SN158 – Menegakkan Syariat Islam Bukan Fascisme
SN Keluaran 25 Januari 2008
[SN158] Serangan Barat ke atas Islam dan umatnya tidak akan sekali-kali mencapai titik noktah. Selagi ada para pengembang dakwah yang ikhlas memperjuangkan Islam untuk diterapkan di dalam kehidupan, selama itulah Barat tidak akan duduk diam daripada usaha mereka untuk menyekatnya. Umum mengetahui bahawa Barat akan melabelkan gerakan Islam yang dibencinya dengan pelbagai label seperti teroris, ekstremis, fundamentalis, radikal dan sebagainya. Sebaliknya, gerakan dan perjuangan seperti nasionalisme, patriotisme, liberalisme, pluralisme, feminisme, Hak Asasi Manusia dan seumpamanya senantiasa disokong dan disolek oleh Barat dengan sedemikian rupa agar dilihat cantik oleh umat Islam. Ditambah dengan adanya para pemimpin dari kalangan kaum Muslimin yang sekular yang sebahagian besarnya merupakan agen Barat, maka akhirnya, merekalah (pemimpin) yang seterusnya melabelkan gerakan Islam di negara masing-masing sebagai teroris, ekstremis, fundamentalis, radikal dan sebagainya. Pemimpin ini jugalah yang akhirnya memuja dan menjadi pejuang kepada pemikiran-pemikiran kufur yang dibawa oleh Barat seperti sekularisme, nasionalisme, patriotisme, pluralisme, liberalisme dan seumpamanya. Anehnya, dalam masa yang sama, mereka menyeru umat Islam agar tidak terpengaruh dengan Barat.
Satu lagi istilah baru yang walaupun jarang digunakan oleh Barat, namun tetap direka, diubahsuai, dan dipadankan dengan umat Islam adalah “Islamofacisme”. Istilah ini dimunculkan di khalayak ramai oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika berucap melancarkan Perayaan Sambutan Jubli Perak Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, UIAM (1983-2008) dan Persidangan Antarabangsa Alumni UIAM. Beliau menegaskan, umat Islam tidak boleh membiarkan orang lain memberikan pelbagai gelaran kepada mereka seperti gelaran pengganas. Beliau seterusnya berkata, “Majoriti umat Islam juga tidak lagi boleh membiarkan kumpulan kecil orang Islam bersuara untuk mereka, sebaliknya (majoriti) perlu bersuara untuk menentukan masa depan yang lebih baik…Majoriti umat Islam perlu membangunkan strategi baru bagi mengelakkan orang lain memberi gelaran dengan menentukan sendiri pendirian orang Islam.” Beliau juga kecewa dengan kemunculan perkataan dan istilah baru leksikon antarabangsa, seperti Islamofacism iaitu satu cubaan menyamakan Islam dengan fahaman fasisme, sedangkan pada hakikatnya Islam adalah agama paling progresif terutamanya dalam hal-hal berkaitan hubungan kaum. Keadaan ini berlaku kerana keengganan umat Islam untuk mencegah dari awal, bertindak tegas menentang ekstremisme dan menyatakan tanpa ragu bahawa kumpulan itu tidak mewakili mahupun menggambarkan Islam, tegas beliau [UM 18/1/08].
