SN185 – KOMUNISME DITENTANG KAPITALISME DITATANG
SN Keluaran 23 Julai 2009
Apakah benar Komunisme merupakan satu ideologi yang bahaya? Bagaimana pula dengan Kapitalisme? Apabila kita mengkaji realiti dunia pada hari ini, kita akan mendapati akan adanya tiga mabda’ (ideologi) yang pernah wujud dan sedang wujud yakni Kapitalisme, Sosialisme (termasuk Komunisme) dan juga Islam. Dua mabda’ yang pertama yakni Kapitalisme dan Komunisme masing-masing dikembangkan oleh satu atau beberapa buah negara. Sedangkan mabda’ yang ketiga iaitu Islam, saat ini, tidak lagi dikembangkan oleh sebuah negara pun. Mabda’ Islam hanya dikembangkan oleh gerakan-gerakan Islam dan sesetengah individu di dalam masyarakat sahaja.
Mabda’ adalah aqidah aqliyah yang melahirkan peraturan. Yang dimaksud akidah adalah pemikiran menyeluruh tentang alam semesta, manusia dan kehidupan, serta tentang apa yang ada sebelum dan setelah kehidupan, di samping hubungannya dengan sebelum dan sesudah alam kehidupan. Mabda’ muncul di benak seseorang, baik melalui wahyu Allah yang diperintahkan untuk mendakwahkannya atau dari kejeniusan yang lahir pada diri orang itu. Mabda’ yang lahir dalam benak manusia melalui wahyu Allah adalah mabda’ yang benar, kerana bersumber dari Al-Khaliq, yaitu Pencipta alam, manusia, dan kehidupan. Mabda’ ini pasti (qath’i) kebenarannya. Sedangkan mabda’ yang muncul dalam benak manusia kerana kebijaksanaan yang nampak pada dirinya adalah mabda’ yang salah (bathil), kerana berasal dari akal manusia yang terbatas, yang tidak mampu menjangkau segala sesuatu. Peraturan dan undang-undang yang lahir dari mabda’ buatan manusia ini selalu menimbulkan perbezaan, perselisihan, dan pertentangan, sehingga membuahkan segala bentuk penderitaan dan kesengsaraan bagi manusia. Oleh kerana itu, mabda’ yang muncul dari benak seseorang adalah mabda’ yang salah, baik dilihat dari segi akidahnya mahupun peraturan yang lahir dari akidah tersebut [Nizamul Islam, Taqiyuddin an-Nabhani].
Sedikit Mengenai Komunisme dan Kapitalisme
Komunisme adalah satu cabang dari ideologi Sosialisme yang pernah wujud sebagai sebuah kuasa besar dunia suatu ketika dahulu sebagai pesaing kepada ideologi Kapitalisme, setelah Islam diruntuhkan sebagai sebuah ideologi pada tahun 1924 di Turki, setelah runtuhnya Daulah Khilafah. Ideologi Komunisme menyatakan bahawa alam semesta, manusia dan juga kehidupan, semuanya adalah ‘material’. Mereka meyakini bahawa material adalah asal dari segala sesuatu. Melalui perkembangan dan evolusi material-lah, benda-benda lainnya (dari tidak ada) menjadi ada. Bagi golongan ini, di sebalik alam material ini, tidak ada lagi alam lain. Mereka berpegang bahawa material bersifat azali (tidak berawal dan tidak berakhir), qadim (terdahulu) dan tidak seorang pun yang mewujudkannya. Dengan kata lain, ia bersifat wajibul wujud (wajib adanya). Penganut ideologi ini mengingkari penciptaan alam ini oleh Zat Yang Maha Pencipta. Mereka mengingkari aspek kerohanian, dan beranggapan bahawa pengakuan adanya aspek rohani merupakan sesuatu yang merbahaya bagi kehidupan. Agama dianggap sebagai candu yang meracuni masyarakat dan menjadi penghalang kepada suatu pekerjaan/perbuatan. Bagi mereka, tidak ada sesuatu yang wujud kecuali hanyalah material. Ini berarti mereka mengingkari adanya Sang Pencipta dan mengingkari adanya sesuatu sebelum dan sesudah kehidupan dunia. Yang mereka akui hanyalah kehidupan dunia ini sahaja.
