memihak kepada AS. Jika kita perhatikan, sejak peristiwa 9/11 (sudah lebih kurang 6 tahun), tidak ada lagi peristiwa besar dunia yang AS cuba kaitkan dengan teroris kecuali apa yang berlaku di Pakistan. Pakistan nampaknya menjadi tanah yang subur untuk AS menghidupkan idea war against terrorismnya itu. Jadi, antara agenda AS untuk mengekalkan ‘kerelevanan’ war on terror adalah dengan mengembalikan semula Benazir ke Pakistan. Ini dinyatakan oleh sendiri oleh AS dan juga Benazir (dalam kesepakatan mereka) yang sama-sama bersetuju akan bekerjasama erat untuk menghapuskan pengganas. Kesedaran umat Islam dan kebencian mereka terhadap AS yang semakin ketara dari hari ke hari, telah menggusarkan AS bahawa kempen war on terrornya sudah tidak lagi relevan atau ‘berkesan’. Jadi, dengan adanya kes pembunuhan ke atas Benazir ini, ia telah memberi satu suntikan baru kepada AS untuk mempropagandakan kepada dunia bahawa war on terror masih relevan dan AS sekali gus dapat meneruskan agenda mereka untuk memerangi umat Islam yang dicapnya teroris mahu pun ekstremis.

Di samping usaha mereka di dalam sentiasa ‘menyegarkan’ war on terror, dengan tragedi pembunuhan ke atas Benazir ini juga, AS nampaknya akan mempromosikan lagi kepada dunia peri pentingnya umat Islam berpegang kepada Islam yang moderat (sederhana). Dengan tudingan yang dibuat ke atas ekstremis Islam oleh si Bush dan Brown la’natullah ini, maka para pemimpin umat Islam yang moderat dan sekular di seluruh dunia tentunya akan mengekal atau menambahbaikkan lagi ‘kemoderatan’ dan ‘kesekularan’ mereka. Inilah yang diingini oleh Bush dan Brown. Bagi kedua-dua musuh Allah ini, dan juga bagi pemimpin umat Islam yang sepemikiran dengan mereka, konsep ‘Islam moderat’ yang dilaksanakan sekarang mestilah dikekalkan, kerana jika tidak, maka dunia akan dikuasai oleh ‘Islam ekstrem/radikal’ atau ‘Islam teroris’. Mereka akan berusaha untuk menakut-nakutkan rakyat dengan ‘pelampau/ekstremis/radikal Islam’ dan inilah yang akan mereka propagandakan, bahawa dunia akan berada di dalam bahaya jika yang memerintah adalah ‘Islam ekstrem’. Yang tidak berbahaya dan selamat adalah jika ‘sekular ekstrem’ yang memerintah dunia, sebagaimana yang diamalkan oleh para pemimpin umat Islam sekarang. Justeru, bagi memastikan ‘Islam moderat’ terus memerintah, maka sistem pemerintahan demokrasi yang ada sekarang nampaknya akan terus dijaja oleh Barat, manakala sistem pemerintahan Islam (Khilafah) dan syari’ah akan terus mereka buruk-burukkan.

Antara kesan lain yang penting yang dilihat timbul dari peristiwa ini ialah ‘pemantauan’ ke atas gerakan Islam yang tentunya akan dipertingkatkan. Gerakan Islam, apatah lagi gerakan politik Islam yang tidak sehaluan dengan pemerintah yang sememangnya sentiasa dalam pemantauan tentunya tidak akan dibiarkan begitu sahaja. Walaupun belum terbukti atau jika tidak dapat dibuktikan sekalipun penglibatan gerakan politik Islam di dalam apa jua aktiviti keganasan, propaganda yang di bawa oleh rejim AS (dengan pembunuhan Benazir ini) dan ketakutan yang sudah tersedia ada pada para pemimpin sekular sekarang terhadap perjuangan menegakkan Islam, sudah tentu akan menghantui pemerintah di dalam cara mereka melihat gerakan Islam. Selain ketakutan dan kebencian yang ada pada mereka, pemerintah juga tidak akan teragak-agak untuk mewujudkan ketakutan dan kebencian di kalangan rakyat terhadap gerakan politik Islam. Sikap prejudis dan aktiviti pemantauan pemerintah terhadap gerakan politik Islam, khususnya gerakan yang bergerak di peringkat antarabangsa untuk menegakkan Islam, pastinya akan dipertingkatkan lagi. Jadi, tidak mustahil yang peristiwa ini akan digunakan oleh para pemerintah umat Islam, khususnya di Pakistan sendiri, untuk menangkap ahli-ahli gerakan Islam atau pun mengkambing hitamkan mana-mana gerakan Islam yang dimusuhinya selama ini.

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Kematian Benazir Bhutto tidak patut dilihat sebagai satu langkah untuk membetulkan perubahan politik di Pakistan. Masalah di Pakistan, sama juga seperti di semua negara kaum Muslimin lainnya, adalah kerana wujudnya para pemimpin sekular yang menerapkan sistem kufur yang berasal dari Barat ini. Masalah yang dihadapi oleh kaum Muslimin seluruh dunia adalah kerana tidak adanya seorang Khalifah di kalangan mereka, yang memerintah mengikut Al-Quran dan Al-Sunnah. Selama belum wujud pertukaran sistem (kufur kepada Islam), menggunakan metodologi perubahan mengikut sunnah Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam, maka selama itulah kaum Muslimin akan terus diperintah oleh pengganas dan penjenayah seperti Musharraf (mahu pun Bhutto) yang ketaatannya hanyalah kepada Barat, bukan kepada Allah. Saudaraku, Allah Subhanahu wa Ta’ala telah memperlihatkan kepada kita bahawa umur pemimpin sekular ini tidak panjang dan Allah akan mencabutnya bilamana Dia kehendaki. Justeru, bagi pemimpin kaum Muslimin yang masih tinggal, yang masih berkuasa dan masih lagi bernafas dengan seizin Allah tetapi tidak menerapkan hukum Allah, ingatlah dan takutlah oleh kalian akan kekuatan dan keperkasaan Allah. Ingatlah bahawa Allah tidak akan mempercepat atau melewatkan satu saat pun dari ajal kalian. Ingatlah bahawa Allah Maha Berkuasa mencabut nyawa-nyawa kalian dengan sekelip mata sahaja, dan jika maut telah datang menjemput kalian pada ketika itu, maka jadilah kalian makhluk yang akan menghadap Allah Azza wa Jalla dengan penuh kerugian dan kekesalan yang tidak tertanggung.