Dalam kenyataannya itu, Najib nampaknya menyalahkan kelompok kecil umat Islam (yang dilabelnya sebagai ekstremis) yang baginya menjadi penyebab kepada segala tohmahan yang dilemparkan oleh Barat ke atas Islam. Justeru, Najib menyeru supaya majoriti umat Islam menolak golongan (yang dilabelnya) ekstremis agar segala label negatif yang diberikan oleh Barat kepada Islam itu dapat ‘dibersihkan.’ Pendek kata, Najib tidak mahu akibat nila setitik, rosak susu sebelanga. Walhal, sekiranya diteliti sehalus-halusnya, yang sebenar-benar ‘nila’ di sini adalah para pemerintah umat Islam itu sendiri, yang tidak menerapkan hukum Allah dan berhukum dengan hukum sekular, yang membuat undang-undang sendiri dan tidak mengambil undang-undang Allah – merekalah yang telah merosakkan Islam, merekalah yang telah menyebabkan umat Islam menjadi hina, ditindas, diseksa, dirogol, dibunuh dan diperangi oleh orang-orang kafir, tanpa sedikit pun pembelaan atau bantuan dari mereka. Di manakah para pemerintah umat Islam (yang begitu ramai) di kala rakyat Palestin dibunuh dengan kejam dan dizalimi oleh rejim Israel dari hari ke hari, di manakah para pemerintah umat Islam di kala Israel menghujani Lebanon dengan ribuan peluru berpandu yang menumpahkan darah suci kaum Muslimin di sana, di manakah para pemerintah umat Islam di kala anak-anak dan kaum wanita Iraq dibunuh dengan kejam oleh Barat, di manakah para pemerintah kaum Muslimin di kala anak-anak umat Islam di Afghanistan menjerit meminta tolong, di manakah para pemerintah kaum Muslimin di kala Muslimah dirogol dan dibunuh beramai-ramai di Kashmir, di manakah para pemerintah kaum Muslimin di kala saudara-saudara kita di Thailand ditembak sewenang-wenangnya oleh pemerintah kuffar, di manakah para pemerintah kaum Muslimin di kala umat Islam di seksa dan dibunuh di penjara Abu Ghraib, Teluk Guantanamo, di manakah para pemerintah kaum Muslimin di kala semua ini berlaku? Di manakah mereka? Siapakah yang telah merosakkan umat Muhammad ini? Siapakah sebenarnya yang telah meletakkan umat kekasih Allah ini di dalam kebinasaan dan kehinaan, tanpa pembelaan sedikitpun?
Facism/Fasisme
Sebagaimana disebutkan, istilah Islamofacisme adalah antara cubaan Barat memburuk-burukkan umat Islam. Ia dituju oleh Barat di dalam merujuk dan menakut-nakutkan dunia dengan ‘sistem pemerintahan’ Islam, yang dilabelnya bersifat facisme. Apa yang dilaung dan diinginkan oleh Barat agar dilaksanakan oleh umat Islam adalah sebuah pemerintahan demokrasi. Pemerintahan (demokrasi) inilah yang ‘disucikan’ oleh Barat agar diamalkan oleh umat Islam. Selain dari ini (demokrasi), maka semua bentuk pemerintahan lainnya adalah radikal, ekstrem, fasis, kuno, bersifat totalitarian dan pelbagai label lain lagi yang mereka berikan. Berhubung fasisme dan demokrasi ini, pembunuh No.1 umat Islam merangkap ketua pengganas dunia, George W. Bush laknatullah pernah berkata, semasa menjawab satu soalan berhubung krisis di Timur Tengah,
“And there is a level of frustration around the world with organizations that will take innocent life to achieve political objectives. And our job is to remind people that this isn’t a moment, this is a movement, and that we must deal with this movement. We must deal with this movement with strong security measures, we must bring justice to those who would attack us, and at the same time, defeat their ideology by the spread of liberty. And it takes a lot of work. This is the beginning of a long struggle against an ideology that is real and profound. It’s Islamo-fascism. It comes in different forms. They share the same tactics, which is to destroy people and things in order to create chaos in the hopes that their vision of the world become predominant in the Middle East….And part of the challenge in the 21st century is to remind people about the stakes, and remind people that in moments of quiet, there’s still an Islamic fascist group plotting, planning and trying to spread their ideology. And one of the things that — one of the things that came out of this unfortunate incident in the Middle East is it is a stark reminder that there are those who want to stop the advance of liberty and destabilize young democracies. And they’re willing to kill people to do so. [http://www.whitehouse.gov/news/releases/2006/08/20060807.html]
Itulah antara kata-kata musuh Allah ini dalam propagandanya untuk melabel dan memburukkan gerakan Islam dan dalam masa yang sama berusaha untuk mempertahankan sistem demokrasi dan idea kebebasan yang dijunjungnya ke seluruh dunia.
Istilah fasisme berasal daripada bahasa Itali, fascio, yang juga termasuk di dalam bahasa Latin. Fascis adalah nama yang diberikan kepada objek berupa seikat tangkai-tangkai kayu dan di celahnya diikatkan kepala kapak. Arca ini telah dijadikan sebagai lambang kekuasaan pemerintahan Kaisar Rom. Kemudian pada abad ke-20, istilah ini telah dimunculkan semula oleh Benito Mussolini dan dijadikan sebagai landasan perjuangannya untuk mengembalikan semangat bangsa Itali yang sedang melemah disebabkan masalah kemerosotan ekonomi dan pengangguran, kesan daripada Perang Dunia Pertama.
Di dalam Kamus Dewan, ‘fasis’ didefinisikan sebagai ‘penganut faham nasional yang didasarkan pada pemerintahan yang bertindak atas kekuasaan daripada hak-hak demokratik.’ Mengikut Wikipedia, definisi fascism dan ‘kerajaan fasis’ masih menjadi perdebatan hangat. Para sejarawan, saintis politik dan beberapa golongan cendekiawan lain telah terlibat dalam perdebatan yang serius dan panjang berhubung ciri-ciri sebenar dan tepat mengenai fascism serta ajaran-ajaran yang dikandungnya. Kebanyakan cendekiawan bersetuju bahawa ‘rejim fasis’ adalah satu bentuk kerajaan yang autoritarian walaupun tidak semua rejim autoritarian adalah fasis. Asalnya istilah ‘fascism’ digunakan untuk merujuk kepada gerakan politik yang wujud di Itali yang umurnya tidak sampai pun 30 tahun dari 1922-1943 di bawah pemerintahan Benito Mussolini. [http://en.wikipedia.org/wiki/Definitions_of_fascism]
Menurut sejarah, Mussolini menubuhkan Gerakan Nasionalis ini untuk mencapai apa yang dia cita-citakan. Gerakan Mussolini mudah mendapat sokongan daripada golongan pekerja kerana dia menjadikan tema kebangkitan bangsa Itali sebagai agenda utamanya. Pada setiap pertemuan, Mussolini banyak mengimbau kehebatan bangsanya di zaman silam semasa kegemilangan empayar Rom. Setelah partinya tewas di dalam pilihan raya pada 1919, gerakan ini telah mengambil pendekatan revolusi untuk menukar kerajaan iaitu dengan turun ke jalanan semata-mata untuk menimbulkan kekacauan secara fizikal. Mereka menolak parlimen dan menyeru kepada rakyat agar bangkit menentang pemerintah kerana kegagalan mereka membela bangsa Itali. Seruannya berjaya menghimpun sejumlah besar rakyat dan mereka berarak ke Rom. Melihat sokongan rakyat yang begitu kuat ke atas Mussolini, pemerintah Itali, Raja Victor Emmanuel III tidak berdaya menghadapinya. Mussolini kemudiannya di undang ke istana lalu dilantik sebagai pemimpin Itali. Pada Oktober 1922, Raja Itali itu memberikan laluan kepada Mussolini untuk membentuk pemerintahan baru. Di sinilah bermulanya pemerintahan fasis di Itali dan dia terus berkuasa sehingga 1943 bersama Parti Fasis Kebangsaan (National Fascist Party) yang mana dia merupakan pengasasnya dan pemimpinnya [The Columbia Encyclopedia, Sixth Edition. 2001-07].
Setelah menghapuskan para penentangnya yang berfahaman komunis dengan bantuan pasukan sayap militan partinya iaitu sebuah unit yang dikenali sebagai fasci di combattimento, langkah pertama yang dilakukan oleh Mussolini setelah memegang kekuasaan adalah dengan menyerang Ethiopia pada tahun 1935-1936. Pencerobohan tersebut dilakukan berdasarkan kepada pandangan nasionalis melampau fasisme. Bahkan Mussolini mempunyai pandangan yang menganggap bangsa-bangsa di dunia berevolusi melalui peperangan. Bangsa Itali pada masa itu mula digeruni oleh bangsa-bangsa lain yang berjiran dengannya.
Jika diteliti sejarah dan cara hidup puak fasis sejak dari zaman Rom seperti yang didakwa oleh Mussolini sebagai bangsa yang hebat dan seharusnya diikuti kebangkitannya oleh bangsa Itali, nescaya kita akan mendapati bahawa Empayar Rom yang pernah menakluki sebahagian besar dunia itu sebenarnya terdiri dari bangsa yang kejam, hina, tidak bermoral, tidak berperikemanusiaan, tamakkan kekayaan dan rakus untuk berkuasa. Apabila mereka menakluki bangsa lain, mereka melihat bahawa bangsa yang mereka takluk itu adalah sekelompok manusia yang hina yang mesti dirampas usaha dan harta benda mereka. Mereka akan mengenakan cukai yang tinggi untuk kepentingan Kaisar Rom. Disebabkan itu, rakyat di negara-negara yang dijajah oleh bangsa Rom tidak dapat mengecapi kesejahteraan hidup yang sebenar sebagai manusia. Mereka dianggap rakyat kelas kedua dan mesti menganggap bangsa Rom itu adalah bangsa tertinggi. Bangsa yang terjajah adalah bangsa yang rendah dan hina serta tidak layak bercampur dengan bangsa Rom yang tinggi. Bangsa Rom juga memaksa orang-orang yang telah ditakluk untuk menerima agama Kaisar Rom. Barang siapa yang tidak menerima agama Kaisar akan dianggap sebagai orang-orang sesat (pagan) dan mereka akan dilayan seperti haiwan dan boleh diperlakukan sesuka hati oleh para penguasa Rom. Kezaliman yang dilakukan oleh orang-orang Rom menyebabkan mereka dibenci oleh bangsa-bangsa lain. Kekejaman dan kesombongan inilah yang telah memakan diri mereka sendiri. Akhirnya tentera mereka telah dikalahkan oleh tentera Islam kerana empayar yang mereka bina hanya nampak kuat di luar tetapi rampung di dalam. Nasib yang sama juga menimpa Mussolini yang akhirnya dibunuh sebaik sahaja pemerintahan fasismenya runtuh.
Hakikatnya, percubaan Bush, yang merupakan pemegang Kerusi Kehormat bagi Penjenayah Agung Abad ke-21, dalam menyamakan Islam dengan fahaman fasisme yang pernah dibawa oleh Mussolini hanyalah akan menyebabkan musuh Allah ini lebih dibenci menjelang hari-hari terakhirnya sebagai Presiden Amerika. Walaupun idea ini (fasisme) pernah muncul di Britain dan Perancis selepas era Mussolini dan Hitler, sejarah tidak dapat menafikan bahawa pemerintahan fasisme yang sebenar adalah yang dibawa oleh Mussolini yang hanya bertahan tidak sampai 30 tahun, sedangkan pemerintahan Islam (Khilafah) telah bertahan selama lebih 1400 tahun yang mana kedua bentuk pemerintahan ini langsung tidak mempunyai kesamaan walaupun sedikit. Bush semakin sedar bahawa ideologi Kapitalis dan pemerintahan demokrasi yang dihamburkannya ke dunia Islam kini juga sudah semakin mencapai penghujung. Umat Islam sudah semakin sedar kebusukan dan kerosakan sistem pemerintahan sekular/demokrasi yang dibawa Barat. Justeru, makhluk terkutuk ini menjadi semakin tertekan kerana masanya sudah semakin suntuk.
Futuhat Di Bawah Pemerintahan Islam
Walau apa pun yang dikatakan atau dicop oleh Presiden AS yang semakin terdesak ini, perjuangan gerakan Islam yang berdakwah untuk menegakkan agama Alah melalui tegaknya sistem pemerintahan Islam/Khilafah tidaklah serupa sebagaimana perjuangan fasisme Mussolini. Juga, langsung tidak wujud dan tidak akan wujud apa yang dikenali sebagai Islamofacism. Istilah ini hanyalah rekaan Barat untuk menyekat tegaknya agama Allah secara kaffah, sebagaimana istilah lain yang direka mereka seperti teroris atau ekstremis Islam, fundamentalis Islam dan sebagainya. Keagungan pemerintahan Islam (Khilafah) langsung tidak sama dengan fasisme atau pemerintahan Rom mahupun sistem pemerintahan demokrasi sekular hari ini. Ini adalah kerana, tamadun dan pemerintahan Islam itu sendiri berbeza sama sekali dengan tamadun Rom dan Barat baik dari segi asas mahupun cabang-cabangnya. Sistem pemerintahan Islam adalah berdasarkan wahyu, langsung tidak sama dengan mana-mana sistem pemerintahan yang ada pada hari ini, baik demokrasi, teokrasi, monarki, nazisme, fasisme dan sebagainya yang kesemuanya itu hanya terhasil dari produk akal manusia semata-mata. Manakala pembukaan (futuhat) yang dilakukan oleh orang-orang Islam ke seluruh dunia juga jauh berbeza dengan penaklukan yang dilakukan oleh bangsa Rom, Itali, Mongol, Britain, AS, Perancis dan lain-lain. Hal ini dapat dijelaskan dan tergambar secara realistik melalui banyak fakta, antaranya:-
(1) Kaum Muslimin melakukan pembukaan (futuhat) bukan kerana dorongan semangat nasionalis atau kehebatan ‘bangsa’ atau mengejar kekayaan atau untuk memperhambakan bangsa lain, tetapi mereka melakukan futuhat untuk membebaskan manusia daripada perhambaan sesama manusia kepada menjadi hamba kepada Allah yang Maha Agung. Ia juga dilakukan sebagai memenuhi seruan (khitab) syariat Islam yang memerintahkan agar Islam disebarkan ke seluruh dunia. Thariqah (metode) penyebaran Islam adalah melalui dakwah dan jihad (perintah Allah), lalu mereka terjun ke medan dakwah dan medan perang semata-mata untuk mencapai keredhaan Allah dan bukan kerana mengejar harta mahupun kekayaan daripada rampasan perang. Ia adalah semata-mata kerana kepatuhan kepada perintah Allah untuk berdakwah dan berjihad lalu mereka membunuh dan terbunuh yang akhirnya mencapai darjat syuhada’, Insya Allah. Tentera-tentera kaum Muslimin melakukan pengembangan wilayah tanpa memperkirakan sama ada tempat itu mempunyai kekayaan atau tidak, selagi wilayah itu ada manusia, selama itulah pengembangan dilakukan (demi mengajak manusia kepada agama Allah).
(2) Kaum Muslimin tidak mengasingkan diri dengan bangsa yang dikalahkan bahkan mereka bercampur-baur sehingga ada yang berkahwin dengan bangsa tersebut semata-mata agar penyatuan mereka dengan masyarakat setempat menjadi kukuh supaya dapat berdakwah dan berdebat untuk mengajak mereka kepada Islam. Kaum Muslimin tidak menganggap diri mereka sebagai ‘bangsa’ yang mulia tetapi yang mulia itu adalah Allah, dan syariat Islam mestilah dipertontonkan kepada bangsa yang telah dikalahkan. Kaum Muslimin bahkan menganggap mereka adalah duta-duta Allah dan kerana itu wajarlah menjadi motivasi bagi mereka untuk menyatu dengan penduduk asal tanpa mengira warna kulit dan bangsa semata-mata untuk memberi kefahaman tentang Islam yang sebenar. Mereka menunjukkan syakhsiyyah (keperibadian) Islamiyyah yang baik dan sempurna yang justeru menambat hati para penduduk setempat untuk turut sama mempelajari dan memeluk agama Islam dan seterusnya mereka (penduduk setempat) pula yang (setelah masuk Islam) menjadi pembela Islam.
(3) Walaupun terdapat sebilangan daripada mereka yang masih tetap dengan agama lamanya tetapi dengan rela menjadi warganegara Islam, justeru mereka juga terikat dengan syariat Islam melainkan di dalam aspek ibadah, pakaian, perkahwinan dan makanan serta minuman yang mana mereka dibenarkan untuk mengamalkan tatacara agama mereka. Tetapi, selain daripada itu, termasuklah uqubat (penghukuman) dan muamalat (transasksi) mereka wajib terikat dengan syariat Islam. Disebabkan itulah mereka juga akan diberi jaminan hidup yang sama dengan warganegara lain yang beragama Islam. Mereka akan mendapat jaminan dari segi keperluan tempat tinggal, makanan dan pakaian sama seperti jaminan yang diberikan kepada warganegara Muslim. Semuanya akan dilayan sama rata. Daulah Islam memandang mereka kesemuanya adalah manusia yang mesti diberikan hak yang sama agar mereka dapat mengecapi kehidupan yang wajar sebagai seorang manusia.
(4) Mereka juga diberikan hak yang adil sebagai warganegara Daulah untuk bekerja di pejabat pentadbiran Khilafah. Mereka akan dibenarkan memegang mana-mana jawatan selain daripada jawatan yang berkaitan pemerintahan dan penghukuman. Ini adalah kerana kedua-dua jawatan tersebut melibatkan perlaksanaan syariat Islam. Mereka akan diberikan peluang seluas-luasnya di bahagian operasi dan pentadbiran. Tidak ada golongan majoriti atau minoriti di dalam Daulah Islam kerana semuanya diberikan hak yang sesuai dengan tuntutan syariat Islam.
(5) Mereka wajib diberikan hak perlindungan. Dan mereka tidak boleh dicederakan atau dibunuh kerana ini adalah berlandaskan hukum tentang ahlu zimmah (kafir yang menjadi warganegara Daulah Islam). Ini berdasarkan sabda Rasulullah, “Sesiapa yang menyakiti zimmi, sesungguhnya dia telah menyakitiku, sesiapa yang menyakitiku sesungguhnya dia menyakiti Allah” [HR Tabarani]. Hadis ini dengan jelas menunjukkan bagaimana Rasulullah amat prihatin dengan ahlu zimmah. Ahlu zimmah akan diberi perlindungan dan oleh kerana itu mereka wajib membayar jizyah sebagai tukaran jaminan keselamatan yang diberikan oleh Daulah Islam kepada mereka [Ad-Daulah Al-Islamiyyah, Syeikh Taqiyuddin an Nabhani].
Bahkan sejarah membuktikan bagaimana Islam telah mengubah sikap suatu kaum dan bangsa yang pada awalnya amat bangga dan saling membesar-besarkan ‘bangsa’ masing-masing. Setelah Islam datang dan membuka wilayah mereka, semua itu justeru telah ditinggalkan. Mereka akhirnya menjadi penganut Islam yang paling kuat. Hal-hal yang sedemikian tidak pernah ditemukan di dalam Empayar Rom mahupun Empayar Parsi dan empayar-empayar yang lainnya di dalam sejarah peradaban manusia. Kerana itulah Empayar Islam terus bertahan sehingga lebih 1400 tahun; sesuatu bangsa yang sesudah dibuka tanah mereka, telah ramai-ramai memeluk Islam dan mempertahankan agama Allah ini bersama-sama dengan kaum Muslimin yang menewaskan mereka sebelum itu. Tidak pernah ada sejarah peradaban yang membuktikan, bangsa yang ditakluk menyokong dan menyatu dengan bangsa yang menakluk dan lebih dari itu mereka bersatu mempertahankan sistem yang diterapkan iaitu syariat Islam, kecuali sejarah peradaban Islam. Ini diperakui sendiri oleh sejarawan Barat, Will Durant yang menukilkan, “Ahlu zimmah yang beragama Nasrani dan Yahudi pada masa pemerintahan Khilafah Umayyah menikmati sikap toleransi yang tidak pernah mereka temukan di negeri-negeri Nasrani pada masa sekarang. Mereka bebas melakukan aktiviti keagamaan mereka, dan boleh memelihara gereja dan rumah ibadah mereka” [The Story of Civilization, Will Durant].
Khatimah
Wahai kaum Muslimin! Sedarlah bahawa propaganda keji Barat terhadap gerakan Islam yang ikhlas masih dapat bertahan kerana adanya para pemerintah Muslim sekular hari ini yang bersikap apologetik dan tunduk kepada Barat. Para pemerintah inilah yang masih menuruti kehendak kaum kuffar Barat, lalu memburu gerakan Islam yang ingin menerapkan Islam secara kaffah di seluruh dunia. Mereka (Barat dan para pemerintah kaum Muslimin) menggelarkan mana-mana gerakan Islam yang diburu dan dibencinya ini sebagai ekstremis, teroris, radikal dan macam-macam lagi. Para pemerintah Muslim ini pula kononnya tidak mahu umat Islam diberi gelaran ‘pengganas’ oleh Barat, walhal mereka sendirilah (pada masa yang sama) menggunakan istilah ciptaan Barat (‘pengganas’, ‘ekstremis’ dan sebagainya) untuk dilabelkan kepada gerakan (minoriti) Islam yang tidak sealiran dengan mereka. Saudaraku, sesungguhnya kuffar Barat tidak akan berhenti dari terus meletakkan pelbagai label ke atas Islam dan umatnya. Oleh itu, persoalannya sekarang adalah, bagaimana kita perlu bertindak untuk menghadapi dan seterusnya mengalahkan Barat, bukannya bagaimana untuk bertindak memuaskan hati Barat, sebagaimana yang dilakukan oleh para pemimpin kaum Muslimin sekarang! Sesungguhnya, hanya dengan menyambung kembali kehidupan Islam melalui penegakkan Daulah Khilafah Islamiyyah, dengan izin Allah, Islam akan dapat dimenangkan dan kuffar Barat dapat direndahkan!