Kapitalisme pula merupakan sebuah ideologi yang tegak atas dasar pemisahan agama dengan kehidupan (sekularisme). Idea ini menjadi akidahnya, sekaligus sebagai qiyadah fikriyah (kepemimpinan berfikir), serta qaidah fikriyah (kaedah berpikir)-nya. Berlandaskan qaidah fikriyah ini, mereka berpendapat bahawa manusia berhak membuat peraturan hidupnya sendiri. Mereka pertahankan kebebasan manusia yang terdiri dari kebebasan berakidah, berpendapat, berkepemilikan, dan kebebasan peribadi (bertingkah laku). Dari kebebasan hak milik inilah lahirnya sistem ekonomi Kapitalis, yang termasuk perkara yang paling menonjol dalam mabda’ (ideologi) ini atau yang dihasilkan oleh akidah mabda’ ini. Karena itu, mabda’ tersebut dinamakan mabda’ Kapitalisme, sebuah nama yang diambil dari aspek yang paling menonjol dalam mabda’ tersebut.
Kelahiran ideologi ini bermula pada saat Kaisar (Caesars) dan raja-raja di Eropah dan Rusia menjadikan agama sebagai alat untuk memeras, menganiaya dan menghisap darah rakyat. Para pemuka agama waktu itu dijadikan perisai untuk mencapai keinginan mereka. Maka timbulah pergolakan sengit, yang kemudian membawa kebangkitan bagi ahli falsafah dan cendekiawan. Sebagian mereka mengingkari adanya agama secara mutlak. Sedangkan yang lainnya mengakui adanya agama, tetapi menyerukan agar dipisahkan dari kehidupan dunia. Sampai akhirnya pendapat majoriti dari kalangan ahli falsafah dan cendekiawan itu cenderung memilih idea yang memisahkan agama dari kehidupan, yang kemudian menghasilkan usaha pemisahan antara agama dengan negara. Disepakati pula pendapat untuk tidak ‘mempermasalahkan’ agama, dilihat dari segi apakah diakui atau ditolak. Yang pentingnya, bagi pendokong ideologi ini, agama itu harus dipisahkan dari kehidupan. Idea ini dianggap sebagai kompromi (jalan tengah) antara pemuka agama yang menghendaki segalanya harus tunduk kepada mereka (atas alasan agama) dengan ahli-ahli falsafah dan cendekiawan yang mengingkari peranan agama dalam kehidupan.
Setelah berjaya menakluk negeri-negeri umat Islam, Barat telah menyuntik ideologi Kapitalisme ini ke dalam umat. Mereka melantik pemerintah dari kalangan kaum Muslimin sendiri sebagai talibarut mereka lalu mereka mengajar pemerintah yang jahat dan khianat ini dengan ideologi mereka. Dengan habuan dunia yang diberi, maka pemerintah ini pun memeluk erat ideologi kufur ini, lalu mereka pun mula memerintah dengan memisahkan agama dari kehidupan. Mereka mula membuat undang-undang sendiri dengan mengenepikan undang-undang Allah Subhanahu wa Ta’ala. Dan kekallah mereka seperti itu hinggalah ke hari ini.
Setelah dunia Timur melihat kebobrokan Kapitalisme yang dibawa oleh dunia Barat, maka muncullah pula ideologi Komunisme, dan ideologi baru ini mula merebak ke seluruh dunia, sehingga sampai ke Malaysia. Namun, kelestarian Komunisme tidak lama apabila negara kuasa besar penganutnya tumbang. Di Malaysia, hancurnya Komunisme dan PKM adalah setelah kedatangan British buat kali kedua. Malangnya kebanyakan rakyat Malaysia tidak sedar bahawa penjajah kuffar British adalah penganut dan pengembang ideologi Kapitalis, yang sememangnya musuh kepada Komunisme. Setelah Hiroshima dan Nagasaki dibom, Jepun terpaksa menyerah kalah dan British berjaya menguasai semula Tanah Melayu. Sepanjang penguasaannya ke atas Tanah Melayu, rakyat tidak sedar bahawa British bukan sekadar berjaya menjajah negara, malah mereka berjaya menjajah ‘hati dan pemikiran’ penduduk Tanah Melayu, khususnya umat Islam, agar membenci ideologi Komunisme dan mencintai serta mengamalkan ideologi Kapitalime yang mereka bawa.
