Obama ucap tahniah pada PM

KUALA LUMPUR: Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Najib Razak atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri dan menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama dengan beliau pada masa depan.

Dalam perutusan tahniah kepada Najib, Obama berkata: “Kedua-dua negara kita menjalin hubungan yang erat dan saya tahu bahawa anda telah memainkan peranan penting dalam memupuk hubungan itu.

“Anda dan saya berpeluang untuk menerajui negara kita pada ketika sedang berdepan dengan pelbagai cabaran dan peluang. Tindakan kita akan memberikan kesan yang besar dan usaha bersama kita akan memberikan impak positif berkekalan,” katanya. – Bernama

Sumber: Berita Harian: 17/05/09

Ucapan Tahniah Dari Musuh Utama Umat Islam.

Kita jangan lupa bahawa meski sebaik dan selembut manapun ucapan pujian yang dihamburkan oleh Obama, hakikatnya beliau adalah merupakan batang tubuh yang mewakili AS, musuh dan pembunuh utama umat Islam saat ini. Ketika ini AS masih lagi membunuh umat Islam di Iraq, Afghanistan dan terbaru, AS merupakan dalang pembantaian yang dilakukan oleh tentera Pakistan terhadap umat Islam di Lembah Swat. Ini adalah realiti yang tidak boleh disembunyikan kerana jenayah dan kejahatan AS terhadap umat Islam adalah seumpama bangkai gajah yang mengeluarkan bau yang teramat busuk. Wajarkah kita berbangga  apabila menerima ucapan dari musuh nombor satu umat Islam itu? Bukankah ucapan tahniah itu merupakan satu sindiran terhadap para pemimpin umat Islam yang masih lagi setia dan patuh kepada kehendak Barat agar terus menerapkan sistem sekular di dunia umat Islam sebagaimana yang berlaku di saat ini? Tidakkah para pemimpin ini merasa bersalah dan malu dengan penerapan sistem sekular yang masih mereka pertahankan? Bukankah ianya merupakan suatu tindakan yang hina untuk terus menjadi boneka dan hamba kepada AS?

“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (ugama Islam itulah petunjuk yang benar”. Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu”.  [TMQ al-Baqarah (2): 120].