Berbeza sedikit dengan idea asal komunisme, penganut ideologi ini (khususnya PKM) di Malaysia yang berketurunan Melayu masih tetap menganggap Islam sebagai ‘agama’. Sebab itulah kita sering mendengar bahawa mereka masih lagi percya kepada Tuhan, menjaga solat, berpuasa dan seumpamanya. Namun Islam hanyalah sebatas ‘agama’ bagi mereka, dan Islam langsung tidak menjadi ‘cara hidup’ (way of life) mereka. Hal ini sesungguhnya langsung tidak berbeza dengan ideologi Kapitalis yang dipegang oleh para pemimpin umat Islam dan juga sebahagian besar dari umat Islam itu sendiri. Para pemerintah berideologi Kapitalis ini, termasuklah di Malaysia, hanyalah menjadikan Islam sebatas ‘agama’ di mana Islam hanya dianut mereka sekadar untuk bersolat, berzakat, berpuasa dan menunaikan haji. Namun mereka tidak pernah menjadikan Islam sebagai way of life mereka. ‘Cara hidup’ mereka adalah Kapitalisme, yakni satu cara hidup yang memisahkan antara agama dan kehidupan (faslu deen ‘anil hayah – sekularisme). Malah mereka akan menentang habis-habisan jika ada usaha untuk mengembalikan kehidupan Islam dalam konteks pemerintahan.
Sesungguhnya pegangan mereka saling tak tumpah dengan komunis dari segi mengingkari Islam sebagai ‘cara hidup’, malah pemerintah penganut Kapitalis ini jauh lebih berbahaya dari Komunis. Mereka menindas rakyat, memakan harta rakyat, mengaut segala kekayaan negara untuk membuncitkan perut-perut mereka yang durjana itu. Mereka berpakaian kemas dan segak, memiliki kekayaan yang tak ternilai, tinggal di istana-istana mewah jutaan ringgit, bijak dalam bermanis muka, pandai bermain kata-kata dan licik dalam melakukan pelbagai kemunafikan kepada rakyat. Semuanya demi kuasa, demi pangkat, demi mengaut habuan dunia sebanyak-banyaknya dan demi mengekalkan takhta. Inilah ‘jasa dan kebaikan’ pemerintah Kapitalis yang cuba menerangkan kepada rakyat bahawa Komunisme adalah satu ideologi yang bahaya dan mesti dihalang!
Islam -vs- Kapitalisme & Komunisme
Sejak Rasulullah SAW mula diutus, baginda telah mendakwahkan Islam sebagai sebuah ‘cara hidup’. Namun, oleh sebab Rasulullah dan umat Islam kala itu (semasa di Mekah) masih belum memiliki negara, maka Islam sebatas menjadi anutan secara individu dan secara berjemaah sahaja. Setelah tegaknya Daulah Islamiyyah di Madinah pada tanggal 1 Hijrah, maka deenul Islam telah muncul sebagai sebuah cara hidup dalam bentuk bernegara (pemerintahan). Bermula dari Madinah, Islam sebagai sebuah mabda’ (ideologi) yang datangnya dari wahyu telah berjaya menguasai dunia selama lebih 1400 tahun dan menebarkan qiyadahnya hingga hampir dua per tiga dunia. Para Khalifah menjadi penjaga ideologi suci ini berkurun-kurun lamanya hinggalah akhirnya ia berjaya diruntuhkan oleh Mustafa Kamal laknatullah pada 1924 yang justeru terus menggantikan ideologi negara Turki kepada Kapitalis-sekular. Sejak itu hingga sekarang, maka sirnalah Islam sebagai sebuah ideologi yang pernah menerangi dunia. Sebelumnya, Islam sebagai suatu mabda’ yang mengandungi fikrah dan thariqah yang diterapkan di tengah-tengah kehidupan umatnya mahupun manusia amnya, telah berjaya membawa suatu tamadun yang me‘manusia’kan manusia. Di sepanjang sejarah penerapan dan peradabannya, ideologi Islam membawa rahmat kepada seluruh alam – berbeza sama sekali dengan dua ideologi kufur (Kapitalis dan Komunis) buatan manusia yang kita saksikan pada hari ini.
Sejak runtuhnya Daulah Khilafah pada 1924, tidak ada lagi Negara Islam yang menerap dan mengembangkan ideologi Islam. Pemimpin umat Islam rata-ratanya memeluk ideologi Kapitalis, termasuklah Malaysia. Mereka menyeru agar kita menolak Komunisme, namun mereka merangkul erat ideologi Kapitalisme, dan dalam waktu yang sama mereka mengekang Islam habis-habisan. Jika ada gerakan Islam yang memuhasabah mereka untuk menegakkan agama Allah, maka para pemimpin Kapitalis ini tanpa peri kemanusiaan sedikit pun terus menghalang dan menangkap para pejuang Islam ini. Ideologi Kapitalisme seolah-olah menjadi sebuah ‘berhala’ sembahan mereka sehingga jika ada gerakan Islam yang membawa ideologi Islam untuk melawan kesesatan mereka itu, maka mereka akan menentangnya dengan sepenuh kekuatan. Mereka berkerja siang dan malam untuk mempertahankan ideologi kufur ini, walaupun realitinya kini Kapitalisme yang mereka ‘sembah’ itu semakin menyembah bumi dengan pelbagai krisis, kerosakan, kebatilan dan kezaliman yang dibawanya. Tidak ada fakta yang dapat menafikan bahawa kedua-dua ideologi kufur Komunis dan Kapitalis telah gagal untuk mensejahterakan umat Islam khususnya dan dunia amnya, malah kita sentiasa menyaksikan bagaimana umat Islam dan sebahagian besar manusia semakin menderita dan sengsara akibat kedua-duanya.
Khatimah
Wahai kaum Muslimin! Chin Peng mengakui bahawa dia adalah seorang penganut ideologi Komunis, namun seluruh pemimpin kaum Muslimin, termasuklah pemimpin kalian hari ini tidak pernah menyebut secara jelas hakikat bahawa mereka adalah pemeluk ideologi Kapitalisme yang hina ini. Hal ini adalah jauh lebih berbahaya. Mereka menghisap darah kalian, merampas harta kalian dan mengaut segala kekayaan kalian. Hasil bumi yang kalian miliki dirampas mereka, cukai-cukai yang haram dikenakan ke atas kalian, pendidikan sekular diajar kepada anak-anak kalian dan kalian terpaksa membayar untuknya. Rawatan kesihatan mereka jadikan perniagaan untuk mendapatkan keuntungan dari kalian. Keamanan untuk kita dan anak-anak kita banyak mereka abaikan, anak-anak kita diculik, dirogol dan dibunuh sedangkan mereka dan anak-anak mereka hidup mewah dikelilingi pengawal 24 jam. Ibu-ibu dan kakak-kakak kita menjadi mangsa ragut dan rogol, rumah kita dipecah dan dirompak, namun rumah mereka bak istana dan keluarga (kroni) mereka terjaga rapi. Saudaraku, inilah pemerintah berideologi Kapitalis yang berbicara kepada kita bahawa Komunisme adalah sebuah ideologi yang bahaya dan mesti ditolak!!!
Wahai kaum Muslimin! Bandingkanlah kejahatan dan kesesatan yang dibawa oleh Chin Peng dan kejahatan serta kesesatan yang dibawa oleh Lord Reid. Bayangkan selama lebih 50 tahun kalian diperintah dengan hukum kufur di bawah ‘kitab suci’ Lord Reid yang dipegang dan diterapkan oleh para pemimpin kalian sepenuh hati. Bagi para perajurit yang ingin membunuh Chin Peng, tidak terdetikkah di hati kalian untuk ‘membunuh’ ajaran Lord Reid, yang kerananyalah pemikiran kalian sudah terjajah selama 52 tahun, dan kerananyalah hukum Allah terhalang dari ditegakkan di bumi Malaysia ini? Tidakkah kalian sedar yang kuffar British memerintah bumi ini beratus tahun lamanya berbanding Komunisme yang hanya memerintah kalian dahulu selama 3 minggu, namun mereka (British) berjaya menjadikan kalian membenci ideologi Komunisme, namun sayangkan ideologi mereka, walhal ideologi mereka adalah lebih jahat dan lebih sesat dari Komunisme? Sesungguhnya Komunisme dan Kapitalisme adalah mabda’ kufur buatan manusia dan tidak layak untuk diambil, hanya Islamlah satu-satunya mabda’ yang datangnya dari Allah ‘Azza wa Jalla yang wajib dianuti oleh umat manusia dan dapat menyelamatkan manusia dari penderitaan hidup di dunia dan akhirat. Dan mabda’ Islam akan pasti kembali memerintah dunia apabila Daulah Khilafah tertegak tidak lama lagi. Wallahu a’